Tuesday 7 August 2012

Dari Hati Ke Hati



Saya tidak pernah meminta agar perasaan ini hadir dan tidak pernah juga menduga ianya datang dengan kesan yang begitu mendalam sekali. Bahaya dan risiko membuka walau satu ruang kecil pun untuk satu perasaan yang dinamakan cinta. Datangnya secara halus, kesannya bagikan bom atom yang meletus di Hiroshima. Mengubah seluruh pegangan dan kehidupan.

Mungkin saya tidak faham dengan permainan dunia cinta. Mungkin saya tidak arif dengan apa yang dikatakan kehidupan, dengan segala peraturan peraturan yang perlu di pelajari sebelum melangkah masuk ke alam ini. Apa yang saya tahu, cinta sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih kuat, lebih bahagia. Cinta bermaksud menerima seseorang itu dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya, menerima dia sebagai dirinya. Memberi dan menerima.

Cinta, bagi saya, adalah meluahkan apa yang terpendam. Melafazkan apa yang difikirkan dengan seikhlas nya. Cinta itu mengambil tahu tentang orang yang dicintai, bertanya khabar tentang sakit peningnya, peka kepada apa yang mampu membuatkan dia tertawa, apa yang dia impikan dan apa yang boleh membuatkan hati nya terluka.

Berkongsi kegembiraan dia walaupun ianya bukan disebabkan oleh diri kita, dan turut berasa sedih tatkala dia sedih atau dalam kesusahan. Keinginan untuk melihat dia gembira walau apa jua harganya. Cuba menjadi seberapa sempurna untuk dirinya.

Rindu adalah sebahagian dari cinta. Rindu pada suara, rindu pada kebaikannya, rindu pada sentuhannya, senyumannya, gelak tawanya serta rindu pada kelembutan dalam bicaranya dan rindu pada kehadirannya. Rindu itulah juga yang menyeksakan apabila dia mendiamkan diri. Melebihkan orang lain dari saya. Sakit.

Cinta itu adakalanya menyakitkan. Andai tersilap perkiraan, rajuk jadi permainan. Jika ego menguasai, tiada siapa yang datang menyakinkan atau melapangkan hati kecuali diri sendiri. Seperti berbicara sendiri, pelbagai andaian dan bisikan bermain di hati. Hati mula tertanya-tanya sendainya diri bukan lagi sesuatu yang penting dalam kamus hidupnya, seandainya diri hanya sekadar bagi memenuhi ruang yang kosong. Maka itu bukan lah cinta sejati. Hanya satu kategori dari cabang cinta.

Bila merasa dengan perasaan, makanan sesedap manapun akan terasa hambar. Hati tugasnya untuk merasa dan hati juga lah yang boleh membuatkan seseorang merasa bahagia atau derita. Akal, sebaliknya, menggunakan logik. Menapis peristiwa dan membuat keputusan dari apa yang dianalisakannya. Namun adakalanya data yang di sampaikan oleh hati terpesong oleh impian yang mengaburi jiwa.

Akal tertanya-tanya untuk melangkah pergi atau terus mengharap. Andai ada kata dua dari dirinya yang dapat menyokong rasa hati, diri akan terus bertahan. Namun andai sepi terus menghantui dan tiada apa yang dapat menyakinkan, maka bila tiba waktunya, akal yang akan memimpin hati membawa diri pergi jauh dari cinta.

Satu ayat, hanya satu ayat, yang perlu. Yakinkanlah hati ini yang hubungan ini cukup bererti.


No comments:

Post a Comment