Saturday 20 April 2013

Memori



Dalam perjalanan meniti denai kehidupan, kita mengumpul setiap peristiwa yang membawa makna diri.
Kita menapis serta mengayak memori yang mana lebih mendatangkan tawa dan yang mana lebih mengundang duka untuk dilekap kemas dalam ingatan. Setiap detik, kita belek, kita mainkan semula berkali-kali sebelum melelapkan mata. Kita tuliskan satu persatu memori tersebut hingga sebati di jiwa dan akhirnya kita kuncikan di dalam laci minda.
Ketikanya akan tiba di mana kita ambil semula kunci dan membuka laci. Kita mencari di susunan kabinet minda dan mengeluarkan kembali memori yang sesuai dengan rasa dan masa.
Tatkala senja memanggil dan hujan mengundang sunyi, malam membisik sepi, kita membelek kesedihan. Tatkala berkumpul sahabat dan taulan, melihat sang anak menerima ijazah kebesaran, memerhati patung beruang atau potret silam, memori bahagia datang mengelus pipi. Tercetus senyuman.
Segala memori yang tersimpan kini hidup kembali dan kita baca setiap patah perkataan, menjiwai semula semalam yang telah tiada.
Memori.

1 comment:

  1. Doa ringkas selepas solat

    Maksudnya:

    Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

    Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

    Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman.

    Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil.

    Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.

    Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.

    Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.

    Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji itu tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

    ReplyDelete