Friday 31 August 2012

Tag: Kebiasaan



A) Sebutkan 8 perkataan/ayat yang selalu anda ucapkan:
1) Awakkkk...  :) 
2) Opps.
3) Wei.
4) Maafkan saya.
5) Hmm.
6) Opocot
7) Betul..? :)
8) Aduhai.. :p

B) Namakan 8 perkara yang anda suka lakukan:
1) Memandu :)
2) Menulis, menulis, menulis
3) Beruang 'teddy bear'
4) Aiskrim  :)
5) Kumpul benda-benda kecil dan comel :p
6) Tengok Langit, tengok bulan 
7) Membaca :)
8) Jawab soalan tag :p

C) Berikan 8 perkara keistimewaan tentang diri anda:
1) Tak makan banyak   :p
2) Ringan tulang
3) Suka mencuba 
4) Tak banyak kerenah
5) Tak suka menyusahkan orang
6) Tak reti merajuk lama lama :p
7) Mudah sesuaikan diri
8) Comel ..:p (ni dia yang kata) 

D) Apa perkara yang paling susah yang pernah anda lakukan?
1) Menahan diri dari menangis
2) Sembunyikan emosi
3) Cuba mencapai barang di rak teratas 'shopping comple'
4) Meminta pertolongan orang
5) Memakai 'eye liner' tanpa mengelip mata :p
6) Menghafal jalan
7) Memandu di waktu malam
8) Bersabar
E) Namakan 8 perkara negatif yang ada pada diri anda:
1) Selalu risau
2) Cepat terasa
3) Mudah buat kesimpulan
4) Adakalanya amat berat mulut
5) Amat tidak suka di marahi
6) Mudah percaya pada orang
7) Adakala degil 
8) Selalu buat apa yang terlintas tanpa fikir panjang 

Thursday 30 August 2012

Cinta Monyet



Tujuh hari dalam hutan,
Air tak minum, nasi tak makan,
Sehari tak memandang tuan,
Rasanya susut, tubuh di badan.
******************************
Sewaktu kecil kecil dulu, saya pernah berminat pada seorang pelajar lelaki di dalam kelas saya. Orangnya sederhana tinggi dan biasa biasa saja. Tapi saya minat sangat melihat senyumannya dan rambutnya yang ikal dan hitam berkilat. Semata mata untuk memerhatikan dia, saya memilih tempat duduk betul betul di belakang dia.

Waktu tu, umur kami baru setahun jagung. Namun entah mengapa perasaan suka kian menebal di hati. Namun kami masih budak-budak. Saya tidak tahu bagaimana nak luahkan rasa hati saya pada dia?

Seharian saya berfikir namun masih tiada sebarang jawapan. Malu rasanya untuk memulakan langkah. Mungkin walau pun saya tak dapat meluahkan rasa suka, kalau saya dapat buat rambut saya jadi berkilat seperti dia pun jadilah. Ide mengejut menjerut.

Alkisah, bermula lah satu aktiviti baru saya semenjak hari tersebut. Setiap pagi sebelum ke sekolah, saya sanggup mencuri masuk ke bilik emak untuk untuk mengambil dan melumur minyak zamzam ke rambut saya.

Minyak zamzam ni warnanya hijau likat dan baunya agak kuat. Sampai sekarang ia ada dijual di kedai kedai runcit Melayu dan di Mydin.

Apabila sudah letak minyak, rambut pula di belah tengah. Wah! Terasa diri seakan orang yang paling cantik dan sepadan dengan si dia. Walhal rambut sebenarnya sudah  basah kuyup dan melekap di kulit kepala disebabkan terlalu banyak minyak yang diletak.

Biarpun teman teman sekelas mengadu kata nak pitam sebab bau minyak rambut tu terlalu kuat, saya hanya pekakkan telinga. Pedulikan mereka. Janji hati saya puas sebab rambut saya sama seperti rambut si dia.

Namun saya terlupa satu fakta penting. Apabila cuaca panas, minyak akan mencair. Habis kolar baju melekit dan melekat dengan minyak dan daki. Teruk di ejek oleh budak budak lain. Balik rumah, apalagi, ibu pula berleter. Bagai petir.

Budak lelaki yang saya minati itu kemudian berpindah ke daerah lain. Saya pula terus berhenti guna minyak zamzam untuk menyapu rambut. Secara tiba-tiba, saya jadi tak tahan dengan bau minyak tu. Sampai sekarang.

Happiness is not a matter of good fortune or worldly possessions. It's a mental attitude. It comes from appreciating what we have, instead of being miserable about what we don't have. It's so simple-yet so hard for the human mind to comprehend.

Tuesday 28 August 2012

Melangkah Pergi


*********************************************
Apa kah perkara yang paling sukar untuk dilakukan..?
Mengalah, memalingkan wajah ke arah lain dan melangkah meninggalkan seseorang yang sangat kita sayangi. Melangkah jauh walau hati meronta untuk sentiasa dekat padanya,

Dulu, saya tidak percaya seseorang itu boleh mati kerana cinta. Pada saya, semuanya hanya nukilan hasil novel-novel cinta. Romeo dan Juliet, Uda dan Dara, Shah Jehan dan Mumtaz, Qaisy dan Laila ... semuanya hanya sebuah perlambangan, perumpamaan.

Bodohkah tindakan saya? Saya tidak peduli apa orang kata. Saya telah merasai apa itu cinta yang sebenar. Saya jadi berani dan sanggup berbuat sekali lagi apa yang telah saya lakukan semata mata untuk membuktikan cinta saya pada dia.

Soal logik atau tidak tindakan saya, saya tidak mahu kata apa-apa. Itu subjektif, bergantung pada siapa yang buat penilaiannya. Andai kebetulan pada waktu saya bertindak sedemikian, Tuhan bukakan pintu hati dia untuk lembut dan ingin kembali pada saya, bukankah ianya berbaloi? Pasti dia akan hargai apa yang saya lakukan ini andainya dia mencintai saya. Malah, mungkin dia akan rasa terharu dan rasa yang dirinya amat dihargai. Tak ramai yang akan sanggup berdiri di depan pagar rumahnya hampir 14 jam walau di dalam hujan lebat sambil menyanyikan lagu kegemaran dia. Saya memang sudah gila.

Andai hatinya masih milik saya, mungkin dia akan simpan cerita ini hingga ke hujung hayat dia. Mungkin juga cerita ini akan dia ulang berkali kali dan disampaikan kepada anak-anak dan cucu cicit kami. Kisah romantis ini mungkin akan disemadikan selamanya dalam diari hati dia.

Namun andai sebaliknya, Tuhan telah tetapkan yang dia bukan jodoh saya, pasti hatinya tetap tertutup walau saya limpahkan emas di kakinya. Kalau dia benci, selamanya dia akan rasa perbuatan ini perbuatan gila.

Sebagai manusia, kita kena tahu had atau kemampuan kita. Kalau memang dia sudah benci, tak payahlah kita masih lagi 'hidung tak mancung, pipi tersorong sorong'. Jatuhlah ego dan maruah kita sebagai lelaki.

Bila dia dah benci, walau seberat mana sekalipun, kita perlu lepaskan dia pergi. Kita kena kuatkan hati dan cuba untuk lupakan dia. Anggap sajalah ini semua ujian Tuhan dan pohonlah pada Nya untuk mendapat ganti yang lebih baik. Kadang kadang apa yang kita inginkan sebenarnya lebih mendatangkan mudarat pada diri kita. Sabarlah.

Peti Cinta



perlukah melangkah pergi atau haruskah aku masih berdiri disini?
rasa itu mengikat jiwa, melilit mati tangkai hati.

*****************************
Kata dia: Mana lebih baik? Bercinta sebelum atau selepas kahwin?

Kata saya: Entahlah. Saya sendiri tak ada jawapan yang tepatdalam soal ni. Semuanya bergantung pada individu yang terlibat. Cerita awak pastinya lain dari cerita saya atau cerita mereka.

Kata dia: Awak pasti lebih beruntung. Awak cinta pertama dia sedangkan saya hanya pilihan kedua. Saya harus berlakon seolah-olah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya harus paksa diri saya gembira. Kena lontarkan jauh semua masalah yang melanda diri terutama di tempat kerja. Kalau tidak, pasti semua kerja tidak menjadi. Setiap hari saya berdoa agar diberi kekuatan dan ketenangan untuk teruskan hidup yang penuh pancaroba ni.

Kata saya: Maaf. Jangan letakkan saya dalam cerita awak. Saya sudah penat selalu dikaitkan dalam cerita orang lain. Hakikatnya, setiap hari awak perlu sentiasa belajar untuk mengenali, memahami dan mencari keserasian antara awak dan dia. Dalam dunia ni, banyak perkara yang boleh buat manusia terdedah kepada perubahan sikap dan tingkah laku. Bercinta sebelum perkahwinan juga bukan satu jaminan untuk hidup bahagia.

Cinta bermula dari tanda kosong. Bila sudah bergerak ke anak tangga satu, ia nya perlu dijaga dan dipelihara. Jika gagal menjaga dan memeliharanya, pasti peti cinta itu akan berkurangan dan kembali semula ke tanda 'kosong'. Sama seperti menjaga kereta. Sama juga seperti dia. Sama juga seperti awak. Sama juga seperti saya.
Awan mendung mula bertamu semula. 

Sunday 26 August 2012

Lepaskan Dan Luahkan


Cerita seorang teman:

Kata orang, kami memang sepadan. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Apabila terdengar cakap-cakap sedemikian, saya pasti tersenyum. Ceria. Bunga-bunga cinta terasa berkembang mekar di taman hati.

Namun realitinya kami hanya berkawan. Tidak lebih dari itu. Kami memang bersahabat rapat sejak dari kecil lagi. Itu kata dia. Hati saya mengikut pendapat umum.

Hakikatnya, atas dasar malu dan takut seandainya persahabatan kami akan terputus jika dia menolak rasa hati saya. Saya jadi tidak berani langsung untuk meluahkan perasaan.

Suatu petang, ketika melihat dia tertawa seraya menundukan kepala menyembunyikan rona rona merah di pipinya, saya jadi terpegun melihat rambut panjangnya terurai seakan membentuk tabir melindungi wajahnya dari pandangan saya. Tanpa sedar, jari saya pantas menyelak dan menyisipkan helaian rambutnya ke belakang telinga. Tanpa sedar juga, saya mengalah kepada perasaan dan mencurahkan segala isi hati pada si dia. Indah.

Sayang seribu kali sayang, saya hanya bertepuk sebelah tangan. Dengan perlahan, dia menolak curahan perasaan saya tanpa memberikan sebarang alasan. Mungkinkah hatinya sudah berpunya. Mungkinkah dia masih belum bersedia? Tuhan saja yang tahu.

Bagaimana dengan kemesraan yang dibina sejak sekian lama? Bagaimana dengan tali persahabatan? Bagaimana dengan kepercayaan? Adakah dia akan menjauhkan dirinya? Adakah dia masih akan berbicara seperti biasa? Adakah saya boleh berbicara dengannya seperti hari-hari yang lalu?
***************************
Kata saya:
Tenanglah awak. Hatinya belum tentu lagi milik sesiapa. Mungkin juga benar seperti telahan awak. Dia benar-benar belum bersedia dan ucapan awak itu mengejutkan dia.

Jangan sesekali memaksa dia supaya menjadi milik awak. Berikan dia masa dan ruang. Biarkanlah dia berfikir dan menilai isi hatinya buat sehari dua. Selepas itu, dampingi dirinya dan soal lah sekali lagi dengan diri yang lebih bersedia.

Jika benar awak sayangkan dia, tentu sekali awak ingin melihat dia hadir semula dengan senyuman di wajah, biar apa pun keputusan yang diberi: sahabat atau kekasih. Jangan terlalu digesa dan jangan pula terlalu cepat undurkan diri. Sabarlah. Jika benar dia memang untuk awak, pasti dia akan kembali. Namun jika jawapannya masih negatif, biarlah dia berlalu tapi masih sebagai sahabat. Janji awak telah cuba. Lebih baik tahu daripada tertanya-tanya soalan itu selama-lamanya

Cinta.  Tiada formula khusus untuk diaplikasikan. Soal hati sukar untuk difahami..

Saturday 25 August 2012

Nilai Persahabatan



Saya sememangnya suka bertanya. Dan hari itu saya bertanya apa ertinya sebuah persahabatan bagi diri dia.

Kata dia: Seorang sahabat itu ibarat sebuah ladang yang kita taburi dengan keikhlasan. Hasilnya pula akan kita tuai dengan penuh rasa terima kasih. Seorang sahabat itu juga pelindung serta tempat untuk berteduh saat hati terluka, saat jiwa impikan kedamaian dan saat badai di laut bergelora.

Dia sahabat di waktu malam, bila rasa sunyi dan sayu mencengkam jiwa. Bila bulan menyembunyikan diri dan bintang hilang dibalik awan gelap. Di bawanya senyuman untuk menggantikan kesedihan, agar hilang resah yang melanda perasaan. Dititipkan doa serta diajari erti kesabaran.

Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan
kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia akan menemui fajar dan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Sahabat
Di mana ada keraguan, di situ kita meyakinkan.
Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.
Di mana ada kesedihan, di situ kitalah berkongsi bahagia.
Di mana ada kegelapan, di situlah kita membawa cahaya.

Itulah erti sebuah persahabatan.
Maaf apabila adakalanya saya tidak mampu menjadi sahabat terbaik buat dirinya.

Friday 24 August 2012

Damai di Hati



Kata saya:
Saya harap tak ada satu ketika pun nanti akan terdetik rasa menyesal dalam diri awak kerana memilih untuk menyayangi saya.

Kata dia:
Tak pernah sekali pun. Tapi kenapa awak kata macam tu?

Kata saya:
Entahlah. Cuma sesekali terasa takut yang awak berubah hati dan fikiran. Siapa tahu mungkin awak akan membandingkan saya yang banyak kekurangan ni dengan orang lain.

Kata dia:
Maksud awak?

Kata saya:
Saya sudah terbiasa hanya menguruskan diri saya sendiri. Saya takut nanti apa yang saya lakukan dan segala urusan rumahtangga tak sebaik orang lain dan tak memenuhi apa yang awak inginkan pada seorang isteri.

Kata dia sambil tersenyum:
Awak ini terlampau banyak risaunya. Benda itu semua boleh dipelajari perlahan lahan. Asasnya awak sudah tahu, cuma perlu diubahsuai dan dipraktikkan. Yang pentingnya awak sayang dan jaga saya sebagaimana saya akan jaga dan sayangkan awak.

Kata saya:
Kenapa awak sayang saya ye? Saya tidak nampak sebarang keistimewa pada diri saya.

Kata dia:
Sayang saya datang dari penilaian saya sendiri. Susah untuk diterangkan dengan perkataan. Pada saya awak sangat istimewa.

Kata saya:
Hidup awak rasanya telah sempurna walau tanpa diri saya. Rasanya saya tak menambah dan tak buat apa apa pun untuk awak.

Kata dia:
Awak silap. Awak telah berikan sesuatu yang amat berharga pada saya. Awak telah mewarnai dunia saya dan mengisi kekosongan di jiwa saya. Awak telah buat saya rasa damai di hati.
************************************
Ditto. Hati ini juga telah menemui damai sejak kehadiran awak.
Andai wujud sengketa, buangkanlah segala marah dan cemburu. Awaklah satu-satunya bintang di hati saya. Sungguh.

Thursday 23 August 2012

Pasrah 3



Kata dia :Hidup di dunia ni adalah sementara, umpama sebuah wayang. Skripnya semua sudah ditentukan. Kita sebagai insan hanya melakonkan watak seperti yang telah tersurat dan tersirat. Tidak ada satu pun yang berlaku ke atas kita melainkan dengan kudrat dan kehendak Tuhan. Semua yang kita lalui telah di aturkan. Lantas belajarlah menerima takdir.

Kata saya: Awak tidak takut jika saya benar benar melupakan awak?

Kata dia : Terpulang. Kalau itu boleh membuatkan awak lebih bahagia.

Kata hati : Dia tidak lagi pedulikan kamu. Dia tidak sayangkan kamu.

Inilah yang dinamakan ketentuan Tuhan. Sesungguhnya, bukan mudah untuk melupakan kenangan. Bukan mudah untuk mencapai segala impian. Bukan mudah juga untuk melupakan seseorang yang kita cintai sepenuh hati, apatah lagi bila dia sendiri tidak mahu memperjuangkan cinta kami.

Pasrah. Diamkanlah hati.
Harga diri: itu lah satu satunya yang tinggal bila segala yang lain hancur berderai. Berkecai.

Wednesday 22 August 2012

Masa Bercinta


Adakala mulut terlalu berat untuk mengakui apa kata hati. Namun andai ianya hanya disimpan di dalam diri, tiada siapa yang tahu.
**************************
Apa sebenarnya yang dikatakan dengan bercinta ?
Kata orang ianya satu jangka masa dimana seorang lelaki dan seorang perempuan berusaha untuk menyatakan perasaan , keinginan dan menduga keperibadian masing masing. Pendek kata, ianya masa untuk mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam. Membina serasi.

Kata orang lagi, apabila dua insan sedang bercinta, dunia ini seolah-olah hanya ada mereka berdua sahaja. Sesekali harus juga berpijak pada realiti: Sekeliling mereka ada keluarga dan kawan kawan. Masa bercinta inilah kita dapat kesan masalah emosi yang mungkin timbul dari keluarga atau rakan rakan terdekat dengan orang yang kita sayangi. Masa terbaik untuk mencari langkah positif atau negatif sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Sanggupkah ditinggalkan kekasih hati andai ditentang oleh keluarga atau sebaliknya?

Jangan terlalu berani menyatakan cinta
Andai tak mampu meletakkan mercu tanda
Jangan terlalu yakin pada yang di cintai
Andai tak pasti di mana akhirnya matlamat cinta.
          Tidak ada jalan yang mudah, bukan?

Tuesday 21 August 2012

Untuk Awak


Puisi ni Hana ternampak kat blog Puisi Anak Sarawak.
(maaf sebab tak sempat tengok betul-betul nama penulis dia) :

UNTUK AWAK~

aWaK..
HaRi iNi aWaK NaMPaK SeRaBuT
SuMeR oRG KuTuK
TaPi aWak Tak tAu aDa GaK HaTi YG PuJi
You CaN aLWaYS CouNt oN Me..

aWak..
HaRi iNi SaYa SeNYuM KaT aWaK
TaPi aWaK JaLaN DePaN SaYa
JaDiK sEnYuM PoN TaK GuNeR
SEbAb aWaK tak NaMpAk..

AwAk..
HaRi iNi aWaK TeGuR sAyA
TaPi sAYa buAT2 PeKAk…
PaDAhAl sAYa NaK eLaK..
TAK BOleY BReNtI bORak, kAwAn RaMai..

AWak..
HaRi ini SaYa tEgOr aWak
TaPi SayA teGuR aWaK dAlAm HaTi
AwaK taK PeRnAh DenGaR aLL ThE
gUdLuCk aNd Take CaRe
yAnG SayA bAGi hArI2…

aWak..
HaRi Ni KiTeR DuDuK SeMeJa
TaPi RaSeR CaM JaUh GiLeR
PaDaHaLTaK SaMPai SeDepA
SBb kITeR TaK TeGUr SApA..

aWak..
HaRi Nie aWaK BeRaTuR BLaKaNG SaYa
TaPi SaYa TaK tAu NaK cAkAp aPeR
JaDiK SaYa BLaH CaMTu aJe
WalAU HatI mERonTa GilER..

aWak..
HaRi Nie BRuBaH SiTuAsi
TaPi SaYa Still ADa KaT SiNi
PaDaHaL kELas dAh KoSoNg
TaK BeRiSi

aWak..
HaRi SaYa NaMPaK aWaK KaT Mc D
TaPi aWaK TaK MaCaM DuLu LaGi,
DaH BeRTeMaN
JaDiK SaYa TeRDiAm SeNDiRi..

aWaK..
HaRi NiE SaYa Dah JanJi
NaK pErGi NGan KaWaN KawAN
JuMPa TuK KAli AkHIr
TaPi TaK Tau NaPeR
SayA RaSA TaK BoLeY PeGi

aWaK..
HaRi iNi SaYa MeNYeSal
AdE eGo yg TiNGGi
TaPi DaH TaK aDeR HaRaPaN KaT SiNi
JaDiK NaK tAk NaK
TeRPaKsE SeNDiRi

aWak..
HaRi Nie HaRi TeRakHiR SaYa naMPaK aWak
TaPi aWak TaK ToLeH Kat SiNi
aWaK FoKuS KaT TV
DEngaN TeMAn MaSIh KaT SiSI…

aWaK..
HaRi Nie SaYa TeNGoK
GaMBaR KiTer SeNYuM
NaK BuaNg SaYaNG
NaK SiMPaN SeDeY

aWaK..
BeSoR JAraK DaH aNTaRe KiTeR
aDeR KAt BaLai BeRLePaS
BeSoK DAh Tak De BeSoK uTK SaYa
BeSoK JuGaK DaH TaKDe BeSoK uNTuK aWaK

aWak..
SMoGe SaTu HaRi NaNTi
SaYa MeNGiNSaFi DiRi
TaK NaK aDeR eGo TiNGGi LaGi
HAnyA BuaT SaKiT HaTi
SImPan PERasaAn SEksA DIrI…

aWaK..
SeBeLuM PeGi HaRi iNi..
Kat AiRPort NiE.
SaYa JanJi BIla DAh BeRJaYA naNTi
AKan BeriTAhu KAt aWAk..
YAnG SeMua Nie uNTuK aWaK..
SeBaB KeNaL aWaK
aNuGeRaH TeRiNdAh PeRNah SaYa MiLiKi..

TeRiMe KaSiH aWaK..
TeRiMa KaSiH SaNGaT2 SeBaB SuDi JaDiK KaWaN SaYa
———————————————————————-
Comel bukan? Sebuah puisi ringan namun sarat dengan isu perasaan yang terpendam, simpan jadi pekasam. Sudut hati yang paling dalam. Banyak sudah cerita dan sajak berkait isu tidak berani untuk luahkan rasa. Namun, kata orang, 'you won’t lose anything by telling someone your feelings'. Paling teruk pun , dia hanya akan ketawakan kita.
Tapi sekurang-kurangnya hati akan jadi tenang. Tidak lagi rusuh. Tiada penyesalan berbaur “Kalau”. Tidak lagi tidur bersulam igau. 

Monday 20 August 2012

Optimis



Impian: Sesuatu yang amat indah tapi belum tentu setiap orang dapat mencapai apa yang di impikan
*****
Semua orang ada impian.

Namun untuk mencapai sesuatu impian bukanlah perkara mudah. Banyak ujian yang perlu dilalui. Lebih banyak ranjau duri dari bunganya. Saya pernah teringat kata-kata, “.. untuk menemui taman bunga yang indah perlu terlebih dahulu melalui jalan yang jauh, penuh duri dan batu-batu kelikir yang tajam...”

Usaha yang berterusan. Keazaman yang kuat. Fokus yang bermatlamat. Tak pernah kenal erti putus asa. Kadang-kala kesakitan sementara yang teramat juga terpaksa ditempuhi. Kepenatan dan keletihan apatah lagi. Namun itulah harganya mengejar sebuah impian.

Sunday 19 August 2012

Pertemuan Kedua


********************
Kata dia : Saya tahu ada ramai kawan-kawan kita di sini. Tapi saya sendiri yang memilih untuk tidak menghubungi mereka. Saya rasa antara saya dan mereka semua telah terpisah jauh oleh jarak dan masa. Kenangan bersama rakan rakan yang lain juga telah saya lipat dan susunkan dalam kotak waktu yang tersorok jauh berdebu di bawah katil. Apalah gunanya untuk berhubung kembali jika semata-mata hanya untuk mengenang sejarah silam? Bukankah masing masing telah ada kehidupan yang baru? Apa guna membuka luka lama?

Nampaknya dia sudah jauh berubah. Dia menganggap kehidupan bagai memandu di jalan sehala yang tiada pusingan U. Perjalanan hanya untuk kehadapan dan tidak perlu berundur untuk mengutip apa apa kenangan yang tertinggal. Sedangkan saya percaya kami telah diberi peluang kedua dengan pertemuan semula tanpa dirancang ini..

Siapakah yang benar? Hidup ini penuh persoalan tanpa jawapannya.

Saturday 18 August 2012

Sendirian



Andai bersendirian itu satu tuntutan, 
aku pasti akan lebih berhati hati untuk melangkah.

Andai bersendiri itu satu pilihan, 
aku pasti tidak akan memilihnya kerana aku kini tahu indahnya kala berdua.

Friday 17 August 2012

Sepi



Bisikku pada bulan:
kembalikan temanku, kekasihku, syurgaku
tanpa dia malam menemani
sepi memelukku.
Bulan, jangan biar siang
biar alam ini kelam
biar ia sepi sepertiku 

(Khalil Gibran)

Thursday 16 August 2012

Rindu Ini


Cinta kita bagaikan kembara
meniti samudera
biarpun liku kehidupan berbeza
namun kita sama

Dalam perjalanan ini
mencari erti
mengenali diri
siapa kita sebenarnya
tika dan waktu suatu suratan
akhirnya ketemu.
Aku rindu.

Inilah duniaku
impi damai di sisimu.
Inilah bebasku
bersamamu yang ku rindu.
Inilah duniaku
insan seni di sisimu.
Inilah bebasku
bersamamu yang ku rindu

Wednesday 15 August 2012

Warkah Berlagu Pilu

Padamu kuutuskan kalimah penuh perasaan
untuk kumenyatakan apa yang tersirat dihatiku
dalam tidak kausedari kauhanya menyintaiku
sedang kumencuba melangkah pergi dari hidupmu

Kau yang sering membahagiakan
di kala kukesedihan
tak mungkin dapat kulupakan

Kuhanya ingin kau mengerti
apa yang kumiliki
cuma harapan dan sinar

Lupakanlah semua kenangan
yang bisa buat kau bersedih
sampai di sini saja cinta yang dipertahankan

Anggaplah ini suratan satu perpisahan
maafkanku andai dirimu terluka

Dalam tidak kausedari kau hanya menyintaiku
sedang kumencuba melangkah pergi dari hidupmu

Kau yang sering membahagiakan
di kala kukesedihan
tak mungkin dapat kulupakan

Kuhanya ingin kau mengerti
apa yang kumiliki
cuma harapan dan sinar

Lupakanlah semua kenangan
yang bisa buat kaubersedih
sampai di sini saja cinta yang dipertahankan

Anggaplah ini suratan satu perpisahan
maafkanku andai dirimu terluka

Tuesday 14 August 2012

Pencarian..



kita sering mencari
erti kebahagiaan..
dalam sisa sisa keretakan
sebuah perhubungan..

persoalan tanpa jawapan
sepi menghantui..
meneka dalam kesamaran..

kita sering menidakkan kesetiaan
sedangkan ianya ada
walaupun agak sukar
untuk di cambahkan
kerana terlalu usang, terbiar..
tanpa dibaja..

Monday 13 August 2012

Penantian



Dia meletakkan ganggang telefon. Mengetap bibir bagai mencari satu kekuatan. Sesaat kemudian, bingkas dia bangkit menyelongkar mencari kotak yang disorok bawah katil. Kotak berikat kemas riben berwarna biru yang di dalamnya tersimpan pelbagai catatan peribadi, warkah dan gambar. Semuanya masih terpelihara rapi. Jemarinya segera mencapai sekeping kad berlakarkan sekuntum mawar merah.

Setiap aksara yang tertera pada kad tersebut sebenarnya telah terhafal di minda. Bibir membaca, hati turut menyambut:
Semoga saya akan kekal di hati awak sebagaimana awak sentiasa berada di hati saya. Walau tak kira di mana saya berada, percayalah saya akan tetap kembali kepada awak suatu hari nanti. Bintang yang tidak berganjak di langit gelap akan menjadi petunjuk, membawa saya pulang. Percayalah.

Menghafal setiap baris ayat yang tersusun kemas. Menyimpannya di tempat teratas di sudut hati. Bodohkah dia kerana terlalu menaruh harapan pada barisan ayat tersusun indah biar pun jarak waktu telah lama berlalu. Jejak si dia turut lama hilang bagai bayang?
Mungkin ada yang akan mengatakan dia bodoh. Namun itulah apa yang dia pegang: sebuah harapan.

Sunday 12 August 2012

Antara 2 Pilihan



Suatu waktu dahulu, saya pernah terfikir andai saya berada di dua persimpangan jalan, maka jalan yang mana seharusnya jadi pilihan? Memilih untuk menggembirakan hati sendiri atau sebaliknya memilih berkorban demi kebahagiaan orang lain? Ada yang pasti akan berkata pilihlah untuk mengorbankan diri sendiri demi melihat orang lain gembira. Itu adalah sebaik-baik perbuatan, bukan?
Namun mestikah lilin sentiasa membakar diri untuk menerangi ruang? Mestikah setiap kali lilin yang harus terbakar hanya kerana namanya 'lilin'?

Hati terasa resah. Di mana letaknya damai di hati? Terasa ingin bersama dengan dia tetapi dalam masa yang sama hati juga ada rasa ingin berlari jauh darinya. Ingin bersendiri. Ingin berlari tanpa henti. Ingin terbang di awan. Ingin menangis sepuas puasnya, biar tenggelam dalam pemikiran negatif. Melankolia.

Semua nya terasa hambar. Lilin adakala tidak ingin menjadi dirinya lagi. Tersenyum walau airmata deras mengalir demi tidak merisaukan sesiapa. Bukan ingin mengeluh. Bukan tidak tahu bersyukur tapi adakalanya diri tewas kerana letih berfikir.

Tangan ingin berhenti menaip. Skrin biru di depan mata seakan telah hilang keajaibannya. Fikiran dan hati semakin kosong. Tidak ingin berbicara. Hanya ingin meletakkan dahi ke meja dan menutup mata.

Tuhan, damaikan lah satu jiwa yang sedang gelora ini. 

Saturday 11 August 2012

Perjalanan Hidup


Walau sesusah manapun kehidupan seseorang itu, selagi belum tiba masanya untuk pergi menghadap Illahi, hidup mesti diteruskan.

Sedalam manapun jurang kedukaan dan kepayahan yang menimpa diri, masa tetap berjalan, tiada terhenti. Musim tetap berganti. Dunia tetap berputar pada paksinya.

Suatu ketika dulu, dia pernah berkata yang saya ni amat berbeza dari orang lain. Dalam ketawa, saya mengusiknya dengan bertanya apa bezanya saya dengan orang lain? Saya tidak ada tanduk atau ekor, bukan? Dalam saya ketawa, sebenarnya terselit juga sedikit rasa risau andai dia benar. Saya tidak mahu berlainan dari orang lain kerana sesuatu yang ganjil atau janggal itu akan tersisih ke tepi. Sukar diterima.

Kata dia : Ada sesuatu dalam diri awak yang tak pernah diam, sentiasa resah. Awak seperti api yang cahayanya menarik ribuan kelkatu agar datang menghampiri, hadir mendekati. Namun haba dari cahaya itu juga membuat ada yang pergi menjauhi. Cahaya awak membakar mereka yang terlalu rapat dengan awak.

Kata saya dengan perlahan: Saya tak pernah berniat untuk menyakiti atau mengganggu sesiapa. Saya tidak ingin jadi lain. Saya bukan pelik. Saya bukan ganjil. Saya ...

Friday 10 August 2012

Erti Rindu


Kata Khalil Gibran:
Kita akan mengetahui jika perasaan itu adalah cinta ialah apabila kita melepaskan orang yang kita cintai itu pergi dan dia tetap kembali pada kita. Namun seandainya orang yang kita lepaskan itu pergi dan tidak kembali sampai bila-bila, maka dia bukanlah orang yang sepatutnya kita cintai.
************************************************
Ramai yang fikir sudah cukup seandainya kita mencintai seseorang dan dia juga mencintai kita. Entahlah. Adakala rasanya bila terlalu cuba memahami, terlalu mengalah, terlalu ingin menjaga hati seseorang, perasaan sendiri yang akan terluka. Anehnya juga kerana luka itu terbit dari perasaan sayang.

Jari mula menaip baris-baris kata dengan rapi. Momentum terhenti sebentar. Mata memandang skrin di hadapan mata, membaca kembali setiap baris kata. Terdiam agak lama dengan jari masih kaku di atas keyboard.

Mata beralih memandang ke luar tingkap. Sangat suka melihat langit yang luas. Walau bulan dan bintang ada masanya enggan kelihatan. Bilakah agaknya boleh merasa fikiran selapang angkasa dan hati sedamai air tenang di tasik?

Malam ini, hati melepaskan segala perasaan dan ingatan kepada dia yang selama ini tersimpan dan terjaga dengan rapi. Melepaskan dia dari sangkar hati. Tidak mahu meneka lagi andai dia akan kembali atau tidak. Pasrah. Walau iman masih senipis dan serapuh kulit bawang.

Apa yang patut di buat? Apa yang patut di buat? Kembalikan seluruh tumpuan kepada kerja agar boleh menjadi seorang yang kuat? Selamat malam. Moga esok, satu lembaran baru akan tertulis.

Thursday 9 August 2012

Nilai Kebahagiaan


Masa lalu ibarat bayang bayang yang sentiasa mengikuti setiap derap langkah kita.. mendesak untuk di beri perhatian terutama bila malam menjelang..
*******************************
Kata saya:
Saya lihat banyak kesusahan yang awak hadapi dalam hidup awak. Namun yang hairannya awak masih ceria, sentiasa tersenyum dan ketawa, seakan tiada masalah langsung dalam hidup awak.

Kata dia:
Masalah itu sentiasa ada. Namun tak ada gunanya jika kita biarkan fikiran negatif menguasai jiwa kita. Dalam tradisi keluarga saya, saya telah dididik bahawa perkahwinan itu hanya berlaku sekali seumur hidup. Suka atau tidak, saya kena bertahan. Bukankah perkahwinan itu satu komitmen dan tanggungjawab?

Kata saya:
Biarpun berlaku pelanggaran dalam prinsip perkahwinan? Komitmen dan tanggungjawab bukan terletak pada bahu seorang saja. Perlukah di ketepikan kebahagiaan awak sendiri?

Kata dia:
Kadang kadang semua tu perlu bila kita telah ada anak anak yang perlu kita fikirkan kebajikan mereka. Awak tahu, setiap kali ada perkara negatif berlaku, saya akan cuba menukarkannya kepada perkara positif:

a) Bila tiba melihat rumah jiran yang ada sofa besar, berlantai kan carpet tebal dari luar negara serta lukisan lukisan berharga yang tergantung di dinding rumah dia waktu hari raya yang lepas, ada saja syaitan yang berbisik ditelinga meletakkan bibit bibit iri hati dalam jiwa. Sebagai ganti, segera saya berkata dalam hati yang rumah saya juga hebat. Walau dinding ada contengan pensil anak sulung yang nakal, dan ada mainan yang kadang kala bersepah, ianya tetap rumah yang saya bayar dengan wang saya sendiri. Ianya walau sederhana, tapi penuh dengan memori gelak ketawa anak anak saya yang menghiburkan. Ianya sebuah rumah yang tidak sunyi dengan kenangan.

b) Apabila sang suami tidak dapat menghantar ke tempat kerja dan saya terpaksa berlari mengejar bas, saya fikirkan yang betapa untungnya saya kerana masih sihat dan mampu berlari. Lantas, bibir saya mengucap syukur.

c) Bila bos saya yang cerewet marah marah di pejabat, saya berfikir yang alangkah bertuahnya saya kerana masih mempunyai pekerjaan dan masih ada bos yang bisa memarahi untuk menegur kerja saya.

d) Bila anak saya cerewet dan tidak mahu makan, saya terus tersenyum sambil memikirkan alangkah bertuahnya saya mempunyai anak. Dan saya tumpukan perhatian pada kebaikan dan kepandaian sang anak.

e) Dan bila suami saya berlagak ego, degil dan keras kepala, saya cuba fikirkan segala perkara perkara yang baik yang pernah dia lakukan dan saya memujuk hati dengan mengatakan yang dia seorang yang kuat pendirian.

Saya memandang dia dengan kagum beserta pelik. Kagum dengan kebolehan dia menukarkan semua perkara yang menyesakkan fikiran kepada sesuatu yang positif. Pelik dengan kebolehannya memujuk dirinya sendiri. Mungkin hatinya benar benar pasrah dan cinta nya pada Tuhan telah sampai ke tahap yang melebihi cintanya pada sesama manusia. Siapa tahu andai dia benar-benar bahagia.


Wednesday 8 August 2012

Cinta..



Apakah Cinta itu?

Mereka yang tidak menyukai, menyebutnya tanggung jawab
Mereka yang tak bersungguh, menyebutnya sebuah permainan
Mereka yang tidak memiliki, menyebutnya sebuah impian,
Mereka yang mencintai, menyebutnya sebagai takdir.

Adakala Tuhan yang mengetahui yang terbaik, akan memberi kesusahan untuk menguji kita. Adakala diberikan luka pada hati agar cinta pada-Nya bisa tertanam dalam.

Jika kita kehilangan cinta, maka pasti ada alasan di baliknya. Alasan yang ada tikanya sulit untuk dimengerti, namun kita tetap harus percaya bahwa ketika Ia mengambil sesuatu, Ia telah siap memberi yang lebih baik sebagai ganti.

Mengapa menunggu?
Kerana walaupun kita ingin mengambil keputusan, kita tidak ingin tergesa-gesa.
Kerana walaupun kita ingin cepat-cepat, kita tidak ingin sembrono.
Kerana walaupun kita ingin segera menemukan orang yang kita cintai, kita tidak ingin kehilangan jati diri kita dalam proses pencarian itu.

Jika ingin berlari, belajarlah berjalan dahulu. Jika ingin berenang, belajarlah mengapung dahulu. Jika ingin dicintai, belajarlah mencintai dahulu.
Pada akhirnya, lebih baik menunggu orang yang kita inginkan dari hanya mengambil apa yang ada. Lebih baik menunggu orang yang kita cintai, dari hanya memuaskan diri dengan apa yang ada. Lebih baik lagi menunggu orang yang tepat, kerana hidup ini terlampau singkat untuk dilalui bersama pilihan yang salah.

Bunga tidak akan mekar dalam satu malam,
Kota Rom tidak didirikan dalam sehari,
Kehidupan bermula di dalam rahim selama sembilan bulan,
Cinta yang agung terus bertumbuh selama mana usia kehidupan.

Kebanyakan hal yang indah dalam hidup memerlukan waktu yang lama agar penantian kita tidak sia-sia. Walaupun menunggu memerlukan banyak perkara: kesabaran, keberanian, dan pengharapan - kerana hasil sebuah penantian itu tidak dapat kita ketahui dengan yakin.

Sabar.

Tuesday 7 August 2012

Dari Hati Ke Hati



Saya tidak pernah meminta agar perasaan ini hadir dan tidak pernah juga menduga ianya datang dengan kesan yang begitu mendalam sekali. Bahaya dan risiko membuka walau satu ruang kecil pun untuk satu perasaan yang dinamakan cinta. Datangnya secara halus, kesannya bagikan bom atom yang meletus di Hiroshima. Mengubah seluruh pegangan dan kehidupan.

Mungkin saya tidak faham dengan permainan dunia cinta. Mungkin saya tidak arif dengan apa yang dikatakan kehidupan, dengan segala peraturan peraturan yang perlu di pelajari sebelum melangkah masuk ke alam ini. Apa yang saya tahu, cinta sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih kuat, lebih bahagia. Cinta bermaksud menerima seseorang itu dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya, menerima dia sebagai dirinya. Memberi dan menerima.

Cinta, bagi saya, adalah meluahkan apa yang terpendam. Melafazkan apa yang difikirkan dengan seikhlas nya. Cinta itu mengambil tahu tentang orang yang dicintai, bertanya khabar tentang sakit peningnya, peka kepada apa yang mampu membuatkan dia tertawa, apa yang dia impikan dan apa yang boleh membuatkan hati nya terluka.

Berkongsi kegembiraan dia walaupun ianya bukan disebabkan oleh diri kita, dan turut berasa sedih tatkala dia sedih atau dalam kesusahan. Keinginan untuk melihat dia gembira walau apa jua harganya. Cuba menjadi seberapa sempurna untuk dirinya.

Rindu adalah sebahagian dari cinta. Rindu pada suara, rindu pada kebaikannya, rindu pada sentuhannya, senyumannya, gelak tawanya serta rindu pada kelembutan dalam bicaranya dan rindu pada kehadirannya. Rindu itulah juga yang menyeksakan apabila dia mendiamkan diri. Melebihkan orang lain dari saya. Sakit.

Cinta itu adakalanya menyakitkan. Andai tersilap perkiraan, rajuk jadi permainan. Jika ego menguasai, tiada siapa yang datang menyakinkan atau melapangkan hati kecuali diri sendiri. Seperti berbicara sendiri, pelbagai andaian dan bisikan bermain di hati. Hati mula tertanya-tanya sendainya diri bukan lagi sesuatu yang penting dalam kamus hidupnya, seandainya diri hanya sekadar bagi memenuhi ruang yang kosong. Maka itu bukan lah cinta sejati. Hanya satu kategori dari cabang cinta.

Bila merasa dengan perasaan, makanan sesedap manapun akan terasa hambar. Hati tugasnya untuk merasa dan hati juga lah yang boleh membuatkan seseorang merasa bahagia atau derita. Akal, sebaliknya, menggunakan logik. Menapis peristiwa dan membuat keputusan dari apa yang dianalisakannya. Namun adakalanya data yang di sampaikan oleh hati terpesong oleh impian yang mengaburi jiwa.

Akal tertanya-tanya untuk melangkah pergi atau terus mengharap. Andai ada kata dua dari dirinya yang dapat menyokong rasa hati, diri akan terus bertahan. Namun andai sepi terus menghantui dan tiada apa yang dapat menyakinkan, maka bila tiba waktunya, akal yang akan memimpin hati membawa diri pergi jauh dari cinta.

Satu ayat, hanya satu ayat, yang perlu. Yakinkanlah hati ini yang hubungan ini cukup bererti.


Salam Lebaran 2012


Monday 6 August 2012

Jalan Kembali



Semakin hari semakin kerap mata memandang langit di waktu malam. Sunyi terasa, hanya bertemankan angin yang membelai lembut wajah. Bibir tidak bosan mengucap syukur kerana masih boleh menikmati keindahan malam. Suasana sepi ternyata berjaya mengubah diri ini menjadi seorang pemikir.

Berfikir tentang apa? Tentang kehidupan dan tentang kematian. Berfikir tentang dosa dan pahala. Berfikir tentang masa hadapan yang masih kelam. Suram.

Bagaimana agaknya kehidupan di alam yang satu lagi? Amalan rasanya masih terlalu sedikit. Dan diri takut berada dalam kegelapan. Bayangkan..gelap malam, masih ada cahaya bulan. Gelap di alam kubur? Pastinya lebih menakutkan. Satu keluhan terlepas bebas.

Pesan ayah satu ketika dulu:
Jaga amalan kita. Yang wajib jangan ditinggalkan. Yang sunat elok dilakukan. Yang makruh hendaklah dijauhkan. Juga jangan lakukan dosa dosa besar. Amalan kitalah yang akan membuatkan kubur kita luas dan lapang.

Satu keluhan lagi terlepas dari bibir. Suatu ketika diri pernah kecewa, terluka dan hidup dalam tangisan. Terlupa segala ajaran dan pesanan ayah. Apa yang ada cuma rasa kehilangan, kekosongan dan kesedihan yang teramat dalam. Siapa yang merasa sahaja, pasti akan mengerti pilu di hati.


Sunday 5 August 2012

Hakiki



Cinta hakiki ialah cinta yang bertakhta di akal dan di hati. 
Sebelum mata melihat atau saling bertemu, hati sudah bertaut.
Jiwa disatukan oleh tali Allah dan bukannya oleh nafsu dan kepentingan diri.

Saturday 4 August 2012

Mencari Arah..


Gadis membuka luas jendela kamar, memberi izin angin malam masuk menemani diri. Resah jiwanya, kacau mindanya . Terganggu dengan pelbagai soalan yang bertalu-talu menerpa meminta perhatian. Bingit.

Jawablah dengan jujur, Gadis. Jawablah seikhlasnya dari hati. Tidak perlu berbohong pada diri sendiri.
Relakah diri bila suatu masa nanti kamu akan kehilangan Jejaka? Sudah bersediakah? Relakah kamu, Gadis, andai keputusan tidak memihak pada diri? Seandainya dia melangkah pergi. mengikut pilihan yang satu lagi?

Kenapa Cinta dan sayang tidak sentiasa membawa kebahagiaan? Kenapa cinta juga datang bersama kesedihan? Bagaimana ingin menjadi seorang yang “kuat”, agar hati tidak terlalu bersedih andai saatnya tiba untuk berpisah.

Kata orang berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Begitu juga kepercayaan Gadis. Gadis benar-benar mencintai dia. Gadis percaya hati Gadis dan hati Jejaka juga sama. Saling mencintai.

Kata orang sekeras mana pun hati manusia, pasti wujud jika tidak banyak, sedikit perasaan belas kasihan dan ehsan di dalamnya. Namun di manakah ehsan itu bila ianya tentang Gadis? Atas nama sebuah ehsan itu, janganlah di buang seorang Gadis dari hidup seorang Jejaka.

Angin bawalah segala rahsia hati ini dan bisikkanlah pada telinga Jejaka.

Friday 3 August 2012

Satu Ucapan Cuma



Kata Jejaka:
Awak tahu..orang kata salji di sana berwarna coklat, dan bukannya putih seperti yang awak lihat di majalah. Semuanya sebab tempat tersebut telah dilanda pencemaran udara yang teruk. Mungkin kalau kita buat orang salji kat situ, warna dia pasti coklat dan bukannya putih. Buruk.

Kata Gadis: Awak, saya ke sana bukan untuk bermain salji. Lagipun, cuaca di sana bermusim. Bukan musim salji semata.

Kata Jejaka: Awak ada tengok berita di televisyen semalam? Dengar kata, banyak berlaku jenayah dan mogok di sana. Pelajar-pelajar sentiasa membawa alat pemedih mata bersama mereka sebagai langkah-langkah keselamatam..

Kata Gadis: Awak, saya tau semua itu. Esok, saya akan berangkat ke sana. Tentu susah untuk kita berjumpa selalu seperti sekarang ni. Menulis surat pasti tidak sama seperti kita berjumpa dan berbual, bukan?

Kata Jejaka: Awak akan pulang sekali-sekala bukan? Pada musim cuti semester?

Kata Gadis: Cuba awak berikan saya sebab kenapa saya harus pulang ke sini.

Kata Jejaka: Sebab yang pertama, pemandangan di sini asli dan cantik. Tak mungkin awak dapat lihat pandangan seperti ini di sana. Sebab yang kedua, ini kan kampung awak.

Kata Gadis: Itu saja sebab-sebabnya? Tiada lain?

Kata dia: Iye. Itu saja.

Kata Gadis: Pemandangan di mana pun sama saja bagi saya. Setiap tempat pasti ada keunikan nya sendiri. Bagi saya, tempat ini tidak ada apa-apa istimewanya kecuali kenangan-kenangan pahit yang saya ingin lupakan. Tidak ada apa pun yang dapat membuat saya ingin kembali melainkan ... jika awak ada alasan lain.

Jejaka diam tanpa kata. Hanya memandang jauh ke satu sudut. Payah untuk Gadis selami apa yang terbuku di hati Jejaka. Ah. Jejaka masih tidak mahu memujuk. Sedangkan Gadis hanya perlukan satu ucapan, satu janji dari Jejaka yang dapat membuat Gadis pasti kembali.

Kata Gadis selepas sepi yang panjang: Dunia kita pasti akan berbeza mulai hari ini. Saya harap awak akan bahagia dengan jalan awak. Doakanlah agar saya juga bahagia dengan jalan yang saya pilih. Biarlah kita berpisah di sini saja. Awak tidak perlu menghantar saya ke lapangan terbang esok.

Gadis terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kejamkah dia? Andai kejam, kenapakah ada titisan airmmata jernih mengalir deras di wajahnya?

Thursday 2 August 2012

Illusi


Apabila berbual dengan teman, ramai yang menyuarakan keinginan untuk kembali ke zaman kanak kanak. Gadis tidak begitu. Gadis lebih suka kehidupannya sekarang walau ia juga penuh dengan onak duri tajam mencucuk tubuh.

Terus terang, Gadis cuma ada cebis cebisan bayangan kehidupan masa itu. Kebanyakan memori hitam telah Gadis padamkan dari ingatan. Hitam. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa cara Gadis seolah cara seorang penakut tapi itulah satu satunya cara Gadis berjaya meneruskan hidup dan perlihatkan senyuman kepada dunia.

Andai Gadis katakan Gadis orang susah, tiada siapa akan percaya. Tentu saja, siapa akan percaya anak seorang Guru Besar hidupnya susah. Cara percakapan, cara makan dan pencapaian akedemik Gadis lebih menghala kepada pendidikan British, sudah cukup untuk membuatkan Gadis dikelaskan dalam kategori orang atasan. Ini dikuatkan lagi apabila Gadis terpaksa berbuat seolah seperti tidak berminat untuk menyertai sebarang aktiviti persatuan untuk menutup realiti yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian seragam mahupun menyertai aktiviti persatuan. Abang-abang Gadis mampu berlakon dengan sempurna dan memekakkan telinga pada kata-kata sinis orang sekeliling tapi Gadis dengan hati serapuh biskut, lebih suka menyendiri dalam dunianya.

Illusi semakin sempurna setiap hari.

Wednesday 1 August 2012

Mimpi Semalam


Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Terasa letih untuk menulis walau bertali arus perkataan bermain di fikiran. Jari jemari terasa tidak mampu untuk menzahirkan apa yang tersirat di hati. Terasa segalanya sia-sia kerana bicara hati kini sepi. Tidak ada siapa lagi yang membaca. Tiada siapa lagi yang menyapa.

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Memandang langit yang luas, memuji keindahan alam ciptaan Tuhan. Sepi menyapa lembut, datang sebagai peneman malam membawa bersama ketenangan. Hari ini saya mengakui yang saya telah kalah. Dia benar apabila dia berkata yang saya hanya membawa masalah pada semua yang mengenali saya. Segala yang saya lakukan walau dengan niat yang baik, pasti akan berakhir dengan kerosakan. Walau saya bersumpah sekalipun yang saya tak pernah berniat untuk menyakitkan hati sesiapa, namun katanya itu semua tidak penting. Yang utama ialah hasil dari setiap satu tindakan yang kita lakukan dan ternyata tindakan saya sentiasa salah.

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Kerana saya tidak mahu menyusahkan atau dituduh sebagai penyebab kemusnahan kehidupan orang lain. Saya menyuruh dia agar pergi dari sisi saya namun dia tidak mahu. Katanya kerana 'Cinta'. Cinta kah itu yang dia tunjukkan dengan mengawal setiap gerak laku? Cintakah itu yang dia ucapkan pabila setiap kata yang keluar menghiris jiwa? Cintakah itu pabila setiap nada suara kedengaran penuh dengan api kemarahan?

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.