Thursday 9 August 2012

Nilai Kebahagiaan


Masa lalu ibarat bayang bayang yang sentiasa mengikuti setiap derap langkah kita.. mendesak untuk di beri perhatian terutama bila malam menjelang..
*******************************
Kata saya:
Saya lihat banyak kesusahan yang awak hadapi dalam hidup awak. Namun yang hairannya awak masih ceria, sentiasa tersenyum dan ketawa, seakan tiada masalah langsung dalam hidup awak.

Kata dia:
Masalah itu sentiasa ada. Namun tak ada gunanya jika kita biarkan fikiran negatif menguasai jiwa kita. Dalam tradisi keluarga saya, saya telah dididik bahawa perkahwinan itu hanya berlaku sekali seumur hidup. Suka atau tidak, saya kena bertahan. Bukankah perkahwinan itu satu komitmen dan tanggungjawab?

Kata saya:
Biarpun berlaku pelanggaran dalam prinsip perkahwinan? Komitmen dan tanggungjawab bukan terletak pada bahu seorang saja. Perlukah di ketepikan kebahagiaan awak sendiri?

Kata dia:
Kadang kadang semua tu perlu bila kita telah ada anak anak yang perlu kita fikirkan kebajikan mereka. Awak tahu, setiap kali ada perkara negatif berlaku, saya akan cuba menukarkannya kepada perkara positif:

a) Bila tiba melihat rumah jiran yang ada sofa besar, berlantai kan carpet tebal dari luar negara serta lukisan lukisan berharga yang tergantung di dinding rumah dia waktu hari raya yang lepas, ada saja syaitan yang berbisik ditelinga meletakkan bibit bibit iri hati dalam jiwa. Sebagai ganti, segera saya berkata dalam hati yang rumah saya juga hebat. Walau dinding ada contengan pensil anak sulung yang nakal, dan ada mainan yang kadang kala bersepah, ianya tetap rumah yang saya bayar dengan wang saya sendiri. Ianya walau sederhana, tapi penuh dengan memori gelak ketawa anak anak saya yang menghiburkan. Ianya sebuah rumah yang tidak sunyi dengan kenangan.

b) Apabila sang suami tidak dapat menghantar ke tempat kerja dan saya terpaksa berlari mengejar bas, saya fikirkan yang betapa untungnya saya kerana masih sihat dan mampu berlari. Lantas, bibir saya mengucap syukur.

c) Bila bos saya yang cerewet marah marah di pejabat, saya berfikir yang alangkah bertuahnya saya kerana masih mempunyai pekerjaan dan masih ada bos yang bisa memarahi untuk menegur kerja saya.

d) Bila anak saya cerewet dan tidak mahu makan, saya terus tersenyum sambil memikirkan alangkah bertuahnya saya mempunyai anak. Dan saya tumpukan perhatian pada kebaikan dan kepandaian sang anak.

e) Dan bila suami saya berlagak ego, degil dan keras kepala, saya cuba fikirkan segala perkara perkara yang baik yang pernah dia lakukan dan saya memujuk hati dengan mengatakan yang dia seorang yang kuat pendirian.

Saya memandang dia dengan kagum beserta pelik. Kagum dengan kebolehan dia menukarkan semua perkara yang menyesakkan fikiran kepada sesuatu yang positif. Pelik dengan kebolehannya memujuk dirinya sendiri. Mungkin hatinya benar benar pasrah dan cinta nya pada Tuhan telah sampai ke tahap yang melebihi cintanya pada sesama manusia. Siapa tahu andai dia benar-benar bahagia.


No comments:

Post a Comment