Wednesday 14 August 2013

Pergolakan Hati


Seperti biasa kami berbahas, bertelingkah serta bertukar fikiran tentang falsafah dan 'falsampah' kehidupan. Masing-masing ingin menang, masing-masing ingin perjuang ide yang mendatang. Waima kami tahu menang atau kalah bukan matlamat akhiran. Kami selesa dengan cara kami walau ramai yang memandang dengan jelingan ekor mata kepelikan.
Semalam, entah bagaimana perbualan kami terpesong pada soal hati dan perasaan.
Kata dia:
Andai satu hari nanti awak berada dalam satu keadaan di mana awak harus memilih orang yang awak sayang atau ingin mengekalkan talian persahabatan, jalan yang mana yang akan awak pilih ye?
Kata saya:
Tentu sahaja persahabatan. Bukankah kita sahabat untuk selamanya? Nilai persahabatan tidak mungkin dapat digalang ganti dengan cinta yang datang kemudian. Betulkan?
Dia ketawa kecil melihat kerut di dahi saya.
Kata dia: Usah berpening untuk soalan retorik seperti itu. Mari rombak semula isu falsafah semalam. 
******
Hari ini sewaktu berbual dengan dia, dalam gelak dan ketawa, sesuatu yang dia katakan tiba- tiba menyentuh hati saya. Dia akan pergi jauh dan saya akan membina hidup saya dengan seseorang yang bukan dirinya. Kebenaran. Hakikat kehidupan.
Mengapa kami tidak boleh terus berkawan? Mengapa saya tidak boleh berbual dengan dia seperti ini lagi? Bagaimana jika kami tidak dapat berjumpa lagi sekerap ini? Bagaimana jika dia menghilang selamanya dari pandangan? Mengapa? Bagaimana? Kelu. Bisu. Jeda. 
Hati benar-benar sayu. Saya pejamkan mata dan bayangkan satu ketika nanti di mana saya akan lalui hari-hari tanpa dia. Tanpa seorang sahabat, teman seperjalanan. Air jernih mengalir pantas. Deras.
Hari ini, saya telah faham akhirnya. Tiada yang kekal selamanya. Begitu juga persahabatan. Maafkan saya.

No comments:

Post a Comment