Sunday 9 December 2012

Rintihan Seorang Isteri II



Seorang isteri bercerita kepada saya:
Malam ini hati saya sebak seperti beratnya awan yang menanggung hujan. Malam ini saya ingin bercerita pada awak tentang rasa hati saya, tentang perasaan seorang isteri. Awak tak perlu berkata apa. Cuma dengarkan saja cerita saya.

Kalau awak nak tahu, saya menulis malam ini tanpa kebenaran dia. Tuan punya pc tidak tahu yang saya gunakan pc dia. Mudah zaman sekarang bukan, zaman teknologi maya. Apabila terasa hendak berbicara, cuma perlu 'on' kan internet dan cari sesiapa yang sedang online. Dan kebetulan malam ini awak ada. Maaf kerana saya memilih awak sebagai tempat luahan rasa.

Awak sedang buat apa? Oh, sedang menulis. Awak tentu pandai menulis. Saya, walaupun pelajar aliran sastera, memang tidak pandai menulis cerita. Kemampuan hanya setakat menilai hasil tulisan orang lain.

Awak tahu, dia seperti awak, suka menulis. Cuma sekarang ni saya jarang dapat melihat hasil tulisan dia. Bila ditanya apa yang dia tulis, dia akan marah. Buat apa nak marah. Bagi saya kalau marah marah maksudnya mesti ada sesuatu yang tak kena, betul tak?

Saya sebenarnya cuba berikan dia ruang untuk sendirian. Tidak terasak ke dinding.
Namun, saya tidak boleh terus berbuat demikian. Saya tak nak dia hanyut dalam dunia dia dan semakin jauh dari saya. Bukankah saya ada hak untuk tahu apa aktiviti dia? Bukankah saya sendiri tak pernah berahsia walau apa pun dengan dia. Kenapa dia pula yang harus berahsia?

Saya pernah tanya kepada dia apa yang dia tidak suka pada saya. Dia kata dia tak suka saya marah-marah. Dia idamkan suasana rumah yang tenang sentiasa. Namun, pernah kah dia ambil masa berfikir kenapa saya marah? Selalunya saya ni seorang yang sabar, tapi ada kalanya saya harus mengamuk untuk buat dia tersedar dari dunia dia. Dunia miliknya sendirian. Dunia dia yang sepatutnya adalah dunia saya juga.

Selalunya saya akan marah dalam diam.
Saya cuba tahankan dulu rasa marah saya sehingga anak-anak tidur. Namun, kerap kali bila anak anak telah tidur, waktu itu dia pun sudah tidur. Saya terpaksa diam dan simpan saja segala rasa tidak puas hati saya. Pendam dan terus pendam. Racun.
Hendak mendengar dia meminta maaf, memang amat sukar. Seolah-olah semuanya memang salah saya. Kadang kadang dia biarkan saya bercakap sendirian hingga air mata kekecewaan mengalir perlahan. Saya akan menangis semahu-mahu sehingga segala kesedihan terluah. Kosong. Akhirnya, saya yang akan memujuk diri saya sendiri.

Kadangkala bila perasaan menguasai diri, saya tidak mampu berbicara. Tidak mampu menyuarakan apa yang terpendam. Luput. Apa saya boleh buat adalah menulis dalam kertas dan meminta jawapan darinya. Apabila dia jawab, saya akan kupas jawapan yang dia berikan dan tulis pendapat saya pula.

Cebisan-cebisan kertas jadi pengantara. Awak mesti ketawa sebab semua ni seperti cerita zaman dulu-dulu. Dia pun mungkin juga sedang gelakkan saya dalam hati dia. Maklumlah saya ni buta IT dan walau sudah lama berkahwin masih tidak mampu memahami dia.

Saya cuma ingin dia bukakan hati dan jiwa dia untuk saya. Bukan dengan orang lain. Saya sangat sayangkan dia sehingga saat ini. Tolonglah awak. Khabarkanlah pada saya bagaimana saya boleh fahami dia dan buat dia cintakan saya..
***********************
Saya diam terpaku seketika. Fikiran terasa kosong. Menarik nafas dan melepaskannya perlahan lahan.

Angin malam menyapa dari celah jeriji besi tingkap. Sejuk...malam ini pasti hujan akan turun lebat. Panas terasa kepala.. jari menaip pantas menekan butang 'publish'. Saya tak mampu memberi jawapan, hanya mampu menyampaikan cerita. Mungkin ianya kan tiba pada yang ditujukan.. 

No comments:

Post a Comment