Sunday 18 August 2013

Gurindam Semalam


Gurindam di jiwa penuh dengan melodi kenangan. Dengan kenangan itu, sebuah kisah tertulis, terlukis untuk tatapan:

Sewaktu kecil, saya banyak berangan-angan untuk mengembara ke luar negara. Rasa teruja untuk melihat dengan mata saya sendiri lokasi dan destinasi yang selama ini hanya saya baca di ensaiklopedia tebal kepunyaan ayah. Saya selalu bayangkan menghabiskan masa santai minum teh di kaki lima 'cafe' termuka di Paris, memakai pakaian tebal dan bermain salji dengan berlatar belakangkan Big Ben serta menikmati keindahan bunga-bunga tulip berkembang mekar di Amsterdam. Saya juga ingin menyaksikan tinggalan bersejarah tembok Berlin di Jerman yang telah memisahkan sebuah negara kepada dua bahagian.

Dari kecil, resah sering menghempas jiwa saya. Kami empat beradik telah terbiasa berjuang sendirian untuk mencari sesuatu mendekati apa yang kami masing-masing bayangkan tentang makna 'keluarga' dan 'kehidupan'. Dirotan dan dipukul, kekerasan dan tangisan adalah senario harian kami. Masing-masing seperti anak benih yang di tanam di kawasan berumput, mencuba untuk bercambah. Bertungkus lumus mengerah segenap tenaga cuba untuk melihat matahari.

Kata orang, sepatutnya pengalaman sebegini boleh mengeratkan kami yang menerima nasib yang sama. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Abang Long memilih melawan nasib dengan kekerasan. Azam Abang Long: Dengan kekerasan, tiada siapa dapat memperbodoh-bodohkannya lagi. Yang kuat memijak yang lemah. Suatu hari nanti Abang Long ingin menjadi seorang kaya dan terhormat. Tekad. Nekad.

Abang Ngah pula orangnya amat lembut. Tidak suka bergaduh. Dia memilih untuk menurut segala apa yang diarahkan tanpa bantahan. Damai yang diidam-idamkan. Biar apa pandangan orang, dia ingin tenang. Tiada jeritan membingit alam, tiada sebatan melibas badan.

Adik pula sangat ingin sentiasa dikelilingi kawan dan rakan. Dia amat resah bila sendirian. Sentiasa berlawak, menghibur hati mereka yang di sisinya. Dia ingin riuh, dia ingin dipeluk tawa. Tiada airmata harus berada dekat dengannya. Tiada sunyi, tiada lara.

Saya? Saya juga tidak dapat lari dari kesan keretakan sebuah keluarga. Saya memilih berdiam diri, tenggelam dalam dunia sendiri. Lebih banyak menghabiskan masa mengembara ke alam fantasi dengan membaca dan mereka cerita. Melupakan kesedihan dengan imaginasi. Menabur benih mimpi segala yang indah dan menanam niat bahawa satu hari nanti saya akan dapat mencipta sebuah keluarga saya sendiri. Sama seperti adegan drama di peti telivisyen. Imej sebuah keluarga yang rapat, ada ketawa, ria, duka namun segalanya dapat ditangani dengan kasih sayang di hujung hari. Mimpi.

Mungkin orang lain tidak mampu faham. Siapa yang menggalas beban, dia sahajalah yang mampu membayangkan betapa berat bahu yang memikul. Penggembaraan hati mencari erti. Apakah yang ditemui di hujung hari? 
Realiti. Bersandarkan gurindam semalam. Mengharap sinar dalam kelam.

No comments:

Post a Comment