Tuesday 17 December 2013

Hujan

Rintik air
menitis laju
semakin deras membasahi aku.
Titisan air ini adalah hujan yang tidak pernah mengenal apa itu langit dan apa itu awan. Munculnya di dalam suram malam yang sunyi. Tercipanya dari pilu yang erat mendakap diri. Dinginnya hingga tubuh gigil membeku. Pedihnya menikam hingga ke kalbu. Tiada daya menahan sebak yang membuak.
Menepis titisan hujan. Pipi tetap basah. Di mana payung berwarna pelangi yang dia hadiahkan semalam?
Hilang dalam hujan. 


Monday 16 December 2013

Peti

Dalam hati ini ada sebuah peti.
Apabila diri terasa sunyi, sedih menyelimuti, air jernih bergenang di tepian tubir mata, maka akan saya lemparkan sahaja semua rasa itu ke dalam peti. Ditutup rapat, dikunci ketat.
Hanya rasa ria yang bebas di luar. Sepanjang hari saya gembira, bergurau senda bersama mereka, bekerja dengan senyuman pada suara, menulis komen bertukar idea. Dan... saya jadi lupa kewujudan peti. 
Namun di hujung minda, saya tahu peti tersebut tidak pernah wujud, walau sedari mula. Ilusi.

Sunday 15 December 2013

Cinta VI

Subhanallah. DIA yang menumbuhkan rasa cinta dalam hati manusia.
Perjalanan hidup ini bukan terletak di tangan kita untuk menentukan. Mungkin kita yang terpilih oleh Allah untuk mengharungi ujian 'Daya Tahan'. Sakit dan perit hanya kita yang merasa, begitu juga dengan rasa gembira. Pasti ada hikmah di sebalik badai dan taufan yang melanda. 
'Bila Allah tidak beri apa yang kita mahu, sebenarnya Allah ingin menunjukkan kepada kita apa yang kita perlu, lebih daripada apa yang kita mahu, kerana hanya Dia yang Maha Tahu.'

Sunday 17 November 2013

Padam


Andai dikurniakan Tuhan keupayaan untuk memadamkan satu episod dalam kehidupan semalam dan diberikan peluang untuk mengubah ceritanya sekali lagi, pasti banyak yang ingin diubah. Kalaulah.... Andai saja....
Dengan perkataan 'andai' atau 'kalau' itu, sang fakir boleh jadi kaya raya, Pak Kaduk tidak akan tergadai kampung dan Si Luncai mungkin tidak akan terjun dengan labu-labunya. Mungkin ada yang akan menangguhkan taubatnya, melakukan apa saja sukanya kerana 'bukankah esok itu masih ada', masih boleh dipadam dan ditulis semula?
Redha. Pengalaman semalam mendewasakan kita. Ianya juga mungkin menjadikan kita sebagaimana diri kita yang ada sekarang. Untuk apa berangan mengubah perkara yang lepas. Letakkan saja masa silam itu di tempatnya: di belakang. Tulislah cerita untuk hari ini dengan baik agar hasilnya dapat dilihat pada masa hadapan. Bukankah itu lebih bagus?
Introspeksi. 

Saturday 16 November 2013

Antara Cinta dan Benci

 

Kata orang, antara cinta dan benci itu, garis pemisahnya amat tipis. Warnanya amat kabur. Antara hitam dan putih, di tengah-tengahnya ada kelabu. Kalau kita lihat tompok-tompok putih dan hitam di atas lama-lama, pasti kita akan nampak dalam titik hitam itu ada titik putih. Apabila kita fokus pula pada kawasan putih, titik hitam pula akan mengganggu konsentrasi, mendominasi. Juling.
Begitu juga hakikatnya dengan perasaan. Mungkin kita tidak boleh terlalu membenci atau terlalu mencintai seseorang. Dikhuatiri daripada terlalu mencintai, satu hari ianya boleh berubah menjadi benci. Begitu juga sebaliknya. Tiada yang mustahil. Bukankah jodoh itu letaknya di tangan Yang Maha Pencipta? Ianya boleh datang dan hilang dalam seketika.


Friday 15 November 2013

Uda dan Dara


"Berat kupikul sakit kutanggung, Ibu,
tapi Dara hanyalah satu, 
tak dapat ditukar ganti,
tak dapat dijual beli.

Jika begini penanggunganku kerana Dara,
maka relalah hamba menerimanya."

~petikan dari karya sasterawan negara Usman Awang~

Wednesday 13 November 2013

Introspeksi V: Burung Berang


Kata Albert Einstein: Kegilaan adalah berbuat sesuatu perkara dengan cara dan kaedah yang sama berkali-kali dan berulang kali dengan mengharapkan hasilnya akan berbeza. 
Adakalanya kita tahu cara kita itu tidak dapat selesaikan permasalahan, tapi kita masih terus cuba dan mencuba dengan strategi yang sama (mengharapkan masalah itu akan selesai akhirnya). Sebuah blok segiempat tepat tidak boleh dimuatkan dalam lubang berbentuk bulat, itu kita tahu. Namun kita berdegil, kita terus ketuk sehingga segiempat tersebut mampat, kemek. Kita percaya usaha itu tangga kejayaan. Work Hard.
Namun bukahkah itu degil namanya? Tidak mahu berganjak. Mengapa tidak mahu membuat satu anjakan paradigma, cuba mencari jalan lain selain dari cara yang pertama? Mengapa masih menghabiskan masa dengan terus berjalan menghentam dinding? Work Smart.
Introspeksi. 
~Ilham dari permainan 'burung berang, lastik dan babi hijau'. Masih melastik tembok dengan kaedah yang sama walau tak berjaya. :p ~

Wednesday 6 November 2013

Memandang Langit III


Adakala apabila terlalu lama memandang ke bawah, kita jadi tidak betah lagi untuk memandang ke atas. Apa yang selalu kita lihat adalah tanah, pasir, lumpur, becak dan jalan tar. Kehidupan.
Sesekali pandanglah langit yang luas terbentang. Langit yang siangnya dihiasi awan berkawan dan malamnya bertemankan bintang bekerdipan. Indah langit ciptaan Tuhan, seluas dan setenang mata yang memandang. Harapan.
Adakala kita sememangnya jadi lupa hakikat tersebut. Memandang ke langit. :)

Tuesday 5 November 2013

Benci Ubat

Tekak terasa perit
kepala sakit, ingin menjerit
perut meragam, senak menusuk-nusuk
air jernih mengalir, mengundang rintih.
Perih.

Preskripsi. Ubat disuruh telan. Dua biji, tiga kali sehari selepas makan. Ini arahan.

Muka bertambah kelat. Bibir muncung mengalahkan itik. 
Dua biji kecil katanya, namun tahukah dia kecil lagi si anak tekak. Rasa tersekat di kerongkong. 
Pahit. Maung. Kelat.

Benci. Benci. Benci. Benci nak makan ubat!


Monday 4 November 2013

Benci Dia


Peti pesanan ringkas kosong
telefon bimbit kaku di riba empunya
segalanya tidak bernyawa.

Hampa. Pedih. Pilu.

Benci dia.
Benci dia.
Benci dia.
Benci dia yang seakan tidak tahu ada yang menunggu, ada yang merindu, ada yang cuba menahan sendu.
Benci dia .... 

Tuesday 22 October 2013

Bulan Bintang Menemani


Malam ini bulan berada di kemuncaknya. Indah bagai bulan empat belas yang dikelilingi bintang-bintang sebagai dayang menari di langit malam. Pemandangan yang mengasyikkan. Damai dan menenangkan.
Namun di sebuah kamar, seorang Gadis tertidur dengan sisa-sisa airmata masih berbekas di pipi. Hatinya suram. Lenanya diganggu pelbagai igauan. Tiada suara membisikkan sabar, tiada jemari mengusap ubun-ubun, tiada bibir mengucup mesra dahi. Tiada sesiapa di sisi untuk membangkitkan Gadis dari resahnya. 
Salah. Gadis tidak sendirian. Sang bulan setia mengintai dari balik tirai langsir jendela kamar. Cahaya bulan menyuluh membelah kegelapan malam. Serangkaian bintang juga setia menghiasi alam untuk tatapan Gadis seandainya dia terjaga kelak. Moga hati Gadis ringan sedikit dan jiwa Gadis kan kembali tenang. 
Bulan dan bintang setia menemanimu, Gadis. 

Monday 21 October 2013

Berfikir Di Luar Kotak

Adakala kita hanya melihat apa yang kita kehendaki. Kita sempitkan fikiran dalam mencari jalan penyelesaian. Kita hanya bayangkan satu sahaja cara. Cara yang paling mudah selalunya. Segera selesainya. 
Sedangkan pintu-pintu lain sedia ada, menunggu untuk dibuka. Cuma memerlukan lebih masa dan usaha.
Usah lagi berfikir di bawah tempurung yang sempit dan malap. Kelak kita kan benar-benar jadi katak.

Sunday 20 October 2013

Luahkan Kasih Sayang 1


Awak sayang saya?
Awak sungguh sayang saya?
Ahh! Rasa kita sememangnya sama. :)

Saturday 19 October 2013

Luahkan Kasih Sayang 2


Saya sayang kamu
kamu sayang dia
tidak mahukah kamu berpaling dan sayangi saya?

Friday 18 October 2013

Teringin


Hujan.
Malam gelap likat
mengundang ingin
memanggil rasa.

Hujan. 
Ingin duduk di serambi
bersama secangkir kopi
sambil berayun kaki
masing-masing bercerita peri
ketawa memecah sunyi berselang seli.

Malam ini menghitung titisan hujan. Sendiri. Tanpa secangkir kopi, tanpa serambi. Mimpi.

Hujan ini mengundang 'ingin'.

Thursday 17 October 2013

Dekat Tapi Jauh


Selayang pandang ke langit malam.
Walau dua butir bintang itu kelihatan begitu dekat
malah begitu rapat, bersebelahan sahaja
namun realitinya
mereka terpisah jauh 
berjuta malah berbillion batu antara satu sama lain.

Dekat tapi sebenarnya amat jauh.

Adakala
hati terasa sepi.

Wednesday 16 October 2013

Dalam Hati Ada Ragu


Ibu memaksaku
memilih satu pria antara beribu
sebagai pilihan bakal menantu
memandangkan waktu makin berlalu
kian meningkat usiaku
bimbang nanti akan tak laku.
Andartu.

Pening kepalaku
belum terfikir hingga ke situ
apatah lagi banyak kekuranganku
masak memasak selalu diserah pada ibu
tidak memikir lain kecuali kerja yang satu.
Kerjayaku.

Sudah bersediakah aku?
Dalam hati ada ragu. 
Beribu.

-LM/HN18102013-


Tuesday 15 October 2013

Dalam Hati Ada Sepi

Dulu
mereka berkongsi ria
kongsi ketawa
kongsi rahsia
kongsi segala
dari tahap naif ke tahap nakal ke tahap sedar semula.

Kini
temannya hilang dari sisi
hanya tubuh kaku terdampar bisu
pergi yang tiada kembali lagi.

Luka yang ada terlalu dalam
betapa dia cuba menenangkan hati
betapa dia cuba menghilangkan memori
betapa dia cuba tidak tenggelam dalam diri.
Sendiri.

Dalam hati ada sepi.

Monday 14 October 2013

Dalam Hati Ada Iri

Iri. 
Hati meluap-luap benci.
Bibir ingin sahaja mencaci
mata dipenuhi panah berapi
ingin ditikam lawannya hingga sampai mati.

Iri.
Tak ingin sesiapa melebihi
tak mahu diri diletak tepi
pentas utama ingin dimiliki
walau sedar bakat yang ada tidak dapat menandingi.

Dalam hati ada ...
Iri.

~LM/HN17102013 Rasopariso~

Sunday 13 October 2013

Dalam Hati Ada Doa

Harum semerbak
goreng pisang masakan ibu
apatah pula jika dicecah kicap bergula
mengalir liur, tak sabar menunggu ketika.

Pinggan diletak
bibir berdecap
tangan menggapai
harapan tercapai
pantas gerakan, suapan demi suapan.

Aduh! Tangan dipukul ibu. Sudahkah dibaca 'Bismillah'?
Sengih kerang. Pisang habis dikunyah, telan hingga ke perut.
Sudah. Doa dalam hati.

Dalam hati ada doa.

~LM/HN17102013-Rasopariso~

Sunday 6 October 2013

Langit Tinggi


Serasa seperti ada aliran elektrik yang mengalir ke dalam tubuh setiap kali tangan bersentuhan. Andai sahaja Gadis dapat membaca apa yang ada di minda Jejaka. Andai sahaja Jejaka juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Gadis. Andai sahaja getaran tersebut sebenarnya turut dialami Jejaka. 
Gadis terasa seolah mampu terbang ke langit tinggi menggapai awanan. 
Tuhan, tunaikanlah impian ini. Kurniakanlah Gadis sepasang sayap. 

Saturday 5 October 2013

Gelap

Ada malaikat dalam gelap
bawa cahaya
bawa sinar
terpadam segala silap.

Hilang malap.
Hapuslah gelap.


-LM/HN05102013-
(Bengkel Asas Penulisan Sajak - anjuran KHS)

Friday 4 October 2013

Sepi Sekuntum Mawar

Sekuntum mawar itu indah berseri.
Segar mewangi, menguntum senyuman menyambut kehadiran pagi.
Lembut wajah, merah rona kelopaknya.
Namun sesekali mawar bertanya pada diri: kenapa dirinya masih sepi? Walau dia diibaratkan sang puteri di taman ini, kenapa belum ada yang ingin menyunting diri? Mengapa tiada yang menghampiri? Sepi terasa hati. Sunyi melanda diri. 
Sabarlah sang mawar. Nasihat bonda: jagalah diri, perindahkan pekerti. Penuhkan hari dengan amal dan bakti. Akan tiba hari yang dinanti-nanti. di mana ada yang akan menyinggah taman memilih diri sebagai permaisuri hati. Dia yang dijanji.
Hilang segala sepi. Semuanya akan terjawab pasti.

Thursday 3 October 2013

Asing 2

Gadis tidak menyedari betapa laju titis air menakung kolam hati jejaka. Dek gagal memberikan sedikit masa buat gadis yang ditakhta.
Tanpa gadis terduga makcik itulah wakil jejaka. Padanya telah dicerita, tanggungjawab pada tugas datang bertimpa. Berat hati untuk menutur bicara. Dia pasrah, biar masa menentukan segala.
Jejaka bukanlah pengecewa, cuma jiwanya enggan terlalu berbicara. Sedikit pengertian ditagih dari gadis dipuja. Walaupun tidak di meja, namun Gadis tetap dihati sepanjang masa. Melekat di dalam jiwa. Mindanya menerawang membayang duka gadis dipuja.
~CNM Rasopariso~

Wednesday 2 October 2013

Asing

Gadis duduk terpaku sendirian di kedai makan. Tangannya masih menggenggam erat telefon bimbit. Mata masih memandang tulisan pada skrin. Pendek sahaja nota diterimanya namun cukup menangkap di hati. Jejaka tidak dapat datang, ada kerja menghalang. Minta ditangguh perjumpaan pada suatu masa yang belum boleh dirancang. Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah sudah berkali-kali.
Mata Gadis berkaca. Hati Gadis cukup terluka. Namun apa yang boleh dikatakannya? Hendak dipaksa, siapalah Gadis. Jejaka bukan haknya. Hendak meminta-minta, takut akan dikata mengada-ngada. Itu bukan Gadis namanya. Sakit, perit ditelan dalam-dalam.
Tiba-tiba segelas teh suam diletakkan di hadapan Gadis. Gadis mengangkat wajah, pelik. Bibirnya bergetar, masih mencuba melawan perasaan. Cuba mengatakan yang dia tidak meminta air tersebut. Hasrat Gadis terhenti. Wajah makcik tua pemilik kedai makan tersenyum lembut memandangnya. "Tak apa, anak. Ini makcik ikhlas belanja. Anak tenangkanlah diri." ujar makcik tersebut. 
Aneh bukan? Seorang makcik yang sebetulnya seorang asing tanpa sebarang ikatan pertalian mampu berasa simpati dan empati pada seorang Gadis. Makcik tersebut mampu berasa kasihan walau dia tidak mungkin faham apa pergolakan yang terjadi. 
Namun kenapa tidak Jejaka? Tidakkah dia punyai sebaris ehsan pada Gadis yang kononnya lebih dekat dan sentiasa berada di hatinya serta telah dikenali hati budinya?
Sakit. Butir-butir mutiara terus mengalir deras. 
"There are times when strangers are like family... and family are like strangers." 

Tuesday 1 October 2013

Realiti 2


Demi masa.
Adakala kita ingin sangat memutar jarum saat, minit dan jam untuk kembali ke saat-saat tertentu. Ingin kembali dan menghentikan masa pada waktu yang paling menggembirakan jiwa. Atau... jika boleh ingin sahaja mempercepatkan waktu agar melompat ke masa hadapan. Agar dapat melarikan diri jauh-jauh dari segala kenangan silam serta memulakan kehidupan baru.
Namun waktu yang ada hanya waktu 'sekarang'. Bukan semalam yang sudah berlalu atau esok yang datangnya belum tentu.
Sekarang. Ini realitinya.

Monday 30 September 2013

Aku Cinta Kamu


"Aku Cinta Kamu."
Cinta? Apakah 'Cinta' yang diluahkan oleh Jejaka membawa erti yang sama dengan 'Cinta' bagi diri Gadis? Apakah 'Cinta' Jejaka itu sebenarnya hanya 'Sayang'? Atau apakah 'Cinta' itu sebenar-benarnya 'Cinta'? 
Gadis merenung sedalam-dalamnya mata Jejaka. Cuba mencari satu erti, membaca isi hati. Pandangan mereka bersatu menjadi satu. Cinta. 
"Aku Cinta Kamu."

Sunday 29 September 2013

Sajak Kolaborasi 2


Sunyi

Sunyi dan sepi
tiada teman menemani di sisi
mungkin kan bermimpi
galau hati tak bertepi
kuselak lipatan memori.

~Rasopariso 06102013~

Saturday 28 September 2013

Sajak Kolaborasi I


PESONA

Dia sungguh rupawan
terpukau sukma mata
melihat gerak langkahnya
hati bagai luruh rasa
cinta pandang pertama.

~Rasopariso 06102013~

Friday 27 September 2013

Menilai Budi


Satu ketika dulu, ketika saya masih kecil, ayah pernah berkata:

Lebih baik percaya dengan kebaikan seseorang dari meragui perbuatannya.
Manusia tidak dilahirkan semulajadi dengan hati yang baik. Semasa lahir, kita hanya tahu lapar, dahaga dan keinginan untuk kebendaan serta pentingkan diri sendiri.

Tapi ayah juga ada berkata:
Kebaikan adalah sesuatu yang mengalir dalam tubuh seseorang. Tapi banyak atau sikit kebaikan yang ada itu terpulang kepada setiap individu untuk membentuknya. Sebab itulah tahap kebaikan individu itu berbeza.

Tapi berbeza dengan dia. Katanya:
Kita tak boleh percaya pada sesiapa pun dalam dunia ini. Anggap saja semua orang itu jahat kecuali bila orang itu telah buktikan kebaikannya pada kita. Tiada siapa akan memberi bantuan dengan percuma. Bila orang yang tidak dikenali berbuat baik pada kita, pasti ada 'udang sebalik batu'.

Saya terdiam. Adakah saya juga patut mempersoalkan kenapa saya dipilih..? Dan adakah saya masih lagi di uji sehingga kini.

Saya lebih suka memandang laut yang terbentang luas.. dari memikirkan motif seseorang.

Thursday 26 September 2013

Cinta III


Meletakkan kepala di atas meja bercermin kaca
sejuknya mengalir dari pipi ke dahi yang hangat berbara.

Di antara pertembungan dua aliran haba, terbit satu rasa.

Cinta.

Wednesday 25 September 2013

Cinta - Rumi


Cinta adalah kekuatan yang mampu
mengubah duri jadi mawar
mengubah cuka jadi anggur
mengubah duka jadi gembira
mengubah amarah jadi ramah
mengubah musibah jadi muhibbah
itulah Cinta.

Meskipun lidahku telah mampu menghuraikan
namun tanpa lidah, Cinta ternyata lebih terang
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya.
Kata-kata pun berpecah jadi berkeping-keping
begitu sampai kepada Cinta.
Namun dalam menghuraikan Cinta
akal terbaring tak berdaya
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur.

Cinta itu sendirilah
yang menerangkan Cinta dan percintaan.

~petikan puisi Jalaludin Rumi~

Tuesday 24 September 2013

Gurindam Jiwa 2


Realiti.
Realiti: takdir yang telah tertulis dalam diari kehidupan manusia.
Realiti: adakalanya memeritkan kerana ianya bertentangan dengan apa yang kita impikan dan inginkan.
Realiti: bergerak mengikut tatacaranya tersendiri, cacamarba segala perancangan yang telah disusun dengan berhati hati.
Realiti: mampu membuatkan seseorang itu jatuh, rebah tertiarap ke bumi.

Adakalanya kita lupa bahwa ia sebenarnya satu ujian untuk melihat tahap redha manusia terhadap ketentuan Tuhan. Segagah dan sekuat mana kudrat manusia, ada yang lebih berkuasa dari kita.
Yang dibawah tidak akan sentiasa dipijak. Yang diatas tidak akan sentiasa mendabik dada. Kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.
Sabarlah.  

Saturday 31 August 2013

Pemergian


Tubuhnya terbujur kaku di atas katil. 
Nafas terhenti, urat nadi tidak lagi berfungsi.
Suasana sekeliling amat sunyi; Sepi. 
Dunia bukan lagi tempat yang layak untuk dia diami.

Telah tiba tikanya roh melangkah pergi
ke hadrat Illahi.

~Al-Fatihah. Doa dari kami di sini. Moga tenang bersemadi.~

Friday 30 August 2013

Kompas I


Kata dia: Bukankah jalan ini yang awak telah pilih? Lantas apa perlu awak menangis, merintih? Kuatkan hati untuk harungi segala yang perlu dihadapi. Bukankah jalan ini yang awak telah pilih?
Pedih. Perit. Sakit. 
Kata-katanyanya mungkin bermaksud baik, ingin mencabar naik semangat. Memotivasi dengan caranya yang tersendiri. Namun sedarkah dia bahawa kata-katanya tetap berbisa, luluh segala rasa. Tertampar wajah berkali-kali. Pedih hingga ke hulu hati. Perit hingga ingin menjerit. Sakit.
Mengapa? Kerana bicara itu datang dari seorang sahabat, insan paling dekat, teman yang teramat rapat. 
Pedih. Perit. Sakit.

Thursday 29 August 2013

Buang Jauh Jauh


Gadis duduk sendirian melayan perasaan. Diam, tenggelam dalam dunia suram. Cacamarba. Semakin difikir, semakin semak minda. Satu demi satu fikiran negatif berombak silih ganti menerjah fikiran. Berdenyut-denyut kepala. Awan hitam tidak berganjak dari menghurungi Gadis. Auranya gelap, pekat. Likat.
Tiba-tiba ada suara berdehem di sisi Gadis. Segera Gadis menoleh, tersentak ditarik balik ke dunia realiti. Rasa hairan melihat Jejaka berdiri tegak di situ dengan sebuah beg pakaian di tangan. Aneh, zip beg tersebut terbuka luas, tampak kosong isinya. Gadis mengangkat kening sebelah, menanya dengan isyarat. 
Jejaka mendekat. Tangannya pantas mengambil ragut segala awan hitam di atas kepala gadis. Dilempar, sumbat padat-padat ke dalam beg. Ditarik zip rapat-rapat, cepat-cepat.
Beg digalas di bahu sambil berkata, 'Biar semua masalah Gadis duduk dalam beg ini buat sementara. Tolak segalanya ke tepi, ikut Jejaka. Kita makan, minum, berbual tawa seperti biasa. Bila perut sudah terisi, minda telah lapang, kita buka zip beg dan teliti masalah Gadis satu-persatu. Bukankah dua kepala lebih baik dari satu? Jejaka kan ada. Mari, Gadis.' 
Satu huluran tangan disua pada Gadis. Menanti dengan sabar. Gadis tersenyum, manis. Cerah rona wajah. Tangan kanan Gadis menyambut, genggam huluran tangan Jejaka. Adakala onak duri kurang sakit luka olehnya, apabila ada seseorang di samping yang menemani perjalanan dengan beg berisi kotak pertolangan cemas. Betul bukan? 
Tidak, Gadis tidak sendiri. Perjalanan tidak lagi sepi.

Wednesday 28 August 2013

Salah

Saat pegangan agama ampuh
masyarakat pantas menuding tuduh perempuan itu lacur, 
rendah maruah, bertuhankan rasa, berpaksikan nafsu
tapi
bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi
lelaki juga bukan maksum, terlepas dari hukum.

Betul, bukan?

Tuesday 27 August 2013

Serabut

Mungkin benar apa yang mereka kata.
Dalam sepanjang sejarah perjalanan hidup, akan ada ketikanya hadir seseorang yang mampu menggetarkan jiwa, menggoncangkan rasa lantas menetap di hati selamanya. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Waima berapa ramai yang jauh lebih baik datang bertandang,
melayan kamu ibarat dewa dewi,
mencintai kamu dengan sepenuh hati,
namun 
ingatan pada dia tidak mungkin dapat dipadam. 

Hanya terpendam,  terpenjara di minda paling dalam. Petik sahaja jari, ingatan tersebut datang berlari, terlepas dari segala gari, datang memeluk menyelimuti diri. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Mungkin benar apa yang mereka kata.

Monday 26 August 2013

Rumah Kaca


Rumah itu dibuat sepenuhnya dari kaca. Bukan hanya dinding, siling, pintu dan atapnya kaca, malah segala perabut, perkakas, pinggan dan mangkuk di dalamnya juga diperbuat dari kaca.
Cantik. Ramai yang terpesona dan memuji-muji akan ketelitian dan keunikan rumah tersebut. Ramai juga yang cemburu, ingin cuba membeli ianya dari tuan empunya. Ada juga yang ingin mengupah sang arkitek untuk membina sebuah lagi replika rumah tersebut untuk mereka. Hakcipta terpelihara, pelannya hanya satu dalam seluruh dunia. Ujar pemilik.
Gadis melepaskan pandangan ke luar. Andai sahaja mereka merasa apa yang dia rasakan. Penghuni rumah agam kaca. Gah diperkata, segala perbuatan serta aksi jadi berita utama. Tontonan percuma umum. Tiada yang sulit atau peribadi. Tiada privasi.
Di sini tidak boleh berlari, tidak boleh usik-mengusik menghibur diri, apatah lagi berbuat sesuka hati. Segalanya kaca. Rapuh. Apa yang kurang mungkin adalah papan tanda 'Nice to see, nice to hold. Once broken, considered sold'. 
Sesekali angin sejuk menyapa, membawa sepi bersama. Mereka memeluk perlahan-lahan Gadis dari belakang. Erat, merangkul, membelai sehingga meremang segala roma. Dingin menyelaputi segenap pelusuk rongga. Mereka berbisik, 'Mengalah lah, Gadis. Menyerah lah.'
Sebuah tawa panjang memecah kesunyian. Bukan ketawa riang. Ketawa bersyairkan tangisan, sedu sedan di penghujung asa seorang insan. Gadis.

Sunday 25 August 2013

Cinta Akhirnya


Gadis memandang wajah Jejaka dengan sepasang mata bercahaya, selari dengan senyuman yang tertera manis di bibir. Terasa bahagia bila Jejaka ada di sisi.

Suatu ketika dulu Gadis hanya mengenali Jejaka pada nama sahaja, tidak lebih dari itu. Malahan andai Gadis dan Jejaka berselisih jalan sewaktu menuju ke kelas, mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Gadis menunduk malu, Jejaka hanya menjeling sekali lalu. Dunia mereka berbeza. Gadis sibuk berpersatuan, Jejaka penuhi masanya dengan aktiviti sukan. Kawan dan aliran matapelajaran juga tidak ada yang sama. 
Aneh, bukan? Adakala hidup ini seperti satu putaran roda. Setelah bertahun terpisah mengejar cita-cita, mereka tenggelam dalam kesibukan dan seribu satu dugaan hidup yang penuh cabaran. Wajah dan nama tertimbus dalam ingatan paling belakang. Seketika, ruang masa terbuka dan mereka ketemu kembali di hujung usia.

Pertemuan sekali ini seakan membuka peluang kedua untuk mereka mengenali diri sendiri dan masing-masing. Mereka yang tidak pernah berbicara di alam sekolah, tiba-tiba bertukar cerita seolah rakan lama. Tiada detik kekok. Segalanya elok. Tidak pasti bagaimana dan bila ianya terjadi. Namun yang pastinya benang hati mereka seakan telah disimpul mati, terpateri.

Malam itu, secoret bicara membibitkan rona-rona merah di pipi. Jejaka mengungkap rahsia hati. Tidak mahu menyimpan lagi, takut andai masa sekali lagi akan mencemburui. Tembok telah runtuh. Bibir Gadis menyambut bicara sebelum minda mampu menahan. Maka terlepas jua satu pengakuan: 'Saya juga cintakan awak.'

Perlahan bisikannya, tapi cukup untuk mengejutkan Gadis sendiri. Termangu dia seketika. Apakah benar diri ini telah jatuh cinta? Mungkinkah? Ah! Tidak logik jika dilihat dari sudut usia dan situasi semasa. Gila.

Gadis, mungkin telah tiba masanya untuk berhenti berfikir. Mungkin telah tiba masanya untuk membenarkan rasa cinta itu menyentuh segenap jiwa. Mungkin juga telah tiba masanya untuk menikmati apa yang ada selagi diberi kesempatan. Mungkin hati kan jadi lebih tenang bila tidak terlalu dilawan. Namun bagaimanakah akhiran nanti kisah cinta ini? Keliru.
Kata hati yang memujuk:
Jangan difikirkan tentang penghujung cerita. Tidak akan wujud lagi peluang ketiga. Siapa yang dapat meneka apa yang akan berlaku di masa depan. Berilah peluang pada diri merasa kembali erti bahagia. Tidakkah Gadis juga berhak untuk merasakannya juga seperti orang lain?
Cinta. 

Saturday 24 August 2013

Que Sera Sera


Que sera, sera
Whatever will be, will be
Kata dia: Kenapa perlu risau? Kenapa perlu amat risau? Awak telah lakukan sehabis baik yang awak mampu. Selebihnya serahkan pada Illahi. Walau sekuat mana kudrat manusia, selamanya tidak mampu mengatasi takdir. Tenang, Gadis, tenang.
Meletakkan jari ibu di dagu dan jari telunjuk di pipi seraya mata memandang langit. Itu betul. Apa yang dia kata memang betul. Namun bukan mudah untuk bertenang, bukan? Seorang perempuan dengan rasa risaunya, amat degil untuk membuang tabiat lama. Redha, Gadis, redha.
Sebuah senyuman terlukis. Astaghfirullahal 'adzim. Kembalikan paksi hidup itu pada landasannya. Tiada yang mudah, namun tiada juga yang mustahil, bukan? :)

Friday 23 August 2013

Bukan Idola


Dia memerhati Jejaka. Memandang lama-lama. Merenung dalam-dalam. Menembusi jasad sehingga ke hati dan jiwa.
Setelah sekian lama bergelar kekasih, berhabis waktu melafaz rindu, hari ini tiba-tiba seakan ada hijab yang terselak. Ada jendela yang terbuka. Dia melihat Jejaka sebagaimana diri Jejaka yang sebenarnya.
Bukan seorang Jejaka yang sentiasa dikelilingi cahaya putih. Bukan juga Jejaka yang sentiasa sempurna, selalu berada di pihak kebenaran, selalu menunjukkan keberanian, selalu mempamerkan keperihatinan. Seorang manusia biasa, sama sahaja seperti dia. Jejaka bukan hero, bukan wira, bukan idola.
Tidak mahu diceritakan apa kecacatan yang ada. Tidak akan ditulis apa kekurangan yang terpandang. Bukan tugasnya membuka aib saudara, inikan pula pekong di dada. Namun apa yang terlihat sesaat melekat di minda hingga ke hujung usia. Senak. Sakit menghimpit jiwa apabila orang yang disanjung puja, bukan seperti impian. Bukan pemegang harapan.
Seketika juga, hijab tertutup kembali. Jejaka kembali menjadi Jejaka yang dia cukup kenali, seperti asal. Wajah bercahaya, senyum menawan. Elok bahasa, indah bayangan jiwa. Mungkin apa yang berlaku sebentar tadi adalah ujian Tuhan. Mungkin juga petunjuk yang dia doa harapkan sewaktu tangan menadah ke langit: ingin melihat diri Jejaka yang sebenar. 
Dia menggeleng kepala. Bukankah Jejaka pilihan hatinya? Bukankah jalan yang diambil Jejaka adalah jalan yang akan diikutinya juga? Menjauh tidak sekali-kali, mendekat itulah ikrar yang telah terpateri. Mata terpejam, kepala menadah ke langit. 
Tuhan, andai ini petunjuk yang diberi, maka akan diperkuatkan diri. Andai ditinggal pergi atau dibawa lari, dia akan mampu berdikari. Tidak akan jatuh menyembah bumi biar seandainya dunia yang mereka bina tidak seindah mimpi. Jangan bertuhankan manusia, kerana insan tiada yang sempurna. Cerna.
Introspeksi diri. 

Thursday 22 August 2013

Obituari


'Cat'
Dia telah mati.

Jangan dicari, digali lagi
biarkan saja dia bersemadi
dia telah mati.

R.I.P

Wednesday 21 August 2013

Terlewat


Adakalanya apabila seseorang sudah berjaya memiliki sebuah cinta, dia jadi leka. Dia jadi alpa. Dia lupa bahawa sebuah cinta itu masih perlu sentiasa dipupuk dan dibajai dengan kasih sayang. Sentiasa.
Dia juga mungkin lupa walaupun cinta itu adalah menerima seseorang seadanya, ianya bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Kesabaran itu ada had dan limitasinya.
Adakala dia jadi buta. Buta pada hati kekasihnya. Melihat hanya pada keselesaan dirinya. Dia malah jadi terlalu yakin bahawa dia memiliki cinta itu untuk selamanya. Tiada yang akan berubah, tiada yang goyah. Bukankah hati itu telah dikuncinya? Janji telah terpateri, tiada ruang untuk dicemari?
Suatu hari dia terpaku, bisu. Hanya apabila segalanya telah berakhir, dan tiada ruang lagi untuk kemaafan, barulah dia sedar segala kesilapan yang telah dia lakukan. Cinta telah hilang, dirinya disalang.
Malangnya kesedaran itu datang terlambat. Apa yang tinggal hanya penyesalan yang menghambat jiwa. Terlewat.

Tuesday 20 August 2013

Terbang Burung Terbang

Kata orang:
Andai kita benar-benar sayangkan seseorang itu
maka kita harus lepaskan dia pergi mencari diri, mengejar mimpi
usah dihalang langkahnya, usah disekat mahunya
andai telah tersurat dia milik kita, pasti suatu hari nanti dia akan kembali.

Kata orang: 
Andai kita benar-benar sayangkan seseorang itu
maka jangan kita genggam dia terlalu kuat, terlampau erat
kelak dirinya akan terhimpit, jiwanya akan tersepit,
hatinya akan berderai, hancur bersepai.
Dia akan menghilang. Tidak lagi akan pulang.

Kata diri: 
Mampukah membiarkan dia terbang pergi, sendiri? Mampukah membuang resah, menghindar cemburu, memadam prasangka, membersih jiwa untuk dia?
InsyaAllah. Dengan izin Allah. 

Walau hati bagai disayat. Belajar untuk percaya kepada ketentuan Illahi.
Tiada jalan mudah.

Monday 19 August 2013

Hadiah buat Gadis


Sinaran mentari mengintai dari celah-celah dedaun yang masih dibasahi embun pagi.

Ingin sekali dia menikmati saat-saat seperti ini sepenuhnya. Selagi tubuh masih berdaya, selagi jasad masih bernyawa. Dilihatnya senarai 'check list' yang tertampal di dinding. Telah dia pastikan yang tiada satu apa pun lagi tertinggal yang mungkin akan membuatkan dia menyesal apabila tiba masanya dia kembali ke sisi Tuhan. Mungkin ... kecuali satu: Gadis.

Pelbagai rencam rasa menerpa setiap kali nama Gadis muncul di benak. Satu-satunya perkara yang amat berat untuk dilakukan: meleraikan ikatan hati antara dirinya dan Gadis. Melepaskan Gadis pergi. Menghapuskan airmata Gadis yang sudah tentunya akan mengalir deras tatkala mendengar berita pemergiannya. Mampukah Gadis bangkit sendirian?
Maka misi terakhir ini harus dijayakan hingga ke adegan terakhir. Melawan perasaan, mengorbankan rasa. Cuba perlahan-lahan menjauhkan diri dari Gadis. Mengeraskan hari untuk tidak menelefon atau menghantar berita kepada Gadis. Berpura-pura tidak mengendahkan segala pertanyaan Gadis. Malah bersikap amat dingin setiap kali Gadis menegur. Menahan kepedihan yang menusuk di segenap hati tatkala melihat Gadis menangis apabila pertanyaannya tidak diendahkan. Segalanya bukan kerana benci, tidak sama sekali. Sebaliknya, semua adalah kerana sayang. Ingin melatih Gadis menjadi kuat sedari sekarang.
Tidak menyesalkah dia? Sisa-sisa saat yang sepatutnya dihabiskan dengan mencipta memori indah, kini dilukiskan dengan kesedihan yang panjang. Tidak. Tidak akan ada sebarang penyesalan dalam hati ini. Bukankah dia sedang lakukan yang terbaik boleh dia lakukan? Hadiah terakhirnya buat Gadisnya. Moga saat pemergiannya tidak diiringi dengan ratapan yang panjang. Hilang.

Sunday 18 August 2013

Gurindam Semalam


Gurindam di jiwa penuh dengan melodi kenangan. Dengan kenangan itu, sebuah kisah tertulis, terlukis untuk tatapan:

Sewaktu kecil, saya banyak berangan-angan untuk mengembara ke luar negara. Rasa teruja untuk melihat dengan mata saya sendiri lokasi dan destinasi yang selama ini hanya saya baca di ensaiklopedia tebal kepunyaan ayah. Saya selalu bayangkan menghabiskan masa santai minum teh di kaki lima 'cafe' termuka di Paris, memakai pakaian tebal dan bermain salji dengan berlatar belakangkan Big Ben serta menikmati keindahan bunga-bunga tulip berkembang mekar di Amsterdam. Saya juga ingin menyaksikan tinggalan bersejarah tembok Berlin di Jerman yang telah memisahkan sebuah negara kepada dua bahagian.

Dari kecil, resah sering menghempas jiwa saya. Kami empat beradik telah terbiasa berjuang sendirian untuk mencari sesuatu mendekati apa yang kami masing-masing bayangkan tentang makna 'keluarga' dan 'kehidupan'. Dirotan dan dipukul, kekerasan dan tangisan adalah senario harian kami. Masing-masing seperti anak benih yang di tanam di kawasan berumput, mencuba untuk bercambah. Bertungkus lumus mengerah segenap tenaga cuba untuk melihat matahari.

Kata orang, sepatutnya pengalaman sebegini boleh mengeratkan kami yang menerima nasib yang sama. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Abang Long memilih melawan nasib dengan kekerasan. Azam Abang Long: Dengan kekerasan, tiada siapa dapat memperbodoh-bodohkannya lagi. Yang kuat memijak yang lemah. Suatu hari nanti Abang Long ingin menjadi seorang kaya dan terhormat. Tekad. Nekad.

Abang Ngah pula orangnya amat lembut. Tidak suka bergaduh. Dia memilih untuk menurut segala apa yang diarahkan tanpa bantahan. Damai yang diidam-idamkan. Biar apa pandangan orang, dia ingin tenang. Tiada jeritan membingit alam, tiada sebatan melibas badan.

Adik pula sangat ingin sentiasa dikelilingi kawan dan rakan. Dia amat resah bila sendirian. Sentiasa berlawak, menghibur hati mereka yang di sisinya. Dia ingin riuh, dia ingin dipeluk tawa. Tiada airmata harus berada dekat dengannya. Tiada sunyi, tiada lara.

Saya? Saya juga tidak dapat lari dari kesan keretakan sebuah keluarga. Saya memilih berdiam diri, tenggelam dalam dunia sendiri. Lebih banyak menghabiskan masa mengembara ke alam fantasi dengan membaca dan mereka cerita. Melupakan kesedihan dengan imaginasi. Menabur benih mimpi segala yang indah dan menanam niat bahawa satu hari nanti saya akan dapat mencipta sebuah keluarga saya sendiri. Sama seperti adegan drama di peti telivisyen. Imej sebuah keluarga yang rapat, ada ketawa, ria, duka namun segalanya dapat ditangani dengan kasih sayang di hujung hari. Mimpi.

Mungkin orang lain tidak mampu faham. Siapa yang menggalas beban, dia sahajalah yang mampu membayangkan betapa berat bahu yang memikul. Penggembaraan hati mencari erti. Apakah yang ditemui di hujung hari? 
Realiti. Bersandarkan gurindam semalam. Mengharap sinar dalam kelam.

Saturday 17 August 2013

Buruk Siku

Semalam
dia hadir menghadiahkan sejambak senyuman berwarna jingga
harum mekar berkembang di taman hati.

Hari ini
dia datang merampas semula jambangan yang pernah diberi
pecah berderai pasu jatuh ke lantai.

Tidak pernahkah dia mendengar istilah 'buruk siku'?

Friday 16 August 2013

Potret


Pelukis memandang lama lukisan potret tersebut. Jika tidak kerana mencari dokumen penting, sudah pasti dia tidak menjejakkan kaki ke loteng ini lagi. Berapa lama agaknya lukisan potret ini telah terabai di situ? Setahun? Lima tahun? Seabad? Sedekad? Debu dan sarang labah-labah bukti peredaran waktu. Berlalu.
Pelukis masih terdiam lama di hadapan lukisan potret. Potret Gadis yang pernah dilafaz janji tidak akan terpisah dari sisinya. Potret yang semakin pudar warnanya, sama seperti pudarnya Gadis dari kehidupannya. Gadis yang suatu ketika dulu pernah menghuni hati dan jiwanya. Gadis yang ditinggal abai dalam kesibukannya dengan dunia barunya. Gadis yang pernah dia berjanji tidak akan sekali-kali dilupainya. Benar, bukan sekali atau sekali-kali. Malah berkali-kali ingatan pada Gadis ditolak jauh di sudut ingatan paling gelap di mindanya. Dia telah lupa. Janji. Kosong tanpa erti. 
Jemari pelukis perlahan bergerak menyentuh bibir potret Gadis. Bibir dan senyuman yang suatu ketika dahulu pernah mewarnai mimpinya setiap malam. Jari yang menyentuh bibir potret sekaligus membawa pergi debu dan warna bersama. Potret itu amat rapuh. Bibir yang tadinya tersenyum riang dan mesra, kini tinggal senyuman segaris. Wajah yang tadinya tersenyum berserta jelingan manja, kini seakan memandang dengan pelbagai tuduhan. Merejam dengan kecaman. Menuntut jawapan atas kealpaan. 
Pelukis segera berpaling dan menutup lampu loteng. Bergegas menuruni anak tangga ke bawah, berlari dari kekesalan dan kesalahan. Hitam. Gelap. Malap. 
Potret masih di loteng. Sendiri. Senyuman yang hilang.

Thursday 15 August 2013

Degil


Saya kata susah. Saya tak mampu. Saya tidak boleh.
tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. 
Tidak boleh.

Kata dia mudah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Manusia dicipta dengan kebolehan untuk adaptasi pada keadaan dan situasi sekeliling. Naluri untuk terus hidup, 'survival'. Redha dengan ketentuan. Bukan tidak mampu. Bukan tidak boleh. Namun sebenarnya diri itu yang tidak MAHU. Degil!
Degil? Mungkin juga ...