Tuesday 30 April 2013

Sedetik Lebih

(OST Hikayat Merong Mahawangsa)



Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu
Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta
Dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerna kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta
Sedetik lebih selepas selamanya
Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu
Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia

Asal masih adanya kamu..

Monday 29 April 2013

Pandanglah



Tika berbicara dengan bulan, khabarkanlah pada ia tentang keindahan sebuah kerinduan ...
***********************************
Cerita seorang lelaki:

Kata orang, dia itu jinak-jinak. Senang didekati tapi sukar untuk dimiliki. Namun saya tidak rasa yang dia sebegitu. Pada saya, dia memang seorang yang penuh emosi tapi tetap unik dengan caranya yang tersendiri.

Dia sering kelihatan bersendirian, tanpa sebarang teman yang rapat. Katanya, dia tidak mudah berkongsi rahsia hati atau kisah hidupnya dengan sebarangan orang. Namun seandainya dia percaya akan seseorang, akan dia curahkan segala cerita dan rasanya pada insan tersebut. 100% kepercayaan. Sekali perasaan sayang itu menyinggah, ianya akan kekal hingga ke akhir hayat.

Tahap kesabaran si dia itu amat tinggi selagi kepercayaannya tidak digugat. Sayangnya mampu bertahan ke akhir zaman waima ramai yang berkatanya kasihnya itu sesuatu yang sia-sia.

Tidak mudah juga bagi saya untuk bersahabat dengan dia. Dia sering lena dalam angan-angan dan dunianya. Dia pernah bercerita yang dia inginkan seorang lelaki yang boleh menerima dirinya seadanya. Seseorang yang mampu bersabar dengan kerenahnya yang ada kalanya tak menentu. Dia bencikan orang yang menegurnya dengan kasar, dengan sindiran atau dengan meninggikan suara waima sekalipun dia yang bersalah dalam sesuatu hal.

Saya sering memandang wajahnya, mendengar segala ceritanya. Saya menyimpan gelak tawanya, cuba merawat luka hatinya seraya menyapu airmatanya. Ada kalanya saya terasa ingin saja pergi jauh dan menghilang dari pandangan matanya. Kenapa? Supaya dia dapat mengerti apa itu 'rindu' dan bagaimana rasanya 'cinta' yang tak dibalas. Kerana saya mencintai dia dari dahulu lagi dan saya takut akan kehilangan dirinya andai saya suarakan rasa hati tersebut kerana pandangannya terarah kepada yang lain. Kepada seseorang yang tidak setimpal untuk dirinya.

Berpalinglah, dewi. Pandanglah ke arah insan yang sangat menyayangimu ini. 

Sunday 28 April 2013

Cermin Retak


Kata dia: 
Hmm ... awak rasa ayah akan perasan tak yang cermin depan kereta ni ada retak? Tadi sewaktu memandu pulang dari kerja, saya mengekori belakang sebuah lori bermuatan penuh. Saya ingat nak pandu perlahan lahan ikut 'lane kiri'. Penat terasa hari ini. Tiba-tiba sebiji batu jatuh dari lori dan menghentam sisi tepi cermin kereta ini. Macam mana ye nak buat retak ni tak nampak jelas sangat? Risau ...


(gambar hiasan aje. retak sebenar jauh lebih bawah. di sisi kiri atas wiper)
Dalam rasa kasihan, ada unsur kenakalan yang segera timbul. Bab memberi idea dalam situasi yang lain dari situasi harian, minda memang sepantas halilintar memberi idea di luar kotak. :) Idea luar kotak..? Hmm, mungkin mengarut, mungkin ada logiknya ... :p
a) Cuba letak pelekat/sticker di atas retak bahagian luar dan bahagian dalam kereta. :)
b) Letak 'pemegang/stand' GPS kat tempat retak? :)
c) Susun daun-daun kecil sebanyak mungkin. Longgokkan kat atas wiper hingga menutupi tempat retak. 
d) Cari sehelai daun besar yang cukup untuk menutupi retak tersebut dari luar. Bahagian dalam kereta, letak satu patung beruang kecil di sudut tepi. Kreatif kan? :)
e) Buat retak-retak kecil lain di sekeliling tepi cermin kereta dan katakan ianya 'trend' terkini. Dan ...
Belum sempat menghabiskan ayat, tiba-tiba sebiji bantal melayang hinggap di bahu. Aduhai ... adakala idea-idea di luar kotak memang tak dihargai jika tidak kena pada masa dan ketika. Jom, saya temankan awak berjumpa ayah. Adakala cuba menyembunyikan satu kesalahan itu lebih berat bebanannya dari memikul seguni beras. Orang yang memikul beras, tidurnya lena waima keletihan. Sebaliknya, bebanan kesalahan hanya memakan diri, hilang damai di jiwa, lenyap lena yang diimpi. 
Lesu.  

Saturday 27 April 2013

Sujud II


Diri masih berteleku di sejadah.
Telapak tangan ditadah. Hati cuba dibersihkan dari segala cacamarba yang melanda. Ini bukan saat untuk simpati pada diri. Ini adalah saat bilamana jiwa mendekati Sang Pencipta. Dengan segala rendah diri dan pengharapan, hati memulakan bicara:
" Ya Allah, Alhamdulillah, segala syukur di atas nikmat dan rezeki yang telah Engkau limpahkan ke atas diri ini. Ya Allah, aku bersyukur di atas anugerah pancaindera yang masih boleh berfungsi sebaiknya untuk mengerjakan kewajipan terhadapMu dan jua dalam menunaikan segala pekerjaanku."
"Ya Allah, Maha Suci yang amat mengetahui dan mengenali diri hambanya yang lemah ini. Aku bersyukur dalam keadaan diri yang sendirian ini, Engkau tidak pernah sekali-kali menjauh. Biar ada yang mengeji, biar ada yang tidak mempercayai, hati ini menjadi tenang kerana Engkau tahu kebenarannya."
"Ya Allah, aku mengharap tidak lain dan tidak bukan hanya keampunan dan keredhaan dari Mu. Ya Allah, bersihkanlah dan bukakanlah pintu hatiku ini untuk menerima hidayah Mu. Aku yakin dan percaya pada Mu, pada segala perancangan dan perjalanan yang telah Kau tuliskan untukku."
"Ya Allah, Kau teguhkanlah imanku. Selamatkanlah aku. Pulihkanlah aku dari segala kesedihan ini. Aku tiada sesiapa lagi.."

Friday 26 April 2013

Semangat Yang Hilang 3



Maafkan saya kerana ingin menyepikan diri.
Sampai bila? Mungkin sehari. Mungkin seminggu. Mungkin buat satu jangka masa yang lama. Bukan merajuk. Saya cuma ingin mencari semangat yang hilang.

Dalam hubungan sesama insan, pasti ada hati yang terhiris bila emosi tersentuh. Itulah hati. Ia sering bermain dengan emosi dan perasaan. Ketika hilang segala kawalan, amat perlu untuk undurkan diri, menenangkan hati.

Bila hati disatukan dengan satu perasaan yang dinamakan sayang, seringkali kita lupa yang setiap kita masih lagi individu berbeza. Punya pemikiran dan kehidupan yang berlainan. Oleh kerana itulah adakalanya hati mudah rapuh bila ada waktu-waktunya kita terasa diletakkan di tepi.

Perkara paling susah ialah untuk membezakan yang mana satu perkara kecil, tak perlu dibesar besarkan. Dan yang mana pula perkara besar sepatutnya di beri perhatian. Kita tidak cuba melihat secara keseluruhan. Adakala semua warna di atas kanvas lukisan cacamarba. Keliru. Setiap kita perlukan masa untuk bermuhasabah dengan diri sendiri ada tika nya. Melapangkan fikiran yang buntu. Tanpa sebarang bicara.

Hati ini masih lagi sama. Tidak berubah. Cuma pengalaman dan masa kadang kala membuat semangat untuk mengikut kata hati semakin lemah. Dan ada masanya semangat tersebut terus menghilang. Umpama menghabiskan separuh usia dengan berlari, ada masanya terasa lelah. Hanya ingin menutup mata, mengharap satu kedamaian. Semangat ini sesungguhnya telah hilang.

Menutup pintu rasa buat seketika. Awan hitam sedang melukiskan rona gelap di dada langit..

Thursday 25 April 2013

Samar


Adakala jalan di hadapan kelihatan samar kerana kabus tebal menghalang pandangan. Lalu hati menjadi bimbang kerana tidak tahu apa yang sedang menanti di hadapan.
Resah, pelbagai andaian bermain di minda.
 Orang ramai berpusu-pusu bergerak mengikut aliran perjalanan masa. Laju. Tanpa henti.  Melihat ke kiri dan kanan, semuanya ada destinasi dan tujuan. 
Sedangkan saya termangu, memaksa kaki melangkah setapak demi setapak ke depan. 
Meraba. Mencari.

Wednesday 24 April 2013

Aksara




Tubuh yang lesu terasa segar kini. Air yang membasahi tubuh mengalir, mengheret pergi peluh dan kehangatan yang mengharungi diri. Dengan sebelah tangan melilit tuala ke kepala, sebelah tangan lagi pantas mencapai tetikus.
Sambil jemari menyelusuri laman muka buku, mata menari pada bait-bait puisi pelbagai tema dan rima. Minda menyelami rasa di sebalik aksara demi aksara. Mengagumi dalam diam. Mempelajari dalam perkongsian.
Lahir sebuah senyuman. Sudah lama menulis di wilayah maya ini. Masa terisi dengan pelbagai cetera: ada tawa, ada tangis, ada kawan menghulur persahabatan dan ada juga sebaliknya teman yang menjadi lawan. Setiap hari sehelai lembaran baru bermula dan sehelai lembaran lama tersimpan di laci minda.
Menekan butang 'hantar', melihat karya tersiar. Lembut terasa jiwa. Bersyukur kerana diberikan peluang untuk menulis pada hari ini. Hari esok, tiada siapa yang tahu, bukan?
Menyelitkan nota di diari kehidupan, selagi aksaranya belum lenyap.


Tuesday 23 April 2013

Cinta Itu Buta



hadirlah kau di sisiku..walau untuk seketika..
**********************************************
Kata orang: Sebelum ingin bercinta, telitilah terlebih dahulu orang yang ingin kita berikan hati kita. Lihat betul betul sama ada sesuai atau tidak dia dengan kita. Cinta itu bukan untuk suka-suka. Cinta adalah tanggungjawab. Kalau bercinta setakat ingin merasa bagaimana pengalaman disayangi atau untuk sekadar mewarnai jalan hidup yang monotone, tak usahlah diteruskan niat tersebut. Hanya akan melukakan hati orang lain.

Kata orang: Cinta itu ada aturannya. Bermula dengan berkawan untuk mengenali peribadi dia. Dari berkawan, lahirlah rasa sayang. Sayang membawa kepada cinta dan seterusnya mula merancang perjalanan seterusnya untuk membina hidup bersama.

Mudah kedengarannya, bukan? Seperti A,B,C. Ikut garis panduan tersebut, pasti tiba ke destinasi dengan jayanya.

Namun, bukankah ada juga yang berkata bahawa cinta itu buta? Adakala kita tidak merancang pun untuk menyukai sesiapa. Malah tidak ingin langsung ambil tahu tentang cinta.
Tanpa sedar, tiba-tiba ada rasa yang meresap di hati. Bermula dari mata dan kata kata. Tidak sempat berfikir tentang keserasian, hati telah terikat erat pada si dia. Tiada simpang untuk "U-turn" atau mengundur. Pilihan yang ada: samaada berhenti atau teruskan ke hadapan. Keputusan perlu dibuat segera, bimbang andai telah memandu terlalu jauh kehadapan, akan hilang jalan pulang.

Apa yang perlu di buat bila fikiran tak berfungsi dan hati yang menguasai?
Serahkanlah segala urusan hati pada Tuhan.. kerana Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita..

Soal hati..
"Wise men say, only fools rush in.. but I can't help falling in love with you..."

Monday 22 April 2013

Seindah Rasa



Salam diberi oleh Sang Putera tidak begitu jelas bunyinya kerana hati yang bergelora.
Telah beberapa hari perasaannya resah. Rasa rindu mencengkam dada. Kaki bagai tidak berpijak dibumi, jasad bagai terbang sendiri. Mata tidak mahu lelap.

Kakinya melangkah hingga ke tepi kolam. Badan disandarkan pada sebatang pokok besar sambil tangannya memeluk tubuh. Matanya tidak berkedip memandang bulan purnama. Berat rasanya kepala.

Dewi Seri tersenyum.
'Tuan hamba hendak mengira bulan dan bintang? 'usik Dewi Seri.

'Tidak'.

'Kalau begitu mengapa tuan hamba datang ke sini?'

'Kerana menurut kata hati nan rindu. Hanya pada waktu beginilah hamba dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Semoga dapat meredakan jiwa yang bergelora. Agar tenteram hati pabila jawapan diterima.' jawab Sang Putera sambil matanya beralih memandang tepat ke Dewi Seri.

'Adakah tuan hamba sudah menukar fikiran? Adakah risau terbit kerana sedar yang darjat dan keturunan kita tidak seimbang? Adakah kasih ini tidak akan kesampaian?' ujar Dewi Seri perlahan.

'Hamba bersumpah selagi cinta berpasak disudut hati, jiwa kan teguh memegang janji. Cinta hamba tidak berbelah bagi. Akan tetapi sekiranya ditakdirkan janji tidak seindah kata, cinta tidak lagi sedalam lautan, tidak lagi setinggi langit, maka akan matilah hamba dengan keris penaram ini.'sumpah Sang Putera.

'Adakah itu janji tuan hamba?' soal Dewi Seri.

Sang Putera mengangguk dengan yakin.

Tersentuh hati Dewi Seri. Segalanya bagai mimpi belaka. Seolah bulan jatuh ke riba. Hati yang selama ini kekosongan kini telah terisi. Dewi Seri menerima dengan penuh kerelaan walau hakikatnya perbuatan ini seumpama bermain api.

-Petikan dari Ku Seru Namamu, Ilani Mysara-

Sunday 21 April 2013

Tetamu Malam


'Awak tahu apa maksud 'Volkswagen'? Dalam bahasa German, volkswagen maksudnya 'kereta rakyat. Ideanya ialah mencipta sebuah kereta yang tahan lasak dan semua lapisan masyarakat German mampu membeli. Pada mulanya, semua kereta ujian mereka tak berjaya. Hinggalah pada tahun 1933, Adolf Hitler telah pergi berjumpa dengan Ferdinand Porsche. Dia ingin Porsche mencipta sebuah kereta yang boleh memuatkan lima orang di dalamnya. Selain itu, kereta tersebut mestilah boleh bergerak minimum selaju 62mph dan harganya mesti tidak boleh melebihi 1000 Reich Marks,' suara tersebut berkata lagi dengan tenang.

Saya menurunkan kedua-dua tangan yang menutup wajah saya perlahan-lahan. Siapa dia ini? Dengan pandangan yang masih berkaca sisa airmata, saya memerhatikan dia. Seorang lelaki awal 50-an, berbaju putih kemas sedang duduk di kerusi berhadapan meja saya. Suaranya tenang bercerita tentang kereta 'katak'.

Saya terpaku seketika. Adakah ini semua kesan ubat yang saya makan sebentar tadi? Hasil permainan minda yang kusut dan jiwa yang kosong? Adakah dia hantu menjelma untuk menguji iman seorang 'saya'? Keriut kerusi dan putaran kipas mengiringi degup jantung yang semakin kencang.

Ikut logika akal memang tidak mungkin dia hantu. Hantu tidak akan bercerita tentang kereta. Begitu bukan? Namun, kalau betul dia manusia, dia juga tidak mungkin akan tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana tanpa sebarang isyarat? Tidak masuk akal bukan?

Orang gila? Tidak mungkin. Dia kelihatan siuman. Wajahnya mungkin garang tetapi cara dia duduk dan bercakap langsung tidak menimbulkan sebarang ketakutan dalam diri saya. Bermimpikah saya?

Saya tutup semula mata rapat rapat sambil terus membaca surah al-Fatihah dan ayat ayat lazim. Dengan hati penuh ragu, saya bersuara perlahan, 'Awak, tolong dengar apa saya hendak kata. Saya akan buka mata saya perlahan-lahan sekali lagi. Andai awak bukan manusia, hilanglah dari pandangan saya sekarang. Saya tidak mengganggu sesiapa dan saya harap awak juga tidak mengganggu saya.'

Ketawanya meledak kuat. Saya buka mata lebar-lebar. Dia masih ada di situ. Sah! Dia memang wujud. Dia masih duduk di kerusi yang sama.
Bila terperangkap sendirian begini, antara hantu dan manusia: mana yang lebih menakutkan?

Saturday 20 April 2013

Memori



Dalam perjalanan meniti denai kehidupan, kita mengumpul setiap peristiwa yang membawa makna diri.
Kita menapis serta mengayak memori yang mana lebih mendatangkan tawa dan yang mana lebih mengundang duka untuk dilekap kemas dalam ingatan. Setiap detik, kita belek, kita mainkan semula berkali-kali sebelum melelapkan mata. Kita tuliskan satu persatu memori tersebut hingga sebati di jiwa dan akhirnya kita kuncikan di dalam laci minda.
Ketikanya akan tiba di mana kita ambil semula kunci dan membuka laci. Kita mencari di susunan kabinet minda dan mengeluarkan kembali memori yang sesuai dengan rasa dan masa.
Tatkala senja memanggil dan hujan mengundang sunyi, malam membisik sepi, kita membelek kesedihan. Tatkala berkumpul sahabat dan taulan, melihat sang anak menerima ijazah kebesaran, memerhati patung beruang atau potret silam, memori bahagia datang mengelus pipi. Tercetus senyuman.
Segala memori yang tersimpan kini hidup kembali dan kita baca setiap patah perkataan, menjiwai semula semalam yang telah tiada.
Memori.

Friday 19 April 2013

Gerhana Kasih


This is the last song for tonight.. 
Sejuta madah cinta
Yang ingin ku lafazkan
Demi melambangkan
Setia cinta
Tetap teguh bertakhta
Bagai saat pertama
Jejari saling membelai
Dan mata pula bertemu
Seolah tinggi di awan
Seraya berkata
Inilah pasangan hidupku

Gerhana kasih
Adakalanya melanda
Membawa rasa
Resah, gelisah, sengsara
Dan bila ia pun berlalu
Ku semakin pasti
Membuat ku semakin cinta

Bahagia bersamamu
Mewarnai hidup ini
Pengorbanan yang kau beri
Tingginya tiada terdaki
Betapa tabahnya hati
Di dalam sengketa
Engkau tetap jua di samping ku..

Thursday 18 April 2013

Luka Semalam



Cinta datang...
Kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah dikecewakan.
Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati.
Kepada mereka yang masih ingin mencintai,
walaupun mereka telah disakiti sebelumnya
Kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk membangunkan kembali kepercayaan

********************************************

Salina menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk ke bilik tetamu tersebut. Dia akan cuba mengawal dirinya. Agar sentiasa tenang. Agar tidak terlalu emosi. Sifat-sifat sebegitu telah lama dikikis dari dirinya. Namun dalam kebal hati, dia masih kerapuhan. Adakah dia masih diperlukan oleh lelaki tersebut atau dirinya telah menjadi orang asing kini?

Salina berjalan menghampiri lelaki itu. Mahu saja rasa airmatanya menitis ketika melihat wajah lelaki itu. Cengkung dengan rambut yang dipotong rapat ke kulit kepala. Mahu saja dia memeluknya walau sedar mereka berada di khalayak ramai. Ingit mengubat segala hirisan luka lama di antara mereka. Agar terlerai segala rindu yang masih membara di dada.

Bayu hitam

singgah mengaburi logika akal dan fikiran

memesong kelembutan hati.

Bila kan berlalu?

Wednesday 17 April 2013

Benarkah Cinta


Kata orang: Tak kenal maka tak cinta.
Tapi ... kalau dah kenal, mesti ke jatuh cinta?

Tak semestinya, kan..


Tuesday 16 April 2013

Retak


Cinta memang senang pudar andai tidak bijak membajainya...
*******************************
Cerita dia:
Saya buka mata sebesarnya. Sah dia sudah pergi. Dia tiada lagi disisi. Mata melirik pada jam loceng ditepi katil. Pukul 7.05am. Entah bila dia bangkit, saya langsung tidak sedar. Saya terlalu letih semalam dan terus tertidur tanpa menunggu kepulangan dia.
Segera bingkas bangun. Mungkin dia baru sahaja tiba di pintu pagar. Saya harus menghalangnya dari pergi. Saya perlu berbicara dengan dia. Langsir disingkap dan jendela di buka luas. Mata bulat memerhati ke pintu pagar dan jalanraya di luar. Hampa.

Sayu terasa di hati. Saya ingin benar berbicara dengan dia tentang hubungan kami yang seakan  hambar dan tiada penghujung ini. Kami seakan dua penghuni rumah sewa yang hanya bertembung sekali-sekala di ruang tamu untuk setakat bertanya khabar sahaja. Apakah ini maknanya sebuah perkahwinan?
___________________________________________________

'Dihiasi manusia itu dengan perasaan dan keinginan kepada sesuatu: iaitu syahwat kepada wanita, sayang dan cinta kepada anak anak dan suka kepada perhiasan dan harta benda..'

-Surah al Imran:14-

Monday 15 April 2013

Harapan


Doaku agar kau kan selalu bahagia
Agar kau temui insan tulus menyayangimu
Lepaskanlah diriku kerna keredhaanmu
Bukan kerna dendam jua bukan kerna kau terpaksa

Ku tinggalkan memori bersamamu
Ku undur diri bersama harapan

Tidak kesampaian cinta kita
Ku bawa harapan ku pendam rahsia
Ku di kejauhan mendoakan
Agar kau bahagia tiada lagi duka

Daku rela mengundur diri
Ku pasti dikau kan fahami

Tiada penyesalan kasihku korbankan
Andai telah tertulis ku terima ini bukannya ku pinta
Oh pergilah dikau diiringi keikhlasanku,
Cuma pengalaman mengisi kekosongan mimpiku

*************************

Perasaan yang tadinya elok tersusun santun, bersimpuh di pinggan rasa, kini cacamarba. Hanya dengan sebaris ayat, segalanya bagai dipukul gaul menjadi huru hara. Hilang tenang, sebak meresap jiwa.

Tusukan dari bilah kata-kata nyata lebih tajam dari bilah pedang. Bunuh sahajalah dia dengan bicaramu. Biar mengalir alir jernih dari matanya dan darah pekat merah menyala membanjiri sekeping hatinya.

Sunday 14 April 2013

Sepi


Adakala 
diri terasa asing
sunyi
sepi
sebak
hingar bingar kota metropolitan
dengan ribuan warga dan setiap satu bercerita
telingaku tetap tuli
jasadku beku.

Empat tembok bisu
memagari kotakku
jaring besi memateri segenap tingkap
memerangkap debu
lemas.

Aku ingin teman bicara
aku ingin melodi jiwa
aku ingin meluahkan rasa 
aku ingin berkongsi suka dan duka.

Di mana agaknya penawar sepi ini?

Tewas.
Tenggelam dalam rasa.

Saturday 13 April 2013

Tentang Hati



Kata dia:
Kita tidak tahu apa yang kita miliki sehingga kita kehilangannya.
Tetapi adakalanya kita juga tak tahu apa yang kurang dalam hidup kita sehingga kita memilikinya.

Kata saya sambil mengusik:
Sungguh? Kalau begitu adakah sekarang awak dah tahu apa yang kurang dalam hidup awak?
Adakah ianya saya?

Kata dia sambil tersenyum:
Ada hikmahnya bila Allah tentukan sesuatu perkara itu terjadi pada kita.
Terpulanglah pada kita untuk simpulkan semua yang kita lalui dengan fikiran yang terbuka.
Dengan demikian hati kita akan menjadi tenang dan kita akan tahu jawapan bagi setiap soalan kita.

Hmm. Jawapannya iye atau tidak?

Friday 12 April 2013

Merenung Jauh..


*************************
Saya hanya seorang perempuan biasa.
Hasrat ingin menjadi teman berbicara pada dirinya.
Ada kalanya saya suka bercakap, ada kalanya saya suka mengusik, memeriahkan sunyi suasana dengan pelbagai cerita agar dia rasa terhibur. Adakalanya saya berdiam, menutup segala pintu bicara. 
Saya hanya seorang perempuan biasa.
Hanya pada dia saja tempat mencurah segala rasa dan segala tekanan masalah yang menghimpit jiwa. Dengan dia, tiada rahsia. Segala peristiwa, segala gurauan hanya dengannya. Pada dirinya juga, saya harapkan sebagai satu satunya tempat untuk bermanja dan bertukar cerita.

Saya hanya seorang perempuan biasa.
Ada kalanya saya juga ingin merasa dijemputnya pulang dari kerja. Berjalan bersama, mendengar dia bercerita tentang hal kerjanya, saya juga ingin bercerita tentang hari saya yang baru berlalu. Ceria. Bahagia. Suka atau Duka.. Saya ingin menjadi sebahagian dari diari hidupnya.

Saya hanya seorang perempuan biasa.
Adakalanya terasa sayu bila dia terlalu sibuk dengan dunianya. Adakalanya terasa cemburu bila dia berbicara tentang hal yang tiada kaitannya dengan dunia saya dan dia. Adakalanya juga hati tersentuh bila usikan tidak disambut seperti biasa, bila terasa dirinya seakan menjauh.

Saya hanya seorang perempuan biasa. Yang tidak sesekali akan memaksa.. tidak juga akan meminta. Hanya mengharap dia dapat memahami dan menghargai..

Kata orang, merajuk pada yang sudi.. Sayang pada yang kasih.. Menjauh andai tidak dipeduli..

Adakalanya sepi itu amat menyakitkan..

Thursday 11 April 2013

Berlari Jauh


Begitulah.

Saya cuma insan biasa. Seorang insan yang adakalanya terlupa tentang hakikat diri dan adakalanya terleka dalam mengharungi arus kehidupan.

Saya cuma insan biasa yang ingin ketawa bila gembira, menangis ketika berduka dan tersenyum riang ketika berbicara dengannya. Hati saya tidak kebal...saya percaya dengan kejujuran kata kata, saya tertawan dengan baiknya budi bahasa dan tersentuh dengan pengalaman hidup dan kesabaran sang rakan.

Sesaat, hati terbuka untuk menerima dirinya.
Sesaat itu juga saya terlena. Sesaat itu saya percaya dia akan sentiasa ada disisi. Sesaat bertukar cerita dan bertanya khabar cukup untuk menenangkan jiwa..justru kesakitannya juga berkali ganda bila diri tidak lagi diperlukan dan persahabatan diputuskan.

Biarkanlah saya sendirian. Jangan diusik lagi hati ini dengan harapan dan impian..

Wednesday 10 April 2013

Dari Hati Ke Hati


Saya bukan seorang penyair, bukan juga seorang penyajak..malah jauh sekali untuk mengakui diri sebagai seorang penulis. Saya hanya seorang insan yang sangat biasa, masih belajar menyusun kata, menyuarakan pendapat dan menyampaikan cerita.

Saya hanya ingin menulis dan terus menulis sebelum loceng terakhir berbunyi, sebagai tanda masa untuk menulis telah tamat. Waktu itu, pen harus diletakkan di atas meja dan kertas jawapan harus diserahkan pada pemeriksa. Tidak ada satu huruf mahupun noktah boleh ditambah lagi.

Bila waktu itu tiba, saya pasti berhenti menulis. Mungkin kerana sudah habis segala apa yang perlu disampaikan. Mungkin juga kerana saya telah temui jawapan pada semua persoalan saya. Mungkin juga saya telah temui apa yang saya cari selama ini dan hati tidak akan mengemukakan persoalan lagi. Mungkin juga kerana saya akhirnya mengaku kalah dan tidak mahu meneruskan perjalanan ini lagi.
Ya Muhaimin
Izinkanlah aku mencuba sedaya mungkin..

Tuesday 9 April 2013

Beradu Dengan Rasa


Ketika rasa menyeliputi seluruh tubuh dan deria, akal tidak mampu bertahan. Lantas segala rasional fikiran menghilang entah ke mana. Rasa rindu yang terkumpul sekian lama bertukar rawan. Keluhan demi keluhan berulang di bibir.

Kalau ibu terdengar, pasti dia akan berkata: 'Tak baik mengeluh. Bila kita mengeluh maknanya kita tak bersyukur atas kurniaan Tuhan.'

Kalau ayah masih ada, pasti saya akan duduk bersimpuh dilantai dan meletakkan kepala yang tak henti berdenyut ini di ribanya. Seperti waktu kecil dahulu, ayah yang duduk di sofa,pasti akan mengusap kepala saya sambil meyakinkan saya bahawa semua ini hanya dugaan. Ayah sentiasa yakin yang saya pasti dapat mengatasi segala masalah yang datang. Ayah... saya amat penat. Penat cuba untuk menjadi semua yang orang lain inginkan. Penat juga cuba untuk tidak melukakan hati semua yang ada.
Namun, ayah telah lama tiada. Saya pula tidak mampu berkongsi cerita dengan ibu tentang soal hati, tentang rindu, tentang sepi dan tentang sedih yang merobek hati. Saya juga tidak mampu berkongsi cerita segala kepedihan dengan si dia yang memiliki hati ini. Amat sukar sekali kerana segalanya berkisar tentang dia.

Duhai hati, kuatkanlah diri ketika jalanmu tidak sehaluan dengan logika akal pemikiran.
Mata memandang ke langit biru. Pandangan menjadi kabur seketika. Melihat warna alam dari prisma mata yang berkaca dan titisan air jernih mula mengalir perlahan.


Monday 8 April 2013

Kekasih


Kekasih..
Aku bukannya
sasterawan negara
Aku hanya manusia biasa
Menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa

Kekasih..
harap kau terima warkah cintaku
Yang biasa tiada berbunga
Kerna nyata ku tak sehebat dia bermain kata
Kerna aku tahu imaginasiku ada batasnya

Kekasih
Memintal buih menjadi keranjang ku tak berdaya
Apatah menganyam awan gemawan
Menjadi selendang menutup rambutmu
Namun izinkan aku menghibur jiwamu
Dengan bicara yang sederhana
Kernaku hanya manusia biasa.

Sunday 7 April 2013

Di Ruang Ini



Aku
kamu
bertemu kembali
di ruang kosong ini
tanpa bias atau kias
tanpa prejudis menikam diri.
harapan ...

Aku
kamu
bisu, kelu, kaku
menanti
bilah bicara pemecah sepi dan
jejarum waktu pantas berlalu
hampa ...

akan tibakah masanya
ruang ini kan merungkai segala?

Saturday 6 April 2013

Di Sebalik Airmata


Adakala kebahagiaan tidak terjangkau dek tangan.

Namun, saya masih ingat pesan ayah.
Katanya, usah mengeluh. Selalunya Tuhan tidak akan berikan apa yang kita paling mahukan dalam bentuk yang nyata. Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Adakala bila kita meminta pelangi, diturunkan hujan terlebih dahulu. Langit gelap, pekat. Halilintar membelah bumi. Sememangnya menakutkan. Namun, apabila hujan reda, ada pelangi menunjukkan diri.

Bila kita meminta seekor rama rama yang cantik, diberikan Nya seekor ulat bulu yang amat menggelikan untuk dipegang. Kita ambil penyepit, lalu kita balingkan sejauh mungkin. Waima ulat itu suatu hari nanti akan menjadi seekor rama rama yang cantik bila ia bebas dari kepompongnya.

Itu sebabnya kita tak boleh mengeluh. Pasti ada hikmah disebalik segala ujian yang menimpa. Redha dan sabar. Itu pesan ayah.

******
Saya bertemu dengan awak sekarang ini mungkin ... ianya agar awak dan saya dapat lebih menghargai erti sebenar kasih sayang setelah kita lalui segala dugaan dan pengalaman hidup yang amat mencabar. Genggam erat tangan ini, biarkan ianya bersatu. Cinta ini cinta yang di akhir garisan, semoga ada cahaya menanti di hadapan.

Friday 5 April 2013

Masihkah Ada Ruang


Saya bukan mempersoalkan perasaan dia.

Saya sebenarnya lebih ingin menyelami hati saya sendiri.
Layak kah sebenarnya saya untuk memanggil dia 'sayang'? Layak kah saya merasa cemburu bila dia jauh dari mata? Dimana agaknya tempat saya di hati sidia?

Kereta yang dipandu berhenti betul-betul di hadapan perkarangan rumah. Kedua-dua tangan memaut kemas bahagian atas stereng. Terasa berat segala persoalan yang bermain di fikiran. Kepala perlahan-lahan disandarkan rapat ke penyandar tempat duduk. Letih bagaikan tak tertanggung, sedangkan jarak dari tempat kerja ke rumah bukannya jauh.

Terasa ingin saja menelefon, mendengar suaranya agar diri tenang dan damai. Namun terasa diri tidak berhak mengganggu dirinya lagi. Biarlah..biarlah saya saja yang merasa, kerana salah saya mengikut emosi sendiri.

Tanyakan dalam tidur dan jaga
masihkah ada kasih dan rindu
biarpun setitis cuma..

Seperti ada bisikan menyapa hati
Namun semakin sayup kedengarannya
semakin jauh langkahnya
hilangkah terus di sebalik mimpi?

Adakala terasa diri lebih rela sendirian tanpa sebarang rasa, dari menanti bulan yang seakan tak mahu muncul. Ingin saja berlari jauh.

Thursday 4 April 2013

Melodi Rasa


Persoalan demi persoalan
Semakin dirasakan..
Memerangkap dan merantai
Membelenggu diri..

Apakah yang dicari
Dalam perjalanan ini
Kekusutan dan kekaburan 
Bercambah menjadi duri..

Diriku lemas
Dihanyut realiti ini
Apakah dikau kan sudi
Membawa diriku kembali ke tepi..

Wednesday 3 April 2013

Hadiah Sekuntum Bunga


Malam tadi, tiba-tiba Wan datang dan hulurkan setangkai bunga berwarna oren terang kepada saya. Hati tertanya-tanya untuk apa hadiah ini? Hari ni bukan hari ulangtahun kelahiran saya. Bukan juga 'Hari Kekasih'. Tahun baru juga belum tiba. Aneh sekali.

'Untuk apa bunga ini, Wan? Semestinya Wan ada berbuat salah pada saya, bukan? ' teka saya sengaja nak mengusik dia yang memang sedia terkenal dengan kenakalannya.

' Tak ada apa-apa. Wan ikhlas nak bagi bunga kat awak hari ini. Ambillah' ujar Wan sambil tersenyum manis.

Terdetik di hati mungkin sekali ini dia ikhlas. Dengan hati berdendang riang, bunga tersebut bertukar tangan.
Orang berbudi, kita berbahasa. 
Orang memberi, kita merasa.
Cantik. Sememangnya cantik bunga berwarna jingga itu. Seperti biasa, bila jemari menyentuh bunga, terus saja akan didekatkan ke hidung. Deria ingin menyatu bersama aroma kuntuman bunga yang sedang mekar kembang.

Aduhai. Kenapa pulak baunya semacam. Wan membuat muka tidak bersalah seraya tersenyum sambil bertanya sama ada saya suka atau tidak bunga yang diberi. Huh! Saya campakkan bunga tu ke atas meja dan buat muka merajuk. Sampai hati dia beri bunga tahi ayam ni kepada saya. Kalau dah nakal tu, memang nakal lah juga. Eee. Rasa nak marah pun ada. Bibir digigit kuat menahan geram dan andai terkeluar ayat sarkastik serta bombastik darinya.

Tiba tiba Wan bersuara sayu. 'Awak tak suka bunga tu? Wan minta maaf. Sebenarnya Wan ingin sangat beri awak sekuntum bunga ros. Tapi malam tadi hujan turun lebat. Semua pokok bunga ros mak habis patah-patah. Begitu juga pokok pokok bunga yang lain. Hari ini genap setahun Wan kenal awak. Dan Wan sudah bernekad beri awak bunga hari ni walau apa pun terjadi sebab awak dah banyak tolong dan ajar Wan. Namun cuma bunga 'Tahi Ayam' ni saja yang tinggal. Itu pun Wan curi dari rumah sebelah. Itu satu-satunya pokok yang masih berbunga selepas ribut malam tadi. Awak tak tanya pun kat Wan kenapa Wan bagi bunga ni kan. Awak terus saja campak pemberian Wan.'

Wan tertunduk sedih. Perasaan kesal tumbuh bagai cendawan selepas hujan di taman hati. Bila dipandang sekali lagi, bunga itu memang cantik. Cuma baunya saja tidak enak bila dihidu. Maafkan saya, Wan. Mungkin saya juga sama sahaja seperti orang lain. Terlalu pantas membuat kesimpulan, menjatuhkan hukuman dan merajuk tanpa bertanya terlebih dahulu. Saya langsung tidak perasan baju Wan sememangnya basah. Air masih lagi menitis, membasahi ruang permaidani di depan pintu pejabat. Pastinya Wan terperangkap dalam hujan lebat. 
Sayu mula bercambah di hati. Betapa Wan sanggup berhujan demi membawa bunga ini ke pejabat untuk seorang saya. Terasa panas pipi, rona-rona merah bercambah.

'Esok, Wan beli bunga ros untuk awak. Buanglah bunga tu ke tong sampah' sayu bunyi suara Wan.

Perlahan lahan saya ambil kembali bunga yang terdampar di atas meja. 
'Tak perlu, Wan. Saya suka bunga ini. Cantik. Saya letak dalam pasu atas meja saya ye.' lembut bersuara, saya cuba menebus kesalahan sebentar tadi.

'Sungguh, awak?' tanya Wan. Suaranya kedengaran ceria sedikit.

'Sungguh. Saya suka bunga ini. Baunya pun tak lah seteruk mana. ' ujar saya dengan lembut.

Tiba tiba tertawa Wan meletus kuat.
'Apalah awak ni. Bunga tu bau dia memang teruk sangat. Tak payahlah berpura-pura cium. Awak memang tak pandai berlakon.'

Tangan mencekak pinggang. Baru saja mulut dibuka untuk memarahi, tiba tiba suara Wan kembali serius. ' Terima kasih, sis kerana tak marah Wan. Terima kasih juga kerana cuba juga untuk menjaga hati Wan.'

Hmm. Wan, Wan.. susah juga nak faham dia ni.
Bunga..oo bunga.. susah juga jadi bunga ni kan.

Tuesday 2 April 2013

Diari Melankolia


Mimpi itu kembali.
Setelah sekian waktu ianya terhenti, hati menjangka mimpi ngeri semalam telah larut dibawa hujan damai, hilang dari ingatan. Rupa-rupanya hentinya hanya seketika, umpama segerombolan askar yang mengundur diri di medan perang, memasang strategi. Bukan melarikan diri. Malang bagi diri yang tertipu dengan lenanya tidur sang pemimpi.
Andai Raja Midas taksub dengan kebolehannya menukar setiap apa yang disentuhnya menjadi emas, dia pula terseksa dengan sumpahan sentuhan kemusnahan. Setiap hati yang disentuh, pasti akan retak, reput, pecah menjadi debuan. Terkumpul di hadapan kaki, membukit. Tiada angin yang menerbangkan debuan, terpikul beban kesalahan dengan segala kesan kemusnahan tepampang di depan mata. Seksa, derita, tangisannya tak berhenti.
Melankolia. Gila. Hilang segala kawalan. Siapa yang mampu memadamkan label 'sial' yang termateri di tubuh? Mimpi ngeri di dalam mimpi.

Monday 1 April 2013

Masih


Ada resah menggamit di jiwa..
Ada kerisauan bersarang di kepala..

Adakala saya sendiri tidak pasti ke mana arah tuju saya, apa yang akan berlaku esok hari dan apakah saya masih mampu untuk menulis lagi. Adakala saya sendiri tidak pasti apa yang saya lakukan.

Saya cuba menjadi seorang wanita yang kuat, sabar dan tabah menghadapi segala cobaan dan dugaan yang tiba. Mempamerkan senyuman dan luaran yang tenang seolah tiada apa yang mampu merobohkan tembok 'tidak kisah' yang telah saya susun. Tapi saya sebenarnya bukan sekuat yang mereka sangkakan.
Saya masih saya yang dulu
Saya masih ada rasa takut.
Malah adakalanya ...saya amat takut.