Tuesday 13 November 2012

Secebis Kasih



Dalam diam, aku mengagumimu..
Dalam lena, aku bermimpikanmu..
**********
Ada yang berkata dia seorang yang aneh.
Kenapa? Mungkin kerana dia tidak pernah sekali-kali bercerita tentang kehidupan peribadinya. Dia lebih suka mendiamkan diri sewaktu teman-teman heboh bercerita tentang percutian mereka dengan keluarga pada cuti penggal yang baru berlalu. Bukan kerana malu..cuma tidak ada apa yang boleh diceritakannya.

Mungkin cara mereka lain dari orang lain. Ayah mengajar dia agar sentiasa berdikari, jangan mengharap bantuan sesiapa dan jangan terhutang budi. Kata ayah, setiap kali orang berbuat kebaikan pada kita, ianya harus dibalas serta merta agar tidak dituntut di kemudian hari nanti.

Setiap hari, bila loceng terakhir berbunyi, dia harus terus pulang ke rumah. Tidak dibenarkan singgah atau berbual lama dengan kawan kawan yang lain. Tiba saja, selesai menyalin pakaian, banyak tugasan menunggu. Setiap waktu jaga nya, telah diatur penuh. Dia hanya perlu mengikut jadual yang tersedia.

Sekeliling taman perumahannya, terdiri ramai dari bangsa Cina dan India. Hanya ada 2 keluarga Melayu saja termasuk keluarganya. Kata ayah, lihat saja contoh anak anak jiran yang sentiasa rajin membantu keluarga dan pada waktu yang sama rajin ke kelas tambahan.

Adakalanya dia terasa amat malas untuk pulang ke rumah. Terasa berat tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Bukannya dia tak bersyukur, cuma..sesekali dia rasa teringin menjadi seperti rakan rakan yang lain. Bebas bermain, berlari ke sana ke mari, pendek kata merasai zaman kanak kanak dan remaja yang normal.

Satu keluhan perlahan terlepas dari bibirnya. Dia bukannya ingin simpati dari sesiapa. Dia cuma ingin menganalisis perasaannya sendiri. Dia benar benar jujur bila mengatakan yang dia tidak tahu bagaimana hendak kendalikan soal hati dan perasaannya.

Di dalam buku tidak ada garis panduan tentang tatasusila bila ada seseorang ingin berkenalan dengannya.

Lidah tiba tiba jadi kelu dan wajahnya menjadi merah. Dia yang mahir berpidato, aktif berpersatuan, jadi bisu dan kehilangan kata kata. Lantas dia mengambil jalan mudah: mengatakan yang dia tidak berminat. Menukar tajuk perbualan.

Setelah mencecah dewasa, barulah dia mengenal erti sunyi.
Dia baru mengerti apa itu sepi bila tiada yang ambil tahu langsung keadaaannya, sihatkah, sakitkah, makankah dia? Dia cuma takut kini segalanya telah terlambat.

Dia takut yang dia telah menghalau lelaki itu terus dari hidupnya. Dia tidak tahu apa yang difikirkannya ketika itu, kecuali hanya dia berasa takut. Kini dia tahu yang dia benar benar tidak mahu kehilangan lelaki itu..

No comments:

Post a Comment