Wednesday 5 September 2012

Di mana Bumi Di Pijak


Jika cinta tak tergapai dek tangan, maka lepaskanlah dia. Bebaskanlah dia.
Biarkanlah hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang semula, tinggi di udara..
****************************************
Hidup kalau tidak ada masalah, bukan hidup namanya.
Kata orang bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan, lautan mana yang tak pernah bergelora? Ada orang diuji dengan kesakitan, ada pula yang diuji dengan kemiskinan hidup dan ada juga sebaliknya diuji dengan kesenangan dan kemewahan hidup. Dia? Dia juga tidak dapat lari dari risau dan kecamuk di minda. Cacamarba. Kusut.

Terkadang cemburu dan sedih melanda hati apabila mendengar cerita kawan-kawan tentang percutian mereka bersama keluarga, beraya di kampung, pergi ke surau beramai ramai untuk sembahyang terawih, mandi di parit, bermalam di dusun. Alangkah seronoknya mereka. Beraya di kampung bagi rakan-rakannya adalah saat di mana berkumpulnya adik-beradik dan saudara mara setelah sekian lama merantau mencari rezeki masing-masing. Seronok mendengar kisah pertelingkahan kecil dan gurau senda mereka.

Dia? Dia tidak punya kampung halaman, atuk atau nenek, adik beradik maupun saudara mara untuk berkongsi kemesraan. Berbuka puasa seperti biasa, ala kadar sahaja. Disambut secara sederhana sama ada di tempat kerja atau paling mudah di Mc Donald. Yang penting tanggungjawabnya sebagai seorang Islam telah disempurnakan dengan tertib. Berbuka sekadar untuk mengalas perut sebelum menunaikan solat. Lebih mudah berbuka saja di kantin tempat kerja, sekurang kurangnya ada teman-teman sekerja lain dan tidaklah dia berbuka puasa sendirian.

Hati cuma merasa sepi dan sayu pabila menjelang penghujung Ramadhan. Apabila rakan-rakan bercerita tentang rancangan mereka memohon cuti raya 3 hari, 5 hari atau seminggu. Boss beri dia keutamaan tahun ini untuk bercuti raya. Borang cuti ditatap lama. Tidak tahu berapa hari harus di mohon. Untuk beraya di rumah sana, terasa janggal. Selepas sembahyang raya, masing -masing akan duduk menghadap televisyen atau berpisah untuk melawat rumah sahabat handai. Dia yang tidak mengenali sesiapa disitu hanya menunggu tetamu dan kanak-kanak datang beraya. Lebih baik masanya dihabiskan di tempat kerja. Di sini sekurang kurangnya dia dapat bertemu dengan tetamu dan pelanggan yang juga senasib sepertinya.

Dia tersenyum. Ye, dia sepatutnya bersyukur. Inilah 'kampungnya'. Dan tetamu-tetamu hotel ini sebahagian dari 'saudara mara'nya. Pada hari raya, banyak cerita yang dikongsi dengan mereka, cerita suka dan duka mengapa mereka beraya di hotel. Di sini dia tidak keseorangan. Malah kehadirannya dihargai kerana kesabarannya mendengar keluhan dan menyelesaikan masalah bilik atau tempahan pengangkutan tetamu. Di sini hatinya tenang. Inilah satu satunya tempat di mana dia tidak terasa asing.

Di renyukkan borang cuti yang masih belum terisi lagi dan di campakkan ke bakul sampah. Selepas sembahyang raya, dia akan terus ke tempat kerja dan memulakan tugas seperti biasa.

No comments:

Post a Comment