Tuesday 31 July 2012

Hikmah Sebalik Kesusahan


Hati selalu tertanya-tanya kenapa dan mengapa sesuatu itu terjadi. Selalu kita dengar orang berkata di sebalik sesuatu kesusahan, pasti ada hikmahnya. Sentiasa ada pengajaran di sebalik setiap keperitan dan juga kesenangan yang Tuhan berikan.
Yang penting, cekalkan hati dan sabar.
Terasa berat perkataan yang satu itu: Sabar. Sabar pula tidak datang sendirian. Harus berpasangan dengan 'Yakin'. 'Sabar' dalam hadapi apa juga ujian dan 'Yakin' yang Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Hmmm.

Allah kurniakan kita dgn nikmat,
kemudian ditarik nikmat itu...
dan digantikan dengan sabar..
maka yg digantikan itu adalah lebih baik..
dpd apa yg telah dikurniakan..

Allah kurniakan kita matahari...
kita riang bermandi cahaya..
kemudian ditutup matahari itu..
diganti dengan awan hitam, hujan dan ribut petir
kita ketakutan dan menanyakan mana pergi matahari..
Padahal matahari tidak hilang..
Ianya tetap ada disebalik awan hitam, hujan dan ribut petir..
Dan pabila hujan berhenti..
kita dihadiahkan dengan pelangi..


kita mungkin tidak tahu erti tenang jika tidak melalui kekusutan terlebih dahulu. Sabar itu sesungguhnya memerlukan kekuatan.

Monday 30 July 2012

Soal Hati 4



Adakala hidup ini terasa sukar untuk difahami. Apatah lagi untuk diharungi. Adakala kita fikir kita sangat dekat dengan sidia bila dia ada disamping kita. Namun apabila kita teliti, kita sebanrnya mungkin berada terlalu jauh dari dia.

Sewaktu kita pegang dan genggam tangan dia, belum tentu hatinya kita miliki. Sewaktu kita terlihat dia tersenyum sendirian, belum tentu kita lah orangnya yang menjadi punca senyuman yang menghiasi bibirnya. Sewaktu dia termenung dan runsing, kita harap kehadiran kita dapat memujuk dan menenangkan perasaannya, walhal sebenarnya kehadiran kita mungkin langsung tidak disedari oleh dia. Sewaktu kita fikir kita adalah orang yang istimewa dalam hidup dia, belum tentu dia melihat kita dengan pandangan yang serupa.

Ingin sahaja menangis. Tidak tahu di mana salah, di mana kurang. Tuhan, tolonglah. Sakit, dada terasa amat sakit.

Friday 20 July 2012

Salam Ramadhan


Ramadhan tiba lagi..
Sedar tak sedar, terasa alangkah cepatnya masa berlalu.
Merenung bulan..berbicara dengan hati. Apa bezanya kita di Ramadhan tahun ini berbanding dengan Ramadhan tahun lepas? Adakah harus bermula semula dari 'kosong' atau mungkin hanya perlu menambahkan sedikit lagi kebaikan yang telah tersemai dari Ramadhan yang lepas?

Soalan ini sebenarnya untuk diri saya juga.
Biasanya bila Ramadhan tiba, pelbagai azam dan rasa insaf menusuk di kalbu. Kata orang, mungkin sebab syaitan telah diikat, lalu hati menjadi putih sedikit (bergantung juga pada betapa tebalnya tahap kehitaman pada hati seseorang. Kalau tebal hitamnya, mungkin perlukan tindakan yang lebih drastik untuk putihkannya. Contoh..mungkin perlu gunakan Clorox..?).
Ada sesetengah perkara dalam diri yang telah diubah, namun ada banyak lagi yang perlu dipelajari dan diperbaiki.

Melankolik? Hanya bila sendirian.
Mudah merajuk dan mudah terasa hati...itu memang tak dinafikan. Tapi sudah dikurangkan..
walaupun ianya masih di tahap lesen 'P'. Ada kalanya bila saya terlalu di'cuba', hati terguris hingga tahap paling maksimum, maka terkeluar juga kata kata yang tak sepatutnya diucapkan..dan akhirnya airmata mengalir tanpa henti.

Saat ini..masih ada waktu waktunya sedih menyelubungi jiwa, diri terasa bagai tak mampu  memahami apa yang berlaku. Dan ada waktunya perasaan sayu datang menyapa.

Susah juga bukan...terutamanya bila perasaan mengatasi fikiran. Perempuan dengan 99 nafsu nya.. mudah membuat kesimpulan. Tapi..susah tak bererti tak boleh.. betul kan awak..?

Kelemahan saya memang dalam bab sabar. Semuanya kalau boleh nak diselesaikan dengan cepat. Nak cepat pandai, cepat tiba, cepat membuat kerja.. hingga kadang kadang saya akui saya terlupa menjaga perasaan orang lain.

Saya sukar hendak faham sesuatu jika ianya tidak dinyatakan dengan jelas. Saya takut apa yang saya faham, berlainan dari apa yang orang lain faham. Adakalnya terkeliru..nampak apa yang orang buat pada saya, tapi tak nampak yang kadang kadang perbuatan saya sendiri juga ada menyentuh hati orang lain.

Punca kesilapan adakalanya datang dari diri sendiri...
Ramadhan tahun ni, selain dari memohon ampun dari Tuhan, saya juga ingin meminta maaf atas segala salah dan silap saya sama ada dari segi perbualan, perbuatan atau tulisan saya. Maafkan saya..

Ramadhan Al-Mubarak 2012

Friday 6 July 2012

Permainan Dulu Dulu



Melihat budak budak bermain layang layang, saya teringat zaman budak budak dahulu. Apa saja yang orang lain main, senang jadi ikutan. Apa saja yang ada disekeliling boleh dijadikan bahan permainan. Yang penting imaginasi dan kreativiti. Apatah lagi membesar dengan dua orang abang yang sememangnya kreatif, saya lebih banyak ingat apa yang mereka berdua bermain dari permainan yang saya sendiri minati.
Selalunya, bila tiba waktu petang, saya mengikut mereka turun ke padang. Bukan sebagai pemain (tentunya) tapi dijadikan tukang menjaga kasut dan kemeja T mereka. Sebagai upah, saya disogokkan dengan gula-gula atau chickadees. 
Apa permainan mereka?
Bola sepak memang sudah tentu. Nombor 2 :main rounders. Permainannya seperti baseball atau sofball,  Perlukan satu pemukul kayu. Perbezaannya dari segi bola. Bola rounders ni ialah bola getah yang keras tapi kuat melantun (macam dalam cerita kartun, bila baling kat satu penjuru, laju dia melantun ke kiri, kanan dan merata. Kalau bola tersasar kena kepala, alamat boleh nampak bintang atas kepala. Kalau kena dengan timing dan cara pukul, bola ni boleh melantun berbatu2, malah masuk kat kebun getah pun boleh. Malang le bagi sesiapa yang ditugaskan cari bola lepas tu.
Permainan lain: main galah panjang, polis sentri, baling selipar pada tin susu yang di susun bertingkat tingkat dan main sambut tudung botol (sebiji cara dia macam bermain batu seremban. Abang tak pandang semua ni..katanya apa kelas main batu seremban. tu untuk budak perempuan aje) Waktu itu air tin hanya dijual di bandar. Di kedai kedai di taman perumahan tempat kami tinggal air gas semua djual dalam botol.
Sewaktu sambutan Hari Raya Cina,  seronok kumpul tutup botol. (dalam tutup botol tu, selalu nya ada selapis getah yg ada macam2 gambar kat dalam. Seronok mengumpul gambar gambar didalam. Abang pula akan mengetuk ceper (tudung botol) menjadi leper, dilubangkan ditengah tengah, serta dilalukan benang. Benang tersebut (dengan kedudukan ceper di tengah, di pusing pusing dan kemudian ditarik laju dan kendur. Berdesing bunyinya.

Abang Sulung memang paling pandai dalam bab kreativiti. Macam macam dibuatnya, janji ada bahan.. Macam McGyver. Dia buat layang-layang, buat capteh (bulu ayam yang diikat berbentuk seperti shuttlecock). Selain itu, dia buat lastik menggunakan kayu dan getah posmen (getah tebal warna putih). Duduk kat bandar ni susah nak dapat burung atau ayam untuk di lastik. So, sebagai ganti, dilastiknya tin (kalau tak, selalu lah adik dia yang jadi mangsa..siap kena ugut untuk buatkan dia air kalau tak mahu dilastik). Kesian kan..

Lagi satu lastik, dia buat menggunakan gelang getah. Dengan menggunakan ibu jari kaki sebagai  penahan, getah dililit, ikat dan anyam tebal (macam buat friendship band) berselang seli warna getah. Lastik ni katanya terbaik untuk tembak cicak. Saya selalu ngelat. Bila disuruh menembak cicak, saya sengaja buat supaya tak kena cicak. Bukan kesian tapi...GELI.... ee.. siapa nak kutip cicak tu kalau dia jatuh.  
Lastik getah tu, saya selalu sorok dari abang dan simpan buat koleksi.. Koleksi lagi.
Abang juga mahir dalam pertukangan tangan.. dibuatnya pistol kayu,(ukir dan potong dari papan, dilicinkan dengan kertas pasir, serupa bentuk pistol yang asli). Kemudian dia letak kan getah gelang di muncung pistol dan tarik sampai ke picu. Biji/ bunga buah jambu selalu jadi peluru. Kalau biji tak ada, di ambilnya kertas,, dibasahkan, diisi batu kecil di dalam untuk dijadikan peluru. 
Dulu dulu. kedai kedai runcit ada menjual kad kecil berukuran pemadam empat segi. Kalau tak dijual pun, ianya boleh didapati dengan bermain 'tikam' dengan pakcik penjual roti yang selalu lalu didepan rumah setiap petang. Di atas kad tersebut ada pelbagai gambar hero yang terkenal waktu tu seperti "ultraman" atau "perwira baja hitam".Kad kad kecil ini salah satu kegunaannya ialah untuk berlawan tepuk. 1 kad si adukan dengan kad pemain yang lain. Bila di tepuk, dan gambar daun kad tu terlungkup ke bawah, kita dikira kalah. Kad kecil tersebut akan bertukar tangan menjadi milik orang yang menang.
Lawan guli, lawan getah gelang, lawan adu kekuatan tangan, lawan siapa lidah dia boleh bergulung..dan macam macam lagi lawan. Dan seperti selalu, adiknya hanya memerhati. Jadi pengadil atau pemerhati. Kata abang, pengadil tu pangkat dia lagi tinggi. Yelah tu.
Tapi dia juga bagi upah. Upahnya  pengadil dapat satu kad percuma dari pemenang. :) Waktu tu, saya memang suka mengumpul benda benda comel dan  mengumpul upah. Upah tu juga sebenarnya berfungsi sebagai 'rasuah', agar si adik tidak mengadu kepada mak dan ayah apa abang abangnya buat). Kalau ada benjol kat dahi ke, atau lebam.. rahsia tetap disimpan.
Dah besar sikit, abang mula ajar saya permainan yang lebih mencabar :main catur, main dam. Dia ajar menggunakan minda, adiknya belajar meniru pergerakkan abang dan mengelat.. walau tak menang, keputusan seri dah lebih dari bagus..sebab sang abang tu juara catur kat sekolah.. :p  Dan semakin banyak juga rahsia abang yang tersimpan.. betul tak , abang?