Friday 23 August 2013

Bukan Idola


Dia memerhati Jejaka. Memandang lama-lama. Merenung dalam-dalam. Menembusi jasad sehingga ke hati dan jiwa.
Setelah sekian lama bergelar kekasih, berhabis waktu melafaz rindu, hari ini tiba-tiba seakan ada hijab yang terselak. Ada jendela yang terbuka. Dia melihat Jejaka sebagaimana diri Jejaka yang sebenarnya.
Bukan seorang Jejaka yang sentiasa dikelilingi cahaya putih. Bukan juga Jejaka yang sentiasa sempurna, selalu berada di pihak kebenaran, selalu menunjukkan keberanian, selalu mempamerkan keperihatinan. Seorang manusia biasa, sama sahaja seperti dia. Jejaka bukan hero, bukan wira, bukan idola.
Tidak mahu diceritakan apa kecacatan yang ada. Tidak akan ditulis apa kekurangan yang terpandang. Bukan tugasnya membuka aib saudara, inikan pula pekong di dada. Namun apa yang terlihat sesaat melekat di minda hingga ke hujung usia. Senak. Sakit menghimpit jiwa apabila orang yang disanjung puja, bukan seperti impian. Bukan pemegang harapan.
Seketika juga, hijab tertutup kembali. Jejaka kembali menjadi Jejaka yang dia cukup kenali, seperti asal. Wajah bercahaya, senyum menawan. Elok bahasa, indah bayangan jiwa. Mungkin apa yang berlaku sebentar tadi adalah ujian Tuhan. Mungkin juga petunjuk yang dia doa harapkan sewaktu tangan menadah ke langit: ingin melihat diri Jejaka yang sebenar. 
Dia menggeleng kepala. Bukankah Jejaka pilihan hatinya? Bukankah jalan yang diambil Jejaka adalah jalan yang akan diikutinya juga? Menjauh tidak sekali-kali, mendekat itulah ikrar yang telah terpateri. Mata terpejam, kepala menadah ke langit. 
Tuhan, andai ini petunjuk yang diberi, maka akan diperkuatkan diri. Andai ditinggal pergi atau dibawa lari, dia akan mampu berdikari. Tidak akan jatuh menyembah bumi biar seandainya dunia yang mereka bina tidak seindah mimpi. Jangan bertuhankan manusia, kerana insan tiada yang sempurna. Cerna.
Introspeksi diri. 

No comments:

Post a Comment