Sunday 12 August 2012

Antara 2 Pilihan



Suatu waktu dahulu, saya pernah terfikir andai saya berada di dua persimpangan jalan, maka jalan yang mana seharusnya jadi pilihan? Memilih untuk menggembirakan hati sendiri atau sebaliknya memilih berkorban demi kebahagiaan orang lain? Ada yang pasti akan berkata pilihlah untuk mengorbankan diri sendiri demi melihat orang lain gembira. Itu adalah sebaik-baik perbuatan, bukan?
Namun mestikah lilin sentiasa membakar diri untuk menerangi ruang? Mestikah setiap kali lilin yang harus terbakar hanya kerana namanya 'lilin'?

Hati terasa resah. Di mana letaknya damai di hati? Terasa ingin bersama dengan dia tetapi dalam masa yang sama hati juga ada rasa ingin berlari jauh darinya. Ingin bersendiri. Ingin berlari tanpa henti. Ingin terbang di awan. Ingin menangis sepuas puasnya, biar tenggelam dalam pemikiran negatif. Melankolia.

Semua nya terasa hambar. Lilin adakala tidak ingin menjadi dirinya lagi. Tersenyum walau airmata deras mengalir demi tidak merisaukan sesiapa. Bukan ingin mengeluh. Bukan tidak tahu bersyukur tapi adakalanya diri tewas kerana letih berfikir.

Tangan ingin berhenti menaip. Skrin biru di depan mata seakan telah hilang keajaibannya. Fikiran dan hati semakin kosong. Tidak ingin berbicara. Hanya ingin meletakkan dahi ke meja dan menutup mata.

Tuhan, damaikan lah satu jiwa yang sedang gelora ini. 

No comments:

Post a Comment