Wednesday 14 November 2012

Komitmen



Adik jadi risau bila mendengar Faisal ingin menghantar rombangan peminangan pada minggu hadapan. Kata adik dia risau kerana mereka baru tiga bulan berkenalan. Bagaimana pula jika selepas berkahwin, mereka tiba-tiba rasa sebenarnya mereka tidak serasi? Lebih banyak yang tak dapat diterima daripada yang boleh diterima? Tiga bulan perkenalan itu bagaikan satu masa yang terlalu singkat untuk membuat satu keputusan yang akan melibatkan seluruh hidup adik.

Sebenarnya adik, tempoh perkenalan tak boleh dijadikan ukuran untuk kebahagian.
Ada orang yang bertahun tahun bercinta tapi bila berkahwin, belum sampai setahun sudah bercerai. Ada orang pula, tidak pernah bertentang mata walau sekalipun sebelum bernikah, namun perkahwinan mereka tetap bahagia dan kekal hingga ke anak cucu.
Aneh bukan sesuatu yang dinamakan perasaan ini?

Adik meminta diberikan masa lebih lama untuk mengenali Faisal dan juga keluarganya. Mungkin adik masih tidak yakin dengan hatinya. Perkahwinan pada adik, satu komitmen yang besar dan dia masih tak boleh beri jawapan pada lamaran Faisal. Orang perempuan apabila berkahwin nanti, segala urusan hidupnya akan terletak di tangan suami. Adik nyata belum sedia untuk meletakkan dirinya di bawah ehsan seorang lelaki.

Adik, tidak ada apa yang pasti dalam perkahwinan. Semuanya bergantung pada nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Perjanjian juga bukan sesuatu yang terpahat di batu.

Bersama hingga ke akhir hayat adakalanya satu rahmat. Adakalanya ia adalah sebaliknya: satu sumpahan apabila perkahwinan hanya pada nama.

Perkahwinan bukan sesuatu yang mudah: Ianya perlu dua individu yang berlainan rasa untuk memahami dan bekerjasama menjadikan ianya bahagia.

No comments:

Post a Comment