Monday 5 August 2013

Tembok

Hari semalam kita nekad buat keputusan. Kita kata kita tidak mahu menangis lagi. Kita kata kita sudah penat menampal luka torehan lidah tanpa tulang. Kita kata kita benci sudah akan petualang yang sering bikin jiwa jadi walang. Kita kata kita tidak mahu hati diperkotak-katik lagi. Kita kata kita tidak mahu memberi ruang waima buat sesiapa pun mendiami hati kita lagi. Tekad.
Lantas kita mula membina sebuah tembok selebar Tembok China dan setinggi Menara Berkembar Petronas. Bermula dari sebiji batu sebeku pandangan dingin buat sesiapa yang cuba mendekati, kita tambah sebiji demi sebiji lagi batu reputasi sebagai seorang 'penyendiri'. Kita letak tembok penghadang. Kita tulis papan tanda sebesar alam 'Awas! Petapa garang! Jangan Hampiri!' Biar dikatakan 'Kera sumbang', itu jauh lebih baik dari sakit ditikam dari belakang. Tajam.
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
lagi lebar
lagi kukuh
lagi tinggi.
Siap.
Hari ini kita rasa puas dengan tembok yang telah kita buat. Kita letakkan semua alat pertukangan. Kita uji kekukuhan tembok. Kita senyum. Dan. Kita layangkan pandangan lesu ke atas. Tapi. Kenapa gelap? Mana pergi langit biru dan awan gemawan putih gebu? Kelabu.
Kita pasang telinga. Tiada satu bunyi kedengaran. Ke mana pergi deru angin yang dulunya berbisik mesra? Ke mana perginya belaian bayu yang sering mengelus lembut rambut? Ke mana pergi semua? Hitam.
Yang tinggal cuma kita. Sendiri. Dikelilingi tembok-tembok kukuh bisu tanpa pintu, tanpa jendela. Terpenjara. Pitam.
Adakala kita jadi lupa. Dinding dan tembok yang kita bina disekeliling kita untuk menghalang kesedihan, tembok itu juga berfungsi menghalang kebahagiaan dari menghampiri. Sepi.
'No pain, no gain. Happiness doesn't come without it's share of sadness'. 



No comments:

Post a Comment