Sunday 30 September 2012

Bermula Semula


Kehilangan.
Dia sekali lagi kehilangan. Kehilangan segala impian serta semangat untuk hidup. Segalanya terasa kosong, hati seolah telah mati dan sisanya telah hanyut bersama aliran air mata yang tak pernah mahu berhenti tatkala dia sendirian.

Sakit.
Semakin hari tubuh semakin lemah, demam tidak mahu surut. Dia hilang kepetahan untuk berbicara. Jiwanya sentiasa merintih. Jari jemarinya tidak berdaya menyampaikan cerita yang ada dimindanya. Terlalu banyak peristiwa, terlalu banyak derita yang dia simpan sendirian. 
Lurus
Dia tidak tahu mereka cerita seindah hikayat purbakala. Dia tak tahu memutar belitkan fakta. Dia malah tidak pandai berlakon walaupun seluruh nasibnya bergantung pada dirinya. Ada yang kata dia seorang yang lurus. Tidak, dia bukan lurus. Hanya seorang manusia yang begitu bodoh kerana tidak mampu menyembunyikan perasaannya.

Wanita
Jika sesuatu itu telah tertulis di azali, sehebat manapun kita merancang, sesuatu perkara itu akan tetap terjadi tidak kira bagaimana kita cuba mengubahnya. Hidup ini ada pasang surutnya. Ada naik, ada jatuh. Sehebat mana pun dia di pandangan umum, dia masih seorang perempuan yang tewas dengan rasa kecewa. Dia masih seorang perempuan yang perlukan tempat pergantungan.

Masa
Dia cuma perlukan masa sendirian. Masa untuk biarkan lukanya sembuh dan masa untuk dia mengenal siapa dirinya dan mencari jalan pulang. Berikanlah dia ruang dan waktu. Dia pasti akan bangkit semula bila tiba masanya, Berilah dia masa untuk membuang rasa pilunya. Moga tahun baru ini dapat menyaksikan dia muncul dengan semangat yang lebih kental.

Saturday 29 September 2012

Kemelut di Hati



Dalam begitu banyak bintang di langit, hanya satu sahaja yang begitu menyerlah..
**************************
Membawa perasaan jauh dari segala kemelut yang melanda. Di sini, diri leka memerhatikan bintang-bintang di langit yang sepatutnya dapat menenangkan fikiran. Namun perasaan tenang itu seakan menyembunyikan diri. Hati sesungguhnya luka dan hancur.

Dia telah keluar. Untuk kemana..entahlah. Tidak dinyatakan. Hanya kerana suatu kesalahan kecil, api amarahnya tinggi menjulang. Pintu dihempas bagai bunyi guruh berdentum di telinga. Merenung saja wajahnya, hati terhambat dengan rasa sedih yang yang tak dapat ditampung. Retak. Tak tahu lagi bagaimana ingin dileraikan rasa hati, pada siapa hendak diadu nasib diri..Terasa ingin melangkahkan kaki, berlari jauh meninggalkan segala galanya... Andai kebencian saja yang tinggal, putuskan lah ikatan yang menyeksakan ini.

Ah, Harlina jauh lebih beruntung. Kegelapan malam dan kedinginan tasik menemaninya saat ini. Terasa ingin menuruti jejaknya agar hati bisa akhirnya berhenti berbicara..

Friday 28 September 2012

Sejenak Waktu


Saya suka berdiri di sini.

Bila terasa inginkan ketenangan atau perlukan masa untuk berfikir, saya akan melarikan diri ke sini. Dengan memberi tugasan sebagai alasan, kaki melangkah pantas dan jari seakan bergerak sendiri membuka pintu ke balkoni. Udara segar menyambut kedatangan. Menarik nafas dalam dalam dan menghembus keluar dengan perlahan lahan.

Aras 22..

When the heart is broken it hurts a lot. It cries, it shouts and it bleeds with the pain and yet no one can see it. But one should remember, everything passes and this shall also pass through. If you are hurt today, then tomorrow you will smile too.

Thursday 27 September 2012

Kekasih



Hujan yang tadinya lebat, kini kian reda. Matahari juga kembali menghadiahkan cahayanya dari balik awan. Namun dia masih lagi termenung di tepi tingkap, sendirian, sambil fikirannya menerawang ke memori yang lalu.

Airmata
tidak kan bisa merubah perjanjian
andai kasih
harus berpisah kecundang di tengah jalan.
Apakah
kita terpaksa berkorban demi cinta
sampai masa
yang menentukan tangisan akan reda semula. 

Wednesday 26 September 2012

Kisah Burung Terbang Tinggi

Andai bersama hanya mendatangkan kesedihan, andai keretakan semakin ketara, andai hati sering terluka, lepaskanlah dia pergi. Perpisahan nyata amat menyakitkan, namun adakalanya ianya jauh lebih baik..
********

Jika kamu dapati
seekor burung hinggap di taman hati,
tidak lagi menyanyi girang
pandangannya kosong, jiwanya semakin hambar
janganlah terusan disangkarkan ia.

Jika ia ingin terbang
biarkan ia melebarkan sayap 
dan terbang sejauh yang ia ingini
berikan kebebasan padanya.

Jika ia mahu ke penjuru dunia
jangan disekat, dipatahkan sayapnya
kerana ia ingin merasa
terbang semula dengan riangnya

Namun
jangan dilupai burung itu
perhatikan ia walau dari jauh
jangan biarkan ia jatuh
jangan biarkan ia terluka
jangan biarkan ia sendiri. 
Akan tiba masanya ia tak berdaya untuk terbang
terbang tinggi-tinggi dan jauh

Jika burung itu terluka
segera ubatinya
jika ia dalam kesedihan dan kedukaan
sapulah airmatanya dengan lembut
hiburkan hatinya
damaikan perasaannya

Percayalah
jika burung itu memang milikmu
ia pasti akan pulang jua
pulang ke pangkuanmu

kerana cinta itu bukan paksaan.

Tuesday 25 September 2012

Ada Di Depan Mata



Kata dia:
Cinta itu ada di depan mata. Bukakan mata hati. Dengar bisikan nurani. Jangan lekas menafikan. Awak tahu hati saya. Semuanya terpulang pada kita. Adakala pandangan kita terlepas jauh kepada keindahan di tanah seberang, sehingga kita lupa pada kedamaian di desa sendiri.

Kata saya:  Sebenarnya awak silap. Saya tahu. Cinta itu memang ada di depan mata saya.

Kata dia: Jadi apa masalahnya, awak.?

Kata saya: Masalahnya ...  ianya datang terlewat.

Monday 24 September 2012

Mati II

"Awak, sabar ye. Tunggu saya."

Sedetik berganjak ke seabad
perlahan-lahan
sedikit demi sedikit
diri semakin mati di sini.

Sunday 23 September 2012

Melankolia



Bila sesuatu musibah terjadi pada seseorang, amat mudah bagi orang lain mengkritik, mengusik, menyuruh agar jangan mengikut rasa hati..dan perkara tersebut amat kecil sahaja.
Berkata memang mudah namun fikiran tak sama dengan perbuatan. Bila kita hendak mengambil sesuatu tindakan, yang akan menanggung segala kesannya adalah diri kita sendiri. Fikiran tidak dapat merasa sengsaranya tubuh. Tubuh yang dimiliki oleh hati dan perasaan lah yang akan menerima kesakitan atas setiap keputusan yang dibuat oleh fikiran.
Samaada kata kata yang datangnya dari mulut atau mata yang membaca hasil luahan bicara yang menghiris tajam, itu tidak penting bagi fikiran. Fikiran hanya mementingkan logika.
Hati dan perasaan lah yang harus bersedia untuk menerima keputusan fikiran. Melawan kehendak hati, menurut kata akal. Dua elemen berbeza dalam satu tubuh. Tubuh semakin lemah.. dan bagai satu putaran 'boomerang', hati pula akan mempengaruhi , menjadi dominan, mengatasi kekuatan fikiran. Tentangan demi tentangan di antara 2 elemen yang sepatutnya saling melengkapi, kini memberontak sehingga tuan empunya diri tidak lagi mampu tenang. Kedamaian yang hilang.


Saturday 22 September 2012

Simetri


"Kenapa awak suka sangat letak lambang 'smiley' pada setiap surat dan sms awak?" tanya dia.

Satu ketawa kecil tercetus dari bibir. Sudah terlalu ramai bertanyakan soalan yang sedemikian.
Pada saya, membaca mesej tidak sesekali sama dengan situasi ketika berbual. Sebaik sahaja usai menulis, jejari berhenti menaip, butang 'send' atau 'post' ditekan, sebuah catatan bisu (tanpa sebarang lengok bahasa) akan terpampang di skrin penerima. . 
Adakala ayat yang saya rasakan biasa saja, mungkin nadanya beralun sinis bagi mereka yang membaca. Adakala bila saya mengusik, ada yang tersalah erti menganggap ianya serius.  
* Awak sibuk?
+ Sibuk sikit malam ni
          Serius? Tak mahu diganggu?
          Kalau yang bertanya dan yang ditanya ada si depan mata, tentu sahaja masing masing boleh
          menangkap dan menyelak maksud di balik kata dengan memandang riak wajah atau mendengar nada
          suara.
Lantas, untuk selesaikan sebarang kemungkinan salah faham, saya gunakan lambang 'smiley' dalam setiap urusan tidak rasmi. Beberapa variasi penggunaan lambang 'smiley' untuk melahirkan rasa hati:
          * Awak sibuk? smile    (bertanya dengan nada gembira /  manja )
         + Sibuk sikit malam ni. :)  (lembut. Ye, sibuk. Tapi saya cuba luangkan juga masa untuk awak ♥)

          * Awak sibuk?  :)      (bertanya dengan nada gembira /  manja )
          + Sibuk sikit malam ni;D   (bergurau. Ye. saya sibuk dan awak jangan tanya sebab apa. ahakks)
Awak sibuk?  :'(   (bertanya dengan perlahan/ terasa diri terpinggir/ sedih/ )
Sibuk sikit malam ni. :{{  (Ye. saya sibuk. Jangan ganggu boleh.)
       
         Sejajar dengan dunia serba moden di mana insan bergegas mengejar masa, penghantaran mesej jadi
         lebih pantas dan ringkas. Namun, awak, saya, kita, mereka, adalah entiti yang berlainan.

         Bukankah pepatah selalu mengatakan 'Rambut sama hitam, hati lain-lain'. Lidah juga pasti akan tergigit.
       
         Saya menyambung kembali perbualan kami:
         Saya guna 'smiley' senyum bila saya gembira. 'Smiley' sedih, bila saya sedih dan... '
Tanya dia sambil tersenyum: Dan.. ?

Kata saya seraya ketawa: Dan sudah tentunya 'smiley jelir lidah' , bila saya mengusik awak.
Saya cukup suka membuat orang lain senyum dan ketawa. Adakalanya, saya lihat orang di sekeliling terlalu serius. Adakalanya mungkin ada di antara mereka yang dibebani tugasan pejabat yang membukit serta masalah keluarga di rumah. Lantas, apabila  saya mampu, saya cuba menjadi seorang penglipur lara, menyeluk ke dalam poket ajaib penyimpan ilham, lantas melakarkan nukilan-nukilan ringan pencuci minda di penghujung hari. 
Ibarat memandang diri di cermin, ianya simetri. Senyum mereka, senyumlah saya. Ketawa mereka, ketawalah juga saya. :) :)

Friday 21 September 2012

Bola Cinta


Kata dia :
Bercinta itu ibarat bermain bola.
Adakala mengejar, adakala dikejar,
Adakala laju, adakala perlahan
Adakala bola ditendang, adakala kaki berlaga
Adakala bola dirembat sebelum sempat dibawa ke kawasan lawan,
Adakala gol dan adakala bola tersasar jauh.

22 orang bermain, untuk merebut hanya sebiji bola.
Yang pastinya ada pihak yang akan bersorak girang kerana menang, dan ada pihak yang berduka kerana alami kekalahan. Susah untuk kita tentukan siapa yang akan menang di awal perlawanan.

Bila cinta telah sebati dalam jiwa, bagaimana susah, bagaimana letih, bagaimana berkali kali jatuh dan bangun, kamu tidak boleh meninggalkan permainan yang sedang berlangsung. Mencuba dengan sedaya upaya hingga ke saat terakhir pabila wisel dibunyikan.

You cannot walk away from love..you just can't..when it's already carved deep in the heart.

Thursday 20 September 2012

Titik Penyesuaian


Persoalan tentang cinta memang tidak akan pernah tamat. Selagi adanya hati, selagi itulah ada yang akan berbicara tentang cinta. Kata orang, cinta datang membawa bahagia. Namun, adakalanya mereka lupa bahawa cinta itu juga datang bersama derita.
********************
Kata ustaz:
Kamu tahu, perkara yang paling susah sekali dalam perkahwinan ialah untuk mencari titik penyesuaian. Apa tidaknya. Setiap dari kita datang dari latarbelakang yang berlainan dan masing masing ada sikap negatif yang sudah jadi sebati dengan diri tapi mungkin tidak boleh diterima oleh pasangan. Kita selalu lupa perasaan dia. Kita tahu cuma perasaan kita yang terluka. Ada pasangan yang sudah berkahwin 10 atau 20 tahun pun, masih susah lagi untuk serasi.
Orang perempuan selalunya suka fikir yang dia boleh ubah perangai seorang lelaki bila telah berkahwin. Cuba nak ubah pemikiran dan kebiasaan sang suami yang dia tak suka. Bukan tak boleh. Tapi kena ingat ada caranya untuk berbuat demikian. Perubahan sepatutnya datang dari kemahuan individu tu sendiri. Bukan dipaksa dan dileter setiap masa. Makin banyak bercakap, makin telinga sang suami jadi pekak. Tepu bercampur bosan dengan suara sang isteri.

Apabila leteran tidak berjaya ubah si suami, tentu saja perasaan tidak puas hati makin bertambah. Ada saja yang boleh jadi punca bergaduh: dari soal yang remeh temeh seperti soal makan hinggalah ke soal-soal lain yang lebih berat. Hasilnya seorang ke barat dan seorang lagi ke timur. Saling tak tegur, apatah lagi nak sembahyang bersama. Siapa yang ingin berimamkan orang yang buat kita sedih dan marah?

Jadi, kena belajar mengalah. Bersihkan hati dan jangan cepat terasa. Jadikan segala perbezaan sikap itu sebagai satu kelainan. Perkara kecil tak perlu dibesar besarkan. Mungkin juga kita yang perlu berubah. Mungkin kita yang perlu lihat kedalam diri kita: berubah untuk perkara- perkara yang baik. Bukankah lebih mudah mengubah diri sendiri dari cuba mengubah orang lain?

Wednesday 19 September 2012

Tiada Lagi

Kesedihan yang memenuhi seluruh anggota tubuh,
mengalir di segenap rongga,
Terguris hati..
Darahnya bagai air di kali..
Yang sentiasa mengalir tanpa henti..

Takdir seolah tidak jemu menguji. Dengan segala rasa sayu yang berbaki, dia tiada pilihan lain kecuali menyepikan diri. Mungkin ini yang terbaik bila terasa diri hanya mengganggu. Tidak lagi diperlukan.

Malam suram tanpa bintang dan airmata terus mengalir. Ditekapkan wajah ke bantal agar tiada kedengaran tangisan.

Tuesday 18 September 2012

Luahan Hati


Kata saya: Kenapa awak tak beritahu dia yang awak sukakan dia ye?

Kata dia:
Bagaimana harus saya katakan agar awak faham.
Saya bukan penakut. Sebenarnya, saya cuma rasa yang masanya belum sesuai untuk meluahkan perasaan hati pada dia. Kami baru berkenalan, rasanya masih terlalu awal untuk beritahu padanya.

Kata saya:
Hmm. Apa yang lebih penting ialah perasaan awak. Bukannya berapa lama kamu berdua berkenalan. Sepatutnya, bila awak sedar perasaan awak pada dia, itulah waktunya awak patut beritahu dia. Sekarang, awak ambil telefon awak dan telefon dia.

Kata dia:
Maaf. saya ... tak ... boleh lakukan. Saya tak ada sebarang sebab untuk telefon dia secara tiba- tiba. Dia pasti akan terkejut nanti.

Kata saya:
Awak perlukan sebab yang kukuh? Cakap sahaja pada dia yang awak telefon untuk katakan yang hari ini adalah hari yang menyeronokkan bagi awak. Awak ingin ucapkan terima kasih kerana dia sudi keluar dengan awak. Awak kena berani. Dalam situasi macam ni, semua orang pasti terkejut. Ini normal.

Kata dia:
Saya tak berani untuk berkata yang 'Saya cintakan awak' pada dia.

Kata saya:
Lantas, awak semestinya bersedia untuk kehilangan dia?

Kata dia:
Tidak. Saya tak mahu itu. Saya sangat sayang kan dia, dan saya tak mahu orang lain selain dia.

Kata saya:
Lantas, apa lagi alasan yang awak perlukan? Inilah masanya untuk awak kumpulkan semua keberanian awak dan luahkan segala rasa pada dia. Sebelum terlambat. Sebelum hatinya ditambat seseorang.

Monday 17 September 2012

Tangisan


Airmata mengalir deras
sebati bersama renyai hujan. 
Biar tiada siapa melihat hiba menitis.
Tangisan.

Sunday 16 September 2012

Andaikata

Andaikata cinta itu memerlukan pengorbanan
Mengapa kegembiraan itu bukan akhiran sebuah cinta?

Andaikata derita itu harga untuk sebuah cinta
Mengapa semakin berat derita, semakin sukar untuk miliki cinta?

Cinta umpama kota kristal
indah di penglihatan
derita di perasaan

Namun menghilang tidak sesekali
kerana dia telah bertakhta di hati
sampai mati. 

Saturday 15 September 2012

Irama Hati


Dalam hati ini..
ada kecekalan
ada kelembutan
ada impian
ada harapan
ada cinta..

Dalam hati ini juga..
ada keresahan
ada kesedihan
ada duka
ada kecewa
ada kesepian
ada badai yang tak henti melanda
******
Malam menjadi teman melayari fikiran.

Ada orang sukakan laut..kerana gelombang dan arus yang tak putus, merupakan satu cabaran, mampu membuat darah mengalir lebih pantas, keringat membasahi serta menyegarkan tubuh. Membuktikan pada diri bahawa dia masih hidup di bumi Tuhan ini.

Sebaliknya pula bagi saya. Hidup yang memang penuh dengan cabaran membuatkan saya tak ingin lagi memandang laut. Laut biru nan luas hanya menambah resah dan membuat saya tidak boleh berdiam diri.

Saya lebih suka memandang langit ciptaan Tuhan. Sesetengah memori silam telah tiada dalam ingatan. Telah saya buangkan jauh. Hati menjadi tenang bila melihat langit. Langit yang dihiasi awan mendamaikan, seolah menjanjikan rehat bagi mereka yang telah hilang semangat.

Walau malam kekadang tiada bulan, hati masih tenang. Bulan bukan saja ada di langit tapi..ada juga didalam hati. Mata terpejam, memenuhkan paru paru dengan kesegaran udara malam. Damai.


Friday 14 September 2012

Terima Kasih III


Tuhan
saat diri ini amat rapuh, aku masih cuba bertatih
saat duniaku gelap suram, aku masih cuba menahan esak tangis
saat ujian datang menerpa, aku masih cuba menepis takut dan ragu.

Terima kasih, Tuhan, kerana masih menunjukkan ku jalan sepanjang aku menempuh hidup ini.

Thursday 13 September 2012

Ubah

Adakala
kita cuba sedaya upaya untuk mengubah keadaan. Kita cuba ubah diri kita. Kita cuba buangkan segala yang negatif di pandangan mata orang. Kita cuba menebus kesalahan lalu.

Namun 
ianya tidak mudah. Orang masih memandang kita sebagaimana diri kita yang semalam. Orang tidak mahu memberi kita peluang pulihkan suasana. Orang tetap menyisihkan kita. 

Lantas
bagaimana pendirian kita? Teruskan berubah atau mengaku tewas? 

Wednesday 12 September 2012

1 Sentimeter


Selangkah demi selangkah
kami bertemu di tengah.

hanya 1 sentimeter lagi untuk mendalami sepenuhnya isi hati
Cinta.

Tuesday 11 September 2012

Luka di Hati



Kegelapan malam menyelubungi diri. Melankolia.
          Tiada kata dapat menghilangkan rindu dan sepi yang menyapa hati.

Apa lagi yang mampu dilakukan kecuali senyum sebagai jawapan.

Fikirannya kosong, terdiam seribu bahasa. Tidak ada bicara yang mucul di ruang fikiran.
Kalau boleh, ingin di lafazkan semua kata rindu, semua kata kata sayang yang terbuku sejak semalam. Kalau boleh ingin saja segala galanya terungkai disini. Betapa sukarnya perjalanan hidup ini. Betapa dia amat menyayangi seseorang.

Tapi harga diri ternyata menghalang. Tidak mahu di labelkan sebagai orang yang tidak tahu malu atau terlalu memaksa. Tidak mahu juga dituduh cemburu atau merajuk. Ingin dilihat sebagai insan yang memahami, yang mengerti waima jati diri semakin koyak. Ini bukan diri yang asli.

Mulut terus terkunci. Andai berdiam diri itu lebih baik dari berkata kata, maka biarlah diri terus membisu. Tuhan yang tahu sejauh mana keikhlasannya dan sedalam mana sayangnya.

Di atas permaidani hati
terlakar sebuah lukisan
maknanya tidak dapat dijelaskan
ceritanya sukar di gambarkan
tercoret rahsia hati yang paling mendalam.

Monday 10 September 2012

Kisah Memancing Ikan


Cerita ini dari Dr HM Tuah. Katanya:

"Sytt..saya nak tanya satu soalan boleh tak? Pernahkah kamu memancing ikan? Tak perna? Pernahkah kamu melihat org memancing ikan? Tak pernah juga, tapi bolehkah kamu membayangkan seseorang sedang memancing? Tentu boleh kan.

Bayangkan kamu sedang menemani seorang teman yang sedang asyik memancing. Tiba-tiba mata kailnya disentap oleh seekor ikan. Lantas dia segera memutar pemutar tali pancing. Sekali-sekala dia menhenjut-henjut jorannya supaya mata kail semakin menyangkut di mulut ikan. Ianya berterusan hingga ikan itu dpt dinaikkan ke atas.

Kamu lihat teman kamu itu tersenyum lebar. Gembira benar hatinya. Kamu juga turut tersenyum kerana itu bermakna kemenangan besar bagi dia. Kamu turut teruja melihat teman kamu itu mencabut ikan daripada mata kailnya. Tapi tiba tiba, dia mencampakkan kembali ikan itu ke air.

Eh,apa hal ni? Kamu memandang teman kamu itu dengan seribu tanda tanya tapi dia kelihatan bersahaja seolah-olah tindakannya itu tidak menimbulkan sebarang persoalan.

Cuba bayangkan apa yang akan dirasa oleh ikan itu? Bolehkah ia menyambung hidupnya dengan mulut yang terluka atau mungkin perutnya yang sudah robek? Sudah tentu ia akan mengalami kesakitan sebelum akhirnya ia mati. Dengan mulut yang koyak dan perut yang robek, dia tentu tidak dpt mencari makanan dan tidak mampu berenang. Ia mungkin disisihkan oleh ikan ikan lain kerana sudah lemah.

Begitulah juga di umpamakan cinta. Apabila kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, dan setelah dia mula menyayangi diri kamu, hendaklah kamu menjaga hatinya.

Jangan sesekali mempermainkan hatinya dan terus meninggalkan dirinya begitu saja kerana dia pasti akan terluka oleh kenangan bersama kamu dan mungkin tidak dapat melupakan segala galanya.

Oleh itu, apabila kamu merelakan hati kamu untuk bercinta, seriuslah dalam tindakan dan keputusan kamu. Jika kamu hanya ingin bermain main, ingatlah bahawa akan ada pihak yang terluka dan menangis.

Bayangkanlah betapa sakit dan menderitanya ikan yang terpaksa menjalani hidupnya setelah dilemparkan kembali ke air. Begitulah, alangkah sakitnya hidup bersama hati yang robek kerana dikecewakan seseorang.

Cinta pertama akan kekal sehingga ke ahir hayat. Ia ibarat gambar foto yang di ambil dan kemudian di simpan dalam album. Setiap kali membuka album, mata pasti melihat dan hati pasti terasa bila memendang foto tersebut.

Cinta adalah fitrah manusia. Tuhan menjadikan cinta untuk memberi keseronokan kepada hamba-hambaNya dalam menjalani hidup mereka. Tapi pernahkah ada yang bercerita bahawa lebih ramai orang yang menderita kerana cinta daripada bahagia kerana cinta? Kenapa jadi begitu?

Jika kamu sedang bercinta di waktu ini, peliharalah hatinya dan rencahilah cinta kamu dengan kejujuran dan keikhlasan serta dasarkan cinta kamu kerana Tuhan. Hanya cinta begini akan kekal walaupun menempuh jalan berliku dan akhirnya menumpahkan air mata kesedihan.

Jika kamu belum bersedia untuk berlaku jujur, maka janganlah bercinta dahulu.
Jika kamu belum bersedia utk setia, janganlah cuba memberikan hati kepada org lain. Perbuatan begini akan hanya membuang masa dan membazirkan air mata.

Jika kamu memancing, dan ada ikan yang memakan umpan kamu, teruslah ambil ikan itu dan bawa pulang. Kerana itu lebih baik daripada kamu membuangnya kembali ke dalam air kerana perbuatan kamu itu memulakan satu derita.

Sunday 9 September 2012

Tasik


Mereka duduk di anak tangga batu terakhir yang melandai ke tasik. Tasik buatan manusia di tengah-tengah bandar, infrastrukur sengaja dibuat bagi penduduk kota yang impikan ketenangan sementara. Berkongsi ruang masa dengan ikan, kura dan sang gagak. Masing-masing dengan kisah dan cerita tersendiri.
Mereka duduk di anak tangga batu terakhir yang melandai ke tasik. Sang jejaka menabur butiran kecil makanan ikan, sang gadis membaling koyakan nipis roti buat santapan kura. Asyik dalam tawa melayan kerenah ikan dan kura berebutkan habuan di hujung senja.
Mereka duduk di anak tangga batu terakhir yang melandai ke tasik. Diam yang panjang. Diam dalam tenang. Masing-masing melayan fikiran seketika. Plastik kosong berlipat ditindih kasut, peringatan untuk dibuang ke bekas sampah sebelum pulang. Jeda. 
Mereka duduk di anak tangga batu terakhir yang melandai ke tasik. Jejaka memandang gadis. Gadis memandang tasik. Cahaya jingga melembutkan expresi wajah. Bayu berbisik lembut, memberitahu kedatangan malam yang menghampiri. Gadis memeluk tubuh yang mula merasai kesejukan  Jejaka perlahan membuka 'jeket', membaluti ianya di tubuh gadis. Dua pandangan beradu. Sebuah cerita perlahan-lahan terurai. Sebuah rasa perlahan-lahan termetrai.
Tasik menjadi saksi. 

Saturday 8 September 2012

Tag 2

          Tag dan kuiz.. :)
1) Apa yang awak buat masa tidur?
* Tidur tentunya. Nak buat apa lagi ye? :)

2) Sape yang kejutkan awak pada waktu pagi?
* Alarm pada handphone. Tukang kejut yang setia.

3) Kenapa Superman pakai “Underwear” kat luar?
* Sebab dia tak pakai kat dalam? :p

4) Siapa idola korang masa kecik dulu?
* Ayah saya. :)

5) Siapa idola anda masa anda dewasa ni?
* KRU..bangga tengok sejarah dia orang dan macam mana dia orang tak pernah putus asa walau pun usaha dia orang untuk membawa perubahan dalam dunia seni sentiasa ada penghalang dan sering diperlekehkan.
Ooo..panjangnya ayat kan. :)

6) Kenapa korang suka menulis?
* memenuhi masa. :) Lagipun lebih baik menulis dari kacau orang kan.

7) Apa yang cikgu korang sebut sebelum keluar kelas masa High school?
* Ingat ! Esok saya nak tengok semua orang dah siap peta dan salin mukasurat xx. Siapa tak siap atau tertinggal buku, saya akan suruh diri atas meja :p

8) Apa awak buat sebelum berblog?
* Baca 'manga' online. :)

9) Kenapa langit berwarna biru?
* Siapa kata? Adakala langit warna kelabu, adakala hitam. Contohnya pada waktu malam. 
10) Apa yang awak sedaang buat sekarang?
* Menjawab soalan tag sambil makan. :)

Friday 7 September 2012

Antara Dua Hati


Aku menyintai dia..seperti mata pena..
yang mengalirkan tinta..menzahirkan puisi..
***********************************************
Kata dia:
Awak nak tahu apa bezanya antara hati seorang lelaki dengan hati seorang perempuan?

Kata saya:
Beza? Ada ke bezanya?

Kata dia:
Secara fizikal dan zahir nya, dari pandangan mata kasar, dua duanya sama saja. Tapi jika dilihat melalui mata hati.. memang ada bezanya.

Kalau awak nak tahu, hati seorang lelaki seperti almari. Terbahagi kepada beberapa bahagian laci. Teratur dan tersusun. Satu laci untuk sang isteri, satu laci untuk sahabat, satu untuk kawan kawan, satu atau dua laci untuk anak anak, satu laci untuk ayah dan ibu, satu laci untuk negara, satu laci untuk kucing ehh..bukanlah.. satu laci lagi tu untuk kereta baru dia.

Kata saya:
Hmm begitu ye? :) Laci rupanya..

Kata dia:
Betul. Kalau awak tanya seorang lelaki, siapa yang dia paling sayang, dia pasti boleh menjawab dengan yakin. Sebab dia dah kemaskan almari dia: Laci teratas dan ruang paling besar sekali tentunya untuk yang tersayang. Bukan calang orang boleh menyentuh hati dia atau alihkan susunan atau nak masuk pun dalam susunan laci laci tersebut.

Usik saya:
Macam mana pula dengan mereka yang bergelar 'playboy'? Bagaimana pula bentuk laci mereka?

Kata dia:
Itu mereka mereka yang dah salah gunakan laci laci yang ada. Laci lacinya macam lif. Boleh ditukar kedudukan dengan laju dari atas ke bawah. Bergantung dengan siapa mereka bercakap, teman wanita 1, 2 atau 3. Tapi walau macam tu pun, mesti ada satu laci yang mereka biarkan kosong. Reserved for the right one.

Kata saya:
Bagaimana kalau cinta nya yang dilaci pertama tu hilang?

Kata dia:
Terpulang. Ada yang mengisi ianya dengan kenangan dan dikuncinya laci tersebut sampai nyawa berpisah dari badan. Ada pula yang terus gantikan dengan laci baru.

Kata saya:
Oo iye ke. Kalau begitu bagaimana pula diibaratkan hati seorang perempuan?

Kata dia sambil ketawa:
Tidak ada laci langsung. Hati seorang perempuan macam sebuah beg tangan. Satu ruang besar yang di campaknya segala macam alat solek, sikat, pen, duit, handphone. Bercelaru. Cacamarba. Namun dalam bergurau, ada benarnya. Seorang perempuan bila dia sayang, sayangnya memenuhi segenap ruang yang ada. Begitu juga, apabila cinta bertukar jadi benci ianya pasti memenuhi seluruh hatinya. Betul?
*************************************
Dia dan teorinya. Kucing pun boleh bertanduk bila mendengarnya. 

Thursday 6 September 2012

Hujan


Hujan.
Abang Sudir dalam nyanyiannya mengumpamakan hujan yang turun itu seperti butiran mutiara.
Bagi saya hujan itu seperti bulan dan bintang, sebahagian dari alam malam. Teman dikala hati merasa resah.

Hujan itu rahmat.. datangnya sesekali, menyegarkan.. dan perginya membawa bersamanya airmata. Jiwa terasa tenang dan hati bersyukur pada nikmat yang diberi Tuhan. Damai..
***********************************************
Kata dia:
Awak tak sihat? Sudah tiga kali awak bersin.

Kata saya:
Saya tak ada apa. Cuma kepala terasa panas sikit. Mungkin sebab terkena hujan sewaktu balik.

Kata dia sambil tersenyum:
'Ter' kena atau memang sengaja main hujan tadi?

Kata saya sambil ketawa:
Mungkin kedua sekali. Sudah lama tidak hujan di sini. Jadi, apabila hujan mula turun, angin pula bertiup kuat, ramai yang mula berlari sana sini cari tempat berlindung.

Kata dia dengan senyuman semakin lebar:
Lantas?

Jawab saya:
Tiba-tiba kaki saya terus melangkah merentasi hujan sebelum sempat saya berfikir apa pun. Sebelum membuka pintu kereta, saya berhenti sebentar, mendongakkan wajah ke langit luas sambil memejam mata. Rembasan hujan yang menyapa wajah, menyegarkan. Saya teruskan berdiri di situ tanpa peduli andai ada mata yang memandang.

Kata dia:
Awak memang satu dalam seribu. Susah nak diduga. Adakalanya awak begitu serius dan dewasa. Adakalanya awak memang seperti anak-anak. Saya tak akan pernah bosan berkawan dengan awak. Tapi ...

Kata saya:
Tapi...? Hmm..saya amat tak suka ayat yang bermula dengan tapi..

Kata dia sambil ketawa lagi:
Jangan cepat nak kerutkan dahi. Saya cuma nak kata 'Tapi, jangan lupa makan ubat dan awal sikit tidur malam ini.' Makan ubat saja tapi tak cukup rehat pun tak guna. Sekali saja main hujan tapi sakitnya berhari-hari.

Saya cuma tersenyum.

Kata dia:
Kita kan sahabat. Lagipun dengan siapa lagi saya nak lawan cakap dan usik kalau awak demam? Dah. Cepat pergi makan ubat.

*************************************
Sahabat. Sama seperti hujan.
Adakalanya memeningkan..dan adakalanya menenangkan jiwa yang resah.
Adakalanya membawa pergi sepi di malam hari apabila tamat perbualan.
Kasih, jangan sesekali merasa cemburu atau curiga kerana dia hanya sahabat.
Sedangkan awak adalah segalanya.

Wednesday 5 September 2012

Di mana Bumi Di Pijak


Jika cinta tak tergapai dek tangan, maka lepaskanlah dia. Bebaskanlah dia.
Biarkanlah hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang semula, tinggi di udara..
****************************************
Hidup kalau tidak ada masalah, bukan hidup namanya.
Kata orang bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan, lautan mana yang tak pernah bergelora? Ada orang diuji dengan kesakitan, ada pula yang diuji dengan kemiskinan hidup dan ada juga sebaliknya diuji dengan kesenangan dan kemewahan hidup. Dia? Dia juga tidak dapat lari dari risau dan kecamuk di minda. Cacamarba. Kusut.

Terkadang cemburu dan sedih melanda hati apabila mendengar cerita kawan-kawan tentang percutian mereka bersama keluarga, beraya di kampung, pergi ke surau beramai ramai untuk sembahyang terawih, mandi di parit, bermalam di dusun. Alangkah seronoknya mereka. Beraya di kampung bagi rakan-rakannya adalah saat di mana berkumpulnya adik-beradik dan saudara mara setelah sekian lama merantau mencari rezeki masing-masing. Seronok mendengar kisah pertelingkahan kecil dan gurau senda mereka.

Dia? Dia tidak punya kampung halaman, atuk atau nenek, adik beradik maupun saudara mara untuk berkongsi kemesraan. Berbuka puasa seperti biasa, ala kadar sahaja. Disambut secara sederhana sama ada di tempat kerja atau paling mudah di Mc Donald. Yang penting tanggungjawabnya sebagai seorang Islam telah disempurnakan dengan tertib. Berbuka sekadar untuk mengalas perut sebelum menunaikan solat. Lebih mudah berbuka saja di kantin tempat kerja, sekurang kurangnya ada teman-teman sekerja lain dan tidaklah dia berbuka puasa sendirian.

Hati cuma merasa sepi dan sayu pabila menjelang penghujung Ramadhan. Apabila rakan-rakan bercerita tentang rancangan mereka memohon cuti raya 3 hari, 5 hari atau seminggu. Boss beri dia keutamaan tahun ini untuk bercuti raya. Borang cuti ditatap lama. Tidak tahu berapa hari harus di mohon. Untuk beraya di rumah sana, terasa janggal. Selepas sembahyang raya, masing -masing akan duduk menghadap televisyen atau berpisah untuk melawat rumah sahabat handai. Dia yang tidak mengenali sesiapa disitu hanya menunggu tetamu dan kanak-kanak datang beraya. Lebih baik masanya dihabiskan di tempat kerja. Di sini sekurang kurangnya dia dapat bertemu dengan tetamu dan pelanggan yang juga senasib sepertinya.

Dia tersenyum. Ye, dia sepatutnya bersyukur. Inilah 'kampungnya'. Dan tetamu-tetamu hotel ini sebahagian dari 'saudara mara'nya. Pada hari raya, banyak cerita yang dikongsi dengan mereka, cerita suka dan duka mengapa mereka beraya di hotel. Di sini dia tidak keseorangan. Malah kehadirannya dihargai kerana kesabarannya mendengar keluhan dan menyelesaikan masalah bilik atau tempahan pengangkutan tetamu. Di sini hatinya tenang. Inilah satu satunya tempat di mana dia tidak terasa asing.

Di renyukkan borang cuti yang masih belum terisi lagi dan di campakkan ke bakul sampah. Selepas sembahyang raya, dia akan terus ke tempat kerja dan memulakan tugas seperti biasa.

Tuesday 4 September 2012

Malaikat Lalu


Di Tanjung Katung airnya biru, Disitulah tempat mencuci mata
Duduk sekampung lagikan rindu, Inikan pula jauh dimata.
*****************************
Hidup ini pasti akan sunyi jika tidak ada gelak tawa dan gurau senda. Usik mengusik melapangkan fikiran dan merapatkan persahabatan. Namun dalam bergurau, tentu saja ada had dan batasannya. Tidak semua perkara boleh dijadikan bahan gurauan dan ada waktu yang memang tidak sesuai sama sekali untuk bergurau.

Ada topik yang bagi kita adalah gurauan biasa, tapi amat sensitif pada orang yang mendengarnya. Adakalanya gurauan boleh menghiris hati dan perasaan sehingga sahabat boleh bertukar menjadi musuh, sayang bertukar menjadi benci. Kata orang sederhanalah dalam setiap perbuatan, jangan sampai melampaui batas.

Dalam Islam juga ada dilukiskan batasan dan adab bergurau:
* Tidak boleh memasukkan isu isu agama sebagai gurauan
* Jangan sampai gurauan menyentuh tentang kecacatan seseorang atau mencaci kekurangan orang lain.
* Gurauan tersebut bukan umpatan atau dengan niat merendah rendahkan seseorang
* Isu jenaka hendaklah benar dan bukan sesuatu yang sengaja direka untuk membuat orang ketawa..

Paling penting, gurauan hendaklah kena pada masa, tempat dan keadaan contohnya bukan di waktu kawan tersebut sedang bersedih atau sewaktu ada kematian. Begitu juga dengan tahap penerimaan orang lain. Orang yang rapat dengan kita mungkin boleh menerima gurauan yang agak melampau atau 'over'. Namun andai orang tersebut adalah orang yang asing atau bukan kenalan rapat, pasti difikirnya gurauan tersebut seperti kritikan atau kurang ajar. Siapa yang tidak rimas dengan gurauan yang melampau lampau dan tidak bertempat? Sebab itulah ada kalanya ada diantara orang sekeliling yang tiba-tiba merajuk, masam muka atau terus beredar dari situ. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata pasti menyesal tak sudah.

Bagaimana ingin tahu gurauan sudah melampaui batas? Kena peka pada sekeliling. Jika tiba -tiba kita saja yang ketawa, orang lain tidak. Apabila ada yang berubah wajah dari senyum menjadi kelat, apabila malaikat lalu dan suasana menjadi sepi, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Kata orang, lebih baik berdiam diri apabila tiada topik perbualan. Apa yang kita tidak suka orang lain buat pada diri kita, maka janganlah kita lakukan pada orang lain. Jangan pula bila orang lain buat sesuatu yang kita tak suka, kita pula cepat hendak melenting. Apapun, bergurau, biarlah berpada pada. Sederhana dalam setiap perbuatan. Ceria bukan setakat membuat gurauan. Ceria:  bahagia dalam berkawan, tenang dalam percakapan dan ikhlas dalam perbuatan.

Monday 3 September 2012

Sedetik

Allah tidak meninggalkan kita
walau sedetik
hanya kita yang sering melupai-Nya

Sunday 2 September 2012

Melawan Kesepian

Cinta tidak semestinya bersatu.
Malah, tidak semua kisah cinta akan berakhir dengan 'happy ending' seperti dalam kisah dongeng 'Cinderella', 'Snow White' atau 'Sleeping Beauty', di mana kisah berakhir bila sang putera tiba dan menyelamatkan sang puteri. Malah, kisah cinta puteri yang sebenar, Puteri Diana, juga tidak seindah yang dibayangkan..

Dalam dunia yang nyata ini, kita kekadang harus akur dengan putaran roda kehidupan. Ada kalanya laut kelihatan tenang, ombak perlahan menyapu pasiran pantai. Tenang dan mendamaikan. Namun ada saatnya, bila ombak mengganas, pukulannya keras menghempas pantai, ianya menjadi pembunuh semangat. Begitulah juga dengan cinta.

Kita rasakan kitalah orang yang paling bertuah apabila kita berjaya memiliki cinta yang kita harap-harapkan. Kita rasa yang kitalah insan yang paling bahagia kerana si dia juga merasakan dan membalas dengan perasaan yang sama. Kita juga mungkin lupa pepatah kata orang dulu : Bukan namanya laut, jika ianya tak bergelora. Bukan namanya alam jika tiada siang dan malam.

Kalau lah ditakdirkan cinta itu tidak sampai ke destinasinya, apakah yang kita lakukan? Mungkin ada yang ingin miliki si dia juga. Mungkin ramai yang menentang hubungan itu, mungkin terlalu banyak halangan menjelang.

Siapa yang tidak ingin cinta itu sampai ke hujung usia? Dugaan pasti boleh di tentang jika berdua bersama. Namun andai berjauhan, terpisah jauh, kutub utara dan kutub selatan, hati pasti akan goyah. Ketabahan pasti akan teruji. Kesetiaan dan kepercayaan menjadi taruhan.

Adakala jarak dan masa menimbulkan benih benih keraguan, cemburu dan rasa terpinggir. Andai cinta masih bertakhta di hati, maafkan lah dia atas segala pemikiran negatif yang timbul. Maafkanlah dia kerana dia telah mencuba sedaya upaya untuk melawan segala perasaan yang timbul dari kesepian itu. Maafkanlah dia. 

Saturday 1 September 2012

Sejalur Cahaya


Kata saya:
Sesekali saya terasa ingin saja jadi jahat. Terasa ingin memberontak, terasa seperti ingin membaling batu atau melanggar saja kucing, anjing atau apa saja yang melintas sewaktu saya memandu. Melihat kucing yang sangat saya suka pun, hari ini terasa ingin saja ditarik ekornya. Biar mereka juga turut merasa kesakitan yang saya rasa.

Dalam dunia ini, siapa yang pandai berlakon dialah yang disanjung, dia lah yang dipandang tinggi. Siapa yang cuba mengikut jalan yang lurus, pasti di ambil kesempatan atasnya. Dipijak pijak dan diperkotak-katikkan hatinya.

Saya ingin saja buang hati saya jauh ke dasar laut. Kenapa? Kerana hati ini terlalu penuh dengan kesedihan. Hati ini terlalu rapuh. Kerana hati ini, saya tidak sekali-kali mampu menganiaya binatang. Kerana hati ini juga kesedihan ini tak dapat dibuang. Kerana hati ini juga, saya masih di sini, berjalan tanpa menemui pintu keluar.

Menyesal dengan apa yang telah berlaku? Menyesal dengan pilihan yang telah dibuat dan juga kegagalan yang datang berulang? Tidak sama sekali. Menyesal bukan dapat mengembalikan semula hari semalam. Kesilapan atau kesalahan yang telah terjadi dalam hidup takkan mampu di ulang tayang semula. Tiada "mesin masa" untuk membawa kembali pada ruang masa yang terdahulu. Tidak ada istilah sesalan. Cuma saya terlalu inginkan ketenangan.

Kata dia: Awak mengharap pada manusia. Awak terlalu percaya dan bergantung pada kata- kata dia. Janganlah awak hairan dan sedih bila tidak ada siapa hargai kebaikan yang awak lakukan atau apabila ada yang lupa pada segala pengorbanan awak semalam.

Janganlah buat perkara yang jahat atau terus tak mahu lagi berbuat baik semata- mata kerana mereka tak hargai kebaikan tersebut. Saya tahu hati awak sedih. Ibarat awak hadiahkan pen pada seseorang, dan dia gunakan pen tersebut untuk menulis kritikan yang pedas terhadap awak. Awak berikan dia pembaris, di ambil dan dipukul awak dengan pembaris tersebut. Memang pedih dan menyakitkan. Yang penting, jangan goyah atau terpengaruh dengan segala cemuhan dan kutukan mereka. Jangan sedih lagi dengan apa saja yang mereka lakukan.

Teruskanlah berbuat kebaikan dengan niat semata mata kerana Allah. Dekatkan hati pada Tuhan. Itu saja caranya untuk menguatkan jiwa dan tenangkan hati. Percayalah pada janji Tuhan. Setiap hari saya akan ajarkan satu doa pada awak..

Ya Allah, gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, gantikanlah kesedihan ini dengan hal yang menggembirakan. Dan hilangkanlah perasaan takut ini dengan perasaan tenang.