Saturday 3 August 2013

Bermula Semula


Aduhai.
Antara perkara yang agak sukar dilakukan adalah untuk bermula semula. Sewaktu blog di 'cerobohi', rasa terkejut bercampur amarah dan lelah muncul di benak. Cacamarba. Setiap kali membuka blog, ianya spontan terarah ke sebuah blog lain 'ww2carwinsolutions'. Gugur jantung. Bukan sekali mencuba membuka blog, tapi berkali-kali. Hasilnya tetap sama, hanyut dihempas arus 'virus'. 
Bermula semula. Dari titik 'nol', dari titik kosong. Amat sakit. Bayangkan sahaja 544 artikel yang telah ditulis sejak bertahun lamanya, hilang dalam sekelip mata. Saya bukan penulis yang suka melakar di atas kertas terlebih dahulu. Jemari lebih deras menaip seiring idea yang menerjah. Bukan mudah untuk memulakan semula, mencari warna, melakar kanvas maya dan menyusun memori dan harapan musim lalu.
Kekuatan bukan kayu pengukur. Daya itu sebenarnya memang ada. Apa yang tiada sebaliknya ialah kerajinan. Terasa letih untuk mendaki semula dari anak tangga terbawah. Melalui semula jerih perih menulis dan menyusun aksara. Ingin sahaja berhenti menulis terus-terusan. Apatah lagi apabila ada suara yang berbisik 'Buat apa penat-penat menulis? Nanti pasti ada lagi yang akan menggodam. Membuang masa sahaja.' 
Namun perlukah mengalah? Perlukah membiarkan hasil usaha pupus dengan sebegitu mudah? Ini bukan blog mereka. Ini blog saya. Ayuh! Menyambut sebuah cabaran. Sambil cuba menyusun blog baru, mencuba berfikir di luar kotak. Melawat 'Mr Google', 'En Wikipedia' dan blog-blog lain untuk cuba mencari sekiranya masih ada cara menyelamatkan 'Hakikat Cinta'. Alhamdulillah, tidak sia-sia.
Terima kasih pada semua yang membantu. Penghargaan buat yang memberi kata-kata semangat. Alhamdulillah jutaan syukur buat Yang Maha Esa.
Bermula semula? Tidak, hanya menyambung usaha.  :)

No comments:

Post a Comment