Wednesday 31 July 2013

Introspeksi: Rahsia



Suasana hening seketika.
Adakala sepi itu memang indah. Ia memberi jiwa masa untuk bertenang dan juga masa untuk menikmati kesunyian malam. Waktu di mana diri berada jauh dari kebingitan suara-suara siang yang tak henti memukul gegendang telinga.

Kata orang, kanak-kanak suka berahsia. Mungkin kerana mereka tidak mahu dimarahi. Mungkin juga mereka takut akan dihukum akibat kesalahan dan kesilapan. Mungkin juga mereka tidak ingin kerisauan mereka akan dimomokkan oleh orang dewasa. Mungkin juga mereka takut seandainya luahan kesedihan dan rajuk mereka akan dipandang sepi. Mungkin juga kerana ingin menjaga hati.

Namun semakin tidak diluahkan, semakin rahsia terkumpul, sedikit demi sedikit menjadi tembok setinggi Menara Berkembar Petronas. Cuba menidakkan kesedihan dan kekecewaan yang ada dengan harapan ianya akan hilang jika dibiarkan di tepi. Mereka tidak sedar bahawa masalah tidak akan hilang dan rahsia mungkin terbongkar. Sehingga satu ketika apabila keadaan terlalu menekan jiwa, segalanya akan melimpah keluar tanpa boleh disekat-sekat.

Kesannya amat memedihkan. Bukan saja untuk diri sendiri, malah melibatkan orang di sekeliling. Kotak Pandora terbuka dan awan gelap pekat likat memenuhi ruang angkasa. Akan mengambil masa yang lama untuk biduk berlalu dan kiambang bertaut semula.

Susah di alam kanak kanak, sukar juga menjadi orang dewasa seandainya tiada penunjuk arah. Lebih susah lagi seandainya memasuki alam dewasa, tapi hati dan pemikiran masih keanak anakan.
Adakala lebih baik berterus-terang dari cuba memikul beban rahsia sendirian. Biar apa pun konklusi, kesannya tidak separah apabila segala ceritera pecah rabak.
Mungkin. 

Tuesday 30 July 2013

Permisi


Tolonglah
usah disiat kerat lagi hati yang semakin diracik nipis 

hanya untuk malam ini. ingin lelap barang sesaat. penat.

Minta permisi.

Monday 29 July 2013

Neraca


Adakala kita jadi buta bila masalah jatuh di atas kepala bertimpa-timpa. Kita yang selama ini menjadi tempat rujukan permasalahan sahabat, tiba-tiba hilang daya berfikir. Kita yang selalunya tahu apa langkah yang patut dibuat secara rasional, tiba-tiba buntu. Akal jadi pendek. Tenggelam dalam diri. Diam dan menyepi. 
Semakin difikir, semakin semak dan berhutan belukar fikiran. Namun kita masih ingin selesaikan sendiri. Mungkin tidak ingin menyusahkan orang lain. Mungkin juga kerana ego menahan diri dari meluahkan kebuntuan pada rakan atau orang yang paling rapat lebih-lebih lagi jika ianya ada kaitan dengannya. Mungkin juga ketakutan apabila blok-blok domino kehidupan yang tersusun atur mula tumbang satu persatu.
Lantas adakala bila masalah semakin memberat, kita ambil jalan pintas. Larikan diri? Menelan pil sebanyak mungkin agar masalah lesap bersama kesedaran yang pupus? Meneguk sesuatu yang sedia haram dengan harapan dapat melupakan kesedihan? Menoreh urat dan salur darah di tangan agar masalah akan turut mengalir keluar bersama cecair merah pekat dalam tubuh? 
Sabar dan redha. Pelajaran paling mudah secara teori namun memerlukan kekuatan untuk mengamalkan. Jangan dibiarkan kekusutan beraja di jiwa.
Neraca.


Sunday 28 July 2013

Tangisan

Adakala
tangisan tidak mengubah konklusi cerita, tidak melegakan kekacauan jiwa
malah
hanya menambah merah di hidung dan bengkak di mata.

Amat tidak comel, bukan? :)

Saturday 27 July 2013

Semangat Yang Hilang 2



Jemari melurut rambut yang semakin panjang ke belakang. Memejamkan mata. Cuba untuk melupakan segala masalah yang melanda. Namun entah mengapa terasa gagal untuk memujuk diri supaya lena dibuai mimpi. Sebuah keluhan terlepas dari bibir. Letih tubuh dan minda.

Adakala timbul rasa ingin mengalah. Tidak mahu melawan lagi jalinan takdir. Kata orang semua yang berlaku adalah ujian dari Tuhan untuk menguji kesabaran hamba-Nya. Namun diri adakala lebih rapuh dari helaian dedaun kering. Diri tidak tabah dan sabar. Apabila ujian datang tanpa henti seperti ini, timbul rasa takut seandainya diri tidak mampu untuk bertahan.

Malam ini, jiwa melarut dalam sebak. Hati tertusuk dengan bilah kata memperkecil-kecilkan segala usaha dan perubahan yang ingin dilakukan. Seolah tiada satu perbuatan pun yang tidak mengundang kritikan.
******

Sendiri.
Mengulum nasib. Betapa diri ingin menangis. Ingin sekali meluahkan kesedihan dan menyandarkan kepala yang berdenyut di bahu seseorang.
Lesu. Bisu.

Friday 26 July 2013

Tentang Cinta


Bagaimana rasanya mencintai seseorang?
Susah untuk diterangkan. Pelbagai rencam rasa: suka, gembira, sedih, merajuk, cemburu. Ada seribu satu macam rasa. Ada seribu satu macam gelora.
Mungkin rasa ini berbeza dari seorang ke seorang yang lain. Ada yang berkata Cinta itu tibanya selaju halilintar. Pertama kali terpandang wajah , hati terus tertawan. Tiada ruang untuk yang lain.
Namun ada juga yang berkata cinta itu datang dengan perlahan-lahan dan kemudian meresap ke seluruh liang rongga. Hari semalam, mungkin kita cuma memandang dia sebagai seorang teman biasa. Hari ini pula, sewaktu sedang berbual-bual, kita pandang wajah si dia yang tersenyum. Sedetik hati berbisik perlahan. Mata seakan terbuka bahawa kita sebenarnya memang sukakan dia. Susah untuk ditentukan sejak bila perasaan tu mula wujud dalam hati. 
Apabila dia senyum, pandang atau hantar 'message', senyum hingga ke telinga. Hilang letih, jiwa jadi lebih tenang. Apabila dia ada dekat, mata susah mengelak dari memandang wajahnya. Bibir jadi murah senyuman. Wajah merona merah apabila pandangan bertaut. Adakalanya bila dia berkata-kata, telinga hanya mendengar tanpa memahami apa butir isi bicara. Hati merakam bunyi suara. Andai hari itu hujan lebat dan langit mendung sekalipun, kita mungkin merasakan tiada hari yang lebih indah dari hari ini.
Bila berjauhan pula, hati sering teringat-ingat. Bukan setiap saat dan minit dalam dua puluh empat jam (tentunya urusan hidup masih perlu berjalan seperti biasa). Namun setiap kali ada masa terluang, pasti fikiran sentiasa berbalik pada dia: 'Apa agaknya dia sedang buat ketika ini? 'Waktu ni dia mesti sedang minum milo' atau 'Kalau dia nampak aiskrim ni tentu dia suka'. 'Agaknya dia sudah makan atau belum?' 
Andai pada waktu yang sama tiba-tiba 'message' dan dari dia muncul, maka lengkaplah rasa bahagia dalam hati. Dia sudah tentunya sedang memikirkan tentang kita juga.
Dalam waktu yang sama, adakala terselit rasa sunyi kerana tidak dapat bertemu dengan dia. Jarak dan waktu mencemburui. Sewaktu bergurau tawa dengan dia di talian, terselit rasa sayu. Dalam hati ada rindu. Setiap detik yang menjauhkan, ingatan terhadap dia pula semakin kuat. Selari. Rindu, sayang, sedih dan pilu silih berganti selagi hasrat belum tercapai. Mungkin inilah yang dikatakan cinta.
Adakala cinta boleh melemahkan seseorang. Adakalanya pula cinta itu jugalah daya penggerak dalam hidup. Cinta.

Thursday 25 July 2013

Perlahan


Panas mentari membakar, kenderaan bertali arus. Tak putus-putus. 
Setapak berhenti, selangkah terhenti.
Menghitung tar jalanan.
Umpama
siput babi yang buta berjalan undur ke belakang.
Amat perlahan.


Wednesday 24 July 2013

Memandang ke Langit II


Tatkala diri tidak mampu lagi berfikir, sepi terasa sebegitu indah.
Berdiri di balkoni bilik di aras tertinggi di sini, sendirian, angin segar menyapa wajah. Tiada hiruk pikuk kenderaan, tiada masalah, tiada wajah-wajah yang membangkitkan rasa bersalah dan tiada suara mengundang resah.

Menarik nafas dalam dalam, dan menghembusnya keluar perlahan-lahan. Tiada sebarang penghalang antara diri dan tanah kecuali dinding konkrit balkoni. Ini bukan teori. Telah ada seorang warga asing yang memanjat dan terjun dari lokasi ini tiga belas tahun yang lalu. Apa yang tinggal hanya sepucuk surat memohon maaf pada keluarganya dan polisi insurans berjumlah ratusan ribu ringgit.

Apa agaknya yang dia terfikir sehingga mendorong dirinya terjun dari aras dua puluh dua ini sebagai satu-satunya jalan keluar bagi masalah yang membalut diri? Apa agaknya yang bermain di mindanya sewaktu dia menulis suratnya yang terakhir? Apa yang dia fikirkan sesaat sebelum kepalanya bersepai terhentak ke simen dan seluruh jiwanya melayang? Hilang.

Menarik nafas dalam-dalam, dan menghembus karbon dioksida keluar perlahan-lahan. Seribu satu persoalan, seribu satu kebarangkalian. Tidak. Saya tidak berfikir untuk terjun juga seperti dia. Itu bukan satu jalan penyelesaian.

Menarik nafas dalam-dalam sekali lagi dan menghembus keluar perlahan lahan. Saya cuma meminjam sedetik ketenangan di sini sambil melihat langit. Bukankah ini tempat paling ideal? Berdiri di puncak apabila semangat berada di tahap paling minima.

'Batman' berdiri di puncak menara sambil memandang ke bawah, berjuta bebanan, tanggungjawab dan harapan orang ramai terpikul di bahunya.

'Batman' seorang hero. Saya pula tiada bezanya dengan orang lain yang melalui hidup tanpa sebarang kuasa luarbiasa. Saya berdiri di aras tertinggi di sini sambil memandang ke langit, membasuh segala kekusutan fikiran sebelum pulang dengan hati yang lebih tenang. Masih ada yang sayang. Hidup perlu diperjuang.

Tuesday 23 July 2013

Sembilu

Sembilu.
Adakalanya tiba satu ketika di mana diri harus mengalah dan berhenti mencintai seseorang.
Bukan kerana dia membenci kita. Bukan jua kerana diri membenci dia. Namun kerana hati merasai bahawa mungkin dia akan lebih bahagia tanpa kita disisinya. Demi kebaikan dia, kita tepikan perasaan kita dan mengorak langkah pergi. Hati dirobek sembilu, namun tekad telah diikat padu. 
Adilkah perbuatan itu? Menghilang tanpa berterus terang? Yang tertinggal hanya bayang, kenangan dan beribu persoalan. Pergolakan jiwa. Teori hadir berkajang-kajang. Hati ditikam-tikam.
Sembilu.

Monday 22 July 2013

Virus TMM (II)


Persis seorang kelemasan yang tidak punyai sebarang keupayaan lagi untuk berenang ke permukaan, dia melepaskan satu keluhan berat seraya meletakkan kepalanya ke meja. Suasana hening seketika. Kata orang tua-tua, malaikat sedang lalu. 
Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Hati berkira kira sama ada ingin berdehem atau bangun dengan perlahan-lahan bergerak menuju ke pintu. Terus menunggu ceritanya atau melarikan diri? Bibir tersenyum sesaat, idea nakal adakala menyelit masuk di bawah sedar.
Dia mengangkat kepala, seolah mampu membaca minda saya. Disambungnya cerita kembali:
"Awak pernah rasa tidur yang tak serupa tidur? Seperti terkena sumpahan Sang Kelembai, tiada jalan meleraikannya. Buka mata, terbayangkan dia. Tutup mata, juga ada dia. Bagaimana hendak lena. Mata terkebi-kebil, pejam dan celik, memandang siling. Terdengar bunyi detikan jarum jam setiap kali ianya bergerak dari seminit ke jam yang berikutnya.
Tik, tik, tik, tik, tik. Berselang seli dengan nyanyian sumbang sang cicak. Telefon mudah alih di jeling, masih membisu seperti tadi. Buka kelambu, turun dari katil, melangkah ke jendela. Termenung seketika. Baring semula. Resah bercampur gelisah. Sedar-sedar, jam loceng sudah bersuara nyaring. Antara lena dan jaga, diri seakan berubah menjadi mayat hidup. Bius.
Bangun, capai tuala, kaki menyarung selipar jepun, bergerak menuju ke bilik air. Tiba di hadapan cermin sinki, termenung. Berdiri dihadapan kolah, termenung lagi. Bila keluar dari bilik air, keadaan sama seperti waktu mula masuk ke bilik air. Tidak basah sedikit pun. Aik..bila ditanya sudah mandi atau belum, jawapannya bukankah dia baru sahaja keluar dari bilik mandi? Ajaibnya, rambut tak basah, tuala pun kering. Ini lebih teruk dari 'mandi kerbau'.
Duduk di meja makan. Menyenduk nasi, ikan, kuah dan sayuran. Termenung semula. Tangan yang ingin menyuapkan nasi terhenti separuh jalan. Rembesan airmata bercampur rencah dengan nasi." Dia mengakhiri ceritanya dengan meletakkan semula kepala ke meja.
Ingin saya sentuh bahunya, tapi tangan terasa berat, tak terangkat. Paralisis. Saya juga perlu menjaga hati saya yang ampuh dan rapuh. Justeru saya juga telah melalui apa yang dia lalui. Menyemai rindu di angin lalu. Jauh berterbangan dan berselerakan. Rabak.
Selagi ada perasaan, selagi itu adanya 'Cinta'. Selagi ada 'Cinta', selagi itu ada harapan dan impian. Vaksin kepada virus TMM, kesabaran dan keyakinan yang satu hari nanti rindu yang berterbangan itu akan berlabuh di tanah yang sesuai, bersemai dan berkembang mekar di taman hati. 
Yakin.

Sunday 21 July 2013

Realiti


Realiti.
Ianya tidak seperti kisah dongeng di dalam buku cerita kanak-kanak.
Kisah tidak terhenti hanya kerana Tuan Puteri telah bertemu dengan Putera Impian dan mereka hidup bahagia selama-lamanya. 
Itu semua hanya cerita dongeng hasil olahan 'Disney' di mana semua akhiran cerita tidak boleh dihentikan dengan penamat yang sedih atau negatif. Propaganda yang disulam dalam pemikiran anak-anak dan dikemaskan dengan benang impian yang berwarna-warni, tanpa secalit warna hitam. Sedangkan, bukan cinta namanya andai datang tanpa adunan kegembiraan dan kesedihan.
Realiti.

Saturday 20 July 2013

Virus TMM (I)


Saya memerhatikan dia. Kata orang dia sedang sakit.
Namun dia tidak demam. Tidak juga kelihatan adanya luka di mana-mana bahagian tubuhnya. Namun badannya jelas semakin susut dan wajahnya lesu tak bermaya. Apa sakit dia? Lebih baik bertanya pada tuan empunya diri dari terus membiarkan diri berprasangka yang bukan-bukan.
"Saya dijangkiti sejenis virus. Virus TMM,' jawabnya.
"Virus TMM? Apa tu? Saya tidak pernah dengar pun," kata saya sambil cuba mengingati nama-nama virus.
Ketawanya memecah ketenangan suasana petang. Setelah reda tawanya dan tidak mahu ada bayangan rajuk datang menjenguk, dia dengan segera memulakan penerangannya:
"Virus TMM ini penyakit bagi mereka yang sedang di alam percintaan.
TMM ialah singkatan bagi: Tidur, Mandi, Makan. Kata orang cinta mampu buat hidup jadi terbalik. Tidur tak lena, mandi tak basah dan makan tak kenyang. Betul ke teori tersebut? Hmm. Cuba tengok kiri dan kanan. Pandang kawan-kawan dan tengok diri sendiri. Ada yang mempunyai ciri ciri penyakit akibat virus TMM?
Macam tidak ada sahaja bukan? Sebabnya bila gembira, kita terasa ingin berkongsi rasa itu dengan kalau boleh semua penduduk dunia. Ingin hendak dilaungkan agar semua tahu kitalah orang yang paling bertuah disayangi oleh yang menyayangi.
Namun apabila sakit, sedih dan merana, kita lebih suka menyendiri. Kita termenung dengan awan mendung hitam pekat berada sejengkal di atas kepala. Kusut bertambah serabut apabila melihat orang lain ketawa sementara diri sendiri bermuram durja. Virus yang wujud tapi tidak diiktiraf. Siapa yang mahu mengakui diri merana kerana 'Cinta'? Siapa yang mahu diperlekehkan?
Sedangkan hati punyai semua rasa: indah, gundah, ceria, muram, tenang, rajuk. Bagaimana hati akan menjadi kuat dan tabah jika tidak melalui sebarang kepahitan hidup? Tidak akan terlihat indahnya cahaya bulan jika tiada kegelapan malam, bukan?
Sewaktu cinta hadir, Virus TMM turut mengikut sama. Kombinasi dua dalam satu. Adakala daya ketahanan diri kuat, maka virus tidak aktif. Ibarat demam, ada orang senang dijangkiti dan senang juga sembuh. Ada orang pula yang jarang sekali sakit, namun bila terkena lambat untuk pulih seperti sedia kala.
Virus TMM diaktifkan bukan sewaktu semuanya berjalan lancar dan taman hati dipenuhi bunga seribu warna. Maklum saja, sewaktu kuntum segar mekar, tidur juga pasti bersulam senyum. Mimpi dihiasi warna-warna pelangi.
Virus hanya akan aktif dan mula bertindak bila ada retak walau sekecil kuman dalam perhubungan. Ibarat menaiki 'Eye of Malaysia', bila berada di tahap paling atas, langit terasa dekat dan udara terasa lebih nyaman. Namun apabila pusingan roda tiba di bawah, ombak kecil pun terlihat seperti tsunami. Realiti.

Friday 19 July 2013

Kekuatan


Adakala
kita tidak tahu betapa kuat diri kita sebenarnya. 
Kita sangka kita lemah. Kita yakin kita tidak berdaya.

Sehingga
satu saat dan ketika di mana terdesak, kita tiada pilihan lain ...
kecuali untuk menjadi kuat.

Kekuatan dan keberanian sebenarnya memang sedia ada dalam diri. 

Thursday 18 July 2013

Setenang Air Di Kali



Kata dia: Moga hati sentiasa tenang... setenang air yang mengalir di kali.
******************************
Hari itu, seketika bibir tersenyum. Kuala Lumpur, di sinilah buat pertama kali harapan berbunga. Cita-cita setinggi langit dan hidup seakan diberi nafas baru. Jari terasa hampir dapat menyentuh bulan dan tidak ada satu apapun dapat menghalang. Kaki dan hati serentak menuju ke hadapan. 'Everything is Possible!'

Namun saya jadi lupa, jadi alpa bahawa hakikatnya saya hanya manusia yang ada had dan batasan. Ketika cita-cita hampir tercapai, ayah pergi sebelum sempat melihat ijazah di tangan. Di sini bermula penulisan buku puisi kehidupan dalam mencari erti kebahagiaan dan ketenangan. Merantau jauh dari sebuah negeri ke negeri yang lain, cuba mencari jawapan bagi segala persoalan dengan harapan hati tidak lagi resah dan diri tidak lagi terasa kehilangan. Jiwa tidak lagi terasa kosong.

Semalam, langkah membawa saya ke ibu kota ini semula. Satu tempat di mana hati pernah terusik, janji pernah terlafaz dan gelak tawa bersama rakan-rakan pernah menghiasi halaman memori. Saya cuba mencari keceriaan semalam di tengah-tengah kesibukan penghuni kota. Buat seketika, hati berhenti dari berbicara. Riang. Tenang.

Hari ini, jiwa sepi kembali. Namun hati tidak lagi terlalu berkeluh-kesah. Pelik bukan. Adakalanya bila semangat dan keinginan untuk hidup terasa seolah hilang, masih ada sesuatu dalam jiwa yang tidak mahu mengalah. Semangat masih ada untuk teruskan perjalanan hidup. Ingin tahu apakah akhiran sebuah cerita ini.

Mungkin kini saya telah faham bahawa ketenangan bukan terletak pada tempat atau dengan berada disamping seseorang. Ketenangan perlu dicari dalam diri sendiri dan percaya bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kesabaran perlu dipupuk.
******************************
Kata saya: Moga hati sentiasa tenang... setenang air yang mengalir di kali.

Wednesday 17 July 2013

Gelodak


Bicara hati sememangnya tidak pernah selesai.
Adakala kita cuba diamkan gelodak di hati, cuba untuk tidak mengambil tahu langsung tentang seseorang bila mana kita tahu yang dirinya telah ada yang memiliki. Sudah ada yang empunya.

Kita tanamkan dalam hati bahawa kita benci pada dia.
Kita tegaskan pada jiwa bahawa tidak mahu ada sebarang perkaitan langsung dengan dia. Kita memujuk minda agar padamkan bayangan, alunan suara, gelak tawa dan senyumannya dari ingatan. Jeda. Untuk seketika, kita yakin bahawa kita telah berjaya.

Namun, hati sememangnya degil, mampu memanipulasikan jiwa dan minda agar menurut bicaranya. Lantas, masih wujud kerisauan apabila mendengar dirinya dalam kesusahan. Wujud kegusaran apabila dia ditenggelami tangisan. Wujud kemarahan apabila melihat dia dilukai. Dalam segala konflik perasaan, anehnya masih wujud kebahagian apabila melihat dia diwarnai kegembiraan. Masih hadir kerinduan untuk berada walau hanya di sisi bayang-bayangnya.

Walau apa jua realiti yang dipampangkan oleh kehidupan, perasaan sayang yang tercipta telah terpahat untuk selamanya. Walau mencuba berlari sejauh mana sekalipun, ianya tidak akan terpadam. Mungkin ia boleh dipenjarakan jauh di sudut hati yang paling dalam dan disorokkan dalam liputan jerebu rasa, namun melupakan dia tidak sekali-kali. Itulah kelemahan diri yang paling nyata.
Bicara hati sememangnya tidak pernah selesai. 

Tuesday 16 July 2013

Emosi


Adakalanya 
emosi akan menjangkaui pemikiran rasional
logik akal jatuh ke lutut
rajuk menyelimuti rasa.

Maafkanlah.

Monday 15 July 2013

Cinta Ini


Apa tanda hari nak petang, Anak merbah terciap ciap,
Apa tanda cinta nak datang, tidur malam susah nak lelap.
***************************************
Kata pujangga: Cinta itu datangnya dari mata turun ke hati.
Satu jelingan, satu pandangan mata yang redup mampu menyentuh dan mengegarkan jiwa. Bumi seakan teranjak dari paksinya. Nafas seakan terhenti sesaat. Resah mula meresap di dada. Hati mula berbicara.

Adakalanya pula cinta itu bermula dari bait kata-kata. Mata pena menari, menyusun kata di atas lembaran kertas putih. Jari-jemari pantas menaip di papan kekunci. Perasaan terluah, mendamaikan fikiran dan membahagiakan hati. Satu ikatan jiwa terbentuk seiring dengan masa.

Lantas di mana letaknya cinta? Adakah pada tajamnya panahan jelingan asmara? Adakah pada derasnya aliran adrenalin dalam darah? Adakah pada bunga-bunga teluki yang berkembangan di taman hati? Adakah pada jiwa yang tertewas dengan alunan indah susunan bahasa?
Hidup menjadi serba aneh.
Gelodak perasaan bermain dalam diri. Cacamarba. Andai tersentuh hati, merajuklah diri, mengalirlah mutiara jernih. Namun andai dipujuk, mudah saja diri kembali tersenyum dan gelak tawa menjadi halwa telinga. Turun naik permainan perasaan ketika bercinta. Susah diduga.
Cinta. 

Sunday 14 July 2013

Memandang Ke Langit

Sewaktu 'chatting' dengan seorang teman, seperti biasa kami melompat dari satu topik ke satu topik yang lain, dan tanpa sedar kami bercerita tentang apa yang masing-masing suka lakukan satu waktu dahulu bila perlukan ketenangan.

Kata saya : Saya suka sangat duduk di tepi tingkap atau di atas atap sendirian sambil merenung bulan di langit. Terbawa bawa hinggalah ke alam remaja.

Otak jauh menerawang, fikiran seluas angkasa. Angin malam, sejuk dan mendamaikan. Saya akan duduk berjam-jam hinggalah ada rakan yang memanggil atau sehingga tidak lagi tahan dengan kesejukkan angin malam.
Katanya, dia pula memilih berada di padang luas, berbaring di atas rumput, melihat bintang sambil memuji keindahan alam ciptaan Tuhan.

Kata dia: Kenapa awak suka melihat bulan?

Kata saya: Waktu kecil dahulu, arwah ayah selalu bercerita tentang bulan. Kisah Bulan dengan Pungguk, kisah Puteri Lindungan Bulan, lirik tentang bulan dalam lagu. Lama-kelamaan saya pun terikut-ikut dengan cara ayah. Duduk bertemankan bulan sewaktu menulis, sewaktu terasa sunyi, sewaktu sedih dan ... apabila saya rindukan arwah ayah..
          Kata dia: Awak tahu kenapa saya suka memandang bintang?
Sama seperti awak, saya selalu dengar arwah ayah saya bercerita tentang bintang. Kata ayah, bulan hanya satu. Walau ramai yang meminati bulan, tak siapa boleh berkata dengan yakin yang bulan tu kepunyaannya. Namun bintang-bintang berlainan. Setiap orang ada bintang dia sendiri, bintang yang bersinar untuk dirinya sahaja. Di sebalik setiap bintang ada malaikat yang memastikan bintang itu bersinar terang. Itu sebabnya bila kita pandang ke langit dan nampak bintang kita, hati akan terasa lapang.

Kata dia lagi: Awak tahu, masa tu saya kurang faham apa yang ayah katakan. Tapi sekarang, bila sudah berumahtangga, barulah saya mengerti bahawa setiap orang memang ada bintang mereka sendiri. Apabila kita merasa disayangi dan bila kita sendiri menyayangi seseorang atau keluarga kita, mereka bagaikan bintang yang menyinari malam kita. Bintang di hati yang memberi kekuatan bagi diri kita, menyokong serta memberi harapan.

Kata saya: Saya tak perasan hingga lah pada malam ni yang terdapat perbezaan persepsi antara bulan dan bintang. Bulan di kaitkan dengan kesedihan, perasaan sayu, sepi, sunyi dan rindu. Sedangkan bintang pula dikaitkan dengan sesuatu yang indah: harapan, impian, ketenangan. Saya tidak pernah terfikir begitu tentang bintang.

Kata dia : Itu sebabnya apabila memandang ke langit, lihatlah segalanya. Jangan hanya memandang bulan semata mata kerana cahaya nya lebih terang. Sedangkan bulan mampu membuatkan airmata mengalir. Mengapa mesti menghadkan diri awak pada sesuatu yang hanya membuatkan awak sedih?

Senyumlah, awak. Alam ciptaan Tuhan sangat luas.
Bulan, bintang, awan, semuanya sebahagian dari ciptaan Tuhan. Cuba awak pejamkan mata. Bayangkan setiap bintang itu dikirimkan untuk menemani awak pada waktu malam. Anugerah Tuhan kepada hambanya. Bintang itu juga, awak boleh anggap sebagai tanda ingatan saya untuk awak. Hadiah dari seorang sahabat buat seorang sahabat.
Ucapkan lah syukur pada Tuhan kerana walau segelap mana langit malam, bintang dihati tetap akan bersinar.
***********************************
Saya pejamkan mata, memandang langit dan akhirnya saya faham.
Bibir mengukir senyuman. Saya suka dengan perumpamaan yang dia berikan.
Bulan, bintang dan harapan.

Saturday 13 July 2013

Sunyi

adakala apa yang terucap sama sekali tidak serupa seperti apa yang terzahir di hati
bibir tersenyum, namun hati menangis
digagahi jua.

"Segalanya baik belaka. Tidak ada apa-apa."
Retak kian merebak. Rabak.

Friday 12 July 2013

Menanti Jawapan



Saya seorang perempuan. Bagaimana saya ingin memulakan segalanya? Bagaimana ingin menyatakan padanya yang saya sukakan dia? Malah bagaimana mengatakan yang saya amat mencintai dia tanpa membuatkan dia fikir yang saya ini terlalu agresif?
Kata orang, zaman moden ini, lelaki dan perempuan sama saja tarafnya.
Apa yang lelaki boleh lakukan, seorang perempuan boleh melakukannya juga: Memandu, mempengerusikan sebuah majlis, mendaki Gunung Everest, menjadi angkasawan pergi ke bulan. Namun bila tiba waktunya untuk melafazkan perasaan yang terpendam sekian lama, diri menjadi malu. Lidah turut kelu.

Saya seorang wanita timur yang masih percaya pada peribahasa: Perigi tidak boleh mencari timba. Mungkin ada yang akan kata saya kolot. Namun, perasaan malu begitu menebal bila tiba soal hati. Bagaimana jika saya memulakan bicara dan dia menolak? Bagaimana jika dia tertawakan saya? Takut bila berdepan dengan penolakan, tiada lagi apa yang boleh diimpikan.

Tidak. Dia tidak sebegitu. Dia tidak akan sekali-kali mentertawakan saya. Dia bukan seseorang yang mudah untuk mengkritik atau mentertawakan orang lain. Bukankah saya telah kenal hati budinya? Peribadinya itulah yang membuat saya tertarik hati padanya sejak mula lagi.

Dap..dup..dap..dup..

Lantas mengapa saya masih lagi takut?
Cinta bukannya mengajar kita untuk jadi lemah tetapi mendidik kita menjadi kuat. Cinta bukan bertujuan menjadikan kita hina, tetapi ianya meniupkan semangat supaya bangkit lebih tabah.

'Awak, saya ada sesuatu yang saya nak katakan pada awak.' Dengan wajah yang merona merah dan mata yang tunduk memandang rumput, sebutir demi sebutir perkataan saya tuturkan. Ayat-ayat yang terlalu biasa untuk menyatakan hasrat hati yang amat luar biasa. Ada getar di penghujung ayat, ada sayu meniti di tepi, ada harapan yang goyah di hati.

Tuhan, saya telah meluahkan segala yang tertera dihati. Kini, pasrah menunggu apa jua jawapannya. Biar ianya jingga atau hitam, saya akan terima. Asalkan warna bukan lagi kelabu.

Thursday 11 July 2013

Goyah

Ada satu masa, saya sangat percaya bahawa selagi bumi berpusing pada paksi, segalanya pasti akan ok. Siang dan malam bersilih ganti dalam 24 jam sehari. Semua mengikut aturan yang telah ditetapkan. Hari ini menangis, esok pula akan ketawa. Tidak ada satu apa yang terlalu berat. Itu lumrah hidup.
Namun kini saya tidak lagi pasti. Terlalu banyak dugaan menggoyahkan keteguhan hati. Terlalu banyak perkara berlaku diluar kawalan dan jangkaan. Saya tidak lagi tahu arah mana untuk pergi. Hilang diri. Tertolak ke kanan dan ke kiri. Dijatuhkan hukuman sebelum terbukti salah. Sokong jua telah rebah. Goyah.
Memandang ke langit. Tuhan, biar ramai menuding salah, namun hanya Kau yang tahu segalanya. Yang tersurat dan tersirat bukan setakat apa yang dilihat. 

Wednesday 10 July 2013

Tanya Sama Hati

Tanya sama hati mana asal sayang
Adakah tandanya nampak di pandang
Kumbang rayu bunga, bulan dan bintangnya
Itu tanda-tanda hubungan mesra

Tanya sama hati pernahkah merindu
Ingat masa lena apa mimpimu
Masa berjauhan apa nan di kenang
Bila dipahamkan itulah sayang

********************************
Cinta.
Adakalanya terasa sangat manis. Dunia penuh dengan irama ceria, hati turut berdendang riang. Serasa tiada yang lebih bahagia dari kita. Malam yang sebegini amat lena tidur berteman warna-warna pelangi.

Namun apabila segalanya tamat, cinta terbuang bagai sarap. Langit menangis, mentari hilang cahaya. Hati merintih, jiwa semakin kelam. Rindu mencecah ke langit, pilu menjadi sahabat, takdir terasa pahit. Diri meratap bertanya di mana silap. Apa kesalahan yang mengundang hukuman seberat itu?
Dalam kemelut yang melanda, hari-hari terasa kosong. Diri adakalanya terlupa bahawa masih ada yang sayang. Masih ada yang mengambil berat dan risau akan kesejahteraan diri. Masih ada yang cuba kembalikan senyuman yang kian pudar.

Ketika tangan menadah memohon keredaan dan mencurah segala isi hati pada Tuhan, perlahan-lahan ketenangan meresapi hati.  Masih ada cahaya dari-Nya. Diri tidak pernah ditinggalkan sendirian. Hanya manusia yang selalu berprasangka buruk baik pada diri mereka sendiri, pada kawan dan lawan, malah pada Sang Pencipta.
Tanya sama hati. 

Tuesday 9 July 2013

Memori II

Makcik Senah yang berada di depan saya cukup berlainan dari yang saya ingati. 
Lama saya tidak bertemu dia. Apabila disebut sahaja nama Makcik Senah, yang terbayang di ruang mata selalu adalah seorang perempuan pertengahan umur memegang sebatang penyapu menghalau anak-anak di kejiranan kami yang selalu datang menangguk ikan di kolam belakang rumahnya. Hingga kini, masih kelihatan di sana-sini kilasan sisik berwarna putih perak bersinar mengintaikan diri disebalik lumut dan daun-daun teratai. Ikan-ikan tersebut (atau mungkin cucu-cicit mereka?) mungkin telah selesa bermukim di situ.
Rumah ini penuh dengan bauan silam, ubat gegat, bunga-bunga kering dan bauan baju yang tersimpan lama dalam almari. Bauan senja mengigit rasa. Begitu juga dengan Makcik Senah. Dia ibarat sebuah potret usang yang gambar di atasnya kelam, dimamah masa. Pudar.
Mata terus memerhati sekeliling. Segala perkakas dan tatahias rumah masih seperti waktu arwah Pakcik Usop masih ada dan anak-anak mereka masih tinggal di situ. Masa seakan terhenti. Mungkin ini juga sebabnya mengapa Makcik Senah walau dengan pinggangnya yang sakit dan tenaganya yang usai, enggan berpindah. Masih berkeras menetap di situ waima saban malam beradu tenaga memanjat tangga ke tingkat atas. 
Katanya, dia tidak sepi. Tidak sendiri. Tenang dan bahagia. Dia punyai memori menemani. Seakan tenggelam dalam diri, dia hanyut dalam dunia mimpi. 
Ah. Mata ini yang melihat merasa sayu. 

Monday 8 July 2013

Sunday 7 July 2013

Kokun



**********************
Masa lalu tidak mungkin kembali.
Waima mengalir air mata darah sekalipun, walau selautan kedukaan melimpahi, tidak mungkin dapat dihadirkan semula satu saat yang telah hilang itu. Tidak mungkin boleh diubah atau diperbaiki. Tiada mesin masa. Sejarah telah terpahat di dada waktu. Jitu.
Sesekali parut terbuka semula, darah mengalir pekat dari ruang luka. Sakit, perit, pedih menahan rasa. Binasa. 
Dia ingin memejam mata, meringkuk, mengokol, mengubati diri seketika. Seperti fetus. Masuk ke dalam kelongsong, menjadi kepompong sebelum boleh menjelma sebagai rama-rama yang indah. Mungkin apabila hari itu tiba nanti, dia akan kembali dengan senyuman. 

Saturday 6 July 2013

Celahan Jemari


Awak, awak tahu kenapa Tuhan jadikan ada ruang di antara setiap jari tangan? 
Agar jari-jemari lain boleh mengisi kekosongan,
dan dua tangan mampu saling mengenggam erat.
Celah-celahan jemari saya ini direka muat-muat untuk jari awak sahaja. Sungguh.

Tersentuh hati
manis gula-gula kata
lena deria rasa.

Sungguh? Sehingga ke hujung perhentian kehidupan?
Kata adakalanya halwa telinga di kala bahagia
racun tatkala berduka 
memori menikam hati berkali-kali
ruangan jemari tak lagi terpenuhi.
Maniskah lagi?

Friday 5 July 2013

Hero II


Dia ibarat kamus bergerak.
Semua merujuk kepada dia apabila ada kekeliruan, ada percanggahan pendapat, ada diskusi hangat yang tiada nampak jalan penyelesaian. Arbitrasinya adil dan saksama. Teguran diberi, ulasan ditimbang tara berlandaskan fakta yang kedap. Namanya gah terletak antara barisan mereka yang yang disegani dan dipandang tinggi. 
Kata wartawan: En Sifu, anda tahu, anda telah sampai ke satu peringkat di mana ramai mencari dan ingin bergurukan anda. Memang selayaknya anda diberi gelaran 'Sifu', bukan? (senyum)
Kata dia: Tak mahulah. Tak seronok jadi 'Sifu'.
Kata wartawan: Kenapa pula tak seronok?
Kata dia: Iye lah. Cuba awak tengok mereka yang bergelar 'Sifu'. Mereka kebanyakannya pendek, botak, warga emas, berbaju seperti dibuat dari sarung guni, berjanggut hingga ke lutut dan berwajah kedut seribu. Tak pun, hijau, pendek, bertelinga panjang seperti Master Yoda dalam "Star Wars". Panjang senarainya ni. (Opss ... pengecualian diberi pada 'Sifu M.Nasir'. Satu antara seribu yang diberi pengecualian. hehehe)
Kata wartawan: Kalau anda tidak mahu watak 'Sifu', gelaran apakah yang anda rasa lebih patut diberi pada anda?
Kata dia: Sudah tentulah, saya nak jadi 'Hero' (sengih lebar). Sudahlah kacak, berkebolehan pula serta berkaliber. Bab yang seronoknya 'Hero' setiap kali mesti digandingkan dengan 'heroin-heroin' jelita. Betul tak? 
Ketawa memecah sidang wawancara. Ada yang memberi tabik, penghormatan bagi dia. Dia tetap dia yang sudi membuang ego, memecahkan lapisan kasta yang terbina. Melawan arus.
Hero atau Antihero?

Thursday 4 July 2013

Pau


Kata Dara: Adakala saya rasa saya dah tahu selok belok tentang awak. Adakala pula saya seperti masih tidak tahu banyak perkara tentang awak. Masih banyak ruang kelabu. Saya takut untuk berikan jawapan yang awak inginkan.
Kata Uda sambil tersenyum:
Cuba awak lihat kuih pau ini. Awak bayangkan yang pau ini adalah saya. Saya beri awak sebiji pau ini dan saya letakkan ianya dalam sebuah piring di meja depan awak. 
Awak lihat pau itu tanpa bergerak dari kerusi. Seminit, lima minit, sepuluh minit berlalu. Saya tanya awak apa bentuk pau itu? Awak segera boleh menjawab yang bentuknya bulat, putih. Awak cuma kenal satu bahagian sahaja iaitu bahagian yang menghadap awak. Bahagian yang awak boleh nampak. Makin lama awak lihat, makin awak yakin bahawa awak kenal rupa dan sifat pau ini. 
Tiba-tiba saya palingkan piring berisi pau itu supaya bahagian belakangnya menghadap awak. Awak lihat bahagian belakang pau itu sedikit coklat, bukan putih seperti bahagian sebelum ini. Awak kaget. Awak jadi takut. Keyakinan awak mula tergugat. Awak mula terfikir bahawa ada banyak lagi bahagian pada pau yang awak tak tahu, awak belum lihat. (Awak mula terfikir bahawa walaupun awak rasa rapat dengan saya, namun sebenarnya masih ada jarak antara kita.)
Saya beri awak pegang piring pau. Awak pusingkan ke kanan, kiri, depan dan belakang. Akhirnya awak rasa berjaya. Awak rasa lega. Awak rasa bahagia sebab kini awak dah lihat pau dari semua sudut.
Namun, benarkah awak dah tau semua tentang pau tersebut? Itu baru luaran, belum lagi inti di dalam. Tahukah awak inti apa pau yang awak pegang ini? Inti kacang merah? Inti kaya? Inti ayam? 
Awak pening? Awak takut? Balingkan rasa yang negatif itu jauh-jauh. Buangkan saja ke laut dalam. Awak, tiada siapa pun yang dapat lihat apa inti di dalam pau sehingga ada yang membelah pau tersebut.
Sama juga seperti kita. Tiada siapa yang tahu segala-galanya tentang seseorang. Waima tuan punya tubuh sekalipun, adakala tidak tahu segala-galanya tentang dirinya sendiri. 
Awak tak perlu tahu semuanya sekaligus. Apakata kita belajar kenali satu sama lain. Kita belajar terima kelebihan dan kekurangan masing-masing. Perlahan-lahan. Bersama-sama. Awak dan saya. Kita. Sudikah awak?

***
Pecahkan balang. Keluar dari kepompong. 
Serasi. 
Oh, silap. Ayat yang betul ialah Kita 'membina serasi'. 
Lebih afdal, bukan? 

* Nota kaki: Maaf ye. Ini bukan artikel tentang masakan atau makanan. Tiada resepi di sini. (senyum)*

Wednesday 3 July 2013

Hati III


Adakala
Sesuatu yang berharga itu tidak dapat dilihat dengan mata atau di pegang tangan. 
Ianya hanya dapat dirasa dengan hati.

Pejamkan mata sebentar. Hirup udara sedalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. 
Dengar apa kata hati. Bahagia atau kecewa.
Jawapannya ada di situ.

Tuesday 2 July 2013

Cermin



Dileraikan ikatan getah yang mengikat rambutnya. Terurai lebat dan panjang. Sikat menyisir kasar helaian rambut. Gerakan spontan, tanpa penghayatan.
Sepintal rambut kusut menghalang laluan sikat, menggamit sakit. Seketika sikat di tangan diletakkan perlahan ke atas meja. Pandangannya tertumpu pada balikan wajah di cermin solek. Dari rambut, pandangan beralih ke mata dan akhirnya ke seluruh wajah.

Apa yang kurang pada dirinya? Biar masa mencemburui dan usia mencuri sedikit demi sedikit daya kekuatan fizikal, keayuan wajah masih belum pudar. Dibeleknya kanan dan kiri. Belum tampak kedutan, dahi masih licin. Lesung pipitnya masih jelas kelihatan. Manis. Lembut roman muka. Walau bukan lagi sesegar putik mawar baru berkembang, wajahnya masih ada daya tarikan.
Lantas, di mana letaknya kelemahan diri? Kenapa dia tidak dijadikan pilihan utama di hati? Kenapa kebahagiaan itu bukan miliknya? Prasangka dan pesimis mula menguasai diri. Tewas dalam permainan jiwa. Alir jernih merembas, bahunya terhinggut-hinggut. Kesedihan melampias diri.
Balikan bayang di cermin, kelihatan seorang wanita terperangkap dalam dakapan kesedihan. Tenggelam dalam kesuraman senja. Di mana titik bahagia yang di cari? 

Monday 1 July 2013

Positif-Negatif


Soal hati memang aneh, bukan?

Adakala, kita lebih terdorong untuk memikirkan apa yang negatif, dan meragukan pula apa yang positif.

Adakala kita asyik bertanya:
"Awak betul-betul sayangkan saya?"
"Awak pasti awak cintakan saya?"
"Awak masih sayangkan saya?"

Kita terus bertanya dan menghimpit dia ke dinding sehingga dia terasa letih untuk mendengar. Mungkin juga dia jadi bosan menjawab soalan yang sama. Bosan untuk menyatakan sesuatu yang dia pasti kita telah tahu jawapannya. Mungkin dia akan terasa hati kerana merasai dirinya diragui. Lantas, dia menjawab secara acuh tak acuh, hati kita pula yang terguris.
Dalam pada itu, pernahkah kita bertanya:
" Awak marah pada saya?"
" Awak terasa hati dengan saya?"

Pernahkah kita cuba mendalami perasaan dia tatkala dia marah atau merajuk? Atau kita diamkan saja diri menerima keadaan tersebut, dengan harapan esok harinya dia akan pulih seperti sedia kala? 
Kita berkata,"Tak apalah, sekejap lagi dia oklah tu." Kita menerima tanpa ragu sesuatu yang kita tak pasti apa jawapannya. Mungkin dia marah, mungkin juga sebaliknya dia bukan marahkan kita tetapi mempunyai masalah lain yang menggganggu fikiran. Mungkin dengan bertanya, dia akan rasa kita prihatin pada dirinya. Hati kita menjadi tenang kerana telah tahu kini yang bukan kita menjadi sebab keresahan dirinya.
Hari ini, apa kata, kita ubah diri kita: Jangan memikirkan apa yang negatif, dan yakin pada apa yang telah terbukti positif. Bukankah hidup ini satu pembelajaran yang berterusan...?