Sunday 31 July 2011

Tenanglah Wahai Hati..


Jangan terlalu baik, kerana..kerana saya mungkin akan mula menyukai awak...
Jangan terlalu mengambil berat, kerana..saya mungkin akan jatuh hati dengan awak..
Jangan terlalu rapat dengan saya, kerana saya mungkin akan rindukan awak bila awak tiada..
Jangan lafazkan apa yang tersirat di hati awak..kerana saya mungkin tidak dapat nafikan lagi yang saya juga ada rasa yang sama..
*****

Hati menjadi sayu tiba tiba..

Pedih...pilu..namun di tahan airmata dari terus mengalir.
Tiada tempat untuk mengadu. Apatah lagi mengharap adanya bahu yang sudi menampung tangisannya. Siapa yang faham kesedihan di hati, siapa yang sudi bukan saja untuk mendengar tapi mendamaikan kekusutan di hati.

Diminta senyum, dia senyum. Di minta bersabar, dia cuba bersabar.
Menghadirkan senyuman, itu memang tugasnya. Tapi hati semakin tercalar. Semakin dipendam, semakin terasa luka semakin mendalam.

Inilah rupanya erti 'keseorangan' yang sebenar benarnya.
Tenanglah wahai hati.. tenanglah.. kerana kesakitan ini tak akan tertahan andai hati turut dilanda ombak dan badai..

Thursday 28 July 2011

Kisah Laila & Majnun 2


Ada bisikan menyapa hati..
Namun semakin diteliti..
Semakin sayup kedengaran...
Semakin jauh derap langkahnya..
adakah akan hilang selamanya pabila terjaga dari mimpi..?
*****
Mati atau hidup..kedua nya terasa sama saja bagi Majnun setelah Laila dibawa pergi dengan senyap oleh orang tuanya ke daerah lain. Setiap hari dia berjalan ke sana kemari bertanya andai sesiapa tahu di mana Laila. Ada yang mentertawakan dia dan ada juga yang mencercanya. Tiada siapa percaya akan wujudnya cinta sekukuh cinta Majnun pada Laila.

Setelah menempuh pelbagai kesusahan, Majnun akhirnya tiba di bandar di mana Laila berada. Berehatlah dia di sebuah masjid usang. Berita Majnun sampai ke telinga Laila yang juga sama merindui Majnun dengan seluruh hatinya. Ingin saja dia berlari mendapatkan Majnun namun dia tak terdaya kerana ada tali yang mengikatnya. Setiap hari di simpankannya sebahagian dari makanannya untuk dikirimkan buat Majnun.

Dugaan hidup belum berakhir lagi. Berita tentang Majnun segera tiba di telinga orang tua Laila. Mereka merancang untuk keluar dari bandar buat sementara waktu dengan harapan agar bila Majnun tidak menjumpai Lailanya di situ, dia akan kecewa dan pulang. Namun, sebelum bertolak, Laila sempat menyampaikan pesan pada Majnun agar menunggu dia di Gurun Sahara.

Sewaktu rombongan mereka berhenti berehat seketika, Laila keluar seketika dengan pelayan wanitanya untuk bertemu Majnun. Pertemuan dua kekasih dimana mereka tidak melihat betapa kurus dan azabnya keadaan masing masing tapi hanya merasa aliran cahaya cinta yang memenuhi setiap ruang dan rongga di tubuh. Cinta yang lahir dari pertemuan dua hati.

Majnun memegang tangan Laila dan meletakkan ianya ke dadanya seraya berkata dengan perlahan: Laila, jangan sesekali tinggalkan aku lagi.'

Jawab Laila dengan sayu.'Masanya belum tiba untuk kita bersama. Aku tidak boleh terlalu lama. Nanti orang orang ayahku pasti akan datang mencariku dan mereka akan membunuhmu, Majnun.'

Majnun dengan pantas menjawab: 'Aku tidak peduli apa akan terjadi. Engkaulah hidupku dan engkaulah nyawaku, Laila. Tinggallah bersamaku..dan jangan pergi lagi.

'Majnun tidak percaya pada Laila? Laila berjanji atas nama cinta kita yang Laila akan datang semula kesini. Percayalah Majnun. Aku bersumpah akan kembali padamu.'

Majnun melepaskan tangan Laila dengan perlahan: 'Tentu. Aku percaya padamu Laila.'
Sebaik saja Laila menghilang dengan pelayannya, Majnun yang telah lama tidak makan atau minum tiba tiba merasa letih yang amat sangat. Kakinya turut lemah, dan dia terjatuh kebelakang menimpa sebatang pokok. Disitulah dia bersandar tanpa mampu lagi bergerak. Hidup seumpama mati, bersandarkan atas satu harapan iaitu untuk melihat Laila sekali lagi.

Bagaikan malam sepi tiada berbintang..
Begitulah aku tanpa dirimu..
Bagaikan bunga bunga kering dan layu..
Begitulah hatiku tanpa dirimu..
Begitulah dalamnya cintaku untukmu..

Monday 25 July 2011

Kisah Laila & Majnun 1


Tanyakan dalam tidur dan jaga... masihkah ada kasih dan rindu
biarpun setitis cuma..untuk diriku..
*****

Setiap sesuatu yang berharga, tentu tinggi nilainya.
Kisah cinta agung yang berakhir dengan tragedi.. Kalau masyarakat barat ada kisah Romeo dan Juliet, masyarakat timur tak kalah dengan kisah Laila dan Qais/Majnun.

*****
Laila dan Qais adalah teman sekelas.
Sejak hari pertama bersekolah, kedua duanya sudah saling tertarik terhadap satu sama lain. Seiring dengan waktu yang berlalu, perasaan suka yang ada semakin lama semakin membesar menjadi api cinta yang tak mungkin lagi dipadam.

Ketika guru mengajar, mereka saling berbalas pandangan. Ketika disuruh menyalin pelajaran di buku , mereka menulis nama orang yang dipuja di atas kertas. Bagi Laila dan Qais, tidak perlu ada kawan yang lain. Dunia hanya ada dan untuk mereka berdua.

Lama kelamaan, orang-orang sekeliling mula perasan tentang cinta mereka dan kata umpatan mula kedengaran hinga ke telinga ibubapa Laila. Untuk mengelak dari malu dan untuk menutup suara suara sumbang yang semakin galak bercerita, ibubapa Laila memberhentikan dia dari sekolah. Tapi siapa yang mampu menjauhkan Qais dari hati Laila..?

Qais juga menjadi sangat gelisah bila Laila tidak lagi kelihatan di sekolah. Dia
tidak mahu meneruskan pengajian, malah menyelusuri jalan dan lorong untuk mencari kekasihnya. Sambil berjalan dia memanggil-manggil nama Laila sambil bersyair untuknya. Orang-orang pun tertawa dan berkata, " Lihatlah Qais , ia sekarang telah menjadi seorang majnun, gila!

Bila ada yang bertanya :"Hai Majnun, mengapa engkau sedih atas perpisahan dari Laila? Dia tidak secantik mana. Aku dapat tunjukkan kepadamu seribu gadis yang lebih cantik dan lebih menarik dari Laila, dan engkau dapat memilih salah satu di antara mereka."

Majnun menjawab "Hanya mata Majnun yang mampu melihat kecantikan Laila. Walau beribu yang lain, Laila tetap yang tercantik padaku. Aku hanya ingin Laila.."

Thursday 14 July 2011

Hati Ini


Ketika hati terasa bimbang dan ada resah datang menjenguk rasa, kita rasa lebih senang merujuk, bertanya buah fikiran orang lain. Adakalanya, kita bertanya pada 2, 3 orang sekali kerana masih tidak pasti dengan jawapan yang ingin di ambil.

Adakalanya, semakin banyak bertanya, bukan nya semakin kurang rasa pening.
Malah, semakin bertambah bingung. Si A cadangkan kita mengikut caranya, dan si B mengatakan caranya mungkin lebih baik. Dan C pula menasihati dengan cara nya yang berbeza pula.

Bila situasi ini berlaku, tenangkan lah fikiran.

Ambil masa dan berbicaralah dengan diri kita sendiri. Dengarkan kata hati kita kerana naluri kita selalunya lebih tahu apa keputusan yang ingin di ambil. Segala pendapat yang diterima, harusnya akan menyokong keputusan yang akan kita buat dan bukan semakin mengaburkannya.

Kata hati akan memimpin langkah membuat keputusan yang selari dengan apa yang kita inginkan. Betul atau salah..itu terpulang pada masing masing.

Mata mungkin boleh tertipu dengan kemilauan kaca, fikiran mampu dipengaruhi rasa benci dan susah untuk percaya pada kebaikan. Tapi hati..bergantung pada berapa bersihnya kita menjaga hati kita..

Thursday 7 July 2011

Detik Itu


Saya telah jauh mengembara hingga hampir ke hujung dunia.

Melarikan diri dan mengejar sesuatu yang saya sendiri tak pasti...sehingga lah saya bertemu dia. Dan hingga ke hari ini, saya masih tertanya tanya bagaimana segalanya bermula.

Pertama kali bertemu, hati saya terus terpaut.
Demi Tuhan, saya tak tahu kenapa. Tapi itulah kebenarannya. Kami bertemu tanpa janji dan tanpa sebarang perancangan. Dua hati telah bertemu jauh lebih awal dari pertemuan dua pasang mata. Rasa telah bertaut, sayang telah tertanam.

Dari hati terus ke mata dan mengalir ke seluruh jiwa. Bukan saya tidak cuba untuk menolak tapi saya tak mampu mengelak bila berdepan dengan kejujuran dia. Ingin saja masa terhenti dan detik detik yang kami lalui bersama terpateri buat selama lamanya...