Thursday 31 January 2013

Selamat Malam


antara mimpi dan nyata.. antara ada dan tiada

******************************

Biarkan berlalu
Semua kepedihanmu
Lelapkan matamu
Biarkan mimpi membawamu
Ke mana kau mahu
Selamat malam
Tidurlah sayangku
Siang kan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Biarkan berlabuh tirai kisah semalam
Yang indah itu ada padamu
Dengan setiap impian dan harapan
Selamat malam
Tidurlah sayangku
Siangkan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Kan ku menjadi arjuna dalam mimpi-mimpimu
Kan ku panah tepat ke jiwamu atas nama cintaku
Pari-pari ku utus bawa kau ke sini lagi
Terhapus semua air mata dengan senyuman

Selamat malam sayang
Selamat malam kasih
Selamat malam sayang
Selamat malam sayang
Selamat malam kasih

Selamat malam sayangku
Tidurlah sayangku
Siangkan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Selamat malam
Tidurlah sayangku

~Faizal Tahir~

Wednesday 30 January 2013

Sayang Adikku Sayang



Adik duduk termenung di muka pintu. 
Wajah yang selalunya begitu manis dan ceria langsung tidak kelihatan. Hmm..pasti ada yang telah mengores hatinya. Adik memang begitu, manjanya tiada tandingan, keletahnya menghiburkan semua, senyumnya tak lekang dari bibir dan ketawanya boleh kedengaran satu rumah. Tapi hatinya juga amat mudah tersentuh, ibarat nipisnya kulit bawang. Jika tidak teliti, mudah saja terkoyak.  

"Kak, mari ikut adik pergi Alaska. Kita pergi berdua aje, tak payah bawa orang lain", tiba tiba adik bersuara sambil menarik tangan saya. Ah...pasti berat kes kali ini. Saya perlu membuat adik tenang semula.

* Adik, Alaska tu kan jauh. Lagipun Kakak tak tahan sejuk. Adik tentu tak mahu Kakak sakit, bukan?
- Habis tu, Adik nak menyorok di mana?
* Apa kata Adik sorok atas pokok aje. Bila ada barang yang hilang, orang selalu akan mencarinya di     
  bawah saja (bawah meja, bawah kerusi).  Jarang ada yang akan mencari di atas. 
- Tapi Adik tak tahu panjat pokok.
* Apa kata kalau adik menyorok dalam almari pakaian?
- Tak mahu lah. Bila tutup pintu almari, nanti gelap. Adik takut gelap. Lagi pun, tak banyak udara. Nanti adik lemas.
* Apa kata kalau Adik menyorok bawah katil?
- Kakak ni tak ada kreativiti langsung. Kat situ, tempat pertama yang Ibu akan cari Adik.
* Hmm..apa kata Adik sorok belakang Kakak saja? 
- Kakak! Kakak bukannya lebar. Sekali pandang saja orang dah boleh nampak Adik belakang Kakak.
* Kalau begitu, Adik jangan menyorok ye. Cuba Adik cerita pada Kakak kenapa Adik nak menyorok. Mana tau Kakak boleh tolong Adik. 

Sambil mencium ubun ubunnya, saya cuba mengorek misteri tentang rajuknya. Perlahan lahan adik membuka cerita perihal dia dimarahi ibu kerana ponteng sekolah agama semalam. Sambil bercerita, air matanya laju menitis. Katanya ibu sudah tidak sayang dia lagi kerana inilah kali pertama ibu merotannya. 

Adik, Ibu sangat sayang adik. Tak baik merajuk dengan ibu. Ibu marah hanya sekali sekala dan hanya bila perlu. Marah tandanya dia sayang, dia masih ingin menegur kesalahan adik. Kita selalu lupa pengajaran sewaktu kita gembira. Tapi kita akan ingat sentiasa pengajaran yang datang dengan kesedihan atau kesakitan. 

Adik tahu ibu masak apa hari ini? Sambal tumis udang yang adik suka. Rugi saja kalau adik merajuk dan menyorok. Pergi basuh muka, kita makan sama sama ye. Adik lambat, kakak habiskan semua. :p

Tuesday 29 January 2013

Sendiri


Sendiri..
 fikiran melayang jauh.
menyelusuri masa dan ketika
benar benar rindu.
perasaan sayang semakin dalam.

Sendiri
diri mula mengenali
apa erti cinta
apa erti rindu 
apa erti sepi

Rindu menyapa kalbu
Sepi mengajar diri bersabar dalam melayari kesunyian.
Ingin dia sentiasa ada
sentiasa bersama

Jarak dan masa..
tidak sesekali bersimpati pada hati yang merindu.

Monday 28 January 2013

Tentang Cinta


Kata orang
setiap makhluk yang dijadikan Tuhan diberi deria untuk mempertahankan diri
harimau mempertahankan diri dengan tajam kuku serta taringnya
gajah dengan saiz badan dan tenaganya
kerbau dengan tanduknya yang mampu merobek isi perut musuhnya
ular pula sangat berbisa

Manusia
mereka memiliki cinta
dan dengan cinta itu
mereka mampu menahan kesepian dalam kedinginan malam
menolak pelbagai tohmahan serta ujian
demi sebuah rasa yang dinamakan 'cinta'

Benarkah..? 

Sunday 27 January 2013

Ada Suara, Ada Cinta


Bagaimana hendak membalas renungan sepasang mata yang tak henti memerhati.
Sukarnya menjadi seorang perempuan. Hati begitu petah menyulam bicara namun bibir tidak mampu untuk meluahkan rasa.

Disini mula ku rasakan
ada yang menyentuh perasaan
ada suara yang membisikkan
ada cinta yang sungguh mendalam
dari satu renungan yang tajam
kekal dalam ingatan

Kasihku kan tetap bersamamu
walau kita tak pasti bersatu
namun cinta yang menemukan kita
di antara rindu dan kasih

Andainya telah ditakdirkan
kita kan melangkah seiringan
pasti seribu kasih dicurahkan
ku serahkan dengan tiada sempadan

Ada suara yang membisikkan
ada cinta yang sungguh mendalam.

Saturday 26 January 2013

Apa Ada Di Hati



Kebencian hanya akan membawa kemusnahan. Namun jalan menuju kebahagian juga bukan mudah.. sentiasa ada onak dan duri. Kenapa? Kerana tiada apa yang percuma dalam dunia ini... Semuanya ada harga yang perlu di bayar..
******************************
Dalam berbual-bual, tiba tiba dia mengalih topik perbualan.
Kata dia: Awak tahu, dalam hati saya sekarang ada taman..
Kata saya: Aik. Sejak bila pula tu? (senyum) 
Kata dia: Kenapa? Pelik sangat ke?
Kata saya: Tak pelik. Ayat tu memang 'cliche', sentiasa di mulut budak budak muda zaman sekarang. Tapi. rasa macam ianya tak sesuai datangnya dari mulut awak.(senyum)
Kata dia: Apa orang macam saya tak boleh 'jiwang'? Hanya kerana nampak garang, tak boleh ada perasaan macam tu?
Kata saya: (ketawa) Tak adalah macam tu. Jangan le tambah 'sensitif' kat portfolio awak tu. Langsung tak padan. Ok, serius sekejap. Taman apa ye yang ada kat hati awak? Taman Rama Rama? Taman Orkid? Taman Asean? Atau..Taman Buaya? (ketawa)
Kata dia: Awak ketawakan saya ye. Cemburu le tu. Sekurang kurangnya dalam hati saya ada 'taman'. Dalam hati awak ada apa. Pergi kerja awal, balik kerja lewat. Kebahagiaan tu bukannya boleh di beli dengan duit. Awak tak terasa ada apa apa yang kurang ke dalam hidup awak..?  Awak tahu tak..bila hati terasa kosong, segala kemewahan, degree, kerjaya, semua tu tak ada maknanya. Sama aje macam debu di jalanan.
*******
'Touche'. Mengusik orang tak berpada pada, tapi bila kena pada batang hidung sendiri, seolah  jadi bisu. Tak terjawab.
Apa ada dalam hati saya? Dia silap, hati saya tidak kosong. Ada sesuatu yang tak bisa di luahkan. Sesuatu yang tak mungkin orang lain akan faham. Jangan hanya melihat pada zahir.
Hidup di dunia ini seperti satu perjalanan yang terlalu panjang. Dalam perjalanan tersebut, kita banyak membuat persinggahan. Adakala kita terleka dan singgah terlalu lama di satu dua tempat hingga terlupa destinasi terakhir kita.
         Tidak akan terlihat keindahan 7 warna pelangi, andai tiada hujan membasahi bumi..

Friday 25 January 2013

Koma

Terbaring
tenat
sadar telah hilang
dalam satu lena yang panjang
seriuskah keadaannya?

Terbaring
kaku
namun
nadi masih berdenyut dan 
jasad masih bernyawa
seriuskah situasinya?

Terbaring 
bisu
waima dicaci
dipujuk, dirayu
tiada hasilan
tubuh masih terbujur kaku
seriuskah kondisinya?

Aduhai tetikus yang koma. Asa menjelma dan pasrah pasti mengekori sedetik lagi.
Haruskah kucari pengganti?

Thursday 24 January 2013

Cinta Beralih Arah



Sejahtera untuk awak berdua.
Ini memang hal yang aneh untuk saya. Malah mungkin juga untuk awak berdua. Keanehan ini memang bukan pilihan kita. Kadangkala ada perkara yang kita mahu, tapi lain pula jadinya. Pernah juga saya terfikir: adakah surat ini dapat meleraikan apa yang tersimpul dalam hati masing masing? Biarpun simpulan itu mampu dilonggarkan , ianya tetap menjerat hati.

Untuk Tasha, saya akui saya memang ada menaruh hati pada awak. Kalau awak pernah perhatikan saat air berkocak bila ada batu dilemparkan, begitulah umpamanya perasaan saya bila pertama kali bertemu dengan awak. Silapnya, saya bukan seorang lelaki yang berani berterus terang. Saya hanya seorang pencinta yang berani memerhati dari hujung sana. Seperti burung yang hanya memerhati keindahan suria yang terbenam.

Untuk Haliza, sebenarnya awak memang wujud dalam lingkungan mata saya. Tetapi kerana awak sentiasa bersama Tasha, awak adalah umpama awan yang meliputi puncak gunung. Orang akan memerhatikan gunung dahulu. Tetapi saya akui awak adalah awan putih yang terpilih.

Untuk semua, saya telah berfikir banyak tentang hal ini dan ianya sebenarnya mudah. Seperti yang saya katakan, saya memang menaruh hati kepada Tasha dan hari itu sewaktu kita bertiga ke rumah saya, tujuan nya adalah untuk mengenalkan Tasha kepada ibu dan memohon restunya. Namun bila ibu tiba tiba menyentuh dan mengangkat dagu Haliza, hati saya tiba tiba gundah. Saya bungkam dan jadi tidak mengerti dengan perasaan saya sendiri. Turutkan rasa hati atau turutkan pilihan ibu. Sedangkan awak berdua adalah sahabat karib.

Semalaman saya berfikir. Namun siapalah saya? Sedangkan Nabi Ismail sendiri boleh menceraikan isterinya semata mata untuk menunaikan suruhan ayahnya, apatah lagi saya seorang biasa yang bukan apa apa pun. Bagaimana saya hendak menolak permintaan ibu sedangkan syurga di bawah telapak kakinya? Ibu tidak memaksa, namun naluri keibuaan nya pasti tepat dalam memilih siapa yang sesuai untuk anaknya.

Maafkan saya, Tasha, kerana saya tidak mampu untuk meneruskan hajat hati memiliki diri dan hati awak. Namun, ketahuilah, awaklah yang terbaik

Maafkan saya, Haliza, kerana mengalihkan perasaan hati ini daripada Tasha, teman baik awak, kepada diri awak. Mungkin saya sedikit angkuh bila mengatakan yang saya khuatir awak berdua akan berjauhan bahu hanya kerana saya. Tetapi saya yakin awak berdua bukan seperti pasir, hanya kerana riak ombak melanda, ianya terus berubah.

Sekali lagi, Tasha..maafkan saya. Haliza, terimalah saya dalam hidup awak kerana rasanya belum lagi terlewat dan tidak terlalu cepat kerana saya yakin dengan restu ibu dan satu perasaan yang di namakan cinta..
************************
 ~Fragment dari 'Dunia Ini Sederhana Kecil' -Baharuddin Bekri-~

Wednesday 23 January 2013

Rintihan Seorang Isteri



Keringkanlah pipimu ratnaku
Cubalah senyum..
Kerna tangisanmu akan hanya menambah dukaku

********************************
Cerita dia: Terkadang saya tertanya tanya kenapa saya berkahwin...

Tanya saya: Kenapa ye? Bukan ke awak nampak bahagia selama ini?

Kata dia: Zahirnya itu yang saya cuba tunjukkan. Namun, realitinya ikut nasib badan. Untung sabut, timbul. Kalau malang, tenggelamlah dia.
Awak tahu, orang lelaki ni hidupnya jadi mudah bila berumahtangga. Tidak perlu ke dapur, tidak perlu membasuh pinggan , memasak atau menjaga anak apabila letih pulang dari kerja. Tak seperti tugas seorang isteri. Sentiasa ada sahaja yang perlu diuruskan.
Apabila isteri lakukan kesilapan kecil, pasti laju sahaja mulut si suami hendak mengherdik dan mengkritik tanpa pedulikan hati seorang isteri yang mudah tersentuh, sebak, sedih dan kecewa.
Ada suami yang anggap dirinya betul sentiasa. Isteri tiada hak untuk bersuara apatah lagi untuk membetulkan keadaan. Segala usaha untuk menjaga rumahtangga tidak dilihat, ditambah lagi dengan kata kata kasar dari sang suami. Isteri yang penyabar mungkin hanya akan mendiamkan diri sambil makan hati. Bagi yang berani, pasti runtuh satu rumah dengan bunyi gaduh suami isteri.
**********
Saya terdiam.
Betul kata dia. Yang nyatanya perkahwinan bukan lesen untuk mendera emosi dan fizikal sang isteri. Ada isteri yang tidak mengharap limpahan wang atau kemewahan yang menggunung dari suami. Hanya inginkan kasih sayang, belaian dan perhatian sewajarnya

Seorang perempuan juga mempunyai maruah diri. Terkadang dia tidak mampu meluahkan hasrat hatinya dengan kata kata. Andai diperlakukan dengan lembut, pasti dia akan memberikan seluruh cinta dan kesetiaannya pada seorang lelaki bergelar suami. Hati yang tercalar mungkin akan sembuh tapi parutnya pasti tidak akan hilang seumur hidupnya.
          Hargailah.

Tuesday 22 January 2013

Permata


Terang sudah
Tak perlu diucapkan lagi
Kata-kata
Hanyalah cermin bahasa hati
Hanya Tuhan
Tahu perasaan ini
Jerit hati senada
Untuk ingin bersama-sama
Denganmu kekasih hati

Kau pertama
Mengetuk pintu alam cintaku
Kau pertama
Ternyata hidup di dalam khayalku

Dan kita
Sama-sama penah merasai
Halaman indah ini
Hampir membakar diri
Kerana api cemburu
Kita bina kekuatan

Dan kitalah permata asyik
Tenggelam dilubuk yang dalam
Masih
Punyai satu rasa
Punyai satu falsafah cinta
Yang masih tetap berharga
Biarpun dicemari
Kitalah permata

Monday 21 January 2013

Untuk Apa



Jika diri terus membisu, menutup ruang kata-kata. Tiada kan wujud madah dan pujangga.
Hitunglah hari kelmarin yang mengundang luka.
*******************
Adakala hati bertanya:
Untuk apa semua kejayaan ini? untuk apa semua kecantikan ini?
Untuk apa senyuman semanis gula? Untuk apa segala kepujian yang diterima?

Untuk apa kesemuanya andai tiada teman untuk berkongsi kegembiraan. Segala kejayaan, segala kehormatan, piala, pangkat, darjat menjadi sia sia.

Adakala, manisnya kedengaran ucapan tahniah, bergemuruh bunyi tepukan di dewan. Bergemerlapan cahaya 'flash', masing-masing menangkap gambar orang yang diraikan. Senyuman dan tangan bersalaman silih berganti. Menerima segala pujian.

Tapi semuanya untuk apa?
Lebih tepat lagi untuk siapa?
Hati masih sepi, sunyi. Kosong seperti rumah ini yang tak berpenghuni.

Aku ingin jadi insan yang istimewa di hati seseorang dan bukannya satu nama yang gah hebat diperkatakan ramai. Aku hanya ingin bersama dirimu.

Selamatkanlah aku dari kekosongan yang membelenggu.

Sunday 20 January 2013

Fireworks


Dia menemani saya melihat bulan malam ini.

Mulutnya tak henti bercerita tentang tunangnya dan hari pertunangannya yang selamat dilangsungkan siang tadi. Saya tersenyum..terhibur melihat keletahnya..darah muda katakan.

'Macam mana Hawa boleh terpikat pada dia?' tanya saya dalam nada mengusik.

Hawa terdiam sebentar, sebelum menjawab dengan serius:

'Susah nak terangkan, sis. Dia tu macam fireworks. Setiap kali pandangan kami bertemu, terasa seperti ada 'arus elektrik', tak pun macam ada pameran bunga api dalam dada. Berwarna warni..penuh dengan letupan dan degupan jantung jadi deras.'

Saya tersenyum. "Sampai macam tu sekali?"

Hawa tersipu malu.
"Sis mungkin tak percaya. Tapi..itu yang saya rasa. Alah, sis..Ibarat angin. Kita tak boleh nampak angin, tapi kita boleh rasa dan kita tahu angin itu ada. Sis faham kan apa saya maksudkan?'

Kesian dia. Saya harus berhenti mengusik dia. Saya mengangguk dan perlahan lahan alihkan pandangan ke bulan. Indah pemandangan malam ni.

Fireworks..? Hopefully fireworks mereka berdua tak akan terpadam. Hidup ini tak semudah itu, Hawa. Ada ranjau dan ada durinya. Tapi setiap ceritanya pasti berlainan kan. Hawa jelas lebih kuat semangat nya.

Selamat Bertunang, Hawa dan semoga berbahagia. Jangan dibakar semua mercun yang ada ye.. :)

Saturday 19 January 2013

Adakalanya


Larilah hingga ke hujung dunia.  Berenanglah hingga ke dasar lautan. Terbanglah hingga langit ke tujuh. Tak akan ketemui sebarang jawapan    
seandainya tidak diizinkan Tuhan.
          ***************************
Adakalanya hati tidak sekuat mana. Rapuh seperti menunggu tika untuk jatuh berkecai.
Tiada pintu yang terbuka dan fikiran jadi buntu. Tiada siapa untuk berkongsi cerita.

Dia pernah berkata:
Andai satu hari nanti waktu dan masa telah menjarakkan kita dan hati terasa berat memikul segalanya sendirian, ingat dan bacalah :
"Rabbishrah li sadri wa yassir li amri"
"O my Lord: Open my heart for me and help to make my task easier"

Hati, hentikan bertanya 'kenapa'. Ini semua kan takdir yang ditentukan Tuhan. Bukankah Allah telah menjanjikan jalan keluar bagi setiap masalah kepada sesiapa yang sabar dan percaya kepada Nya? Sabar itu sukar namun ... ianya tak mustahil bukan?
     

Friday 18 January 2013

Bangun Semula



Acapkali bila seseorang itu terjatuh, pandangannya akan tunduk ke bawah.
Mungkin cuba mencari apakah punca yang menyebabkan dia terjatuh: batu, kayu, lubang. Mungkin juga cuba untuk menyalahkan tanah: tanah tak rata hingga dia yang jadi mangsa. Atau mungkin juga untuk menghilangkan merah di muka, menahan malu sekiranya ada ramai yang memerhati saat kejatuhan tadi. :)  Apa sebenarnya yang dia nampak bila pandang ke bawah ye? Tanah atau lantai tentunya.
Kehidupan sebenarnya begitu juga. Apa faedahnya memandang ke bawah sepanjang masa? Pandangan hanya ke tanah, tidak nampak ada tangan yang menghulur untuk membantu bangun semula?
Hari ini, angkatlah wajah dan tataplah sekeliling. Dari masa ke semasa, kita pasti akan tersadung sesuatu dan jatuh..tapi kita mampu bangkit semula. Jangan jadikan ianya sesuatu yang besar. Angkatlah kepala dan pandang ke atas. Pandanglah ke langit biru.
Setiap orang pasti tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Dan setiap kali ianya berlaku, kita akan rasa bersalah. Semakin kita mengumpul dan melihat kesipan kesilapan yang kita lakukan, semakin kita akan tertekan dengan perasaan bersalah. Adakalanya kesan kesilapan tersebut adalah besar: perhubungan mungkin terjejas, keluarga berpecah belah.
Habis tu, adakah kita patut duduk diam, dengan harapan bila berbuat demikian kita tak akan melakukan sebarang kesilapan? Tidak, kita perlu teruskan hidup dan lakukan apa yang kita rasakan terbaik. Belajar dari kesilapan. Jatuh dan bangun semula, cuma jangan jatuh lagi di tempat yang sama.
Memaafkan orang lain itu perlu. Namun, cuba memaafkan diri sendiri itu lebih perlu. 




Thursday 17 January 2013

Langit Tinggi


Sudah lama dia memahat langit dengan angan-angan.
Memahat dan terus memahat tanpa henti. Bunyinya berirama hingga ke hujung dunia cinta. Laksana halwa telinga yang tidak pernah berbeza alunannya. Angan-angannya telah bermusim terpahat di langit ketujuh. Dan dia,si kembara malam yang sudah terlalu lama mengukir dada malam dengan bayang-bayang wajah pengilham....


Wanita mana yang tidak ingin dipuja. Jiwa wanita mana yang tidak ingin dibelai dengan ayat ayat cinta seperti di atas. Hati wanita mana yang tak tersentuh bila mendengar cerita dari rakan rakan tentang betapa romantisnya pasangan mereka.

Kadang kala hati terasa sayu pabila melihat teman lain mendapat bunga atau sms dari yang tersayang, Sedangkan diri ini yang di kelilingi ramai tetap terasa sunyi.

Kalau ini lah yang di namakan cinta, lebih rela hidup sendirian, tanpa menaruh sebarang harapan.
Airmata. 

Wednesday 16 January 2013

Perhentian



Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa sejak manusia itu lahir ke dunia. Cinta bermula dari rasa kasih yang di luahkan dengan setiap belaian ibu, membawa kepada rasa cinta kepada kekasih dan akhirnya cinta kepada Sang Pencipta..
***********************************
Kata Dia:  Hmm.. awak tahu..Saya cukup teruja dengan cerita tadi. Tentu seronok andai dapat jadi seperti watak utama tersebut. Bayangkan kalau kita dapat hidup buat selama lamanya. Kita boleh melihat perubahan dari satu zaman ke zaman, dari satu era ke era yang lain. Malah kita juga boleh menyaksikan bagaimana sejarah dicipta. Dan..ehem..yang paling utama..kita dapat hidup selama lamanya dengan orang tersayang.

Kata Saya: Entahlah. Kalau diberi saya untuk hidup selama 100 tahun, rasanya saya akan tolak.
Kata Dia: Kenapa pula?
Kata Saya: Siapa tahu apa akan terjadi pada masa akan datang? Mungkin dunia masa tu lebih teruk keadaannya berbanding sekarang. Mungkin juga hidup kita susah nak sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang mungkin lebih mencabar. Mungkin juga kita akan terasa sunyi bila kawan kawan yang rapat pergi ke alam satu lagi..seorang demi seorang. Yang tinggal kita saja. 'Selamanya' itu satu jangka masa yang terlalu amat lama..
Hari ini hati dia milik saya. Hari esok, belum tentu hatinya masih milik saya.
Awak tahu..andai saya ditakdirkan mati pada esok harinya, saya terima dengan rela. Kalau saya mati pun, saya akan mati dengan mata tertutup..(ketawa) kerana sekurang kurangnya saya telah miliki apa yang saya impikan.

Kata Dia: Ceh..awak ni tak sayang mulut langsung. Jangan le cakap macam tu! Nanti kalau mulut tu masin macam mana?

Saya tersenyum dan tidak menjawab pertanyaan dia. Kalau tak disebut pun, bila tiba masanya. mati tu tetap akan datang. Tak sesaat pun terlalu cepat atau terlalu lambat. Lebih baik di sebut sebab sekurang kurangnya saya akan sentiasa ingat pada kematian. Dan dengan ingatan itu, semoga hati akan menjadi lebih lembut dalam mengerjakan suruhan Tuhan. Bukankah hidup ini ibarat berteduh di satu perhentian sementara?

Tuesday 15 January 2013

Surat

Kata dia sambil tersenyum:
Untuk apa menulis surat? Zaman sekarang, lebih mudah dan pantas apabila menerima dan menghantar khabar melalui 'Skype', 'WhatsApp', 'Messenger'. Hanya dengan sekali sentuhan butang 'Hantar' di papan kekunci, salam dan hasrat terutus. Menunggu jawapan balas dari penerima dalam jangkamasa tak sampai seminit, lebih cepat dari memasak mee segera. Tiada bayaran pos. 
Kata saya sambil tersenyum juga:
Itu kata awak. Pada saya, surat ada sentuhan peribadi. Romantik.
Sekeping surat pengganti diri, nilainya lebih besar dari sepuluh pesanan ringkas diterima di telefon bimbit. Kesannya lebih mendalam. 
Terselit
di antara
setiap baris kata
setiap tanda koma
setiap ellipsis dan noktah
setiap tumpahan dakwat
setiap tompokan pudar deraian air mata.
Itulah sentuhan hati.
Sepucuk surat, bacanya berkali-kali. Lusuh berlipat, dibawa tidur, renyuk terletak di bawah bantal.

Monday 14 January 2013

Tentang Cinta


Kata orang, cinta itu pelik.
Benarkah? Atau mungkinkah kita yang adakala sukar untuk memahami hati kita sendiri maupun mendalami hati si dia?
Cinta
adakala bila dicari
amat sukar untuk ditemui.
Apabila kita tidak perlukannya
ia menyelusup perlahan lahan menyimpul suka menjadi sayang.
Dalam pada kita bersyukur padaNya
kerana menemukan kita
dengan orang yang menceriakan hati kita dengan cinta
kenapa masih ada ketikanya
airmata deras mengalir? 
Ikutkan rasa, binasa. Ikutkan hati, mati.

Kata mereka lagi, perempuan bila benar benar sayangkan seseorang, cintanya sepenuh hati. Peratusnya penuh 100%. Lelaki pula , bila menyintai, tidak semua ruang hatinya diberi. Masih ada ruang yang dikawal oleh fikiran.  
Orang perempuan boleh mengucap kata sayang berkali kali dalam sehari. Orang lelaki berpegang pada prinsip 'tak perlu diucapkan'. Kalau tidak disebut kata 'bosan' atau 'benci', itu maknanya sayang masih ada. Tetap ada. Katanya, biarlah perbuatan melambangkan keikhlasan hati. 
Bagaimana agaknya andai mata tidak dapat melihat dan telinga tidak mendengar? Janji tidak pernah dipadu? Bagaimana menilai erti satu cinta itu? Kesamaran.
Cinta bukan pelik. Mungkin kita yang terlalu cuba mengertikan apa itu cinta.
Lafaz dari hati. Cinta jadi lebih bererti. 

Sunday 13 January 2013

Mimosa


Kata Dia: 'Mimosa' itu hanya bebunga rumput liar. Walau ada yang melihat bunganya indah, hakikatnya Mimosa tetap dari rumpun keluarga 'rumput'. Tiada langsung nilai komersial, apatah lagi untuk dipuja sebagai ilham pemuisi.
Resmi duniayang indah dippuja-puja, yang capik diketepikanyang gagah disanjung tinggi, yang lemah dianak tirikanyang kaya dihormati, yang miskin di caci-caci.
Bukankah "Mimosa Pudica' itu hanya nama saintifik? Asal kejadian tidak berubah hanya dengan memanggilnya dengan nama lain. Daun 'Semalu' masih tetap akan menguncup bila disentuh maupun disapa oleh tiupan kuat sang angin. Bunga 'Semalu' berkembang sehari cuma. Sekuntum tidak kelihatan, banyak baru terlihat ungu di celah hijau rerumput. Tumbuhnya melata di longkang dan kawasan terbiar.
Hidup segan, mati tak mahu.Patah tumbuh, hilang senang berganti.Walau dipotong, umbinya masih mampu mengeluarkan pucuk yang baru.Ada tidak meramaikan, tiada tidak terasa.
Saya memandang dia. Dia dan falsafahnya yang pelbagai. Bukankah Tuhan telah jadikan setiap sesuatu itu ada yang sama dan ada yang berlainan? Rempah ratus dunia. Ada pelbagai rasa, pelbagai ragam. Saling melengkapi dan saling mempelajari erti kesabaran serta persaudaraan.
Mimosa.

Saturday 12 January 2013

Kuatkah Hati Ini?


Kata mereka:
Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.

Kata saya:
Betul kata mereka. Terutama sekali bila hati dan harapan telah diberikan untuk seseorang, mata tidak akan memandang yang lain.

Biar ombak memukul, biar ramai yang menyapa, dia lah juga yang didambakan. Biar buruk pada pandangan mata orang lain, pada pandangan mata saya, keburukan itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan segala kegembiraan yang dilalui dengannya.

Walau sekalipun akan ada yang menyapa. Waima akan ada yang datang mungkin lebih baik darinya. Hati tidak mahu berganjak. Mata masih memerhati pintu yang tertutup.\\
Sesungguhnya akan tiba masa-masanya kita keliru ianya soal hati.
Adakala kita sendiri yang memilih untuk tidak melihat jalan keluar yang lain kerana kita takut apa yang mungkin menanti di sebalik pintu pintu itu..

Meletakkan kepala di permukaan kaca meja. Kontras. Pandangan berpinar seketika.

Kuatkah hati ini? Saya hanya ingin memejamkan mata. Saya ingin dia ...

Friday 11 January 2013

Selangkah


Awak, setiap insan ada tahap keupayaan masing masing. Tahap yang berlainan.
Ada perkara saya mampu lakukan dan ada perkara yang diluar keupayaan saya.
Kudrat tak seiring dengan kemampuan. Saya takut saya tidak mampu jadi seperti yang awak inginkan.
Kata dia:
Awak terlalu banyak berfikir. Terlalu banyak risau, hingga setiap pergerakan awak sentiasa terkawal. Sentiasa ragu-ragu dalam membuat sesuatu. One day at a time, ok. Selangkah demi selangkah. Kita cuba yang terbaik, berubah untuk kebaikan bersama. Saya sentiasa ada dengan awak. Saya akan ada.
Selangkah. Demi. Selangkah.

Thursday 10 January 2013

Dekat Padamu

**************************
Dekat padamu… arah ingin ku tuju
Walaupun jauh akan ku tempuh
Kerana hanya sunyi yang menemani hari
Semenjak kau pergi membawa diri

Oh dekat padamu…
Di sana kan bersatu
Dua jiwa yang telah terpisah
Kesetiaan yang telah kita sama ikrarkan
Ku pegang teguh… janji ku kotakan

Andai tersalah arah… berikan ku tanda
Agar kau terima yang sebaiknya
Jika cinta kita hanya sejarah lama
Sudilah ku cuba kali kedua

Walau jauh akan ku gegas berlari
Walau tinggi bisa ku terbang di langit
Walau sedalam mana akan ku selami
Kerana cinta sedalam itu mekar
bila ku dekat padamu

Dekat padamu… itu destinasiku
Tak kira apa jua kan ku terima
Harapanku kan terbuka pintu di hatimu
Dengan rela menunggu kehadiranku

Andai tersalah arah… Berikan ku tanda
Agar kau terima yang sebaiknya
Harapan mendorong ku mengusung
cinta kita
Janganlah dibalas rasa kecewa
~KRU~ 
***************************
Kata dia, bila hati telah ditawan, tidak mungkin akan berpaling pada yang lain..
tapi mungkin dia lupa..manusia ada had keupayaannya. Takdir Tuhan mengatasi segalanya.


Tuesday 8 January 2013

Gurindam Jiwa 8


Langkah terhenti seketika.  Mata ligat memerhati sekeliling , mencari dari mana datangnya suara ketawa mengekek tersebut. Dia ke? Rasanya tak ramai yang punya gaya ketawa seperti itu.. Mungkin hanya 1 dalam puluhan sahaja. Rindu mencuit hati.
Hmm..bukan dia. Sebenarnya akal memang kuat berkata tak mungkin dia berada disini, tapi hati masih mengharap ada kemungkinan (walau hanya 10%) yang dialah pemilik ketawa tadi. Saya menggelengkan kepala  sambil tersenyum sendiri. Kenapa lah ye, hati memang selalu bertentangan dengan fikiran. Degil.. degil..dan degil.. seperti tuannya.
Walau kami berlainan ibu dan bapa, dan tiada sebarang talian kekeluargaan, tapi terasa banyak persamaan yang ada. Sebenarnya, kalau diikutkan, perbezaan kami juga banyak. Tapi bukan kah manusia ni lebih suka mencari apa saja persamaan yang ada bila dia sukakan sesuatu? Begitu juga jika sebaliknya.. 
Minda pantas meniti memori lalu. Arah perjalanan hidup kami agak selari. Cerita dia, seakan cerita saya juga. Bezanya..saya lebih suka memilih untuk menjauhkan diri bila masalah tiba. Mencari ruang untuk berfikir.
Ikin pula memilih untuk menghadapi apa jua rintangan dengan gelak tawa nya. Katanya, bila kita sedih dan kita layankan sedih tu, jiwa akan bertambah tertekan. Sepatutnya kita yang mengawal keadaan, bukan sebaliknya. Semakin tak ok, semakin kita kena 'ok' kan keadaan. Dan dia ketawa lagi.  
Adakalanya, saya ibaratkan dia bagai mentari, membawa sinarnya ke mana saja dia pergi. Mengusik dan diusik..  tawanya bergema lagi. Saya ingin sekali jadi seperti dia. Banyak perkara yang saya hanya mampu fikirkan, dia membuatnya dengan begitu mudah sekali.
Tapi, dia juga sebenarnya tidak sekuat yang saya sangkakan. Bila malam tiba dan tiada teman di sisi, dia akan jadi lebih rapuh dari saya. Waktu itu, saya pula cuba menjadi bahu tempat dia meluahkan rasa. Ibarat bulan yang hanya hadir diwaktu malam, walau cahaya nya tidak secerah mentari, namun sedikit sebanyak dapat menjadi tempat dia meluahkan rasa dan bercerita.
Apa agaknya khabar dia sekarang? Semoga segala masalah dia telah selesai. Hmm.. mungkin juga dia dah jadi jutawan seperti mana yang selalu dia angankan. Siapa tahu kan.. :) 
Mudah-mudahan.
   

Monday 7 January 2013

Meniti Haluan I


Kata dia:
Kejarlah segala cita dan impian yang awak idami.
Mengembaralah ke segenap ceruk rantau yang ingin awak lawati.
Lakukanlah apa saja yang awak ingini selagi ianya tidak menyalahi.
Pergilah. Lihatlah dunia. Saya tidak akan mengongkong awak. Saya rasa saya faham apa yang awak risaukan. Hidup awak baru bermula dan awak ingin peluang untuk mengaplikasikan segala yang dipelajari. Awak ingin mlompat setinggi yang boleh,cuba menggapai awan.
Usah berhati walang dan ragu. Hapuskanlah airmatamu, sayang. Hanya satu pesanan sebagai bekalan:
Andai lelah datang menyapa
andai mengah menghimpit jiwa
andai jerih membawa duka
andai nista menikam rasa
andai harapan beranap-ranapan
kembalilah ...

Andai awan tangan mencapai
andai tepukan gemuruh mengiringi
andai ramai datang mengelilingi
andai dunia tunduk mengagumi
andai gelaran kehormat sebaris panjang diperolehi dan
jati diri serta cinta masih bersemi
kembalilah ...

Namun
andai cinta beralih pandang
andai dedaunan rindu gugur kekeringan
andai nama ini hilang disapa angin
usah lagi berpaling
pergilah ...

Bayu yang bertiup tidak menyegarkan. Alam menyepi, seakan turut menanti akhiran sebuah pertemuan ini. 

Sunday 6 January 2013

Saat Ku Pejamkan Mata


Ketika ku putus harapan kau ke depan
Tika ku jatuh tersungkur kau bangunkan
Ku bersyukur kerana dikau ada
Kau buat hidup daku sempurna
Tika ramai yang membenci ku kau sayangi
Tika ramai yang memuji kau mengerti
Masa ku bukan hanya milik kita
Tetapi untuk dikongsi semua

( 1 )
Andainya kau tiada aku kan parah
Kehilangan arah dan hancur rebah
Kaulah segalanya makna kehidupanku
Oh tuhanku tolonglah beriku restu
Ku dalam pelukannya di saat itu
Saat daku dipejamkan mataku

Kau beri ku kekuatan bila tertekan
Beri yang ku perlu dan cintamu
Aku yakin akulah jejaka
Yang paling bertuah di dunia

( ulang 1 )

Semoga dia bersama
Saat daku pejamkan mata
Saat daku pejamkan mataku
Oh Tuhanku biarlah dia di situ

Oh Tuhanku biarlah dia di situ
Menemani diriku
Saat daku pejamkan mataku

Diriku ingin bersama ke akhirnya
Dan bila daku melamar katalah iya
Hanya itu saja ingin ku dengar
Ku kan ikhtiar terbaiknya untukmu

~KRU~ 

Saturday 5 January 2013

Misteri Cinta I


Apa tanda hari nak petang
anak merbah terciap-ciap
apa tanda cinta nak datang
tidur malam susah nak lelap.
Kata pujangga, Cinta itu datangnya dari mata dan turun ke hati.
Satu jelingan, satu pandangan mata yang redup mampu menyentuh dan menggegarkan jiwa. Bumi seakan teranjak dari paksinya. Nafas seakan terhenti sesaat. Resah mula meresap di dada. Hilang sunyi tatkala hati mula berbicara.
Kata saya:
Adakalanya cinta itu bermula dari bait kata-kata. Mata pena menari, menyusun bicara di atas lembaran kertas putih. Jari-jemari pantas menaip di papan kekunci. Perasaan terluah, mendamaikan fikiran dan membahagiakan hati. Satu ikatan jiwa terbentuk seiring dengan masa.
Lantas di mana letaknya cinta?
pada tajamnya panahan jelingan asmara?
pada derasnya aliran adrenalin dalam darah?
pada bunga-bunga teluki yang berkembangan di taman hati?
pada jiwa yang tertewas dengan alunan indah susunan bahasa?
Hidup menjadi serba aneh.
Gelodak perasaan bermain dalam diri. Andai tersentuh hati, merajuklah diri. Andai berasa terasing, mengalirlah mutiara jernih. Namun, andai dipujuk, mudah saja diri kembali tersenyum dan tawa menjadi halwa telinga. Pasang surut perasaan ketika bercinta. 
Begitulah.

Friday 4 January 2013

Memori II


Cinta itu aneh
namun dalam aneh ada indahnya
 dalam indah ada dukanya.

Memori.

Thursday 3 January 2013

Lelah


Salahkah saya?

Saya hanya impikan satu penghidupan yang lebih bahagia dan lebih bermakna. Saya inginkan kedamaian dan ketenangan jiwa. Mencuba untuk mencari kebahagiaan dengan cara saya sendiri.

Namun yang nyatanya bukan mudah untuk menjadi berani.
Bukan mudah untuk mengubah diri. Adakala terasa nafas seakan tersekat sekat seolah udara tidak mencukupi untuk memasuki rongga. Senak, sesak, terlalu sakit. seakan tersiat isi dari kulit.

Seandainya boleh saya ingin bahagia dengan ada pegangan, tidak lagi terkapai kapai mencari sinar cahaya. Bawalah saya pulang dari perjalanan yang amat jauh ini. Sekuat mana pun kudrat seorang wanita, tak mungkin terlawan ikatan takdir. Dan akhirnya, terlerai jua airmata.

Tuhan, tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Berikan aku petunjuk-Mu. Bantulah aku hadapi cubaan-Mu. Berikanlah aku kekuatan untuk jalani hidup ini.

Tuhan, ampunilah aku dan segala kesalahanku. Dekatkanlah hatiku hanya pada-Mu. Jangan lah dibiarkan ianya terpesong lagi, setelah ianya pernah goyah dengan dugaan-Mu. Leraikanlah segala kekusutan yang melanda jiwa. Sesungguhnya, adakala terasa tidak mampu menghadiahkan walau segaris senyuman.
Sakit. 

Wednesday 2 January 2013

Cerita Hati

Semalam yang telah pergi
menghilang tanpa jejak
membawa bersama cereka
duka dan ketawa

Dan kini ku mencari
kalau masih ada kesan
yang terus tersisa di dada
pada pantai permainan

Jalanan yang panjang
bersimpang haluan
bagai pentas luahan rasa
tiada sempadan

Pada awan biru ku melakar kata-kata
pada langit cerah ku panah semua cerita
dengarlah mentari suara hatiku menyanyi
bertebangan jiwa merentasi pelangi

Gerimis menitis gugur membasahi bumi
bagai menangisi sebuah cerita hati
andai kau fahami semua hikayat pendeta
seribu tahun kau pasti bisa setia ke alam syurga

Tuesday 1 January 2013

Tahun Baru



TAHUN BARU

Mengoyak 
dedaun kalender
helaiannya jatuh ke lantai 
bingit menjerit pada telinga yang tuli
'Bangun! Tahun baru hampir tiba!"

Menghitung
dedaun amalan
helaiannya rabik di sana sini
uban bercemidu mengintai dari balik tirai
'Bangun! Tahun baru hampir tiba!"

Adakah tahun hadapan kita akan sama seperti tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya?
Menyambut meriah tahun baru sambil menyapu dosa lalu di bawah hamparan alpa? 
Mungkinkah juga tahun baru yang menjelang tiba akan menyaksikan satu perubahan sikap dan satu anjakan paradigma? Tepuk dada, tanya selera.

-HN 26122012-