Wednesday 1 August 2012

Mimpi Semalam


Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Terasa letih untuk menulis walau bertali arus perkataan bermain di fikiran. Jari jemari terasa tidak mampu untuk menzahirkan apa yang tersirat di hati. Terasa segalanya sia-sia kerana bicara hati kini sepi. Tidak ada siapa lagi yang membaca. Tiada siapa lagi yang menyapa.

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Memandang langit yang luas, memuji keindahan alam ciptaan Tuhan. Sepi menyapa lembut, datang sebagai peneman malam membawa bersama ketenangan. Hari ini saya mengakui yang saya telah kalah. Dia benar apabila dia berkata yang saya hanya membawa masalah pada semua yang mengenali saya. Segala yang saya lakukan walau dengan niat yang baik, pasti akan berakhir dengan kerosakan. Walau saya bersumpah sekalipun yang saya tak pernah berniat untuk menyakitkan hati sesiapa, namun katanya itu semua tidak penting. Yang utama ialah hasil dari setiap satu tindakan yang kita lakukan dan ternyata tindakan saya sentiasa salah.

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.
Kerana saya tidak mahu menyusahkan atau dituduh sebagai penyebab kemusnahan kehidupan orang lain. Saya menyuruh dia agar pergi dari sisi saya namun dia tidak mahu. Katanya kerana 'Cinta'. Cinta kah itu yang dia tunjukkan dengan mengawal setiap gerak laku? Cintakah itu yang dia ucapkan pabila setiap kata yang keluar menghiris jiwa? Cintakah itu pabila setiap nada suara kedengaran penuh dengan api kemarahan?

Saya lebih suka sendirian kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment