Friday 3 December 2010

Erti Persahabatan


Adakala mereka berkata saya ini terlalu berfikiran dewasa. Adakala juga, mereka berkata saya terlalu keanak-anakan.

Dalam hidup ini, saya sentiasa cuba pendamkan segala perasaan saya. Saya cuba selesaikan semua masalah sendirian. Bukan sombong atau ego, namun kerana ingatkan pesanan ayah agar jangan sekali-kali menyusahkan orang lain. Biar kita membantu orang, tapi jangan sesekali membebankan teman-teman dengan masalah peribadi.

Saya cuba untuk tidak terlalu rapat dengan sesiapa. Adakalanya apabila terlalu rapat, kita lupa untuk menjaga percakapan kita. Ada rahsia yang akan terbocor, ada tawa yang  menghiris jiwa. Ada hati yang pasti akan terluka dan keadaan menjadi tegang. Saya tidak ingin terluka.

Namun saya hanya manusia biasa. Terkadang apabila berjumpa dengan mereka yang sama pemikiran, mereka yang terlalu baik atau mereka yang dapat menerima saya seadanya, saya jadi lalai dan semakin hari semakin dekat dengan mereka.

Sejak musibah menimpa, tanpa berfikir panjang, saya terus mendiamkan diri dan maafkan saya, saya juga mula menjauh. Saya ingin menangis tanpa sesiapa melihat. Saya tidak mahu belas kasihan sesiapa. Saya cuba melawan ombak, berenang ke pantai tanpa bantuan sesiapa.

Semalam saya terbaca nota yang telah lama ditinggalkan seorang teman buat saya. Seorang teman yang banyak mengajar saya tentang bintang. Dia teman setia, sentiasa bertanya khabar bila malam menjelang. Walau kami berbalah, sekalipun (tentang bulan, tentang bintang, tentang camar, tentang pantai), kami tetap akan berkawan semula kemudiannya. Kami saling bergurau, bercerita dan juga saling buli membuli , cabar-mencabar keupayaan berkarya masing-masing. Bukan apa, saya dapat lihat potensi dalam dirinya dan saya ingin dia tonjolkan bakatnya yang ada. Apa pula yang dia nampak dalam diri saya? Entahlah. Jeda.

Dalam notanya, dia masih bertanya khabar saya dan mendoakan kebahagian saya. Tidak sesekali dia memarahi kerana lama menghilang. Malahan dia memberi satu hadiah yang sangat besar ertinya: sebuah sajak yang ditulis dan dipostkan di blognya.

Bicaranya membuat saya sayu. Katanya, tindakan saya melarikan diri dan membuang kawan amat merisaukan dia. Bukan hanya menyusahkan orang lain malah menambah kekacauan minda. Katanya hilangkan diri tanpa pesan sama seperti tidak percaya pada teman. Ibarat mati tanpa tahu mana kuburnya. Sakitnya tak akan pudar.

Terharu dan terdiam saya. Rupa-rupanya saya masih belum faham erti sebenar persahabatan. Dalam persahabatan tiada perkataan 'menyusahkan'. Yang ada ialah 'bantu-membantu' demi meringankan beban sahabat. Manusia memang berbeza dalam banyak perkara dan masalah yang ada tapi kita masih perlukan seorang teman yang memahami dan manjadi panduan untuk menunjukkan arah destinasi masing masing andai tersesat.

Dia teman terulung. Saya teman seumpama 'chipsmore'. Sekejap ada, sekejap menghilang. Bukan mudah untuk menjadi sahabat, rupanya.