Saturday 1 December 2012

Cermin 7


Bermula dari saat itu, setiap malam kami akan berjumpa selepas semua orang telah pulang ke rumah masing-masing. Ada saja topik perbualan yang dimulakannya. Adakala dia berkongsi tentang pengalaman dan cabaran yang dia hadapi sepanjang hidupnya. Adakalanya pula, dia akan membuka topik tentang sejarah negara atau paling tidak tentang lagu dan muzik. Tak ada satu saat pun dia akan biarkan waktu berlalu dengan sia-sia.

Ada waktu nya juga, seperti pada malam ini, dia mengajar saya tentang kereta. Saya tidak langsung diberi peluang untuk memilih topik. Dan saya juga tidak kisah. Kata dia, saya akan faham tujuannya memilih topik tersebut bila tiba masa sesuai nanti. Pada saya, semua itu tidak penting. Saya cuma suka waktu yang saya habiskan bersama dia.

Malam ini, kami pergi ke workshop kawannya, tidak jauh dari tempat saya bekerja. Tujuannya, belajar cara cara membersihkan enjin dan kenal bahagian bahagian yang ada di dalam sebuah kereta. Susahnya. Kata dia, orang perempuan hanya tahu bawa kereta saja, tapi tak pernah nak ambil tahu cara untuk menjaga kereta. Ceh.

Dalam mendengar segala apa yang dia ajar, saya memandang wajahnya. Dia memang kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila dia senyum. Adakalanya pula dia  nampak berusia. Hidup dia pasti banyak dugaannya juga. Saat seperti ini, saya jadi risau dan bimbang tentang dia. Tuhan, panjangkanlah umur dia. Bukan kerana saya takut tidak habis belajar lagi dengan.

Namun, kerana dia satu satunya insan yang paling rapat dengan saya waktu ini. Saya takut saya juga akan kehilangan dia sebagaimana semua orang yang rapat dengan saya telah pergi dari hidup saya. Tidak, perasaan ini bukan cinta.

Saya sayangkan dia seperti sayang seorang murid pada seorang cikgu, sayang seorang adik kepada seorang abang. Tidak salah, bukan?

Tiba tiba dia menoleh dan memandang saya dengan pandangan yang sukar saya tafsirkan. Di campakkan sehelai kain pengelap ke arah saya. Dia tersenyum 'Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya tidak akan ke mana-mana. Mari sini dan lap bahagian enjin sebelah kiri sana. Kita ada 15 minit saja lagi'.

Saya balas senyuman dia. Ah, dia seperti tahu saja apa yang saya fikirkan. Yang nyatanya dia mengajar saya kembali menjadi diri saya yang dulu. Saya tidak menangis lagi dan setiap malam, saya kini mampu tidur lena tanpa perlu pertolongan sebarang pil.

Hilang seseorang dalam hidup bukan alasan untuk kita berhenti hidup.
Biarlah hati terus berbicara tentang rindu, tentang sabar dan tentang hari esok.

No comments:

Post a Comment