Monday 13 August 2012

Penantian



Dia meletakkan ganggang telefon. Mengetap bibir bagai mencari satu kekuatan. Sesaat kemudian, bingkas dia bangkit menyelongkar mencari kotak yang disorok bawah katil. Kotak berikat kemas riben berwarna biru yang di dalamnya tersimpan pelbagai catatan peribadi, warkah dan gambar. Semuanya masih terpelihara rapi. Jemarinya segera mencapai sekeping kad berlakarkan sekuntum mawar merah.

Setiap aksara yang tertera pada kad tersebut sebenarnya telah terhafal di minda. Bibir membaca, hati turut menyambut:
Semoga saya akan kekal di hati awak sebagaimana awak sentiasa berada di hati saya. Walau tak kira di mana saya berada, percayalah saya akan tetap kembali kepada awak suatu hari nanti. Bintang yang tidak berganjak di langit gelap akan menjadi petunjuk, membawa saya pulang. Percayalah.

Menghafal setiap baris ayat yang tersusun kemas. Menyimpannya di tempat teratas di sudut hati. Bodohkah dia kerana terlalu menaruh harapan pada barisan ayat tersusun indah biar pun jarak waktu telah lama berlalu. Jejak si dia turut lama hilang bagai bayang?
Mungkin ada yang akan mengatakan dia bodoh. Namun itulah apa yang dia pegang: sebuah harapan.

No comments:

Post a Comment