Wednesday 19 December 2012

Hakikat Cinta


Kata orang, cinta itu lumrah. Keinginan untuk mengasihi dan ingin dikasihi.
Ada yang sanggup memburu, mengejar cinta hingga ke hujung dunia. Ada pula yang cuba melarikan diri dari cinta. Sedangkan ada segolongan lagi pula yang suka mempermainkan cinta untuk keseronokan sementara.

Kenapa mencari dan mengejar cinta?
Mungkin kerana hidup ini satu perjalanan yang panjang, penuh dengan pelbagai onak duri serta cabaran. Hati pula, walaupun kecil, mempunyai ruang yang teramat luas. Perjalanan yang sukar, pasti akan terasa lebih mudah bila ada teman yang memahami menemani diri. Kesepian pasti terisi. Luka dari onak duri ranjau perjalanan, ada yang akan mengubati. Sebegitu juga, akan ada yang sudi berkongsi suka dan duka. Hati jadi lebih ringan dan tabah.

Kata orang, cinta itu fitrah. Cinta itu menjanjikan keindahan, kepuasan dan kebahagiaan andai matlamatnya dicapai. Namun ada juga yang tersilap langkah, tewas dalam melayari alam percintaan. Mungkin kerana berlian dan kaca hampir sama kilauannya, lalu mata sukar untuk membezakan yang mana satu permata. Jauhari jadi buta.

Ada yang tidak sabar, memilih jalan mudah dengan segera mengambil batu yang paling bersinar dan paling menarik pandangan. Mereka lupa yang setiap sesuatu yang berharga itu amat payah diperolehi dan perlukan kesabaran serta pengorbanan. Tidak ada yang akan datang bergolek.

Cinta perlukan kesabaran dan kecekalan hati. Cinta itu juga harus ada yakin dan percaya. Adakalanya kita tidak faham cara mana Tuhan telah tentukan untuk kita. Kita tidak faham kenapa kita diketemukan dengan dia dan kenapa pada waktu kini. Adakala kita jadi lupa segala yang berlaku ada hikmah sebaliknya. Jodoh dan pertemuan di tangan Yang Maha Kuasa.

Kebahagiaan bukanlah sesuatu yang mudah kita kecapi. Namun, ini bukan bererti tiada langsung peluang untuk kita gapai.

Inilah hakikat cinta.

No comments:

Post a Comment