Sunday 2 September 2012

Melawan Kesepian

Cinta tidak semestinya bersatu.
Malah, tidak semua kisah cinta akan berakhir dengan 'happy ending' seperti dalam kisah dongeng 'Cinderella', 'Snow White' atau 'Sleeping Beauty', di mana kisah berakhir bila sang putera tiba dan menyelamatkan sang puteri. Malah, kisah cinta puteri yang sebenar, Puteri Diana, juga tidak seindah yang dibayangkan..

Dalam dunia yang nyata ini, kita kekadang harus akur dengan putaran roda kehidupan. Ada kalanya laut kelihatan tenang, ombak perlahan menyapu pasiran pantai. Tenang dan mendamaikan. Namun ada saatnya, bila ombak mengganas, pukulannya keras menghempas pantai, ianya menjadi pembunuh semangat. Begitulah juga dengan cinta.

Kita rasakan kitalah orang yang paling bertuah apabila kita berjaya memiliki cinta yang kita harap-harapkan. Kita rasa yang kitalah insan yang paling bahagia kerana si dia juga merasakan dan membalas dengan perasaan yang sama. Kita juga mungkin lupa pepatah kata orang dulu : Bukan namanya laut, jika ianya tak bergelora. Bukan namanya alam jika tiada siang dan malam.

Kalau lah ditakdirkan cinta itu tidak sampai ke destinasinya, apakah yang kita lakukan? Mungkin ada yang ingin miliki si dia juga. Mungkin ramai yang menentang hubungan itu, mungkin terlalu banyak halangan menjelang.

Siapa yang tidak ingin cinta itu sampai ke hujung usia? Dugaan pasti boleh di tentang jika berdua bersama. Namun andai berjauhan, terpisah jauh, kutub utara dan kutub selatan, hati pasti akan goyah. Ketabahan pasti akan teruji. Kesetiaan dan kepercayaan menjadi taruhan.

Adakala jarak dan masa menimbulkan benih benih keraguan, cemburu dan rasa terpinggir. Andai cinta masih bertakhta di hati, maafkan lah dia atas segala pemikiran negatif yang timbul. Maafkanlah dia kerana dia telah mencuba sedaya upaya untuk melawan segala perasaan yang timbul dari kesepian itu. Maafkanlah dia. 

No comments:

Post a Comment