Friday 31 May 2013

Sendiri



Perit menahan telinga dari segala kata dan cemuhan. Ingin rasanya menceritakan hal sebenar agar mereka diam, moga mereka faham.
Namun, setiap kali membuka mulut, laju mereka memintas. Kata mereka semua itu hanya alasan untuk menegakkan benang yang basah. Berkata salah, berdiam diri juga salah. Apa lagi yang mampu dilakukan sekiranya hukuman telah dijatuhkan sebelum penerangan diberi?

Tulikan telinga, butakan mata. Simpan segala rasa kemas di dada. Airmata hanya akan mengundang tawa mereka. Kalau diturutkan hati, akan jadi gila tentunya.

Puluhan mata hanya memandang saja. Remuk hati. Berat bebanan yang dipikul hanya bahu  sendiri yang menggalasnya merasa. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Tiada siapakah yang faham? 
Hanya keriut kerusi dan kitar kipas mengiringi sebuah keluhan. 

Thursday 30 May 2013

Meja No 29


Suatu ketika dulu, mereka duduk di meja no 29. Kerusi di penjuru bersebelahan. Berbual tentang dunia, tentang kehidupan, tentang harapan dan tentang apa sahaja yang terlintas di fikiran. Cerita bersulaman tawa, rajuk dan pujuk. Usik-mengusik halwa telinga. Ada sahaja bahan bualan. Makanan dari pinggan masing-masing bertukar destinasi, rasa-merasa. Sesekali tangan bersentuhan, rona merah memercik di wajah. Tangan di atas menggenggam tangan di bawah. Erat. Pandangan saling berbalas. Mereka dalam dunia mereka. Bahagia.
Hari ini, mereka masih duduk di meja yang sama: Meja no 29. Kerusi masih lagi di penjuru bersebelahan. Sang jejaka berbicara, cuba mencerahkan suasana. Sang gadis diam seribu bahasa. Malaikat menumpang lalu. Keadaan dingin membisu. Udara sarat dengan ketegangan yang tak terlafaz. Hati penuh dengan sayu yang tak terbendung. Makanan di hadapan hanya dikuis-kuis, seolah menyingkap andai jawapan bagi setiap persoalan ada di situ. 
Saat ini, mereka masih duduk di meja yang sama: Meja no 29. Kerusi masih lagi di penjuru bersebelahan. Sang jejaka memandang tepat kepada si Dia. Kepala sarat dengan sesalan dan cara untuk memulihkan keadaan. Sang gadis memalingkan wajah, memerhati dunia sekeliling kecuali ke sudut Sang jejaka berada. Tangan di atas cuba menggenggam tangan di bawah. Perlahan tangan bawah ditarik dari genggaman, wajah masih berpaling ke lain.
Hati semakin parah, langit mendung. Pasrah.

Wednesday 29 May 2013

Mati II


Peluru dari senapang tak bermatanya
membedil dengan kata dan laku
sedas permintaan, sedas ungkitan
darah pekat memercik
rebah.

Terkubur tanpa nesan.
Mati.

Tuesday 28 May 2013

Pencarian



~ kesedihan tidak pernah membiarkan kebahagiaan datang sendirian ke hidup manusia
padahal seringkali kita tidak cukup persediaan untuk menikmatinya bersama 
begitu banyak rasa sakit dan kehilangan di dalam hidup ini
padahal hidup terlalu singkat untuk semua perasaan itu

beruntunglah mereka yang tahu apa yang mereka mahu 
dan diberi cukup waktu untuk mencari
kerana aku tak punya cukup waktu untuk itu
bahkan untuk sekadar mengetahui apa sebenarnya yang aku cari ~

Monday 27 May 2013

Mati


Adakala
pilu mencengkam, menerajang, menghenyak di hulu hati
menjerut nadi
tersiat isi
serasa ingin saja
mati.

Sungguh.

Sunday 26 May 2013

Buta


Adakala
mata jadi buta dalam terang cahaya neon kehidupan 

Racun menular
Fikiran sebu
Semangat jadi layu.

Bantulah aku.

Saturday 25 May 2013

Tentang Dia



mungkin aku harus terbang
agar lepas dari semua ini

melayang
lalu
menghilang.

Friday 24 May 2013

Merajuk Pada Yang Sudi



Setiap kali hati terguris, setiap itu saya akan merajuk dengan dia. Anehnya, dia seakan tidak peduli. Hanya berdiam diri, membiar saya pulih dengan sendiri. Berkelakuan seperti tiada geseran yang berlaku.
Suatu ketika, saya beranikan hati bertanya pada dia, mengapa setiap kali ada pertelingkahan, saya yang pasti mengalah, menegur dia semula. Mengapa agaknya dia tidak pernah ingin memujuk.
Jawap dia tegas: Merajuklah hanya pada orang yang sudi memujuk.
Saat itu hati sungguh terhiris.
Seandainya saya merajuk sehingga 100 tahun? Seandainya saya menjauh? Seandainya saya bersedih sekalipun? Adakah dia tak akan sudi memujuk?
Seandainya dengan dia, saya tidak boleh merajuk, lantas adakah saya masih lagi relevan pada diri dia? Hirisan demi hirisan hati, membuat bibir tak lagi mahu meluahkan rasa.
          *******
Hari ini, roda kehidupan berputar ke arah bertentangan. Dia tiba-tiba ingin memujuk, sedangkan saya tidak lagi mempunyai rajuk. Dia pula menghadiahkan tanya dan saya memulangkan jawapan dengan perlahan:
Maafkan saya. Hari ini saya tidak lagi mempunyai hati untuk merajuk. Saya juga tidak meminta untuk dipujuk. Pergilah. Pujuklah pada orang yang sudi merajuk dengan awak. Sayangilah pada yang kasih.
Tatkala langkah membekas lara, kata dirangkai dusta dan suara menikam rasa, diri ini berpaling pergi. Bawa hati. Menjauh. 

Thursday 23 May 2013

Esok Masih Ada?


Kata Dia:
Bersabarlah ye. InsyaAllah, hari esok masih ada untuk kita. Kita pasti akan membina memori, menyemai bahagia. Bersabarlah.

Kata Saya:
Saya boleh menunggu, sebagaimana saya masih menunggu sehingga kini. Namun, seandainya tiada esok? Bagaimana?

Wednesday 22 May 2013

Selamat Tinggal


Andai kata
awak tahu esok harinya Izrail akan datang menjemput, dan awak diberikan peluang untuk melakukan perkara yang paling awak inginkan, apa agaknya yang akan awak lakukan ye?
Saya? Kalau diikutkan hati, ada banyak lagi yang ingin saya lakukan.
Saya ingin lakukan perkara-perkara luar kebiasaan:
Saya ingin jadi guru, mengasah minda anak bangsa.
Saya ingin jadi angkasawan, menjelajah jauh mencari dunia baru.
Saya ingin buka sebuah kedai kek, menjamu selera dan rasa semua.
Saya ingin juga melakukan perkara-perkara biasa buat terakhir kali:
Saya ingin ke warung Cik Tina dan beli semua nasi lemak kukus dia.
Saya ingin makan sambal tumis kerang emak.
Saya ingin makan 3 mangkuk ais krim perisa 'yam' kegemaran saya
.
Dan ... saya ingin jatuh cinta sekali lagi dengan dia. Sekali dan jika boleh berkali-kali. Sekali untuk selamanya. Sehingga ke saat akhir. Sedetik lebih. 
          Selamat tinggal awak.

Tuesday 21 May 2013

Pilu


Adakala
orang yang kita sayang, dialah yang sering membuat airmata menitis laju.
Pilu.

Monday 20 May 2013

Teringin



Teringin
menyentuh bulan
memetik bintang
menggenggam mentari
menganyam awan gemawan dan
menari di atas pelangi.

Teringin
satu rasa berpaksikan fantasi
hakikatnya graviti memaku kaki di lantai realiti.

Memandang ke langit tinggi. 

Sunday 19 May 2013

Tentang Cinta


Kata Dina:
Awak, saya tak faham sesuatu. Sebelum ni saya tak ada apa apa hubungan langsung dengan dia. Tapi semalam, sewaktu dia meluahkan perasaan hati dia pada saya, ada satu perasaan lain tiba-tiba meresap dalam hati saya. Rasa malu, rasa gembira dan juga ada rasa takut muncul silih berganti. Saya cuba mencari sebab kenapa dan sejak bila saya sayangkan dia tapi saya masih tak mengerti.

Kata saya:
Susah saya nak jawab soalan Dina. Bila tiba soal hati dan perasaan, tak ada formula atau teori yang kita dapat digunakan. Logika akal tak lagi boleh diaplikasikan. Dari tidak ada, tiba-tiba jadi ada. Dari tak merasa, berpusing 360 darjah menjadi penuh dengan 1001 rasa yang pelbagai.

Perlukah cinta itu mempunyai sebab? Perlukah kita memerah otak memikirkan kenapa ada cinta? Perlukah ada alasan? Yang penting, bukankah kini ianya telah ada?
Seribu satu rasa. Terutama sekali bila bersendirian dan berjauhan.
Hati adakala jadi tidak tenang. Diri mula kenal apa itu 'rindu'. Seperti pungguk yang menunggu dengan resah munculnya sang bulan yang bersembunyi dibalik awan. Walang rasa bila tidak ada berita darinya atau apabila sidia tiba-tiba menyepikan diri. Susah untuk memberi senyuman, apatah lagi memberi tumpuan pada kerja. Satu demi satu kebarangkalian dan teori negatif mendatang. Rasa ingin menangis. Malam dan siang seperti tak ada bezanya. Kelabu.

Namun, apabila dia ada dan apabila dia senyum, segalanya berubah. Hati berbunga, bibir tak henti menghadiahkan semanis-manisnya senyuman. Tidak ada satu pun bayangan kesedihan. Apa yang ada cuma sayang yang mendalam.

Andai dia bertanya adakah saya sayangkan dia, dia hanya perlu memandang wajah saya untuk mendapatkan jawapan. Diam mulut, mata mengatakan segalanya.

Saturday 18 May 2013

Airmata


Airmata
bertakung
berlinang
perlahan mengalir membasahi pipi.

Malam kian suram
hatinya pasrah
moga penghujungnya bukan merah.

Friday 17 May 2013

Rapuh



Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu yg mungkin bisa kau rindu
karena langkah merapuh tanpa dirimu
***********************************
Pepatah ada mengatakan: Gagal sekali tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya.
Akhirnya dia telah buktikan bahawa insan yang telah beberapa kali jatuh tersungkur ini berjaya bangkit dari kegagalan silam dan menjadi seorang insan. Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang bergelar pegawai. Bangga? Iye, bangga dan juga bersyukur atas rahmat dan limpahan kasih Ilahi. 
Pengurus Besar bangun, menandakan tamat sudah segala perbincangan hari itu. Masing-masing mula mengangkat punggung, fikiran penuh dengan agenda dan tugasan yang perlu dilaksanakan.  
Belum sempat dia melangkah keluar dari bilik mesyuarat, tiba-tiba terdengar satu suara memanggil namanya. Dia berpaling, dua pandangan bertemu. Renungan dari sepasang mata seorang lelaki merobohkan tembok rasanya. 
Keliru menerjah, menghempas dan menyeret pasiran rasa di dalam hati. Cacamarba. Segera dilarikan pandangan mata ke arah lain. Sesungguhnya degupan jantung terasa bergendang kuat sehingga seluruh isi pejabat mampu mendengarnya. Luruh sendi lutut. Hanya kerana satu suara keji yang pernah memuntahkan bilah-bilah kata yang membunuh jiwanya dahulu.

Benarkah hati seorang perempuan sekeras kerak nasi? Jawapannya tiada di sini.

Thursday 16 May 2013

Selamat Malam IV


adakala letih dengan segala permainan dunia
namun 
arah mana patut dituju?
bicara mana harus didengar?
tangan siapa dapat dipaut?

keliru.

***
melihat bulan
kelam
... wish you were here ...



Wednesday 15 May 2013

Hero


Saya tidak inginkan seorang "hero" milik orang ramai
Sebaliknya saya hanya impikan seseorang yang menjadi "hero" untuk saya.

Tuesday 14 May 2013

Selamat Malam III



Selamat malam sayang

Moga lena tidurmu
diselimut awan gemawan
didodoi merdu bulan dan kekawan bintang.

Selamat malam sayang.

Monday 13 May 2013

Bukan Simpati


Saya yakin jika dia berjumpa penghuni-penghuni di pusat pemulihan ini, pasti dia akan memandang rendah seraya mengatakan yang mereka semua ini 'lemah' dan 'sampah' yang tak layak dilayangkan selayang pandang. 
Dia silap. Mereka di sini berjiwa kental dan waja. Mereka bangun dari lumpur yang membalut tubuh, selut yang membenam wajah mereka jauh ke dasar. Mereka berjuang melawan 'hantu-hantu' yang berada dalam diri dan sekeliling mereka. Mereka bertarung untuk menggapai secebis harapan dan kebahagiaan. 
Lantas, tatkala damai menyelubungi dan kejayaan (waima begitu kecil di mata masyarakat) menyapa seperti waktu ini, mereka mekar berkembang semula. Sebutir benih bercambah menjadi pepohon dari celahan rumput dan semak. 
Bukankah mereka lebih kuat dan hebat dari kita yang seumpama pepohon belaan di pasu rumah, sesekali hanya menahan ancaman siput dan ulat?  
Saya ingin punyai semangat setabah itu. Mungkinkah awak dapat fahami ...? 
Empati, bukan simpati. 

Sunday 12 May 2013

Rasa Hati


Membaling batu ke dalam sungai
jatuh tenggelam jauh ke dasar.
Hilang.

Membaling epal ke dinding konkrit
pecah bersepai jadi serpihan.
Punah.

Membaling hati ke langit tinggi
jatuh kembali ke dalam diri.
Lesu.

Harus bagaimana lagi, melontar rasa ini?


Saturday 11 May 2013

Sempurna


Dia bukan mencari kesempurnaan
tapi
mencari seseorang yang dapat menyempurnakan ...

Friday 10 May 2013

Bicara Dua Kereta



Sketsa di suatu petang di sebatang jalan dua hala melalui sebuah perkampungan.

Kereta Viva: "Alahai, lembabnya kereta depan ni. Harapkan saja besar dan berjenama tapi pandu 40km/jam. Nak bersiar-siar melawat kawasan pun, janganlah di waktu panas terik sebegini, YB. Aduhai, sudahlah jalan ni sempit, kereta dia pula memenuhi jalan. Memang dah nasib badan, tak dapat nak memotong. Aduhai. Cepat le... cepat le.."

Kereta Besar: "Apahal agaknya kereta kecik kat belakang ni ye? Dari tadi bawa dekat-dekat sangat dengan aku ni. Cium bontot kereta, sila sedia untuk jawab ye. Mampu ke? Dah le kecik, gaya macam nak bawa 180km/jam. Ah, aku pun bayar cukai jalan juga."

Kereta Viva dan Kereta Besar : "Ni mesti tak belajar jadi Pemandu Berhemah ni."

*****
Siapa kata memandu itu mudah? Lebih-lebih lagi buat seorang perempuan yang perasaannya terletak di permukaan kulit dan emosinya sering mempengaruhi pemanduannya. Alahai, sabarlah ye.


Thursday 9 May 2013

Mimpi



Kau berdiri bangga
dalam hikayat seribu satu malam ini
segala bayang yang manis indah
beserta tari dan lagu merdu
bersorak gah para penonton dan
kau adalah wira.

Sudah tentu
semua itu 
hanya dalam MIMPI.

Wednesday 8 May 2013

Tabah


"‎ … Apa pun yang dihadapi dan dilalui, yang paling penting ialah ketabahan dan keberanian tatkala menghadapi tiap detik rasa yang menggores kalbu. Lebih dari itu ialah kesedaran terhadap kehidupan, bahawa hidup ini bukan untuk menangis dan merintih, tetapi menghadapinya secara berani dan yakin."

-Usman Awang. Maimbau di Laruik Sanjo, 1971-

Tuesday 7 May 2013

Cicak



Dia.
Cicak. 
Empat dinding beku.
Satu sketsa bisu.

Sang cicak merenung dengan matanya yang bulat, galak. Dia memandang kembali Sang cicak dengan mata bundar, kuyu. Berlawan pandangan, seolah dalam pertandingan patung-patung bisu. Pertandingan tanpa hadiah maupun juri. Terasa bodoh, tapi dia tetap berdegil. Enggan mengalah dengan seekor haiwan kecil. Dia khalifah di muka bumi, kenapa harus tunduk pada seekor cicak?
Sesekali cicak berdecip, mengganggu lamunannya.
"Kenapa ye cicak? Kau sunyi?" jawab dia. "Apa yang kau tahu tentang sunyi? Tentang sepi? Tentang sendiri?"
"Aku mahu jadi seorang yang dimahukan. Jadi seorang yang dirindukan. Aku mahu huluran tangan menyapa salam. Aku mahu cahaya dalam gua kelamku. Aku mahu gelak tawa, senyum mesra. Aku mahu bahu untuk aku melepaskan tangisku. Aku mahu... Aku mahu ..."
Dia berpaling, menekup wajah di bantal. Hiba esak tangisnya. Di tangan kanannya sebuah telefon bimbit tergenggam erat. Tiada suara, tiada lampu menyala. Telefon kaku, mati. Tidak dihidupkan sedari tadi. Nekadnya untuk berdiri di atas kaki sendiri, namun tewas dikala keseorangan. 
Sang cicak masih terkebil-kebil memandang sketsa sebuah kehidupan insan. Berdecip Sang Cicak lagi, cuba memujuk sekujur tubuh yang masih dalam pelukan kesedihan. Mungkin aku lebih bertuah, dijadikan sebagai haiwan kecil hina. 
Bunyi kipas mengalun irama latar. 
Sunyi. 


Monday 6 May 2013

Selamat Malam II





  • Bicara seorang teman:


  • Dia pernah berkata: Saya tak akan lepaskan genggaman tangan awak, melainkan awak sendiri yang meleraikan. Saya akan bertahan lelah, mendayungkan sampan hingga ke mana pun perhentian yang awak inginkan. Semangat akan kental melawan pelbagai dugaan. Berkawan biar selamanya.
    Saya percaya pada dia. Saya percaya janjinya bahawa kami akan berkawan hingga selama mungkin. Tapi.."selama mungkin" itu rupanya satu tempoh yang amat pendek. Dalam renyai hujan, genggaman semakin longlai. Namun kami masih cuba bertahan atas puing-puing persahabatan yang kian reput. Wajahnya resah, hatinya walang, tenangnya menghilang.
    Lantas, saya membuat keputusan. Menarik tangan kerana tidak sanggup lagi melihat dia muram. Menyimpan rasa dalam botol yang hampir melimpah tumpah. Bibir tersenyum namun hati menahan hujan.
    Atas dasar persahabatan dan kemanusiaan, saya memalingkan wajah. Menyusun langkah, menjauh. Semoga tawanya kembali berkumandang tanpa seorang saya yang membebankan dia. Semoga senyumannya kembali terserlah, jingga dunianya. 
    Maafkan saya, kerana menghilang. Hidup kadangkala kejam dan menyakitkan. Namun, kita buat yang terbaik, tetap cuba hadiahkan sebuah senyuman buat seorang yang pernah bernama "sahabat". Senyumlah. 

    Sunday 5 May 2013

    Kata


    Kata dia: Perasaan sepatutnya dilihat seperti blok-blok lego yang diasingkan mengikut warna dan disimpan dalam laci. Bila marah, awak keluarkan blok lego merah. Bila sedih, awak keluarkan blok lego hitam. Bila riang, awak keluarkan blok lego jingga. Luahkan biar jelas pada orang yang menerima.
    Kata saya: Ianya tak semudah itu. Adakala kita perlu bersembunyi di sebalik lenggok bicara demi menjaga  hati mereka yang disekeliling. Kita cuba menarik helaian rambut yang terselit di celah tepung. Harus berhati-hati. Agar rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerak. 
    Bicara adakalanya bukan gambaran sebenar hati. Banyak yang perlu ditapis. Kata bukan sabda pendita.
    Adakala bila tiba saat di mana benar-benar perlu untuk meluahkan kata, lidah membisu seribu bahasa. Kata-kata seolah 'zero' nilainya. Takut seandainya apa yang terluah semakin memburukkan keadaan. Penyesalan akan terbeban di bahu. Lantas, diri memilih untuk menelan kata, diam seribu bahasa. Ianya lebih mudah.
    Kata dia: Kalau kita sentiasa berfikir banyak sebelum berbicara, kita tak akan bergerak ke mana. Menyimpan semua rasa akan menekan jiwa. Duduk, berbicara, terangkan satu-persatu. Berbincang, bukan bertelagah. Luahkan dengan kata-kata. 
    Hmm.. adakala diam itu perlu.

    Saturday 4 May 2013

    Duit


    Duit ...
    sangat abstrak dan subjektif.
    Lima puluh sen sangat berharga bagi poket yang kosong
    Lima puluh ringgit sebaliknya hanya helaian kertas bagi yang kaya.

    Friday 3 May 2013

    Gurindam Semalam


    Hati amat terkilan.

    Betapa kerasnya hati seorang lelaki itu. Besar sangatkah kesalahan yang dia lakukan selama ini? Jika iye, apakah yang sebenarnya yang telah dia lakukan? Dari kaca mata apakah dirinya dinilai? Neraca apakah digunakan untuk menimbang kebaikan dan kesalahannya?

    Benarkah dia wanita yang sebenarnya terlalu sensitif, mudah tersinggung dan terguris perasaan?
    Dia tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku. Sesungguhnya dia letih untuk menghadapi segala permainan perasaan ini. Kudrat terasa amat terhad. Tiada dahan untuk menumpang teduh.

    Saat badai melanda, diri amat memerlukan sokongan, buat pertama kalinya dia melupakan segala harga diri menghulur bicara meminta tolong. Tapi jawapan yang diterima negatif. Tiada siapa sudi membantu. Hari ini juga dia melihat orang yang berjanji akan sentiasa berada di sisi  hilang dari pandangan. Dia  dipinggirkan.

    Digigitnya bibir sekuat rasa. Pedih dan perit..terasa darah dari bahagian yang luka. Kesakitan itu menjadi penghalang bagi airmata dari mengalir keluar. Dia tidak akan menangis lagi di depan sesiapa. Sesungguhnya dia telah muak dengan tuduhan yang tak berasas dan juga dengan kata- kata pengharapan yang disemai tanpa maksud. Semuanya hanya satu permainan dan dirinya buta kerana tidak tahu membezakan warna.

    Pernahkah ada yang terfikir tentang perasaan dia dalam semua ini? Pernahkah ada sesiapa yang terfikir bahawa hatinya benar benar terluka, hancur hingga menjadi debu setelah seluruh kepercayaan dan harapannya diletakkan pada orang yang telah berjaya membuka pintu hatinya?

    Biarlah. Akan wujud satu hijab pemisah hati dan minda kini.
    Jalan cerita akan ditulis secara berbeza.
    Dia hari ini tidak lagi sama dengan dia yang semalam. Dia kini beku. 

    Thursday 2 May 2013

    Aku Adalah Aku


    Aku.
    Kau.
    Kita tidak sama.

    Masing-masing ada cerita suka dan duka
    membentuk peribadi dan rahsia diri
    semalam menyulam impian menggunung
    hari ini harapan punah meratap bumi
    menangis sendiri.

    Aku adalah aku.
    Kau adalah kau. 

    Jangan sesekali cuba menterjemah aku dengan kamus dwibahasamu.

    -LM/HN02052013-

    Wednesday 1 May 2013

    Tenang


    Dalam derai hujan
    sunyi menyapa kelam malam
    namun bayu berbisik lembut membawa tenang.

    Hati bertunas harapan.