Tuesday 18 December 2012

Tentang Dia II


Mereka memandang dia, ada yang iri, ada yang cemburu, ada yang ingin mendekati dia.
Saya memandang dia, kemudian saya mendengar dan cuba memahami perbualan mereka. Apa ada yang tidak kena pada dia? Kenapa dia dijadikan bahan perbualan negatif? Sedangkan ramai yang lain mendabik dada bercerita tentang kejayaan dan kekayaan mereka di dalam pertemuan itu.
Dia berbaju kemeja-T berwarna hitam dipadan dengan seluar jeans, kemas dan tidak berlebihan. Yang membuatkan dia berlainan mungkin senyumannya, tutur bicaranya yang lembut dan teratur serta perwatakannya yang tidak suka menonjolkan diri tanpa sebab. Sejuk mata memandang.
Tapi, dari desas-desus di belakang, nyata mereka tidak memandang dari segi itu. Kata mereka bajunya dari jenama terkemuka. Segalanya dari rambut hingga ke kaki malah kereta mewahnya semua dari jenama terkemuka. Tentu sekali mahal harganya. Ada yang mendekat, manalah tahu ada bahagian untuk mereka. Ada juga yang menjauh, berprasangka, mengatakan orang seperti dia hanya tahu membazirkan wang kerana banyak terlebih.
Nyata, dia yang saya kenali tidak sebegitu. Andai ada yang ingin bertanya terus kepadanya, pasti dia akan membidas apa yang mereka katakan. Dia hanya membelanjakan hasil usahanya sendiri. Menikmati apa yang telah diberikan Tuhan. Bukan bertujuan untuk menunjuk nunjuk tapi kerana keselesaan dan kemampuan dia. Padanya, barangan yang berjenama, tahan lebih lama dan berkualiti.
Isu pembaziran tidak wujud. Zakat harta pencarian tidak pernah sekali dia tinggalkan. Dia juga rajin menderma. Lantas apa salahnya dia menggunakan wang yang selebihnya untuk kepuasan sendiri? Siapa lagi yang nak menggunakannya? Tuhan telah memberikannya peluang untuk hidup serba mampu, jadi dia berhak untuk menikmatinya. 
Tiada istilah menunjuk nunjuk kerana dia sedar segala nikmat Tuhan boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja. Tiada istilah riak kerana dia membelanjakan wangnya bukan untuk perkara perkara yang haram. Bukan jua ke arah jalan yang tidak diredhai. 
Saya bertanya: "Mengapa tidak diterangkan pada yang lain seperti mana awak menerangkan kepada saya? Bukankah ianya dapat mengelakkan orang dari memandang serong dan berfikiran negatif pada awak?"
Kata dia, itu semua tidak perlu. Manusia boleh berkata apa sahaja, dia tahu siapa dirinya dan berpegang teguh dengan prinsip hidupnya. Untuk apa menjawab pada manusia, sedangkan Tuhan lebih Mengetahui apa yang ada di hati setiap insan. Dengan rendah diri, dia menyambung "Adakalanya Tuhan berikan seseorang kelebihan dari satu segi dan kekurangan dari satu segi yang lain untuk menguji hamba hamba Nya."
Saya terdiam.. Kagum dengan prinsip hidupnya. Walau saya tidak sesenang mana, saya juga tidak sesusah mana. Rezeki dan ujian Tuhan sentiasa ada, terpulang kepada cara penerimaan masing masing.

Hari ini satu lagi pelajaran telah saya perolehi. Walau saya tidak sesenang mana, saya juga tidak sesusah mana. Rezeki dan ujian Tuhan sentiasa ada, terpulang kepada cara penerimaan masing masing.
Tuhan, terima kasih atas segalanya. 

No comments:

Post a Comment