Tuesday 1 May 2012

Apa Ada Pada Nama

Semalam

Dia : Apa ada pada nama? Panggil aje aku apa yang kau mahu. Aku tak kisah. Aku tak peduli. Selama ini pun tak ada sesiapa yang yang panggil aku dengan nama aku. Aku insan yang telah hilang identiti. Seorang manusia yang tak bernama...

Aku: Tapi.. tentu nya engkau ingat yang engkau mempunyai nama suatu ketika dulu. Nama yang sangat indah. Bukankah nama juga yang membezakan antara seorang insan dengan yang lain.

Dia : Apa yang kau tahu tentang aku. Selama 10 tahun aku di seberang, aku telah banyak belajar tentang manusia. Sewaktu aku berpangkat dan berharta, aku dipanggil Tuan, Encik.. Tapi.. bila sekarang aku di bawah, aku di panggil bxxxxxt, di panggil bodoh, anjing.. ah.. dan macam macam lagi nama yang menjelikkan. Itukah keindahan nama yang kau katakan?

Aku: Tidak. jangan berkata demikian. Aku tahu kau marah. Aku tahu kau sengsara. Berbulan bulan aku mencari kau hinggalah aku tiba ke bandar ini. Kalau tak kerana tuan punya kedai di selekoh sana yang membawa aku ke sini, pasti kita tak akan bertemu. Marilah kembali ke daerah kita.. kampung kita..

Dia: 'Dia" yang kau panggil itu sudah mati. Aku ini hanya insan yang tak ada nama dan tak ada sejarah. Disini tiada gelaran. Aku juga tak perlukan nama. Di sini aku tenteram. Tiada siapa peduli aku siapa sebelum ini. Mereka panggil aku "Mat", aku jawab. Panggil aku "Boy", pun aku jawab. Kalau panggil aku "Siva", pun aku akan jawab. Sekurang kurang nya mereka di sini tidak bermuka muka.

Yang penting, aku bekerja. Kais pagi, makan pagi. Dan aku gembira dgn hidup aku sekarang. Kalau kau nak, kau pun boleh panggil aku begitu. Atau kau pilihlah apa saja nama yang berkenan di hati. Kau juga boleh panggil aku "hoi" kalau kau mahu.
Aku: Berhenti.. Kau yang dulu bukannya begini. Kau adalah kau yang paling lantang menegakkan nama kau. Nama adalah maruah. Bukan ke itu yang kau katakan pada aku dulu. Dan aku dengar banyak yang telah engkau lakukan untuk penduduk di sini. Kau bukan jahat..
Apa ada pada nama...  Aku memang boleh memanggil kau dengan apa jua nama kalau itu yang kau mahu. Aku boleh panggil kau "hoi"seperti kau cadangkan... tapi aku tak mahu..

Apa ada pada nama? Aku tahu kau kecewa. Kerana mengejar "nama" dan pangkat, nama kau telah di buruk buruk kan oleh rakan baik kau sendiri. Dan kau telah di tuduh tidak menjalankan tugasmu. Rakan yang engkau anggap saudara. Menikam dari belakang. Kenapa? Kerana sekadar mendapatkan "nama"..

Apa ada pada nama? Aku tahu kau telah bosan mendengar nama nama mereka itu yang gah menepuk dada, bangga bergelar Datuk.. leka dengan gelaran yang berjela jela panjangnya. Nama sebenarnya bukan untuk riak. Bukan untuk Takbur. Bukan untuk menunjuk nunjuk..

Apa ada pada nama? Di sebalik nama ada rahsia dan misteri tersendiri yang juga akan memperlihatkan peribadi seseorang. Itu lah juga sebabnya Islam menekankan kepada ibu bapa untuk memilih nama yang membawa makna yang baik kepada anak anak. Kerana nama itu adalah satu doa untuk pemiliknya. Bukan nya dengan memilih nama semata mata kerana bunyi sebutan yang indah di telinga tapi tiada makna. Atau kemaruk dengan glamour nama nama artis yang popular: belum tentu nama itu bukan sekadar nama samarannya. Baik satu nama itu, baiklah doa untuk pemilik nya.

Apa ada pada nama? Ingatlah. pada hari kebangkitan nanti, kita masing masing akan di panggil dengan nama masing masing untuk perkiraan dosa dan pahala sebelum ditentukan masuk ke syurga atau neraka.

Apa ada pada nama? Masihkah kau ingin bertanya?.. Kalau kau ingin tahu..aku, perempuan yang berdiri di hadapan kau ketika ini sebenarnya telah lama menyimpan perasaan terhadap kau. Kau yang mempunyai nama seindah nama Nabi, dan peribadi yang tetap teguh walau dilanda musibah. Masyarakat mungkin mengelar engkau dengan nama lain, dan walau pun beribu insan ada nama yang sama seperti nama kau .. pada aku, Muhammad, hanya ada satu, iaitu kau.