Thursday 20 September 2012

Titik Penyesuaian


Persoalan tentang cinta memang tidak akan pernah tamat. Selagi adanya hati, selagi itulah ada yang akan berbicara tentang cinta. Kata orang, cinta datang membawa bahagia. Namun, adakalanya mereka lupa bahawa cinta itu juga datang bersama derita.
********************
Kata ustaz:
Kamu tahu, perkara yang paling susah sekali dalam perkahwinan ialah untuk mencari titik penyesuaian. Apa tidaknya. Setiap dari kita datang dari latarbelakang yang berlainan dan masing masing ada sikap negatif yang sudah jadi sebati dengan diri tapi mungkin tidak boleh diterima oleh pasangan. Kita selalu lupa perasaan dia. Kita tahu cuma perasaan kita yang terluka. Ada pasangan yang sudah berkahwin 10 atau 20 tahun pun, masih susah lagi untuk serasi.
Orang perempuan selalunya suka fikir yang dia boleh ubah perangai seorang lelaki bila telah berkahwin. Cuba nak ubah pemikiran dan kebiasaan sang suami yang dia tak suka. Bukan tak boleh. Tapi kena ingat ada caranya untuk berbuat demikian. Perubahan sepatutnya datang dari kemahuan individu tu sendiri. Bukan dipaksa dan dileter setiap masa. Makin banyak bercakap, makin telinga sang suami jadi pekak. Tepu bercampur bosan dengan suara sang isteri.

Apabila leteran tidak berjaya ubah si suami, tentu saja perasaan tidak puas hati makin bertambah. Ada saja yang boleh jadi punca bergaduh: dari soal yang remeh temeh seperti soal makan hinggalah ke soal-soal lain yang lebih berat. Hasilnya seorang ke barat dan seorang lagi ke timur. Saling tak tegur, apatah lagi nak sembahyang bersama. Siapa yang ingin berimamkan orang yang buat kita sedih dan marah?

Jadi, kena belajar mengalah. Bersihkan hati dan jangan cepat terasa. Jadikan segala perbezaan sikap itu sebagai satu kelainan. Perkara kecil tak perlu dibesar besarkan. Mungkin juga kita yang perlu berubah. Mungkin kita yang perlu lihat kedalam diri kita: berubah untuk perkara- perkara yang baik. Bukankah lebih mudah mengubah diri sendiri dari cuba mengubah orang lain?

No comments:

Post a Comment