Sunday 30 June 2013

Selagi Ada




Kosong.
Langkah longlai, lesu, tanpa arah. Seluruh kekuatan terasa telah hilang bersama angin petang. Sebagaimana kuat guruh berdentum di langit, sepantas itu juga kilat menyambar sekeping hati. Hujan di hati  sederas hujan di luar jendela. Bilakah hujan ini akan berhenti?
Cuba berkali-kali terbang menggapai bulan di langit, tanpa mahu akui sayap tidak selebar mana. Berulang kali terjatuh, namun tetap ingin mencuba. Namun kali ini, patah riuk segala tulang belikat, remuk sudah sayap yang ada tatkala jatuh menghempas bumi. Kabur pandangan mata. Kepingan hati berderai seribu.
Sekeping hati berkali-kali diuji.
Adakala terlupa, tak kelihatan keindahan cahaya pelangi jika tiada hujan turun sebelumnya. Tak akan bersinar malam dengan gemerlapan cahaya bintang, jika tanpa adanya kegelapan malam.


Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah

Dua kalimah. Bibir menyebut, hati menyambut. Perlahan-lahan.

Saturday 29 June 2013

Kotak Fikiran


Sukar rasanya untuk memahami apa yang tersirat di kotak fikiran seseorang. Lebih-lebih lagi seandainya orang tersebut memilih untuk mendiamkan diri, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kaku. Kelu.

Aneh bukan. Para saintis berjaya menghantar roket untuk ke bulan, Thomas Edison mencipta mentol lampu dan pelbagai alatan yang memanfaatkan kegunaan elektrik. Namun, kenapa  belum ada sesiapa yang mampu mencipta sebuah alat untuk membaca minda manusia?

Saya ingin sekali membaca apa yang dia fikirkan. Saya ingin menyelak satu demi satu helaian minda dan lapisan perasaan dia. Alangkah mudah seandainya dapat meneka apa yang tersembunyi dan apakah ada perasaan yang terguris dengan bicara yang saya lafaz. Agar tiada hati yang terluka. Agar tiada api kemarahan membara tanpa diketahui puncanya.
Ingin.

Friday 28 June 2013

Jangan Pandang


Perasaan tidak seperti pakaian yang boleh disarung dan ditukar silih berganti dalam sekelip mata. Ia juga bukan alat permainan yang boleh dikawal dan dicorak pergerakan mengikut kehendak tuannya. Bukan juga seperti gincu yang dengan sekali calit boleh mengembalikan mekar di bibir yang lesi.
Palinglah wajah seketika ke sudut lain. Tulikan sebentar telinga.
Kerana airmata ini ingin merembas, menghempas, menghumban ke bumi.
Tak tertahan ingin menangis. Selagi-lagi, semahu-mahu. 
Tolonglah. Pergi. Jangan pandang.

Thursday 27 June 2013

Indah Malam


Bulan masih belum mahu menampakkan wajah.
Yang ada hanya serangkaian bintang. Indah berkerlipan, tak terkira banyaknya. Walau terasa diri sendirian, sebenarnya di luar sana pasti ada yang lain juga sedang melayangkan pandangan ke langit, melayan rasa.
Mungkin ada yang sedang senyum. Mungkin juga ada yang sedang menung, melayan gelodak rasa yang menerpa. Cacamarba.

Kata orang, perbuatan ini membuang waktu. Namun, adakalanya damai menyapa apabila memandang langit malam. Sepi menjadi indah. Menghirup panorama malam sambil berbicara dengan hati. Mencari erti diri. Introspeksi.
Hidup ini adakalanya susah untuk diduga. Adakala kita rasa amat dekat dengan seseorang tapi hakikatnya hati dia berada amat jauh, lebih jauh dari jaraknya matahari dengan bumi. Adakala pula kita rasa tersisih, padahal dia sebenarnya sentiasa memikirkan tentang kita. Hakikatnya, hati amat mudah berprasangka, minda terlalu banyak andaiannya. Kelabu.
Duduk di tepi jendela. Menyambung fikir, melarik falsafah hidup. Semuanya bermula dari hati, bukan?  Hati itu ruangnya seluas angkasa. Bagaimana mungkin hendak diduga, diterokai sepenuhnya? Itu baru hati sendiri. Apatah lagi sekiranya hendak menilai hati orang. Bulan yang dinanti sebagai peneman malam , mungkin juga tidak pernah peduli pada bisikan dan rayuan hati sang pungguk. Pilu.

Malam semakin suram.
Sebentar kemudian rintik rintik halus hujan mulai turun, membasahi alam. Bulan pasti tidak akan menampakkan wajahnya malam ini. Hampa.
Memejamkan mata. Duhai hati yang gelora, walau langit walang, namun bukan kah bintang masih setia berkelipan di sebalik mendung hujan? Bukankah bulan masih akan tersenyum seperti selalu apabila hujan berlalu? Malam ini mungkin suram, tapi esok siapa yang tahu?  
Membeli jiwa, memujuk kalbu dengan gula-gula kata. Berhasilkah?

Wednesday 26 June 2013

Di Akhir Garisan


Ramai pernah bertanya mengapa saya sangat suka berlari. Adakah saya melarikan diri dari sesuatu? Atau berlari mengejar sesuatu?
Tangan menongkat dagu. Bagaimana harus saya menjawab soalan-soalan tersebut ye?
Untuk menerangkannya agak sukar kerana kamus saya edisi terhad, kandungannya nyata berbeza dari kamus umum. 'Jalan ke depan' kata orang, 'jalan tegak' bagi saya. 'Kilang' mereka, 'keylang' bagi saya. 'Hitam' pada orang, 'kelabu' di mata saya.
Menarik nafas, seraya cuba memberikan jawapan 'standard' sambil tertawa agar mereka sangka saya hanya mengusik:
Saya berlari apabila udara di sekeliling terasa mendak, oksigen berada di tahap minima. Saya berlari apabila saya perlukan ruang untuk bernafas. Berlari mampu buat saya hilang rasa takut. Berlari mampu buat saya tenang. Lagi pun kasihan kasut ini kan, andai dibeli semata untuk dijadikan hiasan rak. 
Andai masih ada yang ingin bertanya, "Sampai bila awak akan berlari"? Dengan yakin dan pantas, saya menjawab,"Tak mungkin saya akan berhenti. Ianya sebahagian dari diri. Sampai mati."
********
Namun, dalam dunia ini, tiada yang kekal termaktub sebagai tatu, terpahat di atas batu. Hutan boleh menjadi kampung, pekan bertukar menjadi bandar. Tamadun berkembang, manusia ber'evolusi'. Ini kitaran kehidupan.
Mungkin suatu hari nanti, saya menukar jawapan yang saya berikan dahulu. Mungkin suatu hari nanti, akan tiba saatnya saya tidak ingin berlari lagi. Satu saat dimana hati tidak lagi kekosongan dan hilang segala rasa ketakutan.
Andaikata saat itu tiba nanti, saya ingin berjalan perlahan lahan, menikmati angin malam bertemankan irama seruling malam yang diiringi orkestra alam. Menyusuri pantai sambil bermain ombak yang sesekali membasahi kaki. Tidak kira sama ada saat itu saya masih seorang atau berdua.
Saat itu saya tidak akan lagi berasa takut. 
Ingin.

Tuesday 25 June 2013

Andaikata II


D: "Awak! Lihat kat sana tu. Ada sebiji bintang besar!" (nada manja)
U: "Ooh." (nada sambil lewa)
D: "Rasanya apa ye yang awak akan buat dengan bintang tu andai ianya jatuh depan awak?" (senyum)
U: "Hmm ... ?" (aik ... soalan jenis apa ni ye?)
D: "Kalau le ianya berlaku depan saya, saya akan ambil bintang tersebut dan gantungkan di siling. Biar bintang itu menemani tidur saya. Berkerdipan dalam kegelapan bilik. Yang terakhir saya lihat sebelum saya tidur, yang pertama saya pandang bila mata celik." (senyum manja).
U: "Kalau saya, saya telefon aje polis atau bomba atau pemberita. Bintang sebesar tu kalau jatuh depan saya, ish..pasti hancur satu bangunan ni." (nada serius)
D: "Bencinyaaaaa...!" 
*****
'Seriously'. Andaikata.
Andaikata sekiranya bulan atau bintang benar-benar jatuh ke riba?
Andaikata kita diberikan sesuatu yang sangat-sangat kita inginkan? Sesuatu yang menjadi idaman, semahu-mahu? Andai ayat-ayat 'kun' (jadi) dan 'fa ya kun' (maka jadilah) termaktub dan hasrat hati terlaksana, bagaimana ye.
Adakah kita akan jerit dan laungkan sekuat-kuat hati agar seluruh dunia bersaksi akan kegembiraan itu? Adakah kita akan tamak dan rahsiakan dari pengetahuan umum, menyimpan ianya sebagai milik kita mutlak? Biar tidak dikongsi sesiapa.
Adakah akan kita hargai dia nya sebagaimana dia yang sebelum kita miliki? Tiada mensia-siakan, tiada menyisihkan, tiada melukakan, tidak memperdulikan? Tidak juga akan melepaskan dia, walau apa pun berlaku di kemudian hari? Tiada istilah penyesalan? Hingga ke nafas yang terakhir.

"Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku dari sisimu, yang Engkau rasakan terbaik untukku ...".

Monday 24 June 2013

Tentang Hati III


Andai saja 
HATI
laksana Tuah
patuh pada titah
tunduk mengikut arah 
tanpa bantahan
tanpa persoalan
segalanya pasti kan jadi mudah, hitam dan putih tiada lagi bersatu
hilang kelabu maupun jerebu.

Jernih.

Sunday 23 June 2013

Hancur


Menguak perlahan pintu wad 29.
Dada berdebar kuat. Kata orang, telah sebulan dia kemalangan teruk. Keretanya terbabas ke dalam gaung. Dia sendiri terpelanting keluar menembusi cermin depan kereta yang tak mampu menghalang hentakan kuat tubuhnya. Hancur.
Menurut berita, kemalangan tersebut berlaku pada waktu malam hujan lebat, di Lebuhraya Utara-Selatan. 'Airbags' keretanya tidak berfungsi. Nasib baik, jika tidak pasti kepalanya akan terputus ketika itu juga kerana dia tidak memakai tali pinggang keselamatan. Hentakan dari 'airbag' pasti akan memenggal kepalanya berpisah dari tubuh sewaktu dia melayang menghentak cermin depan. Khabarnya seluruh tulang pipi dan mukanya retak. Hancur.
Kata doktor, dia sangat bernasib baik. Waima beberapa tulang rusuknya, tangan dan kakinya patah, namun tiada organ dalamannya yang tercedera. Hanya wajahnya yang perlu diberi pemfokusan. 80 skru titanum perlu di tanam di wajahnya untuk menghubungkan kembali tulang pipi kepada tengkorak atas, serta mengembalikan rahang kepada tengkorak tengah. Hancur.
Kaki mengorak langkah, masuk ke dalam kamar wad perlahan-lahan. Ya Tuhan. Kaki kiri, tangan kanannya, tubuhnya, wajahnya berbalut penuh. Apa yang terlihat hanya ruang mata, rongga hidung yang disumbat tiub untuk pernafasan dan segaris pembukaan untuk mulut. Kepalanya bengkak sebesar saiz bola keranjang. Rambutnya yang ikal dan lebat telah dicukur botak. Kata mereka, nasib baik kebanyakkan sarafnya yang cedera telah dibius kuat, makanya dia tidak merasa sebarang kesakitan buat masa ini. Hanya menunggu proses surgeri seterusnya dan masa untuk baik pulih. Hancur.
Merapati katilnya. Ingin ... ingin sekali memeluknya dan memegang tangannya. Airmata, jangan menitis. Bibir, ukirlah senyuman. Biar hatinya tenang, biar jiwanya damai. Dia tidak memandang, matanya terpejam. Hanya bibirnya yang sentiasa meratib, halus menyebut sesuatu. Telinga tidak dapat menangkap butir katanya. Kabur. Hancur.
Terasa ada tangan menyentuh bahu. Berpaling, melihat seorang ibu yang berwajah hiba. Banjir melanda wajahnya. "Anak, begitulah keadaannya sejak dia sedar. Ingatannya terhapus. Akalnya mungkin tidak akan pulih seperti sedia kala. Dia tak kenal siapa ibunya, siapa keluarganya. Namun, bibir tak habis-habis menyebut satu nama. Anak kenal siapa xxxx?"
Tuhan, sungguh kuat ujian-Mu ini. Gugur serasa jantung.
Hancur.

Saturday 22 June 2013

Tunas




Seorang lelaki, seorang wanita. Uda dan Dara.
Dua individu dengan satu rasa cinta yang mula membenih antara mereka. Berjalan jatuh, mencari satu titik persamaan dan penyesuaian agar hubungan kekal selamaya. Kata orang, ini lah saat yang paling kritikal, menduga sekuat mana rasa cinta itu dan keinginan untuk bersama. Akan berbunga kah pohon cinta atau layu sebelum berkembang?
Dara duduk bersimpuh dihadapan kerusi Uda, tangan diletak di atas riba Uda. Mata memandang wajah Uda meminta penjelasan. Uda memandang ke kiri, melepaskan kepulan asap rokok dengan satu hembusan yang lebih kedengaran seperti sebuah keluhan. Wajah Uda kelihatan tenang, namun bagi yang mengenali dia, pasti akan tahu bahawa dia sedang cuba mengawal perasaannya ketika itu. Urat di pipi kelihatan tegang, menahan ombak perasaan.
Dara sekali lagi meminta maaf, cuba menjelaskan keadaan. Tidak pernah terlintas walau sebesar zarah untuk menyakiti hati Uda, apatah lagi membuatkan Uda cemburu. Akan di putuskan tali persahabatan demi kerana cinta terhadap seorang Uda. Namun Uda tetap tidak berganjak. Lukanya terasa begitu mendalam. Tak mungkin boleh sembuh serta merta. Itulah juga yang dinyatakan kepada Dara, meminta agar diberikan dia ruang dan masa untuk bertenang.
Dara mengalah, perlahan berdiri. Mengalihkan tangan dan pandangan dari wajah Uda. Hatinya turut terguris. Kejujurannya terasa dipersoalkan. Diri terasing jauh dari Uda. Ruang kecil kamar terasa begitu besar bagi dua jiwa yang diolak rasa. Uda di sudut kanan bilik, pandangan terlempar ke luar tingkap. Dara di sudut kiri bilik, duduk tegak tanpa bergerak, seolah disumpah menjadi patung cendana.
Dara menahan sebak di dada, memaksa airmata untuk tidak melanggar arahan. Menahan agar tidak mengalir walau setitis dari kelopak mata. Bunyi jam di dinding terasa begitu kuat, sedetik demi sedetik terdengar menanda waktu yang berlalu tanpa sebarang bicara antara mereka. Dara menunggu. Mungkinkah sudah terhapus segala rasa Uda padanya?
Dara terdengar bunyi kerusi di tolak dan tingkap ditutup. Adakah Uda akan keluar dan meninggalkan dirinya sendirian? Ditutup matanya, terbayang Uda mengambil kunci kereta dan menuju ke pintu. Nekad untuk tidak menangis atau merayu Uda lagi. Airmata bukan alat percaturan untuk memujuk agar Uda tidak pergi. Kedengaran derap kaki Uda menghampiri Dara yang membelakanginya sedari tadi. Dara masih memejam mata, menahan gelora rasa.
Tiba tiba terasa pelukan hangat menyelimutinya. Terdengar suara Uda berkata: "Maafkan saya juga, Dara. Perasaan cemburu ini terlalu kuat, sebagaimana kuatnya cinta saya pada Dara. Andai saya tidak terasa apa apa, pasti saya tidak akan marah atau terasa hati. Sesaat, saya terfikir untuk keluar dan meninggalkan Dara. Tapi cinta dan kepercayaan saya pada Dara menghalang saya, tak mampu meninggalkan awak dalam kesedihan. Tolonglah Dara, hati saya telah saya serahkan pada awak seluruhnya. Jagalah hati saya ini."
Benteng pertahanan Dara tak lagi dapat menampung asakan ombak rasa yang menghempas kuat. Airmata mengalir bersama sedu sedan yang tertahan sejak tadi.
Istana pasir yang hampir musnah di landa ombak, kembali mereka bina bersama. Perlahan lahan, jauh dari laluan ombak. Dua hati bercantum kembali.
Sesungguhnya tak siapa boleh lari dari membuat kesilapan. Lebih jauh mereka berjalan bersama, pasti lebih banyak dugaannya, dan banyak juga kesilapan yang akan mereka lakukan. Buangkan segala rasa ego, memaafkan dan cuba untuk tidak mengulanginya lagi. 
Harapan dan impian, pasti akan bersatu.
Percayalah. 


Friday 21 June 2013

Sayap


Tuhan,
hadiahkanlah aku sepasang sayap
agar dapat kumenyelusuri segenap ruang angkasa
bersembunyi tangis di celah lapisan tenunan awan gemawan.

Aku ingin terbang tinggi
aku ingin melayang jauh
aku ingin ...
hilang.

Terbang.

Thursday 20 June 2013

Introspeksi IV


Kata dia: Awak pernah menonton filem "In Pursuit of Happyness'? Dalam cerita itu ada adegan yang sangat memberi impak yang besar. Ianya tertanam di minda. Sang anak bercerita kepada ayahnya.
Ada seorang lelaki yang terjatuh ke dalam laut. Dia hampir-hampir lemas, berpaut pada sebatang kayu. Tiada pulau kelihatan, hanya lautan saujana mata memandang. Terik matahari menyedut sedikit demi sedikit  upaya lelaki tersebut. 
Lelaki itu memandang ke langit dan berdoa dengan sepenuh hati, memohon agar Tuhan membantunya. Sebuah kapal tiba, dan tuan punya kapal segera menghulur tangan untuk menaikkan lelaki tersebut ke atas kapal. Lelaki tersebut menolak. Katanya, 'Terima kasih. Tuan usah risau. Saya yakin Tuhan saya akan selamatkan saya.' 
Selang tidak berapa lama, sebuah kapal lain tiba. Seperti sebelumnya, tuan kapal kedua juga menghulurkan tangan ingin menyelamatkan lelaki itu. Sekali lagi lelaki tersebut menolak dengan alasan yang sama,  'Terima kasih. tuan usah risau. Saya yakin Tuhan saya akan selamatkan saya.' 
Kapal tersebut berlalu. Lelaki tersebut akhirnya lemas dan mati. Apabila rohnya bangkit, dia bertanya kepada malaikat, "Aku yakin dan percaya dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Namun, kenapa Tuhan tidak selamatkan aku?" 
Malaikat menjawab, "Bukankah Tuhan telah menghantar dua buah kapal sebelum ini, bodoh!"
******
Terdiam mendengar cerita dia. Adakala kita terlalu tenggelam dengan masalah sendiri, lemas dalam kesedihan, terkurung dalam bayangan silam dan diselaputi kerisauan pada hal akan datang. Kita memohon pertolongan, namun bila ianya tiba kita tidak nampak. Kita jadi buta sedangkan jawapannya berada betul-betul di depan mata. Kebenaran jadi kabur.
Adakala kita hanya ingin lihat apa yang kita kehendaki. Kita sempitkan fikiran pada jalan penyelesaian. Kita hanya bayangkan satu sahaja cara, iaitu cara kita. Sedangkan pintu-pintu lain sedia ada, menunggu untuk dibuka. Berfikir di bawah tempurung yang kecil dan gelap.
Adakala kita mencari-cari kebahagiaan. Bertanya, berlari, mengejar, menangis. Apa itu kebahagiaan yang dicari? Tahukah apa sebenarnya yang kita inginkan? Keinginan. Terlalu subjektif. 
Hari ini hati jadi tenang. Bersyukur pada Tuhan kerana sentiasa didatangkan mereka-mereka untuk mengingatkan. Walau adakala tajam bilah kata, banyak ketukan dan benjol di kepala (degil yang amat), masih ada yang sudi mengingatkan. 
Alhamdulillah. Introspeksi diri.  :)

Wednesday 19 June 2013

Hati III


Kata mereka
dia punyai hati yang sangat kecil
rasa yang amat rapuh, mudah tersentuh
jiwa yang senipis tisu, menyerap segala kata
tenggelam dalam diri
melankoli.

Dia ingin tuli. Dia ingin bisu. Dia ingin beku.
Jangan membunuh dia perlahan-lahan dengan simpati atau rasa salah diri.
Dia memang telah mati. 


Tuesday 18 June 2013

Pilihan

Adakala
Dalam hidup ini kita dihadapkan dengan pelbagai situasi yang menuntut kita membuat pilihan. Malah, saat itu menjadi saat yang paling menyeksakan apabila hati diusik ragu. Keliru bila dihadapkan dengan pelbagai pilihan, pelbagai cabang jalan. Kita jadi takut untuk membuat keputusan. Takut seandainya pilihan yang kita buat adalah pilihan yang salah. 
Kita jadi bimbang apa hasilnya dari pilihan yang kita buat. Bagaimana jika kita jawab 'ya' tapi jawapan yang sepatutnya adalah 'tidak'? Bagaimana jika kita pilih 'tidak' tapi jawapan yang terbaik adalah 'ya'? Bagaimana jika kita pilih 'kerjaya' dan kita kehilangan 'cinta'? Bagaimana jika kita pilih 'dia' dan kita hilang 'keluarga'? Bagaimana jika kita menolak lamaran seseorang, dan akhirnya kita keseorangan? Bagaimana, bagaimana, bagaimana dan bagaimana ... ?
Akhirnya kita memilih untuk menangguh memberi jawapan. Kita pilih untuk meletakkan persoalan ke tepi. Kita pilih untuk jadi penakut. Kita pilih untuk berdiri di atas pagar. Kita pilih untuk jadi lalang, menunduk ikut arah angin bertiup. Kita rela memilih warna kelabu, atas dasar ingin menjaga hati. Tapi hati siapa yang kita jaga? Memilih jalan tengah adakala memakan diri. Akhirannya bukan saja hati orang lain yang terluka, tapi juga hati sendiri yang tersiat bila segalanya sudah terlambat. Kata putus bukan lagi ditangan sendiri. 
Andai ragu itu berat, tak mampu nak dipikul bahu, maka tadahlah tangan dan panjatkanlah doa.  Sungguh, Allah Ya Muhyi wal Mumiit, Maha Menghidupkan dan Mematikan. Bukankah telah diberitakan bahawa "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar". 
Yakinilah.



Monday 17 June 2013

Roda Kehidupan




Ramai yang kata "Hidup ini tidak adil". Kenapa agaknya ya?
Bagi saya hidup ini sememangnya adil.

Ada sejuk, ada panas
ada siang, ada malam
ada gula, ada garam
ada tawa, ada tangis
ada masam, ada manis
ada tawar, ada masin
ada suka, ada duka
ada kawan, ada lawan
ada riuh, ada sunyi
ada cinta, ada benci.

Adakala kita berada di atas roda kehidupan. Gah menghidu oksigen di puncak, tangan mendepang, hati berasa lapang.
Adakala graviti menarik kuat hingga kita jatuh terhempas ke bumi. Dipijak, diinjak lumat, bersatu dengan debu.
Semuanya berhubung kait. Adakala ianya balasan atas kealpaan ketika berada di atas, dibayar secara tunai ketika masih bernyawa. Adakala pula ianya hanya dugaan: pelbagai cabaran harus dilalui dalam menuju ke puncak.
Bukankah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang?
Adakala saya jadi lupa
pastinya kamu begitu juga.
Roda kehidupan.


Sunday 16 June 2013

Mencuri

Mencuri.
Kalau ikut hukum Hudud, potong tangan kanan hingga ke pergelangan tangan.

Bagaimana pula 
jika dia mencuri hati
mempermainkan
menghancur lumatkan dan
akhirannya meludahkan ke tepi jalan?

Dengan atau tanpa niat. Apa saja alasannya. 
Gantung saja dia sampai mati.

Saturday 15 June 2013

Ceritera Cinta


menadah tangan penuh kesyukuran pada perasaan yang mendamaikan
*********************
Akhir akhir ini, saya lebih suka berdiam diri. Kenapa? Kerana adakalanya bila kita berdiam, banyak perkara yang akan dapat kita pelajari. Bila saya diam, tanpa perlu saya bertanya, dia akan memulakan ceritanya. Dan saya mula belajar menjadi pendengar setia.
Begitu juga, adakalanya saya pula yang memulakan cerita sebagai halwa telinganya. Gelak tawa kami silih berganti. Terasa dekat dengannya walaupun realitinya kami berada sangat jauh.
Lantas, sudah semestinya dunia saya terasa sunyi dan sepi bila tiada khabar darinya.

Dari tingkap bilik, pandangan saya tertumpu ke langit. Malam ini, ada sebutir bintang bersinar indah berlatar belakangkan langit yang malap. Kemana perginya sang bulan? Kemana perginya bintang bintang yang selalunya menghiasi kegelapan malam? Kenapa bulan dan bintang tidak mahu menemani bintang yang satu ini? Kenapa ye? Adakah bintang itu turut merasakan kesunyian sama seperti saya?

Persoalan hidup sering muncul pada waktu sebegini.
Tak pernah hilang. Hati menjadi resah. Segala cerita, segala perbualan lalu, cuba saya ingatkan kembali supaya hati tidak mudah menjadi goyah. Namun bisikan-bisikan halus masih ada menghasut, mengatakan yang dia terlalu sibuk untuk mencuri waima sedikit masa buat saya. Ingin sekali membuang resah yang tidak berpenghujung ini.

Mata menatap jarum jam yang setia beranjak dari seminit ke minit yang seterusnya. Pilu.
*****
Tiba tiba terdengar bunyi 'ting' dan icon 'smiley' berserta nama dia tertera di skrin. Lenyap segala resah. Hilang segala sayu. Sekuntum senyuman berbunga kembali. Hati berlagu riang. Dia telah muncul. Alangkah manisnya bila rindu terlerai.

Cinta itu adakala seperti angin. Kita tidak nampak angin sebab angin tidak ada warna. Namun, bila angin berhembus, kita dapat rasakan betapa udaranya sejuk dan mendamaikan.
Begitulah juga satu rasa ini.

Friday 14 June 2013

Cicak II

Mata tak henti memandang petak-petak putih siling.
Putaran kipas tidak dapat menyingkir haba yang merimaskan sejak siang tadi. Panas. Resah. Gelisah. Graviti menarik diri ke dasar kebosanan. 
Tap! Mata tiba-tiba tertangkap pada satu objek kecil yang bergerak-gerak di atas siling. Tubuh yang tadi sarat dibalut lesu, sekelip mata menjadi tangkas semula. Minda menajam, tumpu perhatian sepenuhnya pada objek kecil. Sang 'Terminator' sudah bangkit. 
Tangan perlahan-lahan meraba mencari gelang getah yang memang sedia terikat pada penutup air mineral. Mata kiri dipejam, mata kanan dikecilkan. Pem'fokus'an total. Gelang getah ditarik menjadi panjang. Getah meregang tegang. Satu, dua, tiga ... sepantas kilat getah melayang menuju sasaran. Zas. Tepat pada mangsa.
Tangan membuat bentuk pistol, seraya bibir menghembus asap imaginasi dari 'pistol' jari telunjuk. Riak seketika, terasa diri masih lagi handal. Masih boleh dikategorikan elit dalam bab menembak cicak. Hehehe.
Opps. Tawa tiba-tiba terhenti. Mentol lampu lambang idea yang muncul tadi, tiba-tiba malap. Sebuah penukul sebesar almari menghentak ubun-ubun. Jatuh terduduk. Berpinar pandangan dengan ribuan bintang bergerak mengelilingi kepala. Sakit.
Andai sang cicak boleh bercakap, pasti dia akan katakan:
Ha! Tu lah manusia. Selalu bertindak tanpa sabar, tanpa akal fikiran panjang. Asal terdetik idea, terus lakukan. Ikutkan nafsu, lesu. Bangkai aku ni siapa nak angkat, Cik Adik oi? Cuba cerita sikit. Sekarang, siapa nak tanggung ni? Tak kan nak dibiar bersemut kat sini.
"Aaaaaaaaaaa". Satu jeritan panjang kedengaran. Geli, geli, geli.
"'Superman', 'Batman', 'Cicakman'! Tolong le ..."
***** 
~Adakala 'sendiri' itu indah dan adakalanya 'sendiri' itu memakan diri.  ~

Thursday 13 June 2013

Semangat Yang Hilang IV


Bagaimana ye
andai diri jadi terbiasa sendirian dan tak ingin lagi hidup berteman?

Lelah mengundang
semangat semakin hilang.

Wednesday 12 June 2013

Bintang Yang Hilang II


Namun, langit tidak selalunya akan cerah. Pantai pasti akan berubah. Garuda melanda, deru ria sepi. Kini, dia bukan lagi dia yang saya kenali suatu ketika dulu. Dunia barunya merampas masanya. Merampas segalanya. Tiada lagi masa untuk sesuatu yang remeh seperti memandang ke langit. Tiada jua masa untuk seorang ... saya? (perhubungan yang tak pernah di beri 'label' lisan atau tanda).
Kini, saya mulai faham. Bintang-bintang hanya boleh menunjukkan arah bila kita ada tempat untuk pergi. Apabila kita ada lokasi yang dituju. Andai destinasi tersebut tiada, buruj hilang fungsinya. Ianya akan kembali menjadi rangkaian bintang hiasan yang bertaburan di angkasa. Kaku.
Saya tidak lagi tahu apa impian dan harapan dia kini.
Saya pula? Matlamat saya mungkin lebih menyerupai bulan. Bulan, yang walau menjadi inspirasi pada pemuisi dan lambang kepada kerinduan yang tak terpadam, kekal tidak berkawan. Sendirian.
Hati berhenti berbicara seketika. Melihat langit buat kali terakhir sebelum tangan perlahan lahan menutup jendela tingkap.
Selamat malam bintang. Selamat malam alam.
Lerai. 

Tuesday 11 June 2013

Bintang Yang Hilang I



Suatu ketika dahulu, dia pernah bercerita tentang tahi bintang atau dalam kata orang putih 'falling star'. Suatu fenomena yang sukar untuk dilihat. Kata dia,  andai kita terlihat bintang jatuh, segeralah bisikkan rahsia hati. Pasti permintaan itu akan dikabulkan. Waktu itu saya hanya tersenyum. Saya bukan kanak-kanak yang boleh disogok dengan kisah dongeng sebegitu.
Saya menoleh memandang dia. Indah sungguh kerdipan bintang. Bukan bintang yang berada dilangit. Namun, bintang-bintang yang bersinar di matanya. Sepasang mata yang asyik memandang langit. Mengundang uja.
Dia juga mungkin sama seperti saya, seorang yang masih mempunyai impian yang belum tercapai. Seorang yang masih menggenggam mimpi waima saban hari ditenggelami dengan segala urusan pekerjaan dan tanggungjawab.

Setiap kali memandang bintang di langit, minda menyelak satu demi satu helaian memori. Memutar pita ingatan, memainkan semula segala butir bicara, tawa dan tangis.
Katanya lagi, para pelayar dan pedagang di zaman dahulu juga meggunakan buruj bintang sebagai panduan untuk menetapkan haluan agar selamat sampai ke destinasi yang di tuju.

Pada saya, buruj saya adalah dia. Selagi buruj saya ada dan bersinar untuk saya, saya tak perlu takut apabila kegelapan malam menyelimuti alam atau pada ribut yang mengganas di lautan kehidupan. Saya percaya dia tidak akan tega membiarkan saya terumbang ambing sendirian. Dua tangan bergenggaman seakan mematerikan satu perjanjian hati.
Harapan. 

Monday 10 June 2013

Soal Hati 2


"Saya hanya ingin dia"
"Saya hanya cinta dia." 
"Saya tak boleh lupakan dia."
"Saya tak boleh hidup tanpa dia."

Sungguh? 
Sebenarnya segala sesuatu itu bergantung pada hati dan nekad. 
Bukan tidak boleh. Bukan tidak mampu.
Tapi 'Tidak Mahu'.

Hati berkehendak, maka jiwa tidak menolak. 
Biar apa pun bicara lidah, hati tetap degil. 
Ingatan tidak sekali-kali mahu dibuang. Malah didakap erat dalam pelukan.
Lantas, bagaimana?

Kata pendita: kita boleh berbohong pada semua yang ada disekeliling. 
Namun kita tidak mampu menipu diri sendiri. 
Jawapannya ada di situ.
Hati.

Sunday 9 June 2013

Musim Bunga


Kata dia, musim bunga sudah bermula. Musim bunga di Malaysia? Mengigau ke dia? Malaysia bukan salah sebuah dari negara 4 musim seperti Eropah. Malahan kalau ada pun musim, di sini hanya musim buah-buahan. Setakat bunga, ianya mekar berkembangan sepanjang tahun di sini.

Tergelak besar dia. Oo..yang dia maksudkan ialah 'Musim Bunga' yang satu lagi. Dalam hati ada taman, dalam taman ada bunga. Musim orang bercinta. Saya menyimpul senyuman. Sudah besar rupanya dia. Sudah kenal apa erti cinta dan apa erti sayang.

Kata dia, dia sedang berada di langit ke tujuh. Dia pun tidak tahu bagaimana semuanya bermula. Ceritanya, budak lelaki itu rakan sekuliahnya. Kisah bermula dari selayang kad pengganti diri yang berjaya menguja rasa seraya menggerakkan hati untuk membalas.
Cinta mula mengalir ke segenap pembuluh darah.
Aneh sekali bila difikirkan. Dia ini seorang yang amat pemalu sejak dari sekolah menengah lagi. Susah untuk lihat dia berbual dengan seorang lelaki dengan memandang tepat ke muka orang yang bercakap. Apatah lagi kalau nak lihat dia berborak kosong dengan kaum yang bukan sejenis.

Walau pemalu, dia ini nalurinya sama saja seperti orang lain. Seperti kebanyakan gadis remaja lain, dia sangat minat membaca novel-novel cinta 'Mills and Boons'.  Pernah dia bercerita yang dia ingin sekali jejaka impiannya nanti memenuhi syarat syarat : 'Tall, Dark and Handsome'. Bila teringat cerita lama ni, saya terus mengusik dengan bertanya jika lelaki ini sama seperti putera impian dia.

Dia ketawa. Manis sekali wajah berlesung pipit ini. Katanya realiti kini jauh sekali dari angannya yang dulu. Sang jejaka yang berjaya menawan hati dia seorang pemalu seperti dia. Dia terus bercerita dan bercerita lagi dengan mata bundar yang bersinar riang.

Ingin saja saya bisikkan pada dia: Adik, perjalanan hidup baru hendak bermula. Berhati-hatilah dalam menyerahkan hati. Pergilah menimba ilmu, melihat dunia, mencari pengalaman selagi usia masih muda. Hidup bukan untuk cinta insan semata. 
Namun, bibir jadi kelu. Wajah cerianya. Musim bunga miliknya. Biarlah dia merasai detik ini. Saya akan sentiasa doakan kebahagiaan dia dan akan sentiasa berada di sini andai satu waktu tiba di mana dia perlukan saya. Bibir mengukir senyuman. Telinga merakam suara gembira dia. 
Warna-warni musim bunga.

Saturday 8 June 2013

Peluang Kedua



Yang paling jauh di dalam dunia ini ialah masa lalu/masa silam. Sedetik kita terleka, tak mungkin kita dapat mengulang masa yang telah berlalu itu..
******
Setiap kita pasti ada sesuatu yang disesalkan, sesuatu di masa silam yang ingin kita ubah. Kalau boleh. Namun, tidak semua orang bernasib baik diberikan peluang kedua dalam hidup mereka. Malah, jarang sekali ada yang diberi peluang ketiga.
Andaikata awak diberi peluang kedua, apa yang awak akan lakukan ye? Andaikata pintu waktu atau lowong masa dibuka agar dua jiwa kita bertemu kembali, apa agaknya penyudah cerita kita ini ye? Adakah penamatnya masih sama?
Adakah kita masih mengucap selamat tinggal dan terus mengorak langkah bertentangan arah? Atau mungkinkah kita memilih cuba sepenuh jiwa dan raga untuk susah senang hadapi bersama? Adakah kita memilih cuba mengubah buku takdir kita agar peluang yang diberi kali ini tidak sia-sia?
Adakah hidup ini meniru cerita yang di tulis ... atau penulis yang hidup dengan meniru cerita yang di karangnya?
Zaujah zaujati til jannah, walillahi.

Friday 7 June 2013

Melankolik



Kata dia, tulisan saya rentak tarinya melankolia. Hujung-hujung cerita pasti akhirannya sedih.
Saya tersenyum. Benarkah? Adakala saya tidak perasan. Saya menulis apa saja yang menyentuh hati, apa saja yang terlintas di fikiran, baik cerita mahupun kenyataan.
Pernah dengar tentang Oscar Wilde yang menulis novel terkenal 'Picture of Dorian Gray'? Sebuah karya hebat tentang Dorian yang menjualkan rohnya sebagai tukaran untuk sentiasa kekal kelihatan muda dan kacak. Setiap kejahatan dan keburukan Dorian hanya akan terserlah pada lukisan potret dan tidak pada wajah fizikalnya. Novel bertema 'Gothic' dan melankolik.
Saya? (tertawa halus). Saya bukan Dorian Gray. Saya tidak menyerikan wajah dengan susuk. Saya juga tidak punyai lukisan potret yang menyimpan khazanah seribu rahsia. Jiwa saya masih utuh milik saya, tidak digalang ganti dengan perjanjian terlarang. Sama sekali tidak.
Yang ada hanya blog-blog yang pelbagai rencam sebagai lokasi curahan rasa dan beredarnya awan hitam yang berada di atas kepala. Terasa hilang resah bila segala kerunsingan dan serabut mengalir dari minda ke papan kekunci dalam bentuk fiksyen mahupun celoteh kosong. Bibir mampu tersenyum dan wajah ceria terpampang untuk tontonan rakan taulan. Ketawa ibarat melodi, bersatu dengan suara-suara usikan.
Bila hati berbicara, senandung lagunya adakala riang, adakala lara dan adakala sepi tanpa kata.
Tidak. Saya tidak melankolik. :p :) Saya sama sahaja seperti kamu.

Thursday 6 June 2013

Kitaran Alam



Ada orang cukup memuja panas matahari. Bagi mereka tidak sah seandainya sehari tidak berjemur di panas. Kulit putih melepak dirasa seperti roti separuh masak. Yang hitam manis pula menawan kalbu.

Lain halnya pula dengan saya. Sejak kecil, saya cukup suka bila cuaca mendung. Teruja apabila rasa angin bertiup kencang ke muka, menyelak rambut menjauhi dari menutupi wajah. Alangkah segar. Justeru, apabila hujan turun membasahi bumi, ianya bagai melengkapkan kitaran alam. Hujan membasuh bersih segala habuk dan debu jalanan. Menyamankan.

Panas di pagi hari. Masa seolah terhenti apabila suhu mencecah 36 darjah Celcius. Panas dan bahang. Hujan turun hanya sebentar. Sekali mata terkelip, angin yang nakal segera meniup awan gelap sarat jauh ke kawasan lain pula. Sabarlah hati. Buangkan cemburu itu.
Fikiran menerawang. Terfikir tentang drama di televisyen dan drama dalam kehidupan sebenar. Tidak kira bagaimana kita mencuba, apabila satu babak hidup telah berakhir, tidak ada cara untuk ulang melakonkan semula. Segalanya telah terpateri dalam CD hidup kita di Luh Mahfuz,  tercatat segala amalan kebaikan dan kejahatan. Boleh di ulang tayang untuk tontonan minda. Namun tiada cara untuk mengubah walau satu apa pun.

Memandang ke langit. Ah, rindunya pada hujan. 

Wednesday 5 June 2013

Jatuh


Adakala
Jatuh cinta itu ibarat seperti belajar mengayuh basikal. 
Sakit bila terjatuh. Bergenang airmata menahan pedih luka. Parut dan lebam menghiasi sana sini, ibarat tatu yang bercacah di tubuh. Kesannya mendalam. Ada yang kekal sepanjang hayat.

Namun
Apabila kita berjaya membawa basikal, terasa gembira hingga langit ketujuh.
Segala pahit maung terubat.

Berbaloi bukan? 


Tuesday 4 June 2013

Racun


Adakala 
kita mencuba sedaya upaya untuk jernihkan kekeruhan yang sedia ada 
kita mencuba untuk meniup awan mendung yang berkabung di atas kepala
kita mencuba untuk mengembalikan senyuman yang terpadam lantaran salah kata 

Namun
Mendung tetap bertahan. Hitam tetap melekat. Guruh masih berdentum.

Lantas
Kita memilih untuk berdiam. 
Itu lebih mudah.
Racun.

Monday 3 June 2013

Serasi



Ramai yang pelik melihat mereka.
Apabila mereka berjumpa, aman hanya sementara. Tak lama. Lima belas minit kemudian meletuslah Perang Dunia Ketiga. Setiap masa, harus ada sahaja isu untuk dipertikaikan. Ada sahaja peristiwa yang membangkitkan perdebatan. Tangan turut berbicara, suara tinggi bertingkah-tingkah. Ini bukan main-main.
Adakala bila disemak kembali, isunya ada yang remeh. Isu bermula dengan hendak memilih lokasi makan, berlanjutan kepada isu mangsa-mangsa kelaparan di negara miskin dunia dan fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami yang berada di meja tersebut ditolak ketepi, tidak mampu menyelitkan idea maupun mengubah topik perbualan. Ibarat penonton telenovela bersiri, kami hanya mampu bertukar komen sesama sendiri. Menggeleng kepala menyaksikan telatah mereka berdua.
Pelbagai spekulasi pernah disuarakan kepada keduanya. Kenapa tidak berpisah sahaja dan cari pasangan lain? Tidak bosankah bercakaran setiap kali berjumpa? 
Mereka saling berpandangan, berbalas senyuman sejurus lantas berpegangan tangan.
Jawapan mereka: 
Kenapa pula perlu cari pasangan lain? Kami sememangnya serasi. Kami mungkin akan terus bertengkar, menambah asam dan garam sebagai rencah perhubungan kami. Kami sedar bukan semua perbincangan kami akan berakhir dengan senyuman atau seorang pemenang. Tetapi dari setiap pengakhiran debat yang menyakitkan, kami belajar untuk lebih mengenali sesama sendiri. Belajar menghormati idea dan pendapat bernas masing-masing. Dari sini kami belajar untuk menerima segala kekurangan diri masing-masing. 
Kerana cinta itu bukan satu tona warna sahaja. Peduli apa orang mahu kata. Kami bahagia dan serasi dengan cara kami. Bukankah itu yang penting? 
Cinta. 

Sunday 2 June 2013

Gula Gula Kata


Gula-gula kata
digubah indah
membuka selera ingin merasa.

Gula-gula kata
impak maksima kalau kena gaya
buat membeli jiwa.

Ramuannya perlu tepat
terlalu sedikit, tak terasa apa
terlebih banyak, jelik malah memualkan
secukup rasa, syahdu seluruh deria.

Kurangkan gula dalam minuman. Lebihkan manis dalam senyuman.
Klise.

Saturday 1 June 2013

Yang Terbaik


"Saya akan jadi 'Yang Terbaik' untuk awak".

Yang terbaik
dari ukuran mata siapa? 
pengesahan unit piawaian mana?
keliru.

Pernahkah awak cuba memahami atau cuba mengenali dia? Keinginan, kesukaan, kesedihan dan kegembiraan dia? Istilah 'Yang Terbaik' awak mungkin lain dari istilah kamus dia. 
Dia bukan mencari seorang yang 'Sempurna'.
Dia inginkan seseorang yang boleh menyempurnakan dirinya. Malah seseorang yang turut memerlukan dia untuk melengkapi serta menyempurnakan hidup seseorang tersebut.
Sudi memberi dan sudi menerima. 
Fahamkah awak ...