Friday 7 December 2012

Gelisah


Jam tangan sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Terlalu pantas rasanya masa berlalu.
Tap tup tap tup. Akhirnya, hari Sabtu tiba juga. Dia menatap wajahnya di cermin. Rambutnya sudah hampir menutup telinga. Kerana terlalu menghitung hari untuk bertemu Laila, dia jadi terlupa untuk ke kedai gunting rambut. Harap-harap Laila tidak perasan.

Kali ini walau apa pun terjadi, dia nekad tidak akan lari. Ini janji dia pada dirinya dan kawan- kawan alam maya di muka bukanya. Setelah makan malam ini selesai, dia akan balik dan kongsi setiap detik pertemuan antara dia dan Laila dengan mereka. Pasti mereka ternanti-nanti kepulangannya untuk mendengar episod berikutnya. Diari perjalanan cinta seorang dia.

'Maafkan saya. Saya harap saya tak terlewat', satu suara halus lembut menegur, memutuskan angannya. Gugur jantung dia bila mendengar suara halus Laila menyapa dari belakang. Laila! Laila sudah tiba. Dup dap, dup dap. Jantung seakan belum berhenti berlari. Dia menoleh perlahan lahan.

Ceh..itu bukan Laila. Seorang gadis berambut pendek tersenyum riang menyapa lelaki yang berada di belakang dia. Mana Laila? Jangan-jangan Laila tidak jadi datang.

Tidak! Tidak! Laila pasti akan datang. Bukankah masih awal lagi. Hmm..sudah pukul berapa ye. Dia memandang jam tangannya. Oh! Sudah lebih 5 minit. Ah! Dia memang lelaki malang. Nampaknya Laila tidak datang. Senyuman bertukar muram.
Dia memandang ke arah gadis berambut pendek tadi yang kini rancak berbual bersama teman lelakinya. Usik mengusik, manja. Alangkah bagusnya kalau dia dan Laila berada di tempat mereka itu.

'Cantik sungguh cuaca malam ini bukan.' kata teman lelaki gadis berambut pendek. ' Awak tengok sana tu. Bulan mengambang penuh dikelilingi serangkaian bintang. Lama tidak lihat pemandangan seperti ini'

Dia turut mengalihkan pandangan melihat ke arah langit. Benar. Cantik sekali langit malam ni. Hampir sebulan, cuaca sentiasa mendung apabila tiba waktu malam. Langit gelap pekat dan udara terasa sejuk hingga ke tulang putih. Namun malam ni suasana begitu lain sekali. Indah.

Tiba tiba pandangan dia tertumpu pada sesosok tubuh yang menghampiri. Rambut yang panjang ditiup mesra, terbuai oleh bayu malam. Semakin hampir. Sebuah senyuman manis yang semakin menyerikan satu wajah itu. Laila.

'Hai, awak. Maafkan lah saya kerana terlambat. Ada kawan datang ke rumah saya tadi.' suara lembut Laila menghilangkan segala keresahan dan menyejukkan jiwa. Hilang gelisah. Tidak mengapa Laila, seribu tahun pun sanggup ditunggu semata-mata untuk melihat senyuman dan mendengar suaramu.

Sesaat fikiran menjadi kosong-sekosongnya. Tenang bagaikan air ditasik.
Laila, Maafkan saya. Saya rasa saya benar-benar telah jatuh cinta padamu, Laila.

No comments:

Post a Comment