Saturday 17 November 2012

Kunang Kunang


Yang sempurna tidak semestinya yang terbaik..
Tapi..yang terbaik juga tidak semestinya sempurna..
***********************************
Awak masih ingat?
Masa kita cuti sekolah waktu darjah 4 dulu, awak pernah ajak saya menangkap kunang kunang. Saya panggil ianya kelip kelip tapi awak pula suka guna perkataan 'kunang kunang'.

Dulu awak pernah cerita kat saya, sekiranya kita dapat tangkap kunang kunang, ia akan merealisasikan apa jua hajat yang kita impikan. Saya teruja dengan cerita awak , lalu kita sepakat untuk pergi menangkap kunang kunang malam itu.

Pabila semua telah tidur, kita mencuri curi keluar dari rumah. Jika tertangkap, pasti berbelang tangan dirotan ayah. Kata awak ini rahsia kita. Biar pecah diperut, jangan sekali kali pecah di mulut.

Penat kita berjalan. Awak kata usah risau sebab ada orang pernah melihat kunang kunang di hujung kampung sana. Tapi..ianya terlalu jauh. Saya ajak awak pulang, tapi awak masih ingin teruskan rancangan ini.

Malam semakin sejuk, hingga terasa ke tulang putih. Saya tak tahan lagi, lalu saya tinggalkan awak kerana saya terlalu letih. Saya fikir tentu awak akan marah dengan saya tapi esok harinya awak memanggil saya untuk ke sekolah seperti biasa. Awak masih tersenyum dan berbual dengan saya. Namun awak tidak mahu bercerita sama ada awak berjaya atau tidak untuk dapatkan kunang kunang malam tu.

Awak tahu, hingga kini, saya tak pernah melihat kunang kunang. Semua harapan dan impian saya bagaikan buih sabun..terbang ditiup angin meninggalkan saya. Saya ingin sekali melihat kunang kunang dalam hayat saya ini...

Awak pula? Awak telah berjaya dalam mengejar cita cita awak. Saya kagum selihat semangat dan keyakinan awak yang kuat. Saya dengar awak kini telah menjadi pengurus di sebuah syarikat besar di ibu kota. Mungkin kini giliran saya pula untuk di tinggalkan jauh dibelakang.

Tapi telahan saya silap. Awak tidak seperti saya.
Awak tidak tinggalkan saya untuk teruskan perjalanan saya. Semalam, awak datang ketika saya mengemaskan barang barang untuk pulang ke kampung buat selamanya.

Awak tahan saya. Kata awak, sebenarnya malam tu awak juga tidak dapat menangkap walau seekor kunang kunang. Mungkin kerana kemajuan dan pembangunan telah menghalau semua kunang kunang jauh ke tempat lain.

Kata awak lagi, sebenarnya saya lah kunang kunang awak. Kalau boleh awak tak mahu saya berjauhan dari sisi awak. Kata awak, kejayaan tiada maknanya tanpa saya di sisi awak.

Awak, sebenarnya awak dah silap. Awaklah sebenarnya kunang kunang saya..
Kunang kunang yang membuatkan malam hari saya indah. 

No comments:

Post a Comment