Wednesday 31 October 2012

Ruang Kosong Ini



Begitu pahit rasanya untuk ditelan. Walau diludah sekalipun, kesan pahitnya pasti akan berbaki di mulut. Arsenik.

Semalaman dia mencuba untuk sekian kalinya memujuk sang kekasih agar memilih dirinya. Walau dia tahu dia tak mungkin dapat memiliki lelaki itu tapi dia masih tetap ingin mencuba untuk kali terakhir.

Mindanya seakan pita rakaman automatik, berputar perterusan tanpa mahu henti. Persoalan demi persoalan menampar jiwa. Apa bezanya dia dengan perempuan lain? Malah, kalau di ikut-ikutkan bukankah lelaki tersebut sepatutnya merasa bertuah kerana dapat menawan hatinya. Adakah lumrah alam manusia hanya akan berusaha sedaya upaya hanya sebelum mendapat sesuatu?

Dia tak pernah meninggikan suara bila bercakap dengan sang lelaki, apatah lagi menengking atau meleter. Dia tak pernah meminta sesuatu yang bukan-bukan, atau yang melebihi kemampuan seorang lelaki itu. Dia bersabar bila janji sang lelaki tak ditepati, malah dia memujuk sendiri hatinya bila keinginannya adakala diketepikan.

Kenapa? Jawapannya adalah kerana cinta. Padanya cinta bukanlah sesuatu yang boleh di simpan separuh dan hanya diberi separuh yang ada. Padanya, bila pintu hatinya telah berjaya dibuka, seluruh hatinya pasti menjadi milik sang perwira.

Apa sebenarnya yang dimahukan oleh seorang lelaki itu? Apa yang masih belum cukup lagi pada dirinya?
*********************

Hari ini akhirnya dia mengaku tewas. Ternyata dia bukan permata pilihan. Tewas dengan sebuah keputusan. Telah direndahkan egonya, telah diminta agar dirinya tidak ditinggalkan, telah di rayu agar dirinya terus disayangi. Namun segalanya sia-sia.

Memang benarkah dia tidak layak untuk dicintai?
Dia masih bertanya apakah yang kurang pada dirinya? Dia tidak faham. Telah ditunduk kepada segala permintaan. Masih tak berertikah segala pengorbanan yang diberi? Kenapakah lelaki itu yang dulunya amat mengharapkan cinta dari dia kini membisu seribu bahasa?

Hatinya terhempas, berderai menjadi debu halus. Ditahannya airmata dari mengalir lagi. Tangisan hanyalah satu pembaziran. Ianya tidak dapat mengubah keputusan sang lelaki.

Dia tidak mahu lagi mengharap keadaan akan berubah. Perubahan hanya untuk mereka yang masih ingin hidup, mereka yang masih menaruh harapan. Sedangkan dia kini seperti patung bernyawa. Hidup hanya kerna nyawanya masih liat dan panjang.
Waktu berlalu seperti biasa dari sehari ke sehari, tidak ada bezanya. Hanya menunggu masa dan saat roh akan berpisah dari jasad. Mungkin ketika itu, barulah dia akan dapat merasai ketenangan.
Menunggu satu kematian..

Tuesday 30 October 2012

Laila II


Adakala sesaat sahaja mampu menukar hidup seseorang. Itulah yang berlaku pada saya. Hanya dalam sesaat, mata terpandang si dia dan dunia serasa terus berubah.

Semua orang yang berada disekeliling hilang dari pandangan dalam waktu sesaat itu. Yang ada hanya dia. Mata asyik memandang tangannya menyelak helaian rambut yang menutup wajah lembutnya. Indah sekali. Dalam sesaat itu juga serentak, dia berpaling memandang saya. Pandangan kami bertaut dan perlahan lahan bibirnya membentuk seulas senyuman.

Dagu saya seakan jatuh ke lantai. Dia senyum pada saya? Benarkah pada saya? Ahh... tidak mungkin! Dengan perlahan saya memandang ke kiri dan kanan. Tiada sesiapa disebelah saya. Saya alihkan pandangan ke belakang. Oh, ada poster MacDonald dengan gambar seorang kanak- kanak comel ketawa riang. Mungkinkah dia tersenyum kerana poster tu? Mungkin saya hanya kebetulan berdiri ditepi poster tersebut. 
Logik akal mengatakan tidak akan ada perempuan yang akan senyum pada saya, lebih-lebih lagi perempuan secantik dia. Semestinya saya yang perasan. Sesungguhnya tidak ingin tersenyum balik hingga akan membuat diri kelihatan bodoh di depannya.

Pintu LRT terbuka dan seorang lelaki masuk. Seorang lelaki pertengahan umur berjalan dengan terhuyung hayang. Kenapa mesti dia memilih tren ini dari begitu banyak tren yang telah atau akan singgah sebentar lagi. Mulutnya berbau busuk, sebusuk kata-kata makian yang terkeluar dari bibir mabuknya. 
Dia duduk betul betul di sebelah saya pula! Apa malangnya nasib hari ini. Saya segera memalingkan muka ke kiri. Malas hendak memandang orang seperti itu. Minum pada waktu siang hari dan tanpa kawalan diri.

Telefon mudah alih wanita disebelah kanannya tiba-tiba berdering kuat. Si pemabuk bertukar jadi berang. Dia menepis tangan wanita yang memegang telefon mudah alih tersebut kerana bunyi deringan tersebut membingitkan telinganya. Ah! telefon tersebut terlepaas dari tangan wanita itu dan ... terpelanting terkena gadis cantik itu. 
~bersambung~ 

Monday 29 October 2012

Ranap



Saya memandang tepat ke dalam matanya. Cuba mencari jawapan untuk menenangkan jiwa yang semakin meruntun sedih. Pantas dia mengalih pandangan. Dia tunduk menatap mawar merah di dalam bekas kaca di atas meja. Seolah-olah sesuatu yang berat juga sedang bergelora dalam sukmanya. Ada segaris warna kesedihan pada wajahnya. Namun dia masih membisu.

Kata saya: Sesungguhnya saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan hidup tanpa awak. Please.

Ketika ini sebenarnya saya ingin menangis. Takungan airmata di kelopak hanya menunggu saat dan ketika empangan akan pecah.

Jika terasa sedih, menangis dan merintihlah bila sendirian. Tapi mesti berdiri teguh dan kuat di khalayak ramai. Saya tidak akan mati di sebabkan cinta yang tak kesampaian. Tidak akan mati.
Benarkah? 

Sunday 28 October 2012

Fitrah


Sejauh mana kamu berlari, dapatkah apa yang dikejari?
*****************************
Fitrah seorang perempuan ini memang suka berfikir dan amat mudah terasa.
Adakalanya bicara si dia menghiris hati lalu membuat diri terasa kerdil, malah serba kekurangan jika hendak dibandingkan dengan yang empunya bicara.

Fitrah seorang perempuan ini juga adakala terlalu lurus. Apa yang terlintas difikiran, itulah jua yang diluahkan. Andai tersilap kata, tegurlah dia dengan tegas tapi janganlah dimarahinya dengan kasar. Kerana dia juga insan yang punya perasaan, pasti terguris bila dikasari.

Dalam hidupnya, telah terlalu banyak onak dan duri yang telah dilalui. Mimpinya sering dibaluti igauan semalam. Salahkah jika dia menumpang tawa dan cerita teman disekeliling. Hanya sekadar mengurangkan pedih di hati dan sepi yang kadangkala tiba tanpa diundang.

Jika isi hatinya masih dipersoalkan, dia tak akan bersuara membela dirinya lagi
Hari ini senyumannya telah hilang. Sinar di mata telah malap. Dikuncikan segala duka di hati, memilih untuk bersendiri.

Merajuk..biarlah pada yang sudi memujuk.

Saturday 27 October 2012

Senja Yang Mendung


Seorang anak kecil berdiri menangis di tepi padang permainan.
Tangisannya perlahan, hampir tidak kedengaran bunyinya. Namun hati dapat merasa kesedihannya. Terhinggut hinggut bahunya menahan sebak.

Anak kecil itu berusia dalam lingkungan 5 - 6 tahun. Bertocang dua, pasti manis rupanya andai kesedihan tidak menyelubungi dirinya. Rumahnya pasti tidak jauh dari taman ini. Kalau tidak masakan seorang anak sebegini kecil dibiarkan merayau keseorangan.

'Adik, kenapa adik menangis? Adik sorang saja ke?' saya memandang keliling, mana tahu ibu atau bapanya ada berdekatan. Mungkin juga ibu atau bapanya tergesa untuk pulang dan tertinggal si kecil keseorangan di sini.

'Adik tak mahu balik. Semua orang jahat! Tak ada orang yang sayangkan adik!' tergagap gagap sikecil berkata. Tersentuh hati saya dengan jawapan dia sewaktu tangan pantas mengeluarkan tisu dan menggelap hingus dan airmatanya.

' Adik tak kesian ke kat ibu adik? Mesti dia tengah risau, bimbang mana adik hilang.' saya cuba memujuk si kecil. ' Adik tahu kat mana rumah adik? Auntie boleh temankan adik pulang.'

'Adik tak nak balik! Ibu tak sayang adik lagi. Ibu selalu marah marah adik. Abang selalu ambil barang adik tapi ibu tak marah abang. Ibu marah adik saja.' terlalu banyak yang menyentuh hati sikecil rupanya. Dia mengingatkan saya pada diri saya sendiri.

' Adik nak lari ke mana? Adik tengok langit tu. Dah nak gelap. Tak lama lagi kalau hujan turun, kat mana adik nak berlindung? Adik nak makan apa nanti bila adik lapar? ' soal saya ingin melihat sejauh mana rajuk & kecekalan si kecil.

'Auntie, auntie..auntie tak nak bawa saya balik dengan auntie ke? Saya janji saya tak akan nakal' tangis si kecil sambil tiba tiba memeluk saya. Hati turut tersentuh. Apa agaknya yang begitu meruntun jiwa sikecil sehingga ingin mengikut seseorang yang baru saja dia jumpa. Airmata saya turut mengalir dan saya peluk dia erat. Ingin sekali saya turutkan kehendak sikecil. Tapi saya juga tak berupaya menyelesaikan kemelut sendiri..bagaimana hendak membela nasib sikecil?

'Adik! Adik! Ibu panggil pulang.' Terlihat seorang kanak kanak lelaki berlari hampiri kami. Abang kepada si anak kecil. Dia memandang kami dengan penuh curiga. Si adik memandang saya seketika sebelum abangnya menarik tangan adik.

'Abang beritahu ibu nanti yang adik ni degil. Biar ibu rotan adik lagi' kata si abang.

'Adik dah besar nanti, Adik nak jadi hantu. Hantu lagi kuat dari abang. Biar abang takut. Biar Ibu tak berani rotan adik lagi.' jerit si adik sambil menangis semula.

Hati saya cukup tersentuh. Apa yang buat si kecil begitu terasa? Apakah si abang tidak tersentuh melihat si adik sedih? Apakah nasib si adik bila besar nanti? Pergaduhan kanak kanak saja atau bayangan masa hadapan yang sama? Adakah si abang nanti bila selesai menjadi wali kepada si adik, akan membiar sahaja si adik mengemudikan bahtera perkahwinannya tanpa mengambil tahu keadaan si adik?

Tuhan... peliharalah anak kecil itu.

Friday 26 October 2012

Takdir Cinta



Hitam putih kehidupan
berseri di bawah pancaran sang pelangi

Redup ini adalah payungan ilahi
gerimis ini adalah rezeki
cahaya ini adalah kasih mentari

Bila malam bersuara siang hanya berdiam
memberi laluan buat bintang bintang berkumpul
mendengar kisah cinta yang datang dan pergi

Di kesiangan ini
bulan dan bintang tidur sejenak
memberi maya pada mentari mengumpul ilham....

Aku
seorang insan yang menyerah takdir cinta di tangan yang esa
Yang baik itu anugerah nya
yang buruk itu dugaan nya

Tiada lah daku terlalu gembira pada yang baik
Tiada juga terlalu berdukacita pada yang buruk

-petikan masmerah-

Thursday 25 October 2012

Mengalah



Melankolik?
Saya tak pernah nafikan fakta tu.

Tapi bila ada yang menegur, saya tetap akan tersenyum, tetap membalas salam, menjawab pertanyaan. Di sini, cuma persinggahan untuk menulis setiap rasa yang timbul. Apabila hati tersentuh, ia berbicara. Harapan saya agar dengan menulis dapat memberi saya jawapan bagi segala persoalan yang bermain di kotak fikiran 
*****
Kata dia: Kebahagiaan itu milik semua orang. Terpulang pada kita untuk bersedih atau menganggap apa yang berlaku hanya seperti angin yang menyinggah. Tidak sesekali akan mengusik jiwa.

Kata saya: Ianya tidak semudah itu. Apabila setiap kata perlu ditapis dan setiap perbuatan sentiasa terlihat silap, bolehkah ditulikan telinga? Apabila perasaan tidak dipeduli dan apabila senyuman saja yang dipinta serta apabila kesedihan tidak diambil kira, lantas di mana letaknya kebahagiaan itu? Diri ini bukan boneka tanpa perasaan.

Mungkinah bersendiri itu lebih mendamaikan? Membuang segala perasaan. Tidak perlu mempunyai atau dipunyai sesiapa. Tidak perlu ada cinta.

Merajukkah saya? Mungkin iye.
Menyerah kalah? Mungkin itu lah yang sebenar-benarnya ingin saya lakukan. Ingin mengalah kerana diri terasa amat  penat. Ingin mengalah kerana inginkan kedamaian..

Perlukah dibiarkan hati ini terus terluka? Adakala diri jadi keliru. Tidak mampu menilai kesungguhan dan kejujuran yang dihulurkan. Lantas bagaimana ingin menilai antara intan dan kaca? Kedua-duanya sinarannya menyilaukan mata.

Berbisiklah pada hati tentang ketenangan dan mencari arah untuk pulang.
Bibir, teruslah tersenyum. Tawa, tenggelamkanlah segala kata negatif hati. Jiwa, cubalah untuk berani. Bukankah jiwa sepatutnya sekeras waja?

Saya tidak tahu. Saya tidak ada jawapannya. Saya keliru. Terasing tanpa sebarang petunjuk jalan. Buntu.

Wednesday 24 October 2012

Sepi Sekuntum Mawar Merah

Kata mereka, jodoh pertemuan adalah mainan takdir yang menguji manusia untuk terus waras, rasional dan berpegang teguh pada cinta.
Berulang kali kumencuba
Memujuk hati
Lupakan semua
Kenangan...

Namun mimpi bertamu lagi
Di saat engkau
Tiada di sisi...

Ku berpegang pada janji
Tercipta ...
antara kita dulu
Hilangmu tiada berganti
Biarlah ...
begini

Ku belayar di lautan
Tidak bertepian
Sesekali disedarkan
Ombak yang mendatang
Aku seperti hilang
Punca arah dan tujuan

Aku puisikan namamu
Bersama rindu
Di dalam sendu ...


Siapa yang benar? Siapa yang salah? Adakala apabila kita memilih jalan yangberlainan dari majoriti, orang ramai akan menuding jari mengatakan kita yang salah. Walau jalan yang dipilih itu tidak melanggar hukum hakam, manusia masih berprasangka.

Tuesday 23 October 2012

Aku Bukan Hero



Siapa Aku?
Aku tidak tahu bagaimana nak terangkan siapa sebenarnya aku.
Dari segi luaran, aku seorang pemuda yang biasa saja: tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, tidak gemuk dan tidak juga terlalu kurus, berkaca mata dan sentiasa 'low profile'. Hobi aku ialah merayau rayau di kota X mencari komik terbaru atau melihat-lihat (window shopping) keluaran terbaru 'games' dan majalah komputer.

Hari itu, ketika menuruni tangga berjalan (escalator) di Pasaraya Besar Lot X, aku terperasan begitu ramai pasangan kekasih di sini. Ada yang berpegangan tangan sambil ketawa dan ada juga yang lebih berani meletakkan tangan melingkari pinggang si gadis dengan bangganya seolah olah dia saja yang punya kekasih. Hmm, pastinya ada sesuatu yang menarik ditawarkan disini.

Sedang aku cuba membaca papan notis di sebuah pusat membeli belah, aku hampir saja terjatuh dilanggar seseorang. Aku menoleh dengan wajah yang kelat.  Seorang gadis berambut panjang tergesa-gesa ingin bertemu buah hatinya. Hmm. bauan minyak wanginya tertinggal di bahu bajuku. Harum.. Gadis, bau minyak wangi mu cukup sebagai menebus kesalahan tadi.

Aku melihat jam tangan ku. Oh ya Game terbaru 'Super Mario Galaxy 2' akan dijual hari ini. Aku telah menempah nya di kedai Gemuk. Hanya 25 pembeli pertama yang bertuah akan mendapat edisi terhad 2 Disc original soundtrack Super Mario orchestra yang dipimpin oleh Taizou Takemoto. Ianya memang berbaloi.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi pergaduhan di sudut kiri ku. Seorang gadis sedang diganggu oleh seorang kaki botol. Kasihan..tapi aku tidak mahu terlibat sama. Lelaki mabuk tu lebih besar saiz tubuhnya dan tentu lebih sukar untuk dielak daripada pasangan-pasangan bercinta yang tidak endahkan dunia tadi. Aku memerhatikan mereka dengan ekor mata sambil kaki bergerak perlahan-lahan kebelakang, menjauhi tempat kejadian.
Si Gadis memandang kekiri dan kekanan , mungkin cuba melihat jika ada yang simpati dan ingin menolong. Jangan pandang aku, gadis. Aku bukan hero.

Tiba-tiba si gadis menjerit sambil memukul lelaki mabuk tersebut dengan tas tangannya berkali kali. Terkejut aku. Rupa-rupanya dalam keadaan terdesak seorang gadis mampu bertindak diluar jangkaan. Teruk juga si pemabuk tu dipukulnya.
Kagum aku. Gadis bertubuh kecil seperti tu boleh uruskan lelaki yang 2 kali ganda besarnya dari dirinya. Aku pula? Aku hanya melarikan diri. Ahh.. aku tak suka terlibat dalam sebarang pergaduhan. Kalau tetiba Tuhan mahu berikan aku kuasa hebat supaya aku boleh menyelamatkan dunia, aku pasti akan menolak! Begitulah aku.. Aku memang tak guna. Aku ni seorang penakut. Aku Bukan Hero. 

Monday 22 October 2012

Di Mana Kak Yana



Siang tadi, pengurus butik tempat Kak Yana bekerja datang ke rumah sewa kami.
Dia mencari Kak Yana. Katanya sudah 2 hari Kak Yana tak datang kerja. Kata pengurus itu lagi, dia dah berkali kali dail nombor handphone Kak Yana tapi tak dijawab. Risau dia seandainya terjadi sesuatu pada Kak Yana.

Makcik Endon, pemilik rumah sewa berkata Kak Yana jarang kelihatan semenjak dua menjak ini. Semalam pun bilik Kak Yana gelap saja. Ke mana agaknya Kak Yana pergi ye?

Kak Yana agak muram kebelakangan ini. Pengurus ambil berat sangat tentang Kak Yana sebab Kak Yana seorang pekerja yang amat dedikasi dalam menjalankan tugasnya. Malah, kata pengurus lagi, Kak Yana baru saja dipilih sebagai pekerja contoh di butik tersebut. Kak Yana sepatutnya gembira..tapi sebaliknya, dia kelihatan seperti seseorang yang telah hilang matlamat hidupnya.

Setelah pengurus meninggalkan nombor telefonnya pada kami dan beredar pulang, kami mengekori Makcik Endon yang pergi mengambil kunci 'spare' untuk buka bilik Kak Yana.

Klik. Suis lampu bilik ditekan. Bilik Kak Yana sama seperti selalu: bersepah dengan buku dan majalah. Katilnya kosong dan seperti telah lama tidak disentuh. Dengan rasa sedikit kurang selesa, saya turut masuk ke dalam biliknya buat pertama kali. Aneh rasanya bila masuk tanpa diundang seperti ini (lebih lebih lagi bila pemiliknya tiada). Seolah olah kami telah mencerobohi ruang peribadi dia.

'Tunggu sekejap!' kata Nadia. 'Karya Kak Yana dah tak ada. Selalu nya ada atas meja ni. Kak Yana pernah larang Nadia dari mengalihkan novel yang hampir siap ditulisnya itu. Kalau nak dibaca pun, mesti di meja tersebut juga.'

"Ha? Kak Yana menulis novel?' tanya saya terkejut.

'Betul tu. Dan ini karya Yana yang terbaik yang pernah dia hasilkan.' tambah Makcik Endon pula. 'Mungkin dia dah siapkan karya dia tu dan dia dah pun hantar kepada pihak penerbit'.

Hmm.. rupa rupanya saya orang terakhir yang tahu tentang ini. Dan saya sepatutnya ialah kawan Kak Yana yang paling rapat. Terasa hati seketika. Mengapa saya seorang sahaja yang Kak Yana tak beritahu tentang hobinya menulis? Tidak bermaknakah persahabatan kami selama ini.

Namun saya harus tolak ke tepi dahulu semua rasa terkilan, sedih dan terasa hati itu dahulu. Kami ada masalah yang lebih penting buat masa ini: di mana Kak Yana?

Ya, itu yang lebih penting: mencari Kak Yana. Kak Yana sangat mengambil berat tentang saya dan Nadia selama ini. Dia pernah pinjamkan baju dan kasut nya pada saya sewaktu saya perlu hadiri satu temuduga kerja. Setiap kali saya ada masalah dan saya pergi mencari dia, tak pernah sekalipun dia mengeluh atau mengatakan yang dia sibuk. Dia sentiasa sedia untuk mendengar masalah kami. Kak Yana lebih dari seorang kawan, dia umpama kakak kandung saya sendiri.

Kak Yana. Kemana agaknya Kak Yana menghilang?

Sunday 21 October 2012

Sang Kekunang



Malam ini
sendirian aku
memerhati lingkaran bintang di langit suram
rindu pada cahaya sang kekunang semalam
seakan pelita rimba menerangi gelap malam
walau tak terlawan sinar bintang bergemerlapan..
di sinilah kuimpikan kedamaian.

Saturday 20 October 2012

Azam



Semasa kecil, saya suka melakar warna pelangi dalam setiap lukisan saya.
Waktu tu, saya berangan untuk jadi seorang pelukis. Saya juga berangan untuk jadi seorang hero yang mempunyai kuasa hebat demi untuk selamatkan dunia. Waktu itu, saya percaya saya boleh jadi apa saja yang saya inginkan. Tidak ada satu pun yang mustahil.

Sehari sebelum tamat sekolah, saya dipanggil oleh guru kelas ke bilik kaunseling. Katanya kawan-kawan saya semua sudah ada idea arah hala tuju mereka selepas ini. Tinggal saya sahaja yang masih lagi tidak menghantar borang permohonan ke mana-mana universiti atau kolej. Mengapa?

Sebenarnya, saya sangat ingin untuk bersama Suzy meneruskan pelajaran di Universiti Malaya. Tapi kalau dilihat dari keputusan peperiksaan saya yang lepas, rasanya harapan untuk diterima masuk ke sana amat tipis sekali.

Saya bukan tidak ada impian. Impian saya ialah untuk sentiasa bersama Suzy. Itu sahaja.

Ayah tidak peduli langsung andai saya teruskan atau tidak pengajian hingga ke menara gading. Ayah cuma ingin saya tamatkan sekolah menengah dan kemudiaannya mengambil alih perniagaan ayamnya. Lagi pun saya ini adalah satu-satunya waris dia. Saya tidak mahu menyambung perniagaan perusahaan ayam ayah. Namun ayah enggan mengerti. Saya tiada cara lain melainkan melarikan diri ke ibu kota.

Pada mulanya saya gembira tinggal di kota metropolitan ini. Apa tidaknya. Saya boleh buat apa saja yang saya inginkan tanpa ada suara bising emak berleter dan tanpa suara garang ayah memarahi saya.

Namun segalanya berubah sejak saya bertemu Suzy semula. Saya lihat dia dan saya lihat diri saya pula. Terasa betapa rendah diri saya bila berdepan dengan Suzy. Saya cuma ada sijil akedemik tamat sekolah menengah sahaja. Tentu ianya tidak membantu untuk saya dapatkan pekerjaan yang lebih baik. Saya juga tidak ada sebarang kebolehan lain.

Suzy? Suzy nampak hebat sekali. Dia kelihatan cantik dan berjaya. Katanya dia kini bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat pengiklanan. Anggun sungguh. 
Pertemuan itu sedikit sebanyak telah menyedarkan saya. Mulai hari ini, saya berjanji yang saya akan sambung kembali impian saya: menjadi seorang pelukis tersohor tanahair. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh hingga impian saya tercapai. Saya ingin Suzy bangga dengan kejayaan saya. Ketika itu nanti barulah saya akan suarakan hasrat hati saya kepadanya.

Cinta bukan membuat seseorang itu lemah. Namun cinta sebenarnya membuatkan seseorang itu cekal dan berani. Betuk, bukan? 

Friday 19 October 2012

Semalam



Pandanglah tepat ke dalam mata
lihatlah dengan mata hati.
***

Petang itu sungguh redup. Berbeza dengan hari-hari biasa yang selalunya disajikan dengan sinaran terik sang mentari. Jauh fikiran menerawang.

Cinta. Secara realitinya bukan sesuatu yang boleh diatur atau dirancang. Malah ianya satu kebiasaan apabila apa yang kita rancang tidak terjadi seperti yang kita harapkan. Siapa yang tidak mahu cintanya dibalas oleh orang yang diminatinya. Hidup juga pasti lebih mudah andai kita dapat memaksa hati mengikut logik akal. Pasti tiada siapa yang akan terluka.

Antara kemahuan hati dan ehsan dalam diri. Yang mana mamakan diri?


Thursday 18 October 2012

Walang


Hari ini awan seakan pecah, menumpahkan segala isi kandungannya tanpa belas.
Mungkin hujan seakan ingin menjadi saksi berakhirnya cerita kami.

Saya sememangnya tahu yang persahabatan kami tak mungkin akan kekal lama.
Mana mungkin saya dibenarkan berkawan dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan seorang lelaki tanpa pengetahuan atau kebenaran dari dia.

Namun jauh di sudut hati ini, saya masih menaruh harapan yang tinggi agar Tuhan benarkan saya berkawan lebih lama lagi dengan guru. Kekosongan sedikit terisi sejak guru ada. Kami berbual tentang apa saja yang kami ingini, tanpa sebarang rasa ego mahupun meninggi diri. Guru tidak tahu cerita saya dan saya juga tidak tahu apa-apa pun kisah hidup guru. Kami hanya dua manusia yang ingin lari dari hiruk pikuk suasana kerja dan masalah masing-masing. Tidak pernah wujud soal cinta antara kami. Tidak pernah.

Malam itu, sekali lagi dia muncul bagaikan tsunami. Dia memukul tanpa bertanya, menuduh tanpa sebarang usul periksa. Pecah. Rabak. Saya yang bersalah kerana ingin berkawan, namun kenapa guru saja yang dipukul? Tidakkah dia lihat berapa usia tuan guru? Tak ada langsung rasa ehsan kah dalam hati seorang 'dia'?

Saya mendengar suara seseorang menjerit dan itu sebenarnya adalah suara saya! Saya yang selama ini tidak pernah meninggikan suara, menjerit dengan sepenuh hati. Dalam seketika itu juga pandangan saya menjadi kelabu dan gelap. Hilang.
*************
Hari ini saya masih di sini. Masih berada di takuk yang sama.
Betapa saya sangat ingin menjadi seperti camar yang bebas terbang tinggi di langit biru. Saya sangat ingin berada jauh berjuta batu dari sini, malah sejauh dan setinggi bintang di langit.

Namun saya sedar yang saya terpenjara di sini. Jasad saya sudah terikat di bandar ini.
Dia yang bagai Sang Rawana akan bertindak gila seandainya saya tiada. Semua yang pernah mengenali saya pasti akan terkena tempias amukannya. Tidak mengira teman yang rapat atau jauh.

Biarlah saya dikata membuang kawan. Asalkan api amarahnya hanya memakan diri saya dan bukannya mereka. Saya telah biasa dengan keadaan dia yang adakalanya baik dan adakalanya bertindak di luar batasan fikiran yang logik.

Namun saya juga manusia biasa yang punyai ketika di mana saya amat lemah. Ada ketikanya saya mengeluh dan menangis. Saya tahu kini yang saya tidak mampu lari dari kengkangan nasib saya. Saya cuba ingat pesan guru. Biar jasad saja dikurung, tapi jangan biarkan minda turut menjadi hamba. Biarlah masyarakat memalingkan muka, saya tidak boleh mengalah.

Dia mungkin boleh memaksa saya berada di sini selamanya. Tapi dia tidak mungkin memiliki hati dan semangat saya. Saya bersyukur kerana saya masih sihat dan saya masih mampu berlari walau dalam ruang yang sempit. Saya masih mampu bermimpi dan saya masih diri saya.
Inilah kisah saya.

Wednesday 17 October 2012

Keabadian Cinta



Adakalanya
di dalam kehampaan
kita dihadirkan dengan sebuah cinta
Adakalanya
di sebalik rintik hujan dan kelam malam
kita di usik dengan titipan rindu yang dibawa sang bayu

Adakalanya
kita hanya perlu diam
biarkan hati sahaja merasa

Tuesday 16 October 2012

Salji Yang Mencair


Cinta itu adalah

Ketika dia marah, kita masih membalasnya dengan sayang
ketika hati dia terluka, kita mencuba untuk hiburkan dia
Ketika dia berasa ragu, kita sokong dan yakinkan dia
Ketika dia kecewa, kita cuba berikan harapan
Ketika dia bersedih, kita berkongsi dan cuba ceriakannya
Ketika dia berada dalam kegelapan, kita bawakan cahaya untuknya

********
Jika dia ada di sini, pasti saya akan mengusiknya. Saya boleh bayangkan reaksinya juga.
'Boleh saya tanya satu soalan? ' ah..ayat pertama saya seperti biasa.
'Bila salji cair, awak rasa apa akan terjadi?' tanya saya sambil senyum.

Pasti dia akan memandang dan membalas dengan senyuman juga:
'Tentulah jadi air.'

Jawab saya:
'Salah tu. Bila salji cair, jadi musim bunga le.'
***
Salji terus mencair. Biar pun dia tiada di sisi.

Monday 15 October 2012

Cair


Cerita seorang teman: 
Hujan turun renyai-renyai diluar.
Tanpa saya sedari, sebuah senyuman terlakar di bibir. Hujan seperti ini adakalanya kelihatan seperti salji yang turun di Strasbourg. Betapa saya ingin kembali ke sana di saat ini. Merasa bebola halus seakan ais turun dan menyentuh wajah.
Kata mereka, cinta itu wujud bila kita bertemu dengan seseorang yang boleh membuat kita tersenyum waima waktu itu kita sedang berduka. Cinta itu hadir apabila seseorang itu juga mampu membuka mata dan hati kita untuk menikmati kehidupan.

Setelah lama berada dalam kegelapan dan kesejukan, hati seolah-olah telah keras membeku. Tepu dan tidak merasai apa-apa. Sering melarikan diri bila ada yang ingin mendekati kerana tidak ingin merasa semula. Takut cerita yang sama akan berulang sekali lagi. Hidup sehari demi sehari, pulang kerja bila malam menjelang untuk merenung bulan.

Dia muncul bagaikan musim bunga yang mencairkan salji. Tidak dirancang. Perlahan-lahan hati i yang beku menjadi cair semula. Derai ketawa juga mula kedengaran tanpa sengaja. Dan kesimpulannya memang telah diduga dan tak dapat dielakkan, saya jatuh cinta pada dia. Dia juga mencintai saya. Dua hati bertaut.

Saat dia meluahkan perasaan, airmata mula mengalir. Hati seperti salji yang mencair ditiup oleh angin musim bunga. Masa seakan tidak terasa bila berada dengannya. Seolah-olah semua stok kebahagian untuk seumur hidup telah dimampatkan dan diberikan pada saya waktu itu juga.
Namun seperti semua mimpi indah, akan tiba waktunya untuk terjaga dari tidur. Realiti hidup mencipta dugaan dan cabaran. Hati masih bertahan. Sayang itu telah terpahat amat dalam dan saya percaya padanya. Percaya walau betapa sejuknya cuaca, musim bunga pasti akan tiba dan kali ini tanpa sebarang halangan. Mungkin kali ini saya pula yang akan buat dia tersenyum.

Sunday 14 October 2012

Mencari Cinta Yang Hilang




Puisi ini kiriman Hajjah Rini dari Johor.
Katanya untuk semua wanita yang terluka :

MENCARI CINTA YANG HILANG

Kekasih
kurakamkan bahasa kalam ini
sebagai tinta nuraniku yang tumpah
kerana mata penanya telah retak dan patah
lalu tenggelam ke dasar lautan rasa yang amat dalam.

Ingin kukutip dan ku perlihatkan
bunga rampai keresahanku
yang kusimpan sekian lama ini
betapa seringnya aku sibuk mengukur
kepaduan kasihmu
betapa seringnya aku menebar jala cemburu yang tak bertepi
sama seringnya aku hamparkan pertanyaan
dan pelbagai persoalan.

Lihatlah
ke dasar hatiku
lihatlah dan lihatlah
sering aku mengungkit tentang cintamu
bolehkah ianya hanya untukku, hanya milikku.

Sering tingkah lakuku, rajukku dan tangisku
mencabar kelakianmu..
namun kau masih di situ
tidak membiarkanku atau mahu melepaskanku
sehingga aku alpa
terlalu melayani nurani
terpedaya dengan bisikan syaitan.

Maafkan aku kekasih
biar ku cium tanganmu dan kupinta kemaafanmu
halalkanlah cinta mu padaku
pada sisa-sisa waktu yang ada ini
sebelum Izrail datang membawa salam
pada ketika itu baru aku tersedar
bahawa aku tiada membawa apa apa
walau sebutir dari kasih sayangmu itu.

Saturday 13 October 2012

Misteri


Suasana sepi seketika.
Saya memandang dia. Perlahan saya sentuh tangannya.
Seperti terkena kejutan letrik, pantas dia menarik tangannya.

'Apa yang awak buat ni?' katanya dengan tegas.
'Maaf. Saya cuma nak pastikan yang awak benar-benar wujud. Yang awak ni bukan hantu atau syaitan yang sengaja datang untuk menguji saya.'

Dia terus ketawa. 'Saya dah kata yang saya ini manusia. Nak tengok I/C saya?'
Saya diam dan masih terus memandang tepat ke matanya. Bila dia ketawa, dia kelihatan jauh lebih muda dari usianya.

'Syarat pertama: awak tak dibenarkan sentuh saya' kata nya.

'Kenapa?' tanya saya. Saya memang suka bertanya, dan dalam bertanya saya terlupa akan segala masalah yang melanda hati.

' Sebab, saya lelaki. Awak tu perempuan dan bukan muhrim. Yang kedua, sebab saya dah berkeluarga.' kata dia lagi

'Syarat seterusnya, awak tak dibenarkan jatuh cinta dengan saya' terang dia.

'Kenapa awak cakap macam tu? Saya tak rasa yang saya akan jatuh hati pada awak.' kata saya, semakin pelik dengan lelaki di depan saya ni.

' Sebab ramai perempuan selalu jatuh cinta dengan saya. Saya tak mau awak pun ikut sama macam tu.' kata dia.

' Itu tak mungkin berlaku. Awak jauh lebih tua dari saya. Malah seperti ayah saya. Yang keduanya, saya tak rasa yang saya akan jatuh cinta dengan sesiapa pun.' kata saya perlahan.

'Macam mana pula kalau awak yang langgar syarat awak tu? Macam mana kalau awak yang jatuh cinta pada saya?' saya menyambung dengan soalan.

Dia diam sebentar sebelum berkata 'Saya dah jatuh cinta dengan awak 15 tahun yang dulu.'

15 tahun dulu? Terasa pening kepala sebab saya tak pernah melihat dia sebelum ni.

'Lupakan persoalan tu. Syarat seterusnya, kita berjumpa selepas tamat waktu pejabat saja. Kalau terserempak diluar, awak jangan sesekali tegur saya.' sambung dia lagi dan terus menukar tajuk perbualan.

'Awak ada syarat yang nak dikemukan?' tanya dia lagi.

Saya geleng kepala. Saya tak punya apa apa syarat. ' Baiklah. Saya terima syarat awak.'

' Awak tak ada apa apa soalan lagi?' tanya dia seakan tak puas hati dengan jawapan saya.

Saya geleng kepala. Tiada ada apa nak ditanya buat masa ni. Minda masih cuba menyerap situasi aneh ini.

' Ok. Kita jumpa malam esok. Waktu yang sama.' katanya sambil berjalan ke pintu. 'Awak tak nak tanya pun siapa nama saya?'

Rona merah mewarna wajah saya seketika. 'Siapa nama awak?'

'Panggil saja saya Farid. Awak tahu, awak memang unik' dan dia terus melangkah pergi.

Unik? Saya tak rasa saya unik. Saya cuma seorang yang terlalu biasa saja.


Friday 12 October 2012

Simfoni Malam


Simfoni malam mengalun rindu yang tiada penghujungnya..
*****************************
Saya perlahan lahan belajar menghayati keindahan kerdipan bintang. Walau cahaya nya tidak seterang cahaya bulan, namun ianya lambang sinar sebuah harapan dan penantian.

Satu ketika, saya pernah berkecil hati dengan seorang rakan semata mata-kerana isu bintang ini. Saya bercerita padanya bahawa saya melihat bintang yang berkerdipan itu seperti penunjuk arah . Pada saya, bintang-bintang itu tidak pernah berganjak dan sentiasa berada di tempat yang sama. Jika satu hari nanti saya tersesat, saya cuma perlu mendongak ke langit dan ikut arah selatan untuk pulang.

Sahabat saya segera meningkah. Katanya saya sudah silap. Bintang adalah planet dan ianya tak bisa menunjukkan arah dengan tepat. Ini kerana planet-planet bergerak di cakerawala mereka sendiri, sama seperti bumi yang berputar mengelilingi matahari. Katanya lagi, planet-planet tersebut sangat jauh, jadi cuma cahayanya sahaja yang akan kelihatan jika kita melihat dari bumi.

Saya menyuruh dia berhenti dari berkata-kata. Rasa sayu mulai menular di hati.
Namun dia tidak endah dan terus menyambung penerangan dia: 'Planet-planet tersebut adakalanya berlanggar sesama sendiri dan ada yang akan meletup dan berkecai akibat perlanggaran sesama sendiri itu. Maka serpihan planet tersebut akan kelihatan seperti tahi bintang..atau secara saintifik di gelar komet'.
Sahabat terhenti bercakap bila sedar yang saya membisu sedari tadi. Di tanyanya saya kenapa saya kelihatan sedih.
Perlahan-lahan saya beritahu dia bahawa dia telah merosakkan cerita bintang saya. Cerita bintang itu ialah cerita dari ayah yang saya simpan dan saya ingati kembali bila saya rindukan ayah. Saya menyimpan harapan agar ayah kembali setiap kali saya merenung bintang. Saya tahu bintang hanyalah planet tapi berilah saya nikmati pemandangan malam ini dengan membayangkan ianya sebagaimana cerita yang ayah pernah sampaikan pada saya.

Takdir telah memisahkan kami. Ayah sudah 10 tahun menghilang tanpa berita. Tapi saya selalu ingat cerita ayah tentang bintang, Bila saya amat rindu pada ayah, saya hanya perlu mendongak ke langit dan memandang bintang besar yang satu di sebelah kiri nun di sana. Dulu saya selalu menemani ayah sewaktu dia menghisap rokok di beranda pada waktu malam hari dan ayah akan menunjukkan bintang tersebut pada saya.  Ianya bagai penunjuk arah buat kami. Selagi saya dapat melihat bintang tersebut di langit, selagi itu saya mampu bermimpi yang satu hari nanti ayah akan pulang.

Fakta sahabat itu seakan mengingatkan saya yang semuanya tidak akan berlaku. Ayah tidak akan pulang lagi. Fakta adalah realiti.
Saya memang telah tahu itu semua. Namun cerita ayah mampu menenangkan hati saya yang rindu. Bintang sebenarnya planet yang sedikit demi sedikit akan bergerak ke tempat lain.
Saya tahu itu. Armata semakin deras mengalir. Salahkah saya kerana menyimpan harapan untuk bertemu ayah? Saya tidak tahu sama ada ayah masih hidup atau tidak.  Apatah lagi sama ada dia akan pulang satu hari nanti.
Cuma, saya sangat sayang dan merindui dia. Adakalanya saya mahu bayangkan yang dia juga sedang ingat pada saya dan kisah yang dia sering ceritakan itu..

Saya fikir hendak berkongsi cerita ini dengan sahabat saya, namun dia tak mampu faham apa yang saya cuba terangkan. Sayu terasa hati bila terasa tiada yang mengerti. Mungkinkah saya perlu melupakan semuanya?


Thursday 11 October 2012

Lusuh



Segenggam rindu bersarang di kalbu
melihat rencam kenangan lalu
bertebaran pada album kelabu
pintu hati disapa oleh mesra senyum
dan tawa zaman remaja dulu kala
penuh pesona tiada gelora
untuk hari muka

segenggam rindu bertamu di kalbu
menghidang raut jelitawan
tersimpan kukuh di peti ingatan


***********************
Kata orang bergaduh dalam perkahwinan  adalah senario biasa. Namun adakalanya perkara remeh dan kecil mampu membuat hati terguris. Lebih-lebih lagi bila tidak tahu apa punca segala kemarahan tercetus. Emosi mula menguasai pemikiran dan perbuatan.

Istana pasir sedikit demi sedikit mulai runtuh dilanggar ombak. Hirisan kata-kata dalam api cemburu merobek hancur sekeping hati. Dan api yang membara itu juga membuat hati menjadi debu.

Kini apabila segalanya telah terurai, bila peristiwa silam yang kelabu telah terserlah dek kebenaran, dia terasa betapa ruginya masa yang selama ini telah terbuang sia sia. Bagaimana hendak ditebus harga sebuah kebebasan? Bagaimana hendak disambung, satu tali perhubungan yang telah lusuh di makan masa? Bagaimana hendak di baiki sekeping hati yang telah hancur?

Wednesday 10 October 2012

Aku Ada Kerna Kau Ada

Cinta adalah anugerah yang kuasa
Yang bila terasa betapa indahnya
Sungguh lemah diriku
Tak bererti hidupku
Bila tak ada dirimu..

Andai kubisa akan kubalas
Semua yang pernah engkau berikan
Terima kasih dariku
Atas ketulusanmu
Menyayangi diriku

Aku ada kerna kau pun ada
Dengan cinta kau buat diriku hidup selamanya
****************************
Kata orang: Mereka yang hidup sendirian itu seperti orang yang hanya ada sebelah nyawa saja. Segalanya menjadi rutin: .makan, minum, pergi kerja, balik kerja, bersenam, membaca, duduk rumah. Ulang semula. Sehari jadi seminggu, berpindah ke tahun dan abad. Monoton.

Kata saya: Tapi mereka silap seandainya meletakkan saya dalam kategori yang sama. Siapa tahu, mungkin saya telah pun jumpa separuh nyawa saya itu. Saya bukan lagi sendirian. Siapa tahu yang saya mungkin telah pun temui dia? 
Sungguh. :) 

Tuesday 9 October 2012

Percaya Pada Diri


Jari jemari berhenti dari menaip di papan kekunci komputer.

Aku teringat kembali apa yang Amin katakan sebentar tadi di telefon. Katanya tak mungkin seorang yang secantik Laila setuju untuk keluar dengan seorang lelaki biasa seperti aku. Ya. Laila sangat cantik. Malah amat cantik.

Mungkinkah Amin betul? Lebih baik jika aku tidak meneruskan niatku untuk keluar dengan nya. Ahh!!! Cacamarba fikiran dan rasa. Rojak.

Tunggu. Tunggu dulu. Aku dah pun sampai ke tahap ini. Kenapa pula aku harus berputus asa sekarang? Bukankah semuanya berjalan dengan lancar setakat ini? Aku hanya perlu lakukan satu saja lagi: pergi ke tempat temujanji kami. Itu saja. Tapi, bagaimana kalau Amin betul?

Aku merebahkan badan di atas katil. Mata memandang lampu kalimantang. Fikiranku buntu. Aku pejamkan mata. Resah. Aku buka semula mata dan berpaling ke kiri. Galau. Aku berpaling semula ke kanan. Aku menekup mukaku dengan bantal. Ahh!!

Wajah dan segala perbualan aku dengan Laila di siang hari tadi masih terngiang dan terbayang dalam kepalaku.

'Ahhh..! jeritku. Aku bangun dan duduk di tirai katil. Nasib baik aku sendirian saja dirumah malam ini. Jika tidak, pasti ibu bapaku akan mengatakan yang aku sudah disampuk hantu atau pun sudah gila. Menjerit di malam hari tanpa sebarang sebab musabab yang logik.

Tak guna kau, Amin. Meletakkan rasa sangsi dalam fikiran aku dan menghilangkan semua keceriaan yang aku rasai tadi pabila Laila sudi keluar denganku.

Apakah benar Laila menerima ajakkan aku hanya kerana aku telah selamatkan dia tadi? Aku teringat kembali wajahnya sewaktu dia melafazkan ucapan terima kasih. Keikhlasan terpancar di matanya. Tak mungkin Laila hanya berpura pura.

Tapi sebenarnya aku sendiri pun tak tahu bagaimana aku boleh jadi seberani itu untuk melindungi dia dari anjing besar di simpang tadi. Aku hanya ingat mengambil kayu dan menyuruh Laila berdiri dibelakangku. Yang aku fikir waktu itu adalah aku tak mahu Laila dicederakan.

Bagaimana jika nanti Laila tahu yang aku ini sebenarnya bukan seorang lelaki yang berani? Aku takut bibir manisnya akan melafazkan kata benci bila dia tahu yang aku sebanarnya bukan seorang 'wira'.

Aku baringkan kepala di atas meja tulis. Terasa amat tak bermaya langsung. Apa yang harus aku buat? Tuhan, aku benar benar buntu.

Tiba tiba aku terpandang sekeping poskad yang dikirim oleh seorang teman di perantauan. Tulisan di atas poskad itu : 'Hanya anda yang mampu mengubah nasib anda, jika anda benar benar mahu dan yakin yang anda mampu lakukannya!'


Berubah.. dengan menukarkan cara ..pemikiran?
Aku mampu melawan rasa takut dan berhadapan dengan anjing besar itu kerana aku benar benar mahu lindungi Laila. Aku benar benar mahu.

Manusia boleh berubah..jika meraka benar benar inginkan perubahan. Manusia boleh berubah, jika merka yakin.

Aku juga boleh mengubah diriku untuk seseorang. Aku memang ingin berubah kerana Laila! Ya. Aku ingin jadi seorang lelaki berani untuk Laila. Aku yakin aku boleh berubah. Aku akan tunjukkan pada Laila dan dunia!

Monday 8 October 2012

Redha


Redha dan pasrah, dua situasi berbeza.
Apabila kita redha, kita menerima dengan keikhlasan hati. Mengerti.
Apabila kita pasrah, kita menyerah. Mengalah. 

Adakah kita sebenarnya redha atau pasrah?

Sunday 7 October 2012

Untukmu Kekasih



~Kekasih..
Aku bukannya
sasterawan negara
aku hanya manusia biasa
menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa

Kekasih..
harap kau terima warkah cintaku
yang biasa tiada berbunga
kerna nyata ku tak sehebat dia bermain kata
kerna aku tahu imaginasiku ada batasnya

Kekasih
memintal buih menjadi keranjang ku tak berdaya
apatah menganyam awan gemawan
menjadi selendang menutup rambutmu
namun izinkan aku menghibur jiwamu
dengan bicara yang sederhana
kernaku hanya manusia biasa.~

Saturday 6 October 2012

Andai Terjadi



~Samura 1989~

Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku
kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau telah pergi
sepi tanpa kata.

terdiam dan kaku
tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan
berbunga di ranting usia.

Friday 5 October 2012

Sahabat


Saya kenal hati budinya. Sahabat juga tahu keikhlasan saya.

Walau hanya sekadar berbalas kata, berbicara, usik-mengusik, kami selesa berkawan. Sesekali kami bergurau tawa, sesekali juga kami bertikam kata. Sesekali ada sepi melanda tatkala gurauan tidak kena pada masa dan ketikanya. Seketika membisu, kiambang bertaut semula apabila lafaz maaf dihulur. Tiada menyimpan di hati.

Tatkala malam tiba, kami tulus menghulur salam tanda sebuah persahabatan. Berkongsi idea, menghulur kritikan membina pada karya masing-masing. Hubungan kami cuma sebagai kenalan maya. Dari awal kami tahu batas sebuah persahabatan tak akan dilangkahi. Sempadan tetap akan ada walau dalam gelak dan tawa.

Namun tiba jua masanya, tatkala saya harus memilih antara dua. Menjaga hati si dia yang sangsi akan sebuah persahabatan atau menjaga hati seorang sahabat yang akrab. Sudah tentunya saya memilih untuk menjaga hati dia. Hanya dia. Untuk dia. Dia.

Maafkan sahabat kerana mengundur diri. Tanpa pesan, tanpa tangisan. Maafkan sekali lagi kerana harus berlalu pergi.

Thursday 4 October 2012

Jodoh


Ada yang percaya kekuatan 'Cinta' dapat mengatasi segala halangan dan tentangan. 
Yang carik akan bercantum, yang putus dapat bersambung. 
Sang pelangi menanti di penghujung cerita.

Namun
Sekukuh mana ikatan cinta, seteguh mana janji setia
sekuat mana ikrar dan kata, sesabar mana jiwa diduga
sekental mana azam dan kemahuan
andai 
tertulis di lipatan takdir tiada jodoh antara mereka
tiada akan bersama hingga ke hujung waktu.

Begitu juga sebaliknya 
walau terpisah oleh lautan dan benua sekalipun, andai jodoh telah terpahat
tiada apa mampu memisahkan.

Wednesday 3 October 2012

Cerita Cinta



dua insan yang sedang bercinta
seakan dunia milik berdua
hanya ada aku dan dirinya
layaknya adam dan hawa

menjadi buta akan segalanya
bagaikan mimpi menjadi nyata
menemukan pasangan hatinya
yang pernah retak terbelah dua

dua insan yang memupuk cinta
seakan tumbuhnya benih baru
menjaganya agar tidak layu
selalu ada di saat suka
mengubatimu di kala duka

dua insan menemui cinta
mewarnai hati yang pernah hampa
tak ada lagi kata sepi
tak ada lagi kata sendiri

dua insan diombak cinta
mengkota janji
dengan rangkaian rasa
dan senandung nada
terukir di hati

dunia tak mungkin sempurna
tanpa dirimu yang mempesona
andai waktu dapat berhenti berdetik
tak ingin saat ini berakhir

cerita dua insan yang saling mencintai
mungkinkah berakhir dengan bahagia..

(by Ponk)

Tuesday 2 October 2012

Kisah Semalam



Baju yang dipakainya tadi diganti dengan kemeja-T berwarna biru muda.
Secara tak sengaja, pandangannya tiba-tiba tertumpu pada sekeping gambar yang terselit di celah-celah susunan baju di-almari.

Perlahan, jarinya mencapai gambar tersebut. Di luar, langit malam kelihatan cerah di hiasi bulan dan serangkaian bintang. Di dalam, gemuruh di hati seakan guruh yang mengiringi hujan ribut.

Rupa-rupanya hati masih belum mampu melupakan wajah yang tertera di kepingan gambar.
Mungkin sampai mati, rasa sayang ini akan terus wujud dan mengalir dalam seluruh tubuh. Sebati. Mungkin sampai mati juga si dia akan terus bertakhta di tempat teratas dalam jiwa.
Segala perbualan, usikan, gelak dan tawa masih jelas bermain di minda. Terasa bagai semalam mereka berjalan bersama, berpegang tangan beserta jari jemari yang menyatu sebagaimana bersatunya dua hati yang saling berjanji.

Sesungguhnya, bukan mudah untuk hidup di bawah bayangan semalam. Jika dahulu dia merasakan kehilangan ayah bagaikan sebiji batu besar yang bebannya terpaksa dipikul kemana saja dia pergi sepanjang hidupnya. Kini kehilangan seorang lagi insan tersayang hampir membuat dia hilang punca. Kehilangan yang kali ini bukan disebabkan kematian tapi suratan kehidupan.

Gambar itu diletakkan di dalam sebuah sampul surat dan disimpan kembali di dalam laci meja. Ini bukan bermakna diri ini tidak menyayangi dia lagi. Tidak sekali-kali. Sayang ini akan sentiasa kekal sehingga hembusan nafas yang terakhir.
Namun, hidup juga perlu diteruskan. Walau seperit mana sekalipun tanpa dia di sisi, langkah perlu dihalakan ke hadapan. Airmata harus ditahan. Biarlah rahsia.

Monday 1 October 2012

Penyelesaian

Segala salah faham yang terlalu berpanjangan akan mula hilang segala hujung dan pangkalnya jika terus dibiarkan. Perlu mencari jalan selesaikan segala permasalahan. Selagi simpulan belum mati. Selagi jalan belum buntu. Sebelum cinta jadi tepu.