Thursday 18 October 2012

Walang


Hari ini awan seakan pecah, menumpahkan segala isi kandungannya tanpa belas.
Mungkin hujan seakan ingin menjadi saksi berakhirnya cerita kami.

Saya sememangnya tahu yang persahabatan kami tak mungkin akan kekal lama.
Mana mungkin saya dibenarkan berkawan dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan seorang lelaki tanpa pengetahuan atau kebenaran dari dia.

Namun jauh di sudut hati ini, saya masih menaruh harapan yang tinggi agar Tuhan benarkan saya berkawan lebih lama lagi dengan guru. Kekosongan sedikit terisi sejak guru ada. Kami berbual tentang apa saja yang kami ingini, tanpa sebarang rasa ego mahupun meninggi diri. Guru tidak tahu cerita saya dan saya juga tidak tahu apa-apa pun kisah hidup guru. Kami hanya dua manusia yang ingin lari dari hiruk pikuk suasana kerja dan masalah masing-masing. Tidak pernah wujud soal cinta antara kami. Tidak pernah.

Malam itu, sekali lagi dia muncul bagaikan tsunami. Dia memukul tanpa bertanya, menuduh tanpa sebarang usul periksa. Pecah. Rabak. Saya yang bersalah kerana ingin berkawan, namun kenapa guru saja yang dipukul? Tidakkah dia lihat berapa usia tuan guru? Tak ada langsung rasa ehsan kah dalam hati seorang 'dia'?

Saya mendengar suara seseorang menjerit dan itu sebenarnya adalah suara saya! Saya yang selama ini tidak pernah meninggikan suara, menjerit dengan sepenuh hati. Dalam seketika itu juga pandangan saya menjadi kelabu dan gelap. Hilang.
*************
Hari ini saya masih di sini. Masih berada di takuk yang sama.
Betapa saya sangat ingin menjadi seperti camar yang bebas terbang tinggi di langit biru. Saya sangat ingin berada jauh berjuta batu dari sini, malah sejauh dan setinggi bintang di langit.

Namun saya sedar yang saya terpenjara di sini. Jasad saya sudah terikat di bandar ini.
Dia yang bagai Sang Rawana akan bertindak gila seandainya saya tiada. Semua yang pernah mengenali saya pasti akan terkena tempias amukannya. Tidak mengira teman yang rapat atau jauh.

Biarlah saya dikata membuang kawan. Asalkan api amarahnya hanya memakan diri saya dan bukannya mereka. Saya telah biasa dengan keadaan dia yang adakalanya baik dan adakalanya bertindak di luar batasan fikiran yang logik.

Namun saya juga manusia biasa yang punyai ketika di mana saya amat lemah. Ada ketikanya saya mengeluh dan menangis. Saya tahu kini yang saya tidak mampu lari dari kengkangan nasib saya. Saya cuba ingat pesan guru. Biar jasad saja dikurung, tapi jangan biarkan minda turut menjadi hamba. Biarlah masyarakat memalingkan muka, saya tidak boleh mengalah.

Dia mungkin boleh memaksa saya berada di sini selamanya. Tapi dia tidak mungkin memiliki hati dan semangat saya. Saya bersyukur kerana saya masih sihat dan saya masih mampu berlari walau dalam ruang yang sempit. Saya masih mampu bermimpi dan saya masih diri saya.
Inilah kisah saya.

No comments:

Post a Comment