Sunday 30 March 2014

Rayu


Aku merayu
pada hujan yang memecah langit
pada angin malam yang menusuk ke tulang
pada wajah kenangan silam
tolong jangan disiat-siatnya lagi hati dan jiwa ini.

Malam ini
aku ingin tenang
aku ingin terbang. 

Saturday 29 March 2014

Rindu Bayangan I


Setiap malam
bibir mengucap salam dalam diam
mengharap angin membisikkan rindu, menyentuh kalbu
seorang dia
kerana 
diri tidak lagi mampu menyuarakan rasa.

Seorang dia telah ada yang empunya.

Friday 28 March 2014

Istimewa


Kata dia: Adakala kita sangka kita teristimewa di mata dia. Adakala kita fikir kita insan terpilih untuk membahagiakan dia. Kita rasa semuanya akan dapat ditempuhi bersama, berdua. Biar apa buruk kata orang, biar serong semua mata di dunia memandang. Kami. Berdua.
Sehari demi sehari kita membina mimpi. Kita cuba ubah hidup kita dan cara kita demi menjadi insan yang lebih layak untuk dia. Kita senyum, kita sabar. Kita sangka dia dan kita sehaluan destinasinya. 
Kita buka mulut, kita suarakan hasrat. Lampu tiba-tiba terpadam, 'black out'. Walau rasa itu sama, rupanya impian kami berbeza. Bayang menghilang dalam gelap, pergi bersama cahaya. Mata jadi buta. Sakit menusuk-nusuk dada, terluah jadi air mata. Menjerit tiada suara, hampir gila memendam segalanya. Namun memaksa, bukan sekali-kali cara kita. Cukuplah dengan lima kali hitungan jari, merayu agar dikembalikan cahaya. Hampa.
"jiwaku tidak sekuat besi, malah bukan seteguh batu. gagah mengukir senyum berseri, tangis di hati tak siapa yang tahu". 
Sakit. Amat sakit. Apatah lagi bila bersendiri, tiada mata yang memerhati. Terhambur segala derita di hati. Esak dan tangis yang setia menemani. 
Fahamkah awak..

Thursday 27 March 2014

Pecah


Kata orang: Berpisah mati itu lebih sakit dari berpisah hidup. Berpisah hidup, kita masih boleh melihat dia dan mengambil tahu tentang sakit pening, susah senang dirinya walau dari kejauhan. Berpisah mati, yang tinggal hanya memori sentiasa hadir menghantui. Bukan atas pilihan, semuanya takdir Tuhan.

Sebenarnya, berpisah hidup atau mati sama sahaja andai berpisah itu berasaskan cinta. Kedua-keduanya meyeksakan, pedih menghiris hingga ke hulu hati kerana... yang disayangi tiada lagi di sisi. Biar apapun punca dan sebabnya, dia kini tiada lagi. Noktah.

Atas nama cinta, yang dinamakan 'kehilangan' itu pasti menikam jiwa, membunuh rasa. Yang mungkin mendatang, pasti tidak akan sama seperti dia yang hilang pergi. Tak terbanding kerana dia cinta sejati.
Bukan sedikit kesannya. Sakit. Amat menyakitkan.


Wednesday 26 March 2014

Sanggup


Andai ada yang bertanya: Awak sudah fikir masak-masak hendak berkahwin dengan dia?
Jawab Gadis: Saya sudah letih berfikir. Malah saya tidak mahu berfikir lagi kerana berfikir bukannya dapat mengurangkan rasa sedih ini. Kalau berfikir sehabis mana pun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semuanya bukan terletak di tangan kita, kan?
Saya ingin mengahwini dia dan berserah pada keadaan serta doakan segalanya baik-baik belaka dengan izin Tuhan. 
Andai dia juga sanggup...

Sunday 23 March 2014

Cinta VI


Cinta itu seperti angin.
Kita tidak pernah melihat angin kerana angin tidak pernah ada warna. Namun apabila angin menghembus, kita dapat rasa ianya sejuk dan mendamaikan. Dan kita tahu itu adalah sentuhan angin. 
Cinta itu seperti udara.
Tak terperasan, tidak difikirkan. Namun ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Seksa hingga menghilang nyawa andai ia hilang. 
Cinta itu tak dapat dilihat.
Namun terbias pas senyuman yang diberikan, terlihat pada pantulan dari pandangan yang memancarkan kegembiraan. 

Cinta itu ada.

Friday 7 March 2014

Sepi IV


dalam hidup
adakala lebih banyak saat sedih dari saat bahagia
adakala lebih banyak sunyi dari ketawa
dan 
yang paling menyiat jiwa
apabila tiada sesiapa di sisi untuk berkongsi rasa.

... dari mana lagi dapat diperoleh kekuatan
jika tidak dari Allah Ta'ala Maha Hebat, Maha Perkasa, Maha Pengatur segalanya. 

Thursday 6 March 2014

Cinta dan Rindu


Sayu terasa hati bila membaca coretan di halaman seseorang:

Mencintai tidak semestinya memiliki.
mengingini bukan bererti mengidam berahi.
rasa itu kurnia Ilahi
sementelahan sepi hati tak pernah sunyi
bahagia bermakna mensyukuri setiap nikmat dan manis kelat dugaan emosi
Betapa mahalnya mimpi.
_________________________________

Namun

apa ertinya cintanya andai tidak boleh memiliki
pagi jadi suram ibarat kehilangan sirna tatkala fajar menjelma
Haruskah disingkirkan cinta indah semalam kerana takut akan terluka hati esok hari?

Selalu kita berkata begitu. Selalu kita tanamkan azam begini.
Setiap hari berkata mahu menyingkirkan dia dari hati. Mahu membuang dia jauh dari ingatan. Tapi tidak mampu kerana kekuatan itu tidak ada, kerana rasa sayang ini telah sebati. 
Mampukah menipu diri sendiri, sedangkan rindu masih ada menebal dalam hati?

Sunday 2 March 2014

Semangat Yang Hilang IV


Kata orang: Cinta itu datang dari mata yang memandang, lalu mengalir perlahan memasuki ruang dan rongga hati. Namun bagaimana pula dengan semangat? Dari mana datangnya 'semangat' untuk membuat sesuatu itu?
Adakala diri ingin berhenti membatu. Ingin melakukan sesuatu. Ingin mencoret segala falsafah diri dan ingin mengepal mimpi hingga padu menjadi sebuah kenyataan. Tiada yang mustahil, kata mereka. Azam mula melangit. 
Tiba-tiba datang ujian dan diri jatuh terhempas ke bumi. Sayap-sayap emas gugur dari tubuh, hilang jadi debu. Semangat jadi kelam, ilham juga menjauh. 
Dari mana datangnya 'semangat' itu? Kemanakah ia pergi sewaktu ianya menghilang? Khabarkanlah teman, agar dapat kukutip satu per satu untuk disimpan erat di peti jiwa. Moga semangat itu tidak akan hilang lagi. 

Saturday 1 March 2014

Hati Seorang Perempuan



Bila berbicara tentang hati, yang tersurat dan yang tersirat...
*************************
Sepertimana gadis gadis lain yang sebaya dengannya, dia juga ada impian. Terutamanya impian yang ada kaitannya tentang hidup dan masa depan. Lebih-lebih lagi bila umur semakin meningkat. Terdetik jua keinginan dihati bila melihat teman teman yang lain telah berpunya dan telah berumahtangga.

Namun apabila bercerita tentang cinta, dia membatukan diri. Padanya keikhlasan dan kesetiaan adalah tunjang utama dalam perhubungan walaupun dia tidak pasti sama ada dia mampu memiliki sesuatu yang dinamakan kebahagiaan itu. Dia tidak tahu sama ada dia mampu untuk membahagiakan hati seorang lelaki bergelar suami. Baginya, masa depan itu terlalu samar.. apakah corak hidupnya setelah bergelar isteri?

Saat berbicara tentang soal hati, dia memang selembut sutera. Tapi bila badai dan masalah melanda, dia mampu menjadi sekeras berlian, tabah menghadapinya. Cuma sesekali, hatinya juga mampu goyah..