Sunday 31 March 2013

Bunga Berguguran



Apabila terlalu lama memandang ke bawah, saya tidak lagi betah untuk memandang ke atas.
Memandang langit yang luas terbentang, yang siangnya dihiasi awan berkawan dan malamnya bertemankan bintang berkerdipan. Langit ciptaan Tuhan seluas dan setenang mata yang memandang. Saya sememangnya telah lupa hakikat tersebut.

Dalam kesibukan duniawi, musibah melanda.
Hati yang sememangnya rapuh, pecah berderai menjadi jutaan serpihan halus yang tidak boleh dipaterikan semula. Namun serpihan-serpihan tersebut masih mempunyai keupayaan untuk merasa. Umpama sakitnya apabila sekeping hati terbelah dua. Setiap kepingan dari serpihan yang halus itu turut merasai kesakitan yang sama seperti yang dirasai oleh sekeping hati itu. Sakitnya pasti berganda, seakan setiap helaian kulit disiat dengan perlahan-lahan hingga terpisah dari isi. 

Pedih. Pilu.

Pandangan terarah pada dia yang berada di sisi. Mengharap huluran tangan, kehadiran sebagai pengubat luka dan sendu. Namun dipalingkan wajahnya ke sudut lain.
Jatuh, rebah, tersungkur ke bumi. Kosong. 
Ditiup angin senja
Satu satu bunga berguguran
Di dalam keindahan tiada lagi cahaya
Hilanglah seri penghias taman

Kelopak bagai sutera
Bumi tandus tiada bermaya
Hilanglah keharuman tiada lagi berseri
Bunga layu di pangkuan bumi

Jangan menangis. Jangan sesekali menangis mengenangkan nasib diri.
Menangis hanya bila berada di atas sejadah. Menangis bila memohon keampunan Illahi. Menangis dan mengadulah pada Allah.
  "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216

Saturday 30 March 2013

Kulihat Biru



Hari ini dunia kulihat biru, 
ada penjaja berbasikal biru menjual duku
ada kereta berwarna biru memintas laju
ada pekerja kolar biru bersiulan tanpa lagu
ada gadis bertudung biru tersipu-sipu malu
ada pakcik berseluar biru menggaru kepala tiada kutu
ada makcik berbaju biru duduk menongkat dagu
ada pelajar berbeg biru berlari membawa buku
ada guru berkebaya biru singsing lengan baju hingga ke siku dan
ada akuku bermata biru menahan sebak di hujung rindu. 
Hari ini dunia kulihat biru.

Friday 29 March 2013

Tekanan & Ujian


Pakcik KJ diam, terus memandang ke hadapan. Memandang pokok yang pernah dipanjatnya. Kemudian dia berpaling ke arah Haliza yang duduk di sisinya.

'Pakcik ni tak bersekolah tinggi. Tak tau macam mana nak jawab soalan kamu tu. Cuma, bila pakcik rasa tertekan, pakcik akan cuba lepaskan tekanan tu. Masalahnya, orang sekarang ramai yang keliru samaada nak lepaskan tekanan atau lupakan aje tekanan tu.

Misalnya, kekadang kita rasa tertekan dengan keluarga, sekolah atau kerja. Pilihan kita waktu tu untuk lepaskan tekanan ialah dengan menjerit, berjogging, berlari, bersukan, menulis, menangis dan macam macam lagi. Kekadang, walau dah buat semua tu, tekanan masih ada sisa nya. Jadi pilihan lain ialah: melupakan tekanan tu.

Macam mana? Ada yang ambil dadah dan ada yang bunuh diri. Cuba untuk melupakan tekanan yang bebankan fikiran. Sedangkan tekanan tu ada dalam hati. Ianya tak akan hilang selagi kita tak lepaskan nya. Melepaskan bukan bermaksud melupakan.

Haliza kena ingat. Tekanan tak wujud dalam jiwa kita secara kebetulan. Tujuan tekanan wujud dalam hati kita ialah untuk ingatkan kita yang kita ni hamba Allah. Tuhan berikan kita ujian dalam berbagai bentuk dan salah satu nya ialah.. dengan tekanan.

Jangan hanya soal hati kita kenapa ada tekanan. Soal juga perbuatan kita. Soal juga tentang masa silam kita. Soal segala galanya. Tapi jangan harapkan jawapan dari mereka. Harapkan jawapan dari Tuhan.

Berdoalah agar di lapangkan hati kita. Berdoalah juga agar di lepaskan tekanan dari dalam hati kita. Lambat atau cepat, Tuhan akan bagi jawapan untuk soalan soalan kita. Dan satu hari, tanpa kita sedari, kita sudah boleh tersenyum.. kita tak sedar yang tekanan tu dah hilang. Cuma, ingat. Tekanan itu akan sentiasa silih berganti dalam hidup kita. Sebab tu lah ianya di panggil ujian.

Ya, soal lah hati kamu. Soal lah hati kamu sewaktu kamu berdoa. Jadikan diri kamu hamba yang sebetul betulnya hamba Tuhan..
****************************
Petikan dari Dunia ini Sederhana kecil

Thursday 28 March 2013

Alunan Sebuah Lagu..


Saat dunia tanpa nada
senyumku enggan hadir
ku mencari di mana kau
tempat ku curahkan segala isi hati..

kumainkan sebuah lagu
kutulis perasaanku
kunyanyikan semua
dengan sepenuh hati..
kau ajarkan ku sebuah lagu
yang telah merubah hatiku
membuatku kini dapat tersenyum kembali

kau ingat semua lagu ku
dan nada indahmu memberi
sayap tuk ku terbang jauh
tinggalkan insaniku..

alunan sebuah lagu
terima kasih untukmu
yang kini ada dan menjaga hatiku
Selalu..

Wednesday 27 March 2013

Misteri Cinta II


Persis ombak dan pantai
Menyapa
Membelai
Menghampir
Menjauh
Menari
mengikut rentak irama pasang surut laut

Rindu
Resah 
Syukur dan Reda
Berbolak-balik 
pada satu kesetimbangan..


Aneh bukan. Dalam ramai yang menegur, mengusik dan cuba menagih rindu, perasaan ini langsung tidak tersentuh. Pintu hati tetap terpateri kukuh, tidak berganjak dari bingkainya. Utuh.

Namun segalanya berbeza dengan kehadiran dia.

Sejak dari awal perkenalan, jauh sebelum kami bertemu empat mata , telah wujud seakan satu pertalian, satu ikatan antara dua hati. Senyum, ketawa, usik-mengusik, rajuk, memujuk, bertelagah, bertingkah, berbaik semula, seolah-olah segala kelebihan dan kekurangan adalah satu norma yang tercipta dari sebuah ketulusan. Luhur memberi dan menerima.

Hati adakala masih tertanya-tanya bagaimana segalanya bermula.
Misteri yang masih tak terungkai sehingga kini. Hati kami seakan terhenti seketika dan kembali berdetik semula di saat yang sama. Bermula dari satu huluran salam, menyelinap ke jiwa yang merasa.

Misteri cinta.

Tuesday 26 March 2013

Seulas Rindu


Dengan Ingatan yang mewangi
Kukirim salam kasih seorang sahabat
Kerana aku tahu
Kau juga mengingatiku di ketika ini..

Sekalung doa restu
Sejambak mesra, seulas rindu
Dariku untukmu
Semoga mengharumi kemesraan kita..

Monday 25 March 2013

Mampukah Aku



Mampukah aku
membayar harga sebuah suratan?
Tulikan telinga?
Butakan mata?
Tumpulkan minda?
Lari dari segala tohmahan, umpatan dan kekusutan.

Mampukah aku
memujuk hati
membisu diri
mengosong fikiran
kembali dari pelarian, pengasingan dan sesalan semalam

Mampukah aku
biarkan mereka
bertepuk tangan
membaling batu
melontar lumpur
mereka tidak merasa, tidak melihat dan tidak alami
perjalanan berduri ini..

Mampukah aku?

-LM/HN 18022013-

Sunday 24 March 2013

Misteri Cinta

Kau bertanya padaku..
Mengapa aku sangat mengasihimu..
Dan sentiasa inginkan
Agar kau selalu berada disisi..

Bagaimana harus kuhulurkan..
Dengan kata kata..
Misteri Cinta..
Kerna Tuhan saja yang tahu jawapannya,,

Andainya aku mampu
Gambarkan kepadamu
Andainya aku mampu
Bercerita padamu..
Akan kulukis sebuah lukisan..
Kan kutulis novel cinta kau dan aku..

Syahdunya
Kau bisikkan padaku..
Bahawa engkau juga rasakan begitu..
Dan berharap agar
Ku fahami cinta sucimu..

-Sohaimi Meor Hassan-

Saturday 23 March 2013

Introspeksi III


Hakikatnya setiap manusia berbeza dan perubahan pasti ada seiring perjalanan waktu. Hidup, adakalanya suka, adakalanya duka. Adakalanya duka itu melebihi suka. Adakalanya dalam kita berduka, kita turut membuatkan dia terluka. Adakala tempoh dukanya singkat, adakala berpanjangan. Resmi manusia, mudah terasa dan rasa itu membuahkan asa.
Akan tiba satu waktu dan ketika di mana kita harus membuat pilihan.
Meneruskan ... atau ... melepaskan? Agar kita tidak lagi menyusahkan.
Memilih bagaimana mencorakkan sebahagian lagi saki baki perjalanan kehidupan yang tinggal.
Membuat perubahan di tengah-tengah perjalanan hidup, adakala menakutkan. Apatah lagi bila terbayang melakukan sesuatu itu sendirian. Mampukah?
Namun, usah terlalu taksub atau risau kerana Tuhan itu ada bersama kita. Bukankah Allah akan tunjukkan pada hambanya jalan keluar dan rezeki dari jalan yang tak pernah terlintas difikiran. Semoga hati semakin teguh.
 La haula wala quwwata illa billah...tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Friday 22 March 2013

Pulang


Thinking of you makes my life complete. You're my golden clouds; you're my smile. 

You are all the soulful love songs within my spirit, like an angel calling me... perfect for my soul

*****
Dengan lafaz Bismillah, kaki melangkah masuk ke rumah peninggalan arwah ayah.
Saya berjalan perlahan lahan dari satu bilik ke satu bilik yang lain. Memori semalam bagai berputar secara automatik di fikiran. Kenangan demi kenangan menggamit fikiran. Terlihat ayah tegas mengajar kami mengaji. Terngiang-ngiang suara ibu memarahi tatkala pasu kesayangannya pecah. Di sana pula, kami makan malam bersama. Ah..semuanya masih segar di ingatan.

Kaki meneruskan langkah..menghampiri bilik terakhir, bilik yang pernah saya kongsi bersama adik, sebelum rajuk membawa saya jauh ke rantau orang.  Tangan menyeka airmata seraya mencapai tombol pintu. Saya harus segera. Petang kian menjelang dan kegelapan pasti menyelimuti rumah usang ini. Bekalan elektrik telah lama tiada sejak sekian lama.

Apakah semuanya masih seperti dahulu? Saya takut. Takut dan gementar untuk melihat apa yang ada di dalam bilik tersebut..
Menggigil tangan tatkala pintu terbuka luas.
Mata menerawang keseluruh ruang bilik. Meja dia, buku-buku dia, piala dia, anak patung kesayangan dia. Segalanya kepunyaan dia. Di satu sudut bilik, dinding dipenuhi dengan sijil sijil pencapaiannya. Almari? Pakaiannya masih tersusan kemas walau terdapat bau lapuk barangan yang lama tak disentuh.

Kaki melangkah lagi, menghampiri meja tulis. Penuh bertampal dengan gambar adik, dari bayi hingga dewasa. Gambar adik menunggang basikal, gambar adik ketawa sewaktu dalam dokongan ayah, gambar adik dengan piala badmintonnya...dan ..oh.. sekeping gambar segera menarik perhatian saya. Bukankah gambar ini sepatutnya gambar saya sedang berdiri disebelah adik? Tapi ianya telah di potong separuh dan gambar saya telah dibuang. Sampai hati adik. Tak cukupkah dengan menghalau saya jauh dari sini?
Saya memang bodoh. Apa yang saya fikirkan sewaktu kembali ke sini? Apa bukti yang saya perlukan lagi? Apa yang saya cari? Mengubah sejarah? Tak mungkin.
Sebenarnya, saya tidak berfikir secara rasional. Kesedihan yang melanda kelmarin membuat saya memandu semula ke sini tanpa berfikir panjang. Mungkin saya ingin mencari secarik kasih dan sayang dari waktu silam untuk buat saya kembali tabah dan tenang. Alangkah bodohnya saya.
Berlari pantas keluar dari rumah tersebut. 
Airmata mengalir deras menghalang penglihatan. Menekan minyak. Dan kereta meluncur tanpa kawalan, melanggar tuang pagar. Bunyi hon memekakkan telinga. Tangisan semakin deras. Apa yang saya harapkan sebenarnya dengan datang ke sini? Keluarga? Cinta? Kasih Sayang? Ketenangan?

Saya mahu pulang. Saya hanya mahu pulang semula ke hiruk pikuk bandaraya dan segala kerja yang bertimbun di pejabat. Saya mahu lupakan segalanya. Saya mahu pulang...

Thursday 21 March 2013

Pencarian 1



Bukan senang untuk sebuah pertemuan itu tercipta.
Bukan senang jua untuk meluahkan rasa sayang..
Bukan senang untuk membenarkan rasa cinta itu hadir dalam jiwa..
Bukan senang jua untuk mencari sebuah persahabatan yang bermakna..
Maka andai ianya telah termetrai,
Jagalah ianya dengan kepercayaan dan keikhlasan
Agar tiada ucapan perpisahan.

Wednesday 20 March 2013

Asyik

Dengan bahasa
kalimah yang sama
Puji dan memuja
Dilindung dan dibuka
Rahsiakan tetap rahsia..

Indah bukan rupa
Harum bukan bunga
Manis bukan gula
Panas bukannya bara
Cintakan tetap cinta..

Sejak aku kenali
Cintamu yang suci
Aku telah berjanji
Tak berpaling lagi..

Akan aku genggam api
Hingga jadi besi
Dan nyata sebati

Gelap bukan malam
Terang bukan siang
Satu tak terbilang
Hanyut tak terenang
Waktu tak terasa
Rindu tak terkata
Asyiknya cinta..

Dan hanya kepadamu
Kuserah jiwa ragaku
Walau berjuta seteru
Tak kuragu..

****************************************
Bulan, berjanjilah..jangan sesekali menghilang..
Kerna perjalanan ku masih amat jauh..
Bimbang tidak ketemu destinasi.. andai penunjuk arahku menghilang..

Tuesday 19 March 2013

Malam Durjana


Adakalanya keadaan tak mengizinkan lidah melafazkan kata kata tuk menghuraikan perasaan..
***************************
"Di dalam dunia ni tak ada satu benda pun yang percuma", katanya dengan tegas. Suaranya bagaikan halilintar membelah bumi. Begitu kuat kedengarannya di ruangan pejabat penuh dengan meja-meja bisu sebagai penonton. Degup jantung terhenti dan peluh menitik di dahi.
Mata melirik memandang jam tangan. Pukul sebelas malam. Benih penyesalan mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tuhan, saya hanya mahu menyiapkan tugasan kerja yang perlu dihantar segera esok. Jika saya tahu ini yang akan terjadi, lebih baik awal-awal tadi saya mengikut rakan sepejabat yang lain minum di kopitiam. Mereka semua tentunya sedang enak menikmati kopi panas berserta roti bakar sambil bersembang kosong pada waktu ini.
         "Hei!!! Tumpukan perhatian!' bentaknya kasar. Air liur seakan tersekat di kerongkong. Malam durjana
          yang seakan tiada akhirannya. Kalaupun dia tidak membunuh saya dengan kedua tangannya, pasti
         saya akan tetap mati kerana kitaran kardiak terhenti.

          Apa agaknya yang akan dia minta sebagai tukaran? Kalau dalam buku cerita dongeng kanak kanak,
          pasti apa yang akan dia minta nanti adalah sesuatu yang melampaui kemampuan saya. Adakah dia
          akan meminta pengabadian roh saya sebagai galang ganti?
''Nah, kamu ambil pisau ni dan potong jari kelingking kamu sekarang'', katanya.

Tersentak. Terbeliak mata. Terlopong mulut dan dagu seakan mahu terlucut dari rahang. Dia mahukan jari saya? Tanpa berkelip, saya memandang tepat ke wajahnyai. Dia sememangnya setan bertopengkan manusia. Kaki dan tangan menggeletar kuat. Seakan ingin pitam.

Dia tergelak kuat. 
"Memang senang membaca reaksi kamu. Aku dah kata yang aku ini bukan hantu. Apa sangat yang aku hendak buat dengan jari kamu itu. Aku tak mintak apa-apa kecuali beberapa syarat yang perlu kamu setujui" sambung makhluk itu lagi. 
         Sememangnya malam ini adalah malam yang hitam.

Monday 18 March 2013

Ratnaku


Keringkanlah pipimu ratnaku
Cubalah senyum
Kerna tangisanmu kan hanya
Menambah dukaku

Duka di dalam hati
Dan luka diperlakukan
Lakonan mereka berpura-pura
Tak mengertikan
Tak pernah merasakan
Sengsara di dalam
Cinta dan rindu

Oh! Aku patrikan sumpah
Cinta setia
Di atas kaca jiwaku

Yang benar
Bila mencerminkan
Kebenaran
Pada malam bintang hilang
Di pandangan
Pada malam pabila bintang
Terang
Menerangkan kenyataan oo

Sunday 17 March 2013

Hakiki


~selagi belum memeluk cinta yang hakiki, jangan sesekali berkata yang kita telah puas dengan secebis cinta insani yang kita miliki~

Saturday 16 March 2013

Kisah Cinta



cinta ku jadi sepi untuk di ilham
seputih mana pun cinta itu
terpalit juga sirna yang mendinginkan rasa
namun
bukan aku pencetus sirna itu.
Aku hanyalah cebisan daging yang selerak
dalam calaran sebuah kisah cinta.

Suatu masa dulu
Aku amat benci pada budaya
yang meletakkan cinta sebaris air mata.
Aku tidak percaya bahawa cinta pembawa sengsara.
Ku Lakar kan cinta suatu yang agung dan indah.
Ku impikan cinta sehebat Shah Jehan yang terkurung dalam Taj Mahal.
Ku campakkan kisah Laila menunggu Qais di Gurun Padang Pasir...

Tapi hari ini
di mana kah Jehan ku?
di mana kah taman taman cinta mimpi ku?
Adakah segala nya sudah terkubur ?
Atau sebenarnya cinta itu milik pujangga
untuk bersyair berpuisi berpesta berhibur?


-Mas Merah-

Thursday 14 March 2013

Rasa Dalam Diam



Cerita Dia:
Cinta itu buta dan boleh membutakan.
Adakala akal dan perasaan merusuh, berkecamuk. Cacamarba.

Saya bukan manusia luarbiasa. Saya juga bukan 'idola'. Saya tidak mampu berlagak pandai sepanjang waktu, setiap ketika. Saya juga punya saat-saat bodoh yang adakalanya susah untuk diterima orang sekeliling. Dengan segala kekurangan yang saya ada, tidak mungkin dia akan memilih saya, bukan?

Saya bersedia membayar seberapa tinggi harga sebuah pengorbanan kerana mencintai dia. Saya bersedia menanggung kesakitan demi cinta ini. Saya rela meneruskan hidup meski racun cemburu terus menjalar ke seluruh tubuh.
Namun, saya cuma belum bersedia atau rela memikirkan akan wujud satu saat di mana saya kehilangan dia dalam hidup saya. Saya nyata belum bersedia. Lantas, ini keputusan saya. Biarkan saja perasaan cinta itu tumbuh mekar.
Sehingga saat ini saya masih tidak mampu membuka pintu hati untuk yang lain kerana saya mencintai dia. Dia yang seakan tidak sedar hakikat sebenar bahawa saya mencintainya seluruh jiwa. 
********************************************
Dia terus memandang Gadis. Dia akui memang dia mencintai Gadis. Kalau boleh, dia ingin benar memberitahu Gadis mengenai perasaannya. Agar tiada rahsia lagi. Namun kesempatan itu belum wujud. Gadis ternyata cuma menerimanya sekadar seorang teman.
Andaikata
ombak berhenti menghempas pantai
langit berubah tona berwarna hijau
matahari terbit dari arah barat.
Saat itu, barulah jantungnya pasti berhenti dari menyanyi lagu cinta buat Gadis.
Keajaiban yang dia harap-harapkan.
Munculkah?

Wednesday 13 March 2013

Kisah Dongeng



Ramai gadis bermimpi ingin menjadi 'Snow White' dan hidup bahagia selama-lamanya dengan 'Prince Charming'nya.
Ramai jejaka pula berangan ingin jadi 'Shrek' dan berkahwin dengan 'Puteri Fiona'

Namun
hakikatnya mereka tidak sedar, semua watak tersebut hanya ilham dari dunia khayalan. 
Semua watak tersebut sebenarnya tidak wujud.

Tidak Wujud.

Noktah.


~petikan dari karya; Sarkastik Cinta~
~gubahan hana nasir~

Tuesday 12 March 2013

Lagu Sang Pencinta


Senandung irama malam menjelma
Sang rembulan menyinarkan cahaya,
Pungguk berirama sayu bertangguh kata
Tentang cerita cinta kita berdua..

Hati berdendang, bibir tersenyum riang
Akal seiring nafas yang sekata
Hembuslah Sang Bayu sampaikan rindu ini
Agar si dia turut sama merasa..

Andai rindu di balas racun yang menghuni
Andai kasih orang yang dirindu berbelah bagi
Patahlah hati, punahlah jiwa ini
Hanya sepi bertemankan mimpi..

(Ikhwan)

Monday 11 March 2013

Rahsia



Shh...
Saya nak beritahu awak satu rahsia.
Bla...bla...bla...bla...bla...
Ingat ye, ini rahsia. Jangan diberitahu orang lain.
Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut ye.

Ada rahsia yang kita rasakan kecil. Ada rahsia pula yang kita rasakan besar. Sedangkan rahsia itu sebenarnya bukan hak kita untuk menentukan samaada ianya kecil atau besar. Bila kita menerima amanah untuk menyimpan satu rahsia, ianya tetap rahsia orang yang berkongsi rahsia tersebut. Bukan milik kita untuk menentukan sama ada boleh diberitahu pada orang lain atau tidak.

Ibarat berjalan di sebuah lorong sunyi, tiba tiba terdengar bunyi mengiau yang datangnya dari sebuah guni yang diikat dengan tali. Apa yang akan dilakukan? Lari? Ceh, ini bukan cerita hantu. Lagipun, yang mengiau adalah kucing. Hantu mengilai, bukan mengiau. Bukankah begitu hukum alam.

Tali pengikat guni terlerai
sang kucing menerpa keluar,
'kan dijilatnya tangan yang melepaskannya dari kurungan?
'kan digigit dan dicakarnya dia yang telah membebaskannya?
segalanya ibarat membaling dan menyambut syiling,
kepala atau bunga?
jawapannya hanya tertulis tatkala..
tali pengikat guni terlerai.

Sanggupkah sebuah persahabatan yang terbina bertahun lamanya, terputus akibat mulut yang tak mampu berdiam, hati yang meronta ingin diakui sebagai orang pertama mengetahui perihal sebuah rahsia? Lega tatkala ianya bukan lagi rahsia, bolehkah berpanjangan? Menjadi benang penyimpul koyak di baju persahabatan?

Shh..
Saya nak beritahu awak satu rahsia.
Bla...bla...bla...bla...bla...
Ingat ye, ini rahsia. Jangan diberitahu orang lain.
Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut ye.

Sunday 10 March 2013

Lupakan Semua Teori




Lupakan semua teori tentang Venus atau Marikh atau XY, bahkan he says-she says

Laki laki juga sebenarnya ingin dicintai
Laki laki juga sebenarnya terluka dan
tidur malam memikirkan kamu
mengingati bau wanita yang dirindu
menganalisa setiap salah tingkahmu.

Come on girls.
Setidak-tidaknya untuk hari ini, kita boleh cuba untuk
suit up, man up and shut the hell up.

Beri mereka peluang menjadi
yin kepada yang
tutti kepada frutti
dan
ultimately,

Chris Martin untuk Gwyneth (maybe)

~petikan karya Mimi Mortica (3 September 2012)~

Saturday 9 March 2013

Perjalanan Hati



Perjalanan hati takkan pernah terhenti.
Ada waktunya air mata menemani di segenap ruang perjalanan suka mahupun duka.
Adakalanya pula usikan dan gurauan menjadi melodi malam.
*******************************
Dia diam dan hanya tersenyum, tanpa menjawab soalan yang saya utarakan. 

Hati berdetak, pantas mencipta pelbagai teori. 100 teori sesaat dicernakan fikiran. Hmm..mengalahkan Einstein, bukan. (senyum) 

Teori 1: Mungkin dia ingin mengusik, saja hendak melihat reaksi saya. (nakalnya)
Teori 2: Mungkin dia tidak mahu menjawab kerana dia sebenarnya tidak lagi mempunyai perasaan yang sama seperti yang saya rasai. :( (aduhai)
Teori 3: Mungkin dia tidak mahu berjanji kerana merasakan tidak mampu menunaikannya kelak (risaunya)

Perlahan dia menyambung dengan teori 4: Atau mungkin tiba-tiba saya hilang segala kosa kata apabila mendengar soalan dan pertanyaan awak tadi. Terasa malu untuk menjawab walau hati sebenarnya seakan berada di langit ketujuh. :) Seorang lelaki itu juga ada perasaan malu, awak.

Adakala sesuatu itu tak perlu diucapkan apabila hati saling mengerti. Senyuman serta sinar di mata menjawab semua persoalan tanpa perlu sebarang bicara.
Langit diwarnai pelangi. Indah.  

Friday 8 March 2013

Bertemu Di Sini


Tidak ada yang aneh andai seorang lelaki dan seorang perempuan berkawan di internet atas dasar mempunyai rasa, dan perilaku yang sama. Tapi mengapa ada yang terasa pelik bila dua orang perempuan menjadi sahabat hanya kerana mempunyai banyak persamaan.
Mungkin benar situasinya pelik..tapi yang pelik itu bukan sesuatu yang mustahil..kan?

Kata saya: Pelik kan...bila taste kita sama sangat? :)
Kata dia : Sama taste? Taste ape tu sis? Footclub ke ? hehehe
Kata saya: Wei..opps tersilap perkataan mungkin. Same sense of humour dan sama taste dalam lagu.

Kata dia sambil gelak: Motto saya senang aje sis. Orang add, saya accept. Orang buat hal, saya delete je. Pasal football ni, nak katakan tak minat langsung, tak juga. Sis tau, dulu masa kecik kecik saya suka sangat tengok bola sepak Malaysia dengan abah dan adik beradik yang lain. Tapi sekarang ni bola sepak malaysia dah macam hancur! ekekke..so memang tak ambik pot lagi..

Dia terus berceloteh tanpa henti dan saya terus tertawa..

Sambung dia lagi :
Tapi sekarang ni..saya dah suka semula bolasepak....hehehhe...tapi bukan bolasepak Malaysia lah. Sis tahu, best juga layan bola ni, sis. Sis tahu yang lawak tu, kita sorang jelah dok cakap pasal bola di antara kawan kawan lain yang kebanyakkan nya lelaki. Dia orang langsung tak minat bolasepak.

Tapi kan, saya rasa kan sis..'same taste' yang sis kata tu mengikut firasat saya yang maha tajam ni (hahahha...macam lawak je kan tapi selalunya totally betul!...saya rasa sis maksud kan 'taste' lain.. betul tak? betul tak?? Upin cakap..betul..betul..betul...hahahha..
Cuma, saya harap sangat sis tak suka kat cik abang saya juga. Kalau taste sis sama dan sis minat dia juga, tak bolehlah kita berkawan. hehehe

Kata saya dengan muka yang merah:
Opps .. hehehe. Wei..ke situ pulak dia ni. Karang jadi lain, mati lah sis.
Ok, ok, sis tarik balik ayat awal tadi. Kita sememangnya tak punya taste atau citarasa yang sama. Sebenarnya, sis cuma nak kata yang sis suka awak punya sense of humour.
Kes tutup ye.. Jomlah kita cerita pasal bolasepak..

Dia semakin kuat ketawa:
hahhahahahhaha....Rilex lah sis...ekekkekeke.
hahhahahhahaha...Nak cerita pasal bola? hahhaa. Tak payah lah sis nak buat corner baring. Sis langsung tak reti tukar cerita. Apa yang sis tahu tentang bola?

Sis jangan kecik hati ek. Saya ni memang suka bergurau. Takut sis fikir apa apa pulak...
Kalau sis nak kacau, kacau je lah. Tapi takut tersalah kacau, dapatlah kawan dengan orang yang tak betul macam saya ni.

Kata saya sambil senyum:
Sis tak kisah awak usik. Setakat ni sis rasa sis boleh terima adik sorang ni punya gurauan. Janji jangan usik sis depan orang lain ye. Sis jenis muka cepat merah.

Kata dia:
Sis ni ok juga sebenarnya. Saya perasan sis punya lawak jenis 'bawah meja'. Sis selalu menyelit waktu orang tak perasan. Tengok dari muka sis dan ayat ayat sis tu pun, kita boleh tau yang sis ni penuh dgn kesopanan dan kesusilaan. Mesti menantu pilihan orang ramai nih! hehhehe. Itu le kan. Saya ni pula selamba badak je.Tapi kalau time serius, saya serius lah. Dan time lawak, saya memang lawak tahap gaban. Ala..kat fb ni malas lah nak serius sis.

Kata saya:
Dia ingat dia aje yang boleh baca orang ye. Hmm..Ikin ni nampak aje macam jenis selamba. Sempoi. Tapi bila tengok fb ikin...ceh dok memanjang lagu slow aje.. hehehe.
Kalau dah hampir semua lagu kat situ slow.. tu bukan lagi ikut mood. Itu namanya "minat". hehehe Tak mengaku lah tu..
Kata dia:
hmm..Pasal lagu lagu tu...hehehe...memang tak dapat nafikan..ok..memang minat.
Sis tentu faham, lebih lebih lagi kalau ianya ada kaitan dengan kita. So, bila waktu malam, kalau tak de kerja, dok tengok bulan le, masa ni best la layan lagu lagu slow. wkakakakkakkakak... Jiwang sorang sorang la. Kalau takde bulan, jadilah pungguk merindukan sang bulan. Cewah! poyo betullah kan.

Kami ketawa..dan inilah permulaan sebuah persahabatan. Dan walau dia telah hilang, seperti yang lain lain, sesekali bila teringat segala cerita dan perbualan kami.. saya akan tersenyum. Harap harap dia juga begitu..walau dimana dia berada.

Thursday 7 March 2013

Sendiri II


Cinta itu datang tanpa sebarang syarat..
Melihat dirinya bagai melihat diri sendiri di dalam cermin. Segala watak, peribadi dan budi bicara  terserlah melalui pandangan sidia. Benar atau tidak bayangan tersebut, ianya soalan kedua.

Yang nyatanya, bila dia melihat kita sebagai seorang yang berani, rasa takut yang ada tiba tiba menghilang. Kita sebolehnya ingin menjadi seperti mana dia melihat kita.

Kata ahli falsafah:
Bila cinta itu hadir, Ia mampu mendorong

seorang penakut, menjadi berani,
seorang kedekut, menjadi dermawan
seorang biasa, menjadi kreatif,
seorang gagap, menjadi fasih berbicara
seorang lemah, menjadi kuat
seorang raja, menjadi rakyat biasa,
seorang saintis,menjadi sasterawan,
seorang peramah, menjadi pendiam,
seorang berani, semakin terserlah kehebatannya..
dan juga sebaliknya...

Ada yang bertanya kenapa saya menulis?
Ada yang mengikuti, dan ada juga yang membenci.
Ada yang memuji, dan ada juga yang mengeji. Katanya saya menulis semata mata untuk menyentuh jiwa, memainkan perasaan,  melemahkan hati mereka yang membaca, malah untuk mengkhayalkan minda.

Tulisan saya bukan dituju pada sesiapa. Hanya meluahkan rasa, berkongsi cerita sahabat, adakala untuk menjaga jiwa sendiri agar hati tidak menjadi keras dengan segala pancawarna kehidupan seharian. Realiti adakalanya terlalu berat, maka sesaat saya cuba melupakannya. Tidak ada sebesar zarah niat menyakiti hati sesiapa.

Pergilah
dan biarkan diri ini sendiri
mencipta lagu dan irama tanpa suara
bersulam cerita, mimpi dan angan
tenang bertemankan malam.
Selagi hayat masih ada..
biarkanlah saya seadanya..

Wednesday 6 March 2013

Airmata II


Anehnya sesuatu yang dinamakan 'air mata'.
Sebelum ini, airmata pada saya melambangkan kesusahan, kesedihan, kesakitan dan kelemahan. Airmata bergenang, menitis, berderai, mengalir deras, menghujani wajah.
Bila kepercayaan musnah, bila harapan menghilang, bila hati walang, bila kedukaan memenuhi setiap rongga, bila jiwa hancur luruh, bila derita tak kunjung padam, bila diri tidak mampu lagi menahan gurisan pedihnya bilah kata-kata yang menusuk di tangkai hati, saat itulah airmata menjadi peneman.

Anehnya sesuatu yang dinamakan 'air mata'.
Hari ini, airmata dengan sendiri mengalir perlahan di pipi sewaktu mendengar luahan hatinya. Adakah kerana hati berasa sedih dan hiba? Tidak. Airmata kali ini terasa berlainan.
Bergemuruh jiwa dan raga. Lidah kelu membisu seiring dengan mengalirnya airmata.

Tiada bicara waima kosa kata yang mampu menggambarkan satu rasa ini. Aneh bukan? Airmata yang deras mengalir ini turunnya bukan kerana sedih tapi sebaliknya mengiringi satu perasaan iaitu: bahagia.
Perlahan lahan terasa tangannya menyentuh bahu. Saya menoleh, memandangnya dengan mata bersinar-sinar dengan mutiara jernih yang mula bergenangan di kelopak mata.
"Awak..", sapanya lembut. Bibir tidak menyahut, namun mewakilkan sebuah senyuman manis sebagai jawapan. 
"Awak ni sememangnya kuat menangis, bukan?' katanya berselang-selikan tawa.
           Ceh! Ingin sahaja dihadiahkan sebuah cubitan kepadanya.

ketawa dan airmata..itulah sebenarnya cinta


Tuesday 5 March 2013

Cuma Pemerhati


Ianya bukan kisah dongeng anak anak..
Ianya tentang individu.. ianya tentang masyarakat..
Ianya tentang seorang insan yang sesat dalam perjalanan..
*******************************
Kalau kisah hidup saya ditulis menjadi sebuah novel sekalipun, saya tidak mungkin terpilih untuk jadi watak utama didalamnya. Hmm.. mana perempuan yang tidak pernah bermimpi untuk jadi seorang puteri? Lebih lebih lagi bila dirinya sendiri yang sedang bermimpi. Tapi..realitinya,tak semua yang kita mahu, mampu kita capai.

Bahkan untuk menjadi watak jahat seperti perempuan ahli sihir atau raksasa juga sebenarnya amat sukar. Saya rasa saya hanya layak diberi watak pembantu saja. Sesuai hanya untuk dipilih menjadi dayang, penjaga istana, orang lalu lalang atau kucing hitam yang bermain dikaki sang ahli sihir. Lucu bukan? Tapi itu lah yang saya rasakan.
Saya berdiri di atas pagar. Berada betul betul di tengah garisan paksi antara kebaikan dan kejahatan. Tidak menyokong mana mana satu pihak. Tapi, itu tak bermakna saya adalah lalang. Saya punyai pendapat saya sendiri, cuma tidak disuarakan kerana saya yakin tak siapa ingin mendengarnya.

Suatu hari saya telah membuat keputusan.
Andai kata saya tidak dapat jadi watak utama, bagaimana pula jika saya memilih untuk menjadi watak penglipur lara? Boleh bukan? Saya mahu jadi sang pencerita yang menulis kembali kisah pengembaraan, pengalaman dan kisah suka duka orang lain. Buku harian saya ini akan jadi seperti sebuah buku laporan.

Semakin waktu berlalu, saya semakin dewasa.
Adakalanya, saya terlupa tugas saya untuk menulis. Saya bertindak dan tidak duduk diam sebagai pemerhati.

Kenapa? Bukan untuk berlagak hero. Ianya kerana saya ada sekeping hati yang masih berfungsi. Hati yang degil. Hati yang merasa segala kesakitan dan kesedihan orang lain. Hati yang terlalu kerdil dan rapuh untuk seorang penulis cerita.

Ada ketikanya cerita mereka seakan sama dengan cerita saya.
Seperti terpandang imej sendiri di cermin. Bayangan di cermin bukannya orang lain, tapi adalah diri saya sendiri. Sakit dia adalah sakit saya juga. Sedih pilu turut mencengkam tangkai hati. Adakalanya terlalu berat rahsia dan sakit yang disimpan, hingga saya terpaksa berhenti menulis seketika. Saya perlukan rehat demi mencari kekuatan untuk meneruskan bicara hati.

Dalam meniti hidup sebagai pemerhati dari tepi, saya sendirian. Tiada siapa yang faham diri saya. Seorang perempuan dengan idea-idea nya yang aneh. Inilah saya.

Monday 4 March 2013

Berlari Ke Langit IV


Adakalanya terasa diri hanya menyusahkan.
Setiap kata membuahkan amarah, setiap bicara disalah ertikan.
Mencuba yang terbaik, tapi hasilnya adalah sebaliknya.

Adakala hati tertanya tanya, releven kah diri ini..
Tanpa saya, dunia tetap berputar atas paksinya. Adanya saya, tidak menambah baik sebarang keadaan. Kosong..kosong..dan kosong..

Adakalanya saya ingin sekali meninggalkan bumi Malaysia ini.
Berlari dan berlari hingga ke Kutub Utara, mengembara hingga ke Alaska di mana tiada siapa kenal siapa saya, di mana tiada siapa tahu sejarah saya, dan mungkin ada yang memerlukan kehadiran saya. Tak ada yang mengganggap saya menyusahkan.
Malah mereka mungkin menerima kehadiran saya seadanya dengan segala kelebihan dan kekurangan saya. Menerima hakikat yang ada kalanya saya gembira dan adakalanya saya menangis tanpa mengharap sebuah senyuman itu sentiasa ada sepanjang waktu. Dan saya tidak mengharap akan ada sesiapa yang mengejar atau mencari saya sehingga sejauh itu.

Tuhan, dunia ini amat luas tapi akan adakah satu jawapan menanti di Kutub Utara itu? Akan terubatkah segala luka goresan kehidupan pabila kaki menyentuh bumi Alaska? Atau adakah diri akan menjadi sebeku hati, tak tersentuh lagi dengan segala kata dan bicara?

Atau ketenangan itu hanya kan wujud bila saya mampu untuk berlari ke langit-Mu?

Sunday 3 March 2013

Berlari Ke Langit III


Malam tadi saya bermimpi lagi.
Bermimpi berlari hingga ke langit. Laju dan jauh meninggalkan helikopter serta kapal terbang Air Asia di belakang. Sekawan awan turut ketepi kerana tidak mahu menghalang laluan saya.Malah lebih laju dari 'Superman' terbang. :) :)

Dan seperti semua mimpi indah, ianya pasti akan berakhir. Sigh..sakitnya sama seperti terhempas ke bumi dari bangunan yang amat tinggi. Terasa ingin dipejamkan semula mata agar mimpi tadi akan berulang. Sia sia saja bukan. Mata beralih memandang ke kotak kasut di tepi pintu bilik. Kasut untuk berlari yang baru saja 2 minggu lepas dibeli, kini terletak elok di dalam kotak, seakan sama keadaannya sewaktu di beli.

Saya suka berlari kerana dengan berlari segala keresahan dan masalah yang menekan perasaan dapat saya lepaskan bebas pada alam. Dengan setiap derapan kasut, satu demi satu perkara yang merunsingkan kepala, seakan berbaris lurus bergerak meninggalkan ruang minda, tidak lagi berkecamuk dan berselerakan di fikiran.

Saya tahu berlari tak akan menyelesaikan masalah, tapi... ianya mengurangkan tekanan. Semakin pantas saya berlari, semakin fikiran tertumpu hanya pada larian. Hilang bunyi unggas, hilang mereka yang turut sama berlari di taman tersebut, hilang pokok pokok yang merimbun sepanjang trek jogging. Deras nafas, peluh yang mengalir laju membasahi tubuh, membuat saya rasa 'hidup' dan masih 'bernyawa'. Terisinya satu ruang kosong di jiwa. Kekosongan itu mungkin tak akan pergi selamanya, tapi keasingan diri sedikit sebanyak terasa hilang.

Mereka tidak membenarkan saya berlari lagi. Apa yang tinggal untuk dilakukan? Menelan pil pil untuk menggantikan kepenatan berlari yang selalunya membuatkan saya tidur lena hingga ke pagi. Saya tidak mahu kerana pil pil tersebut melemahkan daya ingatan dan konsentrasi.

Ini tentang diri saya bukan? Mereka hanya berikan diagnosis dan kebarangkalian yang mungkin akan berlaku. Saya percaya pada Tuhan dan saya yakin saya pasti akan temui jalan untuk merasakan sekali lagi angin yang deras begerak dari arah bertentangan dengan larian saya dan merasakan adrenalin bergerak laju. Saya pasti saya akan dapat berlari ke langit..sebelum saya menutup mata buat kali terakhir.

Think positif, just do it. :)

Saturday 2 March 2013

Plan B


Jantung berdegup kencang.
Bunyinya sekuat pukulan gendang di Pesta Gendang Nusantara, iramanya bertalu-talu dan semakin lama semakin kuat. Aneh, mengapa ye mereka yang berada di sekelilingnya tidak dapat mendengar bunyi degupan sekuat itu.
Dibukanya genggaman tangan. Tangannya terasa amat sejuk sekali, malah lebih sejuk rasanya dari memegang ketulan ais. Telapak tangannya putih, pucat, seakan tiada darah. Kelihatan beberapa lekuk-lekuk berbentuk bulan sabit, kesan tekanan kuat kukunya. Satu keluhan terlepas dari bibir.
Dia menoleh ke kiri. Terpandang wajahnya di cermin kaca kedai. Seorang perempuan yang sederhana tinggi,  berkulit cerah, berambut panjang lurus, memakai baju kurung biru muda sedang memandangnya kembali dengan riak muka penuh kerisauan. Tiada secalit senyuman di wajah manis tersebut. Diakah perempuan itu?
Kemana kah perginya segala keyakinan diri? Bukankah dia telah berjanji pada dirinya sendiri yang dia tidak akan risau? Senario ini telah dia mainkan berbelas kali dimindanya semalaman. Setiap hari Isnin dan Rabu, lelaki itu pasti akan berada di perpustakaan ini. Betapa dia akan menunggu dengan sabar dan sebaik sahaja lelaki tersebut mengambil buku dan duduk disudut kegemarannya, dia akan menghampiri lelaki itu. Dengan wajah yang tenang berserta dengan sebuah senyuman, dia akan mengucap salam dan perkenalkan dirinya. Seterusnya...hmm.. seterusnya bergantung pada lelaki tersebut.
Tak salah bukan andai dia yang memulakannya? Bukankah di zaman teknologi serba canggih ini, tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik apabila perigi mencari timba? Bukankah juga kita disuruh berdoa dan berusaha dalam mencari jodoh? Bukankah Siti Khadijah sendiri melamar Rasulullah s.a.w?
Memang mudah meyakinkan orang lain. Tapi sukar bila masanya tiba untuk menyakinkan diri sendiri. Memupuk keberanian bukan mudah, lebih lebih lagi ciri ciri wanita Melayu masih tebal dalam dirinya. Zaman mungkin telah moden, tapi masih agak sukar untuk memulakan langkah menegur seorang lelaki yang selama ini hanya diminatinya dari jauh. Dan...apakah yang istimewa pada dirinya, yang dapat membezakan dia dari gadis gadis lain sehingga akan terbukanya hati lelaki tersebut untuk menerimanya.
Berhenti lah wahai hati dari berkata kata. Bukankah dia telah berada di sini dan dia telah bernekad untuk meneruskan niatnya ini. Dari terus tertanya tanya, biarlah dia mendapat kepastian. Lagipun, bukankah dia ada 'Plan B' dia. Bibirnya mula tersenyum dan sinar harapan berbunga semula. Dibukanya tas tangan. Sekeping sampul surat terselit rapi di belakang beg duitnya.
Apa 'Plan B' tersebut? :) Andai setelah di beri salam dan keberaniannya tiba tiba luntur, akan diserahkan sepucuk surat salam perkenalan yang telah ditulisnya malam tadi. Andai perasaan malu tiba tiba membuatkan dia hilang kata kata, sepucuk surat tersebut pasti akan mewakili lidahnya. Mungkin itu istimewanya dia: ketahui kelemahan diri dan memikirkan bagaimana atasi kekurangan tersebut. Kalau emak tahu, pasti mak akan menggeleng kepala. Anaknya ini memang banyak 'Plan B' sentiasa.
Bismillah. Saatnya telah tiba. Doakan dia berjaya ye. :)

Friday 1 March 2013

Terima Kasih



Katakan terima kasih pada dia
yang hadir dalam hatimu
yang mencuri lelapmu
yang bermain di matamu
yang sering mengusung rindumu
mengukir tawa di bibirmu
yang pernah menangis bersamamu
yang sentiasa ada untukmu

Katakan saja terima kasih pada dia
kerana mengingatkanmu
bahawa dia insan biasa
yang seringkali lupa..
yang tidak sengaja mengundang seribu curiga
yang tidak sengaja membayangi mimpi bahagia
yang tidak sengaja berselindung di balik diri
yang tidak sengaja menghempaskan rindu itu
yang tidak sengaja mengusir senyum tawa
yang tidak sengaja mengundang gerimis derita

Katakan saja betapa kau hargai
bahagia bersama dia
walau hanya seketika