Saturday 31 August 2013

Pemergian


Tubuhnya terbujur kaku di atas katil. 
Nafas terhenti, urat nadi tidak lagi berfungsi.
Suasana sekeliling amat sunyi; Sepi. 
Dunia bukan lagi tempat yang layak untuk dia diami.

Telah tiba tikanya roh melangkah pergi
ke hadrat Illahi.

~Al-Fatihah. Doa dari kami di sini. Moga tenang bersemadi.~

Friday 30 August 2013

Kompas I


Kata dia: Bukankah jalan ini yang awak telah pilih? Lantas apa perlu awak menangis, merintih? Kuatkan hati untuk harungi segala yang perlu dihadapi. Bukankah jalan ini yang awak telah pilih?
Pedih. Perit. Sakit. 
Kata-katanyanya mungkin bermaksud baik, ingin mencabar naik semangat. Memotivasi dengan caranya yang tersendiri. Namun sedarkah dia bahawa kata-katanya tetap berbisa, luluh segala rasa. Tertampar wajah berkali-kali. Pedih hingga ke hulu hati. Perit hingga ingin menjerit. Sakit.
Mengapa? Kerana bicara itu datang dari seorang sahabat, insan paling dekat, teman yang teramat rapat. 
Pedih. Perit. Sakit.

Thursday 29 August 2013

Buang Jauh Jauh


Gadis duduk sendirian melayan perasaan. Diam, tenggelam dalam dunia suram. Cacamarba. Semakin difikir, semakin semak minda. Satu demi satu fikiran negatif berombak silih ganti menerjah fikiran. Berdenyut-denyut kepala. Awan hitam tidak berganjak dari menghurungi Gadis. Auranya gelap, pekat. Likat.
Tiba-tiba ada suara berdehem di sisi Gadis. Segera Gadis menoleh, tersentak ditarik balik ke dunia realiti. Rasa hairan melihat Jejaka berdiri tegak di situ dengan sebuah beg pakaian di tangan. Aneh, zip beg tersebut terbuka luas, tampak kosong isinya. Gadis mengangkat kening sebelah, menanya dengan isyarat. 
Jejaka mendekat. Tangannya pantas mengambil ragut segala awan hitam di atas kepala gadis. Dilempar, sumbat padat-padat ke dalam beg. Ditarik zip rapat-rapat, cepat-cepat.
Beg digalas di bahu sambil berkata, 'Biar semua masalah Gadis duduk dalam beg ini buat sementara. Tolak segalanya ke tepi, ikut Jejaka. Kita makan, minum, berbual tawa seperti biasa. Bila perut sudah terisi, minda telah lapang, kita buka zip beg dan teliti masalah Gadis satu-persatu. Bukankah dua kepala lebih baik dari satu? Jejaka kan ada. Mari, Gadis.' 
Satu huluran tangan disua pada Gadis. Menanti dengan sabar. Gadis tersenyum, manis. Cerah rona wajah. Tangan kanan Gadis menyambut, genggam huluran tangan Jejaka. Adakala onak duri kurang sakit luka olehnya, apabila ada seseorang di samping yang menemani perjalanan dengan beg berisi kotak pertolangan cemas. Betul bukan? 
Tidak, Gadis tidak sendiri. Perjalanan tidak lagi sepi.

Wednesday 28 August 2013

Salah

Saat pegangan agama ampuh
masyarakat pantas menuding tuduh perempuan itu lacur, 
rendah maruah, bertuhankan rasa, berpaksikan nafsu
tapi
bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi
lelaki juga bukan maksum, terlepas dari hukum.

Betul, bukan?

Tuesday 27 August 2013

Serabut

Mungkin benar apa yang mereka kata.
Dalam sepanjang sejarah perjalanan hidup, akan ada ketikanya hadir seseorang yang mampu menggetarkan jiwa, menggoncangkan rasa lantas menetap di hati selamanya. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Waima berapa ramai yang jauh lebih baik datang bertandang,
melayan kamu ibarat dewa dewi,
mencintai kamu dengan sepenuh hati,
namun 
ingatan pada dia tidak mungkin dapat dipadam. 

Hanya terpendam,  terpenjara di minda paling dalam. Petik sahaja jari, ingatan tersebut datang berlari, terlepas dari segala gari, datang memeluk menyelimuti diri. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Mungkin benar apa yang mereka kata.

Monday 26 August 2013

Rumah Kaca


Rumah itu dibuat sepenuhnya dari kaca. Bukan hanya dinding, siling, pintu dan atapnya kaca, malah segala perabut, perkakas, pinggan dan mangkuk di dalamnya juga diperbuat dari kaca.
Cantik. Ramai yang terpesona dan memuji-muji akan ketelitian dan keunikan rumah tersebut. Ramai juga yang cemburu, ingin cuba membeli ianya dari tuan empunya. Ada juga yang ingin mengupah sang arkitek untuk membina sebuah lagi replika rumah tersebut untuk mereka. Hakcipta terpelihara, pelannya hanya satu dalam seluruh dunia. Ujar pemilik.
Gadis melepaskan pandangan ke luar. Andai sahaja mereka merasa apa yang dia rasakan. Penghuni rumah agam kaca. Gah diperkata, segala perbuatan serta aksi jadi berita utama. Tontonan percuma umum. Tiada yang sulit atau peribadi. Tiada privasi.
Di sini tidak boleh berlari, tidak boleh usik-mengusik menghibur diri, apatah lagi berbuat sesuka hati. Segalanya kaca. Rapuh. Apa yang kurang mungkin adalah papan tanda 'Nice to see, nice to hold. Once broken, considered sold'. 
Sesekali angin sejuk menyapa, membawa sepi bersama. Mereka memeluk perlahan-lahan Gadis dari belakang. Erat, merangkul, membelai sehingga meremang segala roma. Dingin menyelaputi segenap pelusuk rongga. Mereka berbisik, 'Mengalah lah, Gadis. Menyerah lah.'
Sebuah tawa panjang memecah kesunyian. Bukan ketawa riang. Ketawa bersyairkan tangisan, sedu sedan di penghujung asa seorang insan. Gadis.

Sunday 25 August 2013

Cinta Akhirnya


Gadis memandang wajah Jejaka dengan sepasang mata bercahaya, selari dengan senyuman yang tertera manis di bibir. Terasa bahagia bila Jejaka ada di sisi.

Suatu ketika dulu Gadis hanya mengenali Jejaka pada nama sahaja, tidak lebih dari itu. Malahan andai Gadis dan Jejaka berselisih jalan sewaktu menuju ke kelas, mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Gadis menunduk malu, Jejaka hanya menjeling sekali lalu. Dunia mereka berbeza. Gadis sibuk berpersatuan, Jejaka penuhi masanya dengan aktiviti sukan. Kawan dan aliran matapelajaran juga tidak ada yang sama. 
Aneh, bukan? Adakala hidup ini seperti satu putaran roda. Setelah bertahun terpisah mengejar cita-cita, mereka tenggelam dalam kesibukan dan seribu satu dugaan hidup yang penuh cabaran. Wajah dan nama tertimbus dalam ingatan paling belakang. Seketika, ruang masa terbuka dan mereka ketemu kembali di hujung usia.

Pertemuan sekali ini seakan membuka peluang kedua untuk mereka mengenali diri sendiri dan masing-masing. Mereka yang tidak pernah berbicara di alam sekolah, tiba-tiba bertukar cerita seolah rakan lama. Tiada detik kekok. Segalanya elok. Tidak pasti bagaimana dan bila ianya terjadi. Namun yang pastinya benang hati mereka seakan telah disimpul mati, terpateri.

Malam itu, secoret bicara membibitkan rona-rona merah di pipi. Jejaka mengungkap rahsia hati. Tidak mahu menyimpan lagi, takut andai masa sekali lagi akan mencemburui. Tembok telah runtuh. Bibir Gadis menyambut bicara sebelum minda mampu menahan. Maka terlepas jua satu pengakuan: 'Saya juga cintakan awak.'

Perlahan bisikannya, tapi cukup untuk mengejutkan Gadis sendiri. Termangu dia seketika. Apakah benar diri ini telah jatuh cinta? Mungkinkah? Ah! Tidak logik jika dilihat dari sudut usia dan situasi semasa. Gila.

Gadis, mungkin telah tiba masanya untuk berhenti berfikir. Mungkin telah tiba masanya untuk membenarkan rasa cinta itu menyentuh segenap jiwa. Mungkin juga telah tiba masanya untuk menikmati apa yang ada selagi diberi kesempatan. Mungkin hati kan jadi lebih tenang bila tidak terlalu dilawan. Namun bagaimanakah akhiran nanti kisah cinta ini? Keliru.
Kata hati yang memujuk:
Jangan difikirkan tentang penghujung cerita. Tidak akan wujud lagi peluang ketiga. Siapa yang dapat meneka apa yang akan berlaku di masa depan. Berilah peluang pada diri merasa kembali erti bahagia. Tidakkah Gadis juga berhak untuk merasakannya juga seperti orang lain?
Cinta. 

Saturday 24 August 2013

Que Sera Sera


Que sera, sera
Whatever will be, will be
Kata dia: Kenapa perlu risau? Kenapa perlu amat risau? Awak telah lakukan sehabis baik yang awak mampu. Selebihnya serahkan pada Illahi. Walau sekuat mana kudrat manusia, selamanya tidak mampu mengatasi takdir. Tenang, Gadis, tenang.
Meletakkan jari ibu di dagu dan jari telunjuk di pipi seraya mata memandang langit. Itu betul. Apa yang dia kata memang betul. Namun bukan mudah untuk bertenang, bukan? Seorang perempuan dengan rasa risaunya, amat degil untuk membuang tabiat lama. Redha, Gadis, redha.
Sebuah senyuman terlukis. Astaghfirullahal 'adzim. Kembalikan paksi hidup itu pada landasannya. Tiada yang mudah, namun tiada juga yang mustahil, bukan? :)

Friday 23 August 2013

Bukan Idola


Dia memerhati Jejaka. Memandang lama-lama. Merenung dalam-dalam. Menembusi jasad sehingga ke hati dan jiwa.
Setelah sekian lama bergelar kekasih, berhabis waktu melafaz rindu, hari ini tiba-tiba seakan ada hijab yang terselak. Ada jendela yang terbuka. Dia melihat Jejaka sebagaimana diri Jejaka yang sebenarnya.
Bukan seorang Jejaka yang sentiasa dikelilingi cahaya putih. Bukan juga Jejaka yang sentiasa sempurna, selalu berada di pihak kebenaran, selalu menunjukkan keberanian, selalu mempamerkan keperihatinan. Seorang manusia biasa, sama sahaja seperti dia. Jejaka bukan hero, bukan wira, bukan idola.
Tidak mahu diceritakan apa kecacatan yang ada. Tidak akan ditulis apa kekurangan yang terpandang. Bukan tugasnya membuka aib saudara, inikan pula pekong di dada. Namun apa yang terlihat sesaat melekat di minda hingga ke hujung usia. Senak. Sakit menghimpit jiwa apabila orang yang disanjung puja, bukan seperti impian. Bukan pemegang harapan.
Seketika juga, hijab tertutup kembali. Jejaka kembali menjadi Jejaka yang dia cukup kenali, seperti asal. Wajah bercahaya, senyum menawan. Elok bahasa, indah bayangan jiwa. Mungkin apa yang berlaku sebentar tadi adalah ujian Tuhan. Mungkin juga petunjuk yang dia doa harapkan sewaktu tangan menadah ke langit: ingin melihat diri Jejaka yang sebenar. 
Dia menggeleng kepala. Bukankah Jejaka pilihan hatinya? Bukankah jalan yang diambil Jejaka adalah jalan yang akan diikutinya juga? Menjauh tidak sekali-kali, mendekat itulah ikrar yang telah terpateri. Mata terpejam, kepala menadah ke langit. 
Tuhan, andai ini petunjuk yang diberi, maka akan diperkuatkan diri. Andai ditinggal pergi atau dibawa lari, dia akan mampu berdikari. Tidak akan jatuh menyembah bumi biar seandainya dunia yang mereka bina tidak seindah mimpi. Jangan bertuhankan manusia, kerana insan tiada yang sempurna. Cerna.
Introspeksi diri. 

Thursday 22 August 2013

Obituari


'Cat'
Dia telah mati.

Jangan dicari, digali lagi
biarkan saja dia bersemadi
dia telah mati.

R.I.P

Wednesday 21 August 2013

Terlewat


Adakalanya apabila seseorang sudah berjaya memiliki sebuah cinta, dia jadi leka. Dia jadi alpa. Dia lupa bahawa sebuah cinta itu masih perlu sentiasa dipupuk dan dibajai dengan kasih sayang. Sentiasa.
Dia juga mungkin lupa walaupun cinta itu adalah menerima seseorang seadanya, ianya bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Kesabaran itu ada had dan limitasinya.
Adakala dia jadi buta. Buta pada hati kekasihnya. Melihat hanya pada keselesaan dirinya. Dia malah jadi terlalu yakin bahawa dia memiliki cinta itu untuk selamanya. Tiada yang akan berubah, tiada yang goyah. Bukankah hati itu telah dikuncinya? Janji telah terpateri, tiada ruang untuk dicemari?
Suatu hari dia terpaku, bisu. Hanya apabila segalanya telah berakhir, dan tiada ruang lagi untuk kemaafan, barulah dia sedar segala kesilapan yang telah dia lakukan. Cinta telah hilang, dirinya disalang.
Malangnya kesedaran itu datang terlambat. Apa yang tinggal hanya penyesalan yang menghambat jiwa. Terlewat.

Tuesday 20 August 2013

Terbang Burung Terbang

Kata orang:
Andai kita benar-benar sayangkan seseorang itu
maka kita harus lepaskan dia pergi mencari diri, mengejar mimpi
usah dihalang langkahnya, usah disekat mahunya
andai telah tersurat dia milik kita, pasti suatu hari nanti dia akan kembali.

Kata orang: 
Andai kita benar-benar sayangkan seseorang itu
maka jangan kita genggam dia terlalu kuat, terlampau erat
kelak dirinya akan terhimpit, jiwanya akan tersepit,
hatinya akan berderai, hancur bersepai.
Dia akan menghilang. Tidak lagi akan pulang.

Kata diri: 
Mampukah membiarkan dia terbang pergi, sendiri? Mampukah membuang resah, menghindar cemburu, memadam prasangka, membersih jiwa untuk dia?
InsyaAllah. Dengan izin Allah. 

Walau hati bagai disayat. Belajar untuk percaya kepada ketentuan Illahi.
Tiada jalan mudah.

Monday 19 August 2013

Hadiah buat Gadis


Sinaran mentari mengintai dari celah-celah dedaun yang masih dibasahi embun pagi.

Ingin sekali dia menikmati saat-saat seperti ini sepenuhnya. Selagi tubuh masih berdaya, selagi jasad masih bernyawa. Dilihatnya senarai 'check list' yang tertampal di dinding. Telah dia pastikan yang tiada satu apa pun lagi tertinggal yang mungkin akan membuatkan dia menyesal apabila tiba masanya dia kembali ke sisi Tuhan. Mungkin ... kecuali satu: Gadis.

Pelbagai rencam rasa menerpa setiap kali nama Gadis muncul di benak. Satu-satunya perkara yang amat berat untuk dilakukan: meleraikan ikatan hati antara dirinya dan Gadis. Melepaskan Gadis pergi. Menghapuskan airmata Gadis yang sudah tentunya akan mengalir deras tatkala mendengar berita pemergiannya. Mampukah Gadis bangkit sendirian?
Maka misi terakhir ini harus dijayakan hingga ke adegan terakhir. Melawan perasaan, mengorbankan rasa. Cuba perlahan-lahan menjauhkan diri dari Gadis. Mengeraskan hari untuk tidak menelefon atau menghantar berita kepada Gadis. Berpura-pura tidak mengendahkan segala pertanyaan Gadis. Malah bersikap amat dingin setiap kali Gadis menegur. Menahan kepedihan yang menusuk di segenap hati tatkala melihat Gadis menangis apabila pertanyaannya tidak diendahkan. Segalanya bukan kerana benci, tidak sama sekali. Sebaliknya, semua adalah kerana sayang. Ingin melatih Gadis menjadi kuat sedari sekarang.
Tidak menyesalkah dia? Sisa-sisa saat yang sepatutnya dihabiskan dengan mencipta memori indah, kini dilukiskan dengan kesedihan yang panjang. Tidak. Tidak akan ada sebarang penyesalan dalam hati ini. Bukankah dia sedang lakukan yang terbaik boleh dia lakukan? Hadiah terakhirnya buat Gadisnya. Moga saat pemergiannya tidak diiringi dengan ratapan yang panjang. Hilang.

Sunday 18 August 2013

Gurindam Semalam


Gurindam di jiwa penuh dengan melodi kenangan. Dengan kenangan itu, sebuah kisah tertulis, terlukis untuk tatapan:

Sewaktu kecil, saya banyak berangan-angan untuk mengembara ke luar negara. Rasa teruja untuk melihat dengan mata saya sendiri lokasi dan destinasi yang selama ini hanya saya baca di ensaiklopedia tebal kepunyaan ayah. Saya selalu bayangkan menghabiskan masa santai minum teh di kaki lima 'cafe' termuka di Paris, memakai pakaian tebal dan bermain salji dengan berlatar belakangkan Big Ben serta menikmati keindahan bunga-bunga tulip berkembang mekar di Amsterdam. Saya juga ingin menyaksikan tinggalan bersejarah tembok Berlin di Jerman yang telah memisahkan sebuah negara kepada dua bahagian.

Dari kecil, resah sering menghempas jiwa saya. Kami empat beradik telah terbiasa berjuang sendirian untuk mencari sesuatu mendekati apa yang kami masing-masing bayangkan tentang makna 'keluarga' dan 'kehidupan'. Dirotan dan dipukul, kekerasan dan tangisan adalah senario harian kami. Masing-masing seperti anak benih yang di tanam di kawasan berumput, mencuba untuk bercambah. Bertungkus lumus mengerah segenap tenaga cuba untuk melihat matahari.

Kata orang, sepatutnya pengalaman sebegini boleh mengeratkan kami yang menerima nasib yang sama. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Abang Long memilih melawan nasib dengan kekerasan. Azam Abang Long: Dengan kekerasan, tiada siapa dapat memperbodoh-bodohkannya lagi. Yang kuat memijak yang lemah. Suatu hari nanti Abang Long ingin menjadi seorang kaya dan terhormat. Tekad. Nekad.

Abang Ngah pula orangnya amat lembut. Tidak suka bergaduh. Dia memilih untuk menurut segala apa yang diarahkan tanpa bantahan. Damai yang diidam-idamkan. Biar apa pandangan orang, dia ingin tenang. Tiada jeritan membingit alam, tiada sebatan melibas badan.

Adik pula sangat ingin sentiasa dikelilingi kawan dan rakan. Dia amat resah bila sendirian. Sentiasa berlawak, menghibur hati mereka yang di sisinya. Dia ingin riuh, dia ingin dipeluk tawa. Tiada airmata harus berada dekat dengannya. Tiada sunyi, tiada lara.

Saya? Saya juga tidak dapat lari dari kesan keretakan sebuah keluarga. Saya memilih berdiam diri, tenggelam dalam dunia sendiri. Lebih banyak menghabiskan masa mengembara ke alam fantasi dengan membaca dan mereka cerita. Melupakan kesedihan dengan imaginasi. Menabur benih mimpi segala yang indah dan menanam niat bahawa satu hari nanti saya akan dapat mencipta sebuah keluarga saya sendiri. Sama seperti adegan drama di peti telivisyen. Imej sebuah keluarga yang rapat, ada ketawa, ria, duka namun segalanya dapat ditangani dengan kasih sayang di hujung hari. Mimpi.

Mungkin orang lain tidak mampu faham. Siapa yang menggalas beban, dia sahajalah yang mampu membayangkan betapa berat bahu yang memikul. Penggembaraan hati mencari erti. Apakah yang ditemui di hujung hari? 
Realiti. Bersandarkan gurindam semalam. Mengharap sinar dalam kelam.

Saturday 17 August 2013

Buruk Siku

Semalam
dia hadir menghadiahkan sejambak senyuman berwarna jingga
harum mekar berkembang di taman hati.

Hari ini
dia datang merampas semula jambangan yang pernah diberi
pecah berderai pasu jatuh ke lantai.

Tidak pernahkah dia mendengar istilah 'buruk siku'?

Friday 16 August 2013

Potret


Pelukis memandang lama lukisan potret tersebut. Jika tidak kerana mencari dokumen penting, sudah pasti dia tidak menjejakkan kaki ke loteng ini lagi. Berapa lama agaknya lukisan potret ini telah terabai di situ? Setahun? Lima tahun? Seabad? Sedekad? Debu dan sarang labah-labah bukti peredaran waktu. Berlalu.
Pelukis masih terdiam lama di hadapan lukisan potret. Potret Gadis yang pernah dilafaz janji tidak akan terpisah dari sisinya. Potret yang semakin pudar warnanya, sama seperti pudarnya Gadis dari kehidupannya. Gadis yang suatu ketika dulu pernah menghuni hati dan jiwanya. Gadis yang ditinggal abai dalam kesibukannya dengan dunia barunya. Gadis yang pernah dia berjanji tidak akan sekali-kali dilupainya. Benar, bukan sekali atau sekali-kali. Malah berkali-kali ingatan pada Gadis ditolak jauh di sudut ingatan paling gelap di mindanya. Dia telah lupa. Janji. Kosong tanpa erti. 
Jemari pelukis perlahan bergerak menyentuh bibir potret Gadis. Bibir dan senyuman yang suatu ketika dahulu pernah mewarnai mimpinya setiap malam. Jari yang menyentuh bibir potret sekaligus membawa pergi debu dan warna bersama. Potret itu amat rapuh. Bibir yang tadinya tersenyum riang dan mesra, kini tinggal senyuman segaris. Wajah yang tadinya tersenyum berserta jelingan manja, kini seakan memandang dengan pelbagai tuduhan. Merejam dengan kecaman. Menuntut jawapan atas kealpaan. 
Pelukis segera berpaling dan menutup lampu loteng. Bergegas menuruni anak tangga ke bawah, berlari dari kekesalan dan kesalahan. Hitam. Gelap. Malap. 
Potret masih di loteng. Sendiri. Senyuman yang hilang.

Thursday 15 August 2013

Degil


Saya kata susah. Saya tak mampu. Saya tidak boleh.
tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh.tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. tidak boleh. 
Tidak boleh.

Kata dia mudah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Manusia dicipta dengan kebolehan untuk adaptasi pada keadaan dan situasi sekeliling. Naluri untuk terus hidup, 'survival'. Redha dengan ketentuan. Bukan tidak mampu. Bukan tidak boleh. Namun sebenarnya diri itu yang tidak MAHU. Degil!
Degil? Mungkin juga ...

Wednesday 14 August 2013

Pergolakan Hati


Seperti biasa kami berbahas, bertelingkah serta bertukar fikiran tentang falsafah dan 'falsampah' kehidupan. Masing-masing ingin menang, masing-masing ingin perjuang ide yang mendatang. Waima kami tahu menang atau kalah bukan matlamat akhiran. Kami selesa dengan cara kami walau ramai yang memandang dengan jelingan ekor mata kepelikan.
Semalam, entah bagaimana perbualan kami terpesong pada soal hati dan perasaan.
Kata dia:
Andai satu hari nanti awak berada dalam satu keadaan di mana awak harus memilih orang yang awak sayang atau ingin mengekalkan talian persahabatan, jalan yang mana yang akan awak pilih ye?
Kata saya:
Tentu sahaja persahabatan. Bukankah kita sahabat untuk selamanya? Nilai persahabatan tidak mungkin dapat digalang ganti dengan cinta yang datang kemudian. Betulkan?
Dia ketawa kecil melihat kerut di dahi saya.
Kata dia: Usah berpening untuk soalan retorik seperti itu. Mari rombak semula isu falsafah semalam. 
******
Hari ini sewaktu berbual dengan dia, dalam gelak dan ketawa, sesuatu yang dia katakan tiba- tiba menyentuh hati saya. Dia akan pergi jauh dan saya akan membina hidup saya dengan seseorang yang bukan dirinya. Kebenaran. Hakikat kehidupan.
Mengapa kami tidak boleh terus berkawan? Mengapa saya tidak boleh berbual dengan dia seperti ini lagi? Bagaimana jika kami tidak dapat berjumpa lagi sekerap ini? Bagaimana jika dia menghilang selamanya dari pandangan? Mengapa? Bagaimana? Kelu. Bisu. Jeda. 
Hati benar-benar sayu. Saya pejamkan mata dan bayangkan satu ketika nanti di mana saya akan lalui hari-hari tanpa dia. Tanpa seorang sahabat, teman seperjalanan. Air jernih mengalir pantas. Deras.
Hari ini, saya telah faham akhirnya. Tiada yang kekal selamanya. Begitu juga persahabatan. Maafkan saya.

Tuesday 13 August 2013

Melodi di Hati

Kerana cinta itu subjektif.
Maka terciptalah pelbagai madah pengindah kata, pelbagai perumpamaan mewakili diri untuk menunjukkan betapa tingginya cinta serta betapa rapatnya hubungan pasangan kekasih. Ibarat kumbang dan bunga, ibarat bulan dan bintang, ibarat kuku dan isi. Dekat, malah amat dekat. Namun semua itu jasad.
Andai ditanya saya, saya ingin menjadi melodi di hati dia. Menenangkan hatinya apabila jiwanya resah. Membangkitkan semangat apabila jiwanya lemah. Merawat dukanya tatkala jiwanya parah. Menambah bingitkan dunianya tatkala jiwanya inginkan kebisingan. Membisik ingatkan tatkala jiwanya terlalai kealpaan. Menunggu dalam diam dan setia tatkala jiwanya perlukan ruang bersendirian.
Saya ingin menjadi melodi kegemaran dia, bermain-main di mindanya, diulang putar di gegendang telinganya selalu. Saya ingin menjadi melodi kegemaran dia, bernyanyi-nyanyi di hujung bibir, mendakap erat di jiwanya. Saya ingin menjadi melodi kegemaran dia yang sering mampu membuat hatinya berdegup lebih laju sementara jiwanya tersenyum riang, tenang.
Andai dia adalah dirinya, maka izinkan saya menjadi melodi di hatinya. Dekat. Rapat. Malah amat rapat.

Monday 12 August 2013

Semangat Yang Hilang


Maafkan saya.
Saya bukan melarikan diri, hanya ingin mencari kembali semangat yang menghilang.

Dalam sesuatu hubungan antara manusia sesama manusia, pasti ada yang hati yang terhiris bila emosi disentuh. Itu lah peranan hati: bermain dengan perasaan. Bila hilang kawalan, adakala perlu masa untuk undurkan diri, menenangkan hati.

Apabila hati disatukan dengan perasaan yang dinamakan sayang, kita jadi lupa bahawa setiap kita masih lagi individu berbeza. Punyai pemikiran dan kehidupan yang berlainan. Adakala kita fikir setiap perbuatan, setiap bicara itu ditujukan untuk kita dan sebab itu lah hati mudah terasa bila ada waktu nya kita diletakkan di tepi. Tidak dihiraukan atau dimarahi tanpa sebarang alasan.

Paling sukar ialah membezakan yang mana perkara kecil yang tak perlu dibesar-besarkan dan yang mana perkara besar yang perlu di beri perhatian. 'Looking at the big picture. But which is the correct picture?' Tolong beritahu saya. Bercakaplah dengan saya. Bukakanlah minda dan hati saya. Saya keliru apabila saya tak mampu memahami.
Mungkin setiap kita perlukan masa untuk bermuhasabah dengan diri sendiri. Namun ada kalanya buntu ketika diam itu berpanjangan. Tiada jawapan yang muncul. Sepi.
Pengalaman dan masa adakalanya membuat semangat  untuk berjuang semakin lemah dan menghilang. Umpama menghabiskan separuh usia sentiasa perlu berusaha berkali ganda untuk mendapat sesuatu. Ada masanya saya terasa lelah, ingin menutup mata, mengharapkan satu kedamaian itu akan muncul akhirnya. Lesu.
We all need mirrors to remind ourselves of who we are.' 

Sunday 11 August 2013

Selamat Tinggal



maafkan aku yang tak sempurna untuk dirimu
*********************************
Airmata bagai tidak mahu henti sepanjang perjalanan pulang.
Lakonan telah tamat. Tirai telah ditarik tutup. Seakan tidak percaya bahawa hari ini telah berakhir dengan jaya. Diri mampu melihatkan pada dia senyuman yang paling manis, mulut mampu bercerita, ketawa silih berganti, usikan mampu dibalas gurauan. Walau hati sebenarnya tidak berhenti berbisik: 'Ini kali terakhir kami bertemu'. 'Ini kali yang terakhir.'

Sesekali sebak seakan tak terbendung, dada kuat bergelora. Namun segera disembunyikan wajah dengan berpaling ke arah lain dan menarik oksigen ke paru-paru sedalam mungkin.
Tuhan, saya cuma mahu dia menyimpan memori senyuman saya sebagai tanda ingatan dan hadiah terakhir saya. Bukankah dia sebahagian dari saya? Dia adalah teman, dialah kekasih dan dialah juga pembimbing saya. Tanpanya, dunia seakan hilang warna, pudar, kelabu. Mata jadi buta, telinga jadi tuli, bibir jadi kelu. Kaku. Beku. Bisu.
Adakala ... sehebat mana sekali pun kita inginkan sesuatu, kita harus membuka genggaman tangan ... dan melepaskan dia pergi. Dia bukan milik kita. Demi kebaikan. Pahit harus ditelan. 
THE HARDEST THING
We both know that I shouldn't be here
This is wrong
And baby it's killing me,
Both of us trying to be strong
You've got somewhere else to be
Promises to keep
Someone else who loves you
And trusts you are fast asleep.

I've made up my mind
There is no turning back
She's been good to you
And she deserves better than that
It's the hardest thing I'll ever have to do
To look you in the eye
And tell you I don't love you
It's the hardest thing I'll ever have to lie
To show no emotion when I just want to cry

I can't let you see what you mean to me
When my hands are tied and we are not free
It's just that we are not meant to be
It's the hardest thing I'll ever had to do
To turn around and walk away
Pretending I don't love you
So you can get on with your life
I've got to be cruel in order to be kind
Like Dr. Zhivago
All my love that I'll be sending
And you will never know because
There can be no happy ending.
Maybe another time, another day
As much as I want to, I can't stay
I've made up my mind
There is no turning back
It's the hardest thing I'll ever have to do
To look you in the eye
And tell you I don't love you
It's the hardest thing I'll ever have to lie
To show no emotion when I just want to cry

Tuhan.
Warnailah hari yang dilaluinya dengan rahmatmu ... sentiasa.

Saturday 10 August 2013

Sumpahan


Adakala 
pancaindera jadi pembelot
deria jadi musuh dalam selimut.

lagu yang diputarkan di corong radio,
bunyi deringan nada 'ringtone'
bau wangian seseorang yang berselisih laluan,
air kopi 'Starbucks' yang membasahi dahaga,
warna biru muda baju kurung si manis berlesung pipit dan
sebuah restoran makanan Thailand di hujung kota
semuanya mampu mengembalikan memori silam yang kelam.
Suram.

Friday 9 August 2013

Bayu Petang


Berdua berjalan di taman awam, berkongsi menikmati bayu petang.
Sang jejaka tiba-tiba melutut di hadapan dia. Ah! Sketsa yang amat biasa ditonton di peti televisyen. Namun ... ia jadi amat luar biasa apabila ianya berlaku di dunia nyata dan di mana heroin cerita adalah dirinya. Adegan yang skema namun tiba-tiba amat menyentuh kalbu.
Romantik? Mungkin. Mengapa hati berdegup kencang? Mengapa tangan menggigil kesejukan? Mengapa jiwa jadi tidak tenang? Ini bukan cinta, hanya kegugupan berdepan perkara di luar norma kebiasaan. Pasti.
"Saya amat sukakan awak. Kalau awak sudi, saya ingin jadikan awak teman istimewa saya." kata sang jejaka sambil memegang tangannya. Siapa yang beri keizinan. Berani bertindak tanpa kebenaran. Mengambil kesempatan, bukan?
"Maaf. Ini kali pertama sesuatu seperti ini berlaku pada saya. Saya tidak tahu apa yang patut saya katakan. Saya tidak pernah anggap awak lebih dari seorang kawan selama ini. Maafkan saya." Jawapan diberi seraya tangan ditarik perlahan dari genggaman. Nah. Juga satu jawapan klise seorang gadis yang menolak dalam lembut. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, biar rambut tidak terputus dan tepung tidak berterabur. Empati dalam simpati. Namun hati sendiri masih jadi 'priority' (keutamaan).
Gadis melangkah pergi. Jejaka tertinggal bersama bayang. Kaku. Beku. Bayu petang tidak membawa kelegaan. Jingga beransur kelam. Jeda. 

Thursday 8 August 2013

Salam Lebaran 2013

Maaf Zahir dan Batin
hati ini amat kecil namun jiwa ini cukup besar untuk memohon dan memaafkan
salam aidilfitri 2013

Wednesday 7 August 2013

Doa Buat Hana


Kata orang, seandainya cukup empat puluh empat kali sesuatu itu disebut, ianya akan menjadi satu doa.
Ada pula yang berkata doa dari empat puluh orang mukmin, Insya-Allah akan diperkenankan-Nya.
Andai boleh 
ingin memohon 
tolong selitkan sebaris doa buat hana 
agar hana temui apa yang hana cari selama ini.

Salam Aidilfitri dari seorang hana
Maaf Zahir dan Batin.


Tuesday 6 August 2013

Ujian Dan Dugaan

Adakala
Kita belajar dengan ujian dan dugaan
kita membesar dengan ujian dan dugaan
kita dewasa dengan ujian dan dugaan
kita matang dengan ujian dan dugaan
kita kenal erti hidup juga dengan ujian dan dugaan.

Adakala ujian dan dugaan itu bukan datang sebagai kesusahan sahaja.
Kesenangan juga satu ujian. 
Adakala kesenangan dan nikmat boleh buat kita lalai, buat kita lupa segalanya.

Live well or Live hell
You choose
Your choice

~petikan dari Hlovate: Rooftop Rant~

Monday 5 August 2013

Tembok

Hari semalam kita nekad buat keputusan. Kita kata kita tidak mahu menangis lagi. Kita kata kita sudah penat menampal luka torehan lidah tanpa tulang. Kita kata kita benci sudah akan petualang yang sering bikin jiwa jadi walang. Kita kata kita tidak mahu hati diperkotak-katik lagi. Kita kata kita tidak mahu memberi ruang waima buat sesiapa pun mendiami hati kita lagi. Tekad.
Lantas kita mula membina sebuah tembok selebar Tembok China dan setinggi Menara Berkembar Petronas. Bermula dari sebiji batu sebeku pandangan dingin buat sesiapa yang cuba mendekati, kita tambah sebiji demi sebiji lagi batu reputasi sebagai seorang 'penyendiri'. Kita letak tembok penghadang. Kita tulis papan tanda sebesar alam 'Awas! Petapa garang! Jangan Hampiri!' Biar dikatakan 'Kera sumbang', itu jauh lebih baik dari sakit ditikam dari belakang. Tajam.
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
lagi lebar
lagi kukuh
lagi tinggi.
Siap.
Hari ini kita rasa puas dengan tembok yang telah kita buat. Kita letakkan semua alat pertukangan. Kita uji kekukuhan tembok. Kita senyum. Dan. Kita layangkan pandangan lesu ke atas. Tapi. Kenapa gelap? Mana pergi langit biru dan awan gemawan putih gebu? Kelabu.
Kita pasang telinga. Tiada satu bunyi kedengaran. Ke mana pergi deru angin yang dulunya berbisik mesra? Ke mana perginya belaian bayu yang sering mengelus lembut rambut? Ke mana pergi semua? Hitam.
Yang tinggal cuma kita. Sendiri. Dikelilingi tembok-tembok kukuh bisu tanpa pintu, tanpa jendela. Terpenjara. Pitam.
Adakala kita jadi lupa. Dinding dan tembok yang kita bina disekeliling kita untuk menghalang kesedihan, tembok itu juga berfungsi menghalang kebahagiaan dari menghampiri. Sepi.
'No pain, no gain. Happiness doesn't come without it's share of sadness'. 



Sunday 4 August 2013

Di Sebalik Wajah


Setiap dari kita memiliki dua wajah: satu wajah yang dipertontonkan buat umum, dan satu lagi wajah yang dipamerkan hanya sewaktu sendirian atau pada mereka yang tertentu saja.

Secara amnya ada yang berwajah baik di depan, tetapi punyai hati yang busuk di belakang. Ada pula yang berwajah kaku dan beku namun hati penuh dengan sifat kemanusiaan, wujud ehsan apabila rakannya dalam kesusahan. Ada wajah berona manis hanya sewaktu perlukan bantuan tapi berubah masam kelat bila dia sendiri dirayu pertolongan.

Namun adakalanya wujud lowong dalam seribu satu saat di mana kita terpandang wajah sebenar seseorang yang tidak disorokkan di sebalik sebarang 'make up' umum. Di sebalik satu wajah yang sentiasa tersenyum, yang sentiasa tertawa, yang sentiasa tenang, rupanya ada jiwa halus yang juga merasa kesedihan, turut terluka bila dirinya dihiris dengan bilah kata-kata dan ujian kehidupan. Dia bukan insan kebal. Dia juga ada saat murung, ada saat dimana dia juga perlukan perhatian dan belaian.

Adakalanya juga, apabila wajah sebenar terlihat, dua jiwa bertemu. Saling perlu, saling mengerti, saling berkongsi rasa. Satu saat yang mampu mengubah persepsi dan perjalanan hidup. Mencintai seseorang seadanya, dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya. Mengerti had kemampuannya. Tidak sesekali mengurangkan rasa sayang kerana hati mengerti bahawa dia juga memerlukan kehadiran kita untuk melengkapi dirinya. Memerlukan seseorang yang dapat menerima wajah sebenarnya. 
Dalam dunia ini, ramai yang berlakon sempurna. Sedikit yang mampu berdiri sebagai dirinya sendiri sama ada di hadapan atau di belakang umum. Lebih mudah mengikut aliran arus.

Dua pasang mata bertemu. Dua hati terpaut. Bibir tersenyum tanpa sebarang kepura-puraan. Selangkah dia bergerak ke arah saya, selangkah saya menuju kepadanya. Di dalam dunia yang penuh dengan segala komplikasi, kami bertemu. Membina satu dunia baru. Tanpa topeng.

Saturday 3 August 2013

Bermula Semula


Aduhai.
Antara perkara yang agak sukar dilakukan adalah untuk bermula semula. Sewaktu blog di 'cerobohi', rasa terkejut bercampur amarah dan lelah muncul di benak. Cacamarba. Setiap kali membuka blog, ianya spontan terarah ke sebuah blog lain 'ww2carwinsolutions'. Gugur jantung. Bukan sekali mencuba membuka blog, tapi berkali-kali. Hasilnya tetap sama, hanyut dihempas arus 'virus'. 
Bermula semula. Dari titik 'nol', dari titik kosong. Amat sakit. Bayangkan sahaja 544 artikel yang telah ditulis sejak bertahun lamanya, hilang dalam sekelip mata. Saya bukan penulis yang suka melakar di atas kertas terlebih dahulu. Jemari lebih deras menaip seiring idea yang menerjah. Bukan mudah untuk memulakan semula, mencari warna, melakar kanvas maya dan menyusun memori dan harapan musim lalu.
Kekuatan bukan kayu pengukur. Daya itu sebenarnya memang ada. Apa yang tiada sebaliknya ialah kerajinan. Terasa letih untuk mendaki semula dari anak tangga terbawah. Melalui semula jerih perih menulis dan menyusun aksara. Ingin sahaja berhenti menulis terus-terusan. Apatah lagi apabila ada suara yang berbisik 'Buat apa penat-penat menulis? Nanti pasti ada lagi yang akan menggodam. Membuang masa sahaja.' 
Namun perlukah mengalah? Perlukah membiarkan hasil usaha pupus dengan sebegitu mudah? Ini bukan blog mereka. Ini blog saya. Ayuh! Menyambut sebuah cabaran. Sambil cuba menyusun blog baru, mencuba berfikir di luar kotak. Melawat 'Mr Google', 'En Wikipedia' dan blog-blog lain untuk cuba mencari sekiranya masih ada cara menyelamatkan 'Hakikat Cinta'. Alhamdulillah, tidak sia-sia.
Terima kasih pada semua yang membantu. Penghargaan buat yang memberi kata-kata semangat. Alhamdulillah jutaan syukur buat Yang Maha Esa.
Bermula semula? Tidak, hanya menyambung usaha.  :)

Friday 2 August 2013

Suratan Atau Kebetulan


Adakala
jatuh cinta itu bukan atas pilihan
namun 
 satu kebetulan.

Adakala
berterusan mencintai seseorang bukan kebetulan
namun 
atas satu usaha dan keinginan

Adakala
kehilangan rasa cinta bukan atas kebetulan
namun 
satu pilihan.


Thursday 1 August 2013

Empati


Semua orang mahu didengari. Semua orang mahu diberikan perhatian. Apa yang dituturkan bibir mungkin amat berlainan dari apa yang terselindung di benak. Meski wajah tenang tanpa riak dan butir bicara menyenangkan, namun nada suara masih dapat membayangkan sesuatu. Hanya bagi mereka yang mengenali, bagi mereka yang benar-benar rapat dan bagi mereka yang benar-benar ingin mengambil tahu. 
Semua orang ada keinginan untuk berkongsi perasaan: suka mahupun duka. Hanya adakalanya keadaan yang menidakkan keinginan itu. Semua orang ingin berbicara, namun amat sedikit telinga yang sudi menadah dengan rela. Menunggu andai ada yang sudi memberikan satu ruang dalam waktu, berkongsi kisah. 
Empati yang diharap dan bukannya simpati ingin digarap. Bukan jua mati.
Hanya mencari erti.