Sunday 4 August 2013

Di Sebalik Wajah


Setiap dari kita memiliki dua wajah: satu wajah yang dipertontonkan buat umum, dan satu lagi wajah yang dipamerkan hanya sewaktu sendirian atau pada mereka yang tertentu saja.

Secara amnya ada yang berwajah baik di depan, tetapi punyai hati yang busuk di belakang. Ada pula yang berwajah kaku dan beku namun hati penuh dengan sifat kemanusiaan, wujud ehsan apabila rakannya dalam kesusahan. Ada wajah berona manis hanya sewaktu perlukan bantuan tapi berubah masam kelat bila dia sendiri dirayu pertolongan.

Namun adakalanya wujud lowong dalam seribu satu saat di mana kita terpandang wajah sebenar seseorang yang tidak disorokkan di sebalik sebarang 'make up' umum. Di sebalik satu wajah yang sentiasa tersenyum, yang sentiasa tertawa, yang sentiasa tenang, rupanya ada jiwa halus yang juga merasa kesedihan, turut terluka bila dirinya dihiris dengan bilah kata-kata dan ujian kehidupan. Dia bukan insan kebal. Dia juga ada saat murung, ada saat dimana dia juga perlukan perhatian dan belaian.

Adakalanya juga, apabila wajah sebenar terlihat, dua jiwa bertemu. Saling perlu, saling mengerti, saling berkongsi rasa. Satu saat yang mampu mengubah persepsi dan perjalanan hidup. Mencintai seseorang seadanya, dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya. Mengerti had kemampuannya. Tidak sesekali mengurangkan rasa sayang kerana hati mengerti bahawa dia juga memerlukan kehadiran kita untuk melengkapi dirinya. Memerlukan seseorang yang dapat menerima wajah sebenarnya. 
Dalam dunia ini, ramai yang berlakon sempurna. Sedikit yang mampu berdiri sebagai dirinya sendiri sama ada di hadapan atau di belakang umum. Lebih mudah mengikut aliran arus.

Dua pasang mata bertemu. Dua hati terpaut. Bibir tersenyum tanpa sebarang kepura-puraan. Selangkah dia bergerak ke arah saya, selangkah saya menuju kepadanya. Di dalam dunia yang penuh dengan segala komplikasi, kami bertemu. Membina satu dunia baru. Tanpa topeng.

No comments:

Post a Comment