Monday 6 August 2012

Jalan Kembali



Semakin hari semakin kerap mata memandang langit di waktu malam. Sunyi terasa, hanya bertemankan angin yang membelai lembut wajah. Bibir tidak bosan mengucap syukur kerana masih boleh menikmati keindahan malam. Suasana sepi ternyata berjaya mengubah diri ini menjadi seorang pemikir.

Berfikir tentang apa? Tentang kehidupan dan tentang kematian. Berfikir tentang dosa dan pahala. Berfikir tentang masa hadapan yang masih kelam. Suram.

Bagaimana agaknya kehidupan di alam yang satu lagi? Amalan rasanya masih terlalu sedikit. Dan diri takut berada dalam kegelapan. Bayangkan..gelap malam, masih ada cahaya bulan. Gelap di alam kubur? Pastinya lebih menakutkan. Satu keluhan terlepas bebas.

Pesan ayah satu ketika dulu:
Jaga amalan kita. Yang wajib jangan ditinggalkan. Yang sunat elok dilakukan. Yang makruh hendaklah dijauhkan. Juga jangan lakukan dosa dosa besar. Amalan kitalah yang akan membuatkan kubur kita luas dan lapang.

Satu keluhan lagi terlepas dari bibir. Suatu ketika diri pernah kecewa, terluka dan hidup dalam tangisan. Terlupa segala ajaran dan pesanan ayah. Apa yang ada cuma rasa kehilangan, kekosongan dan kesedihan yang teramat dalam. Siapa yang merasa sahaja, pasti akan mengerti pilu di hati.


No comments:

Post a Comment