Monday 5 November 2012

Keluhan Hati


Badan yang lesu dicampakkan di atas sofa. Selera makannya terus menghilang. "Hidup susah, mati pun susah", terlepas satu keluhan yang amat tajam menghiris hati. Lesu. Hatinya merintih. Tiada siapa untuk dia mengadu resah di jiwa.

Dia harus bertekad untuk meneruskan hidup yang sememangnya telah ditentukan untuknya. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia terbang sebebas burung di udara. Indahnya hidup andai boleh ke mana sahaja yang terlintas di fikiran tanpa ada yang menahan.

Alangkah damainya jiwa andai dapat membiarkan jemari kaki dibaluti pasir halus pantai sambil menikmati pemandangan mentari berlabuh di waktu senja. Adakalanya berangan-angan lebih mengindahkan harinya dari terbaring lesu di katil sambil memikirkan hari hari suramnya.

Adakalanya dia terasa rindu. Teramat rindu pada sepasang mata yang memandangnya dengan penuh perasaan sayang. Adakala bila sepi menghantui, dia ingin sangat mendakap sekujur tubuh itu untuk melepaskan segala rindu dan lelah. Tapi ternyata mustahil kerana kasih itu bukan miliknya.

No comments:

Post a Comment