Sunday 26 August 2012

Lepaskan Dan Luahkan


Cerita seorang teman:

Kata orang, kami memang sepadan. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Apabila terdengar cakap-cakap sedemikian, saya pasti tersenyum. Ceria. Bunga-bunga cinta terasa berkembang mekar di taman hati.

Namun realitinya kami hanya berkawan. Tidak lebih dari itu. Kami memang bersahabat rapat sejak dari kecil lagi. Itu kata dia. Hati saya mengikut pendapat umum.

Hakikatnya, atas dasar malu dan takut seandainya persahabatan kami akan terputus jika dia menolak rasa hati saya. Saya jadi tidak berani langsung untuk meluahkan perasaan.

Suatu petang, ketika melihat dia tertawa seraya menundukan kepala menyembunyikan rona rona merah di pipinya, saya jadi terpegun melihat rambut panjangnya terurai seakan membentuk tabir melindungi wajahnya dari pandangan saya. Tanpa sedar, jari saya pantas menyelak dan menyisipkan helaian rambutnya ke belakang telinga. Tanpa sedar juga, saya mengalah kepada perasaan dan mencurahkan segala isi hati pada si dia. Indah.

Sayang seribu kali sayang, saya hanya bertepuk sebelah tangan. Dengan perlahan, dia menolak curahan perasaan saya tanpa memberikan sebarang alasan. Mungkinkah hatinya sudah berpunya. Mungkinkah dia masih belum bersedia? Tuhan saja yang tahu.

Bagaimana dengan kemesraan yang dibina sejak sekian lama? Bagaimana dengan tali persahabatan? Bagaimana dengan kepercayaan? Adakah dia akan menjauhkan dirinya? Adakah dia masih akan berbicara seperti biasa? Adakah saya boleh berbicara dengannya seperti hari-hari yang lalu?
***************************
Kata saya:
Tenanglah awak. Hatinya belum tentu lagi milik sesiapa. Mungkin juga benar seperti telahan awak. Dia benar-benar belum bersedia dan ucapan awak itu mengejutkan dia.

Jangan sesekali memaksa dia supaya menjadi milik awak. Berikan dia masa dan ruang. Biarkanlah dia berfikir dan menilai isi hatinya buat sehari dua. Selepas itu, dampingi dirinya dan soal lah sekali lagi dengan diri yang lebih bersedia.

Jika benar awak sayangkan dia, tentu sekali awak ingin melihat dia hadir semula dengan senyuman di wajah, biar apa pun keputusan yang diberi: sahabat atau kekasih. Jangan terlalu digesa dan jangan pula terlalu cepat undurkan diri. Sabarlah. Jika benar dia memang untuk awak, pasti dia akan kembali. Namun jika jawapannya masih negatif, biarlah dia berlalu tapi masih sebagai sahabat. Janji awak telah cuba. Lebih baik tahu daripada tertanya-tanya soalan itu selama-lamanya

Cinta.  Tiada formula khusus untuk diaplikasikan. Soal hati sukar untuk difahami..

No comments:

Post a Comment