Friday 28 December 2012

Sketsa Cinta


DIA & CINTA
Kata dia: Cinta itu adalah sesuatu yang amat remeh, leceh.
Bukan cara saya untuk turut berlakon dalam sandiwara dunia dengan bermain kata, melafaz ayat-ayat berbunga demi menzahirkan rasa cinta terhadap seseorang. Tanpa sebarang ucapan bersulam tujuh warna pelangi, sebuah ikatan perkahwinan yang tulus masih boleh dicipta, bukan? Bukti cinta seharusnya dilihat melalui perbuatan, dan bukan dari sebuah pengucapan yang belum tentu kebenarannya. Lidah manusia tidak bertulang. Lantas, bagaimana mahu percaya pada lidah yang bertindak hanya mengikut arahan akal?
SAYA & CINTA
Kata saya: Cinta itu perlu diucapkan, didengari. Bukan sebagai lisan tanpa makna tapi lebih sebagai halwa telinga dan jiwa, dilafaz dan diterima dari hati ke hati. Apatah lagi apabila hubungan telah dimetrai oleh sebuah ikatan. Adakala sukar untuk membaca hati dan perasaan seorang lelaki yang sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. Satu ungkapan yang terkandung tiga perkataan itu amat besar ertinya.
Umpama pepohon yang mengharap ianya disiram dan dibajai selalu. Agar rasa cinta itu mekar dan subur sentiasa di taman hati. Seperti air jernihmengalir turun dari pergunungan, anugerah yang mendamaikan resah sekeping hati. Ucapkanlah cinta.

No comments:

Post a Comment