Thursday 6 September 2012

Hujan


Hujan.
Abang Sudir dalam nyanyiannya mengumpamakan hujan yang turun itu seperti butiran mutiara.
Bagi saya hujan itu seperti bulan dan bintang, sebahagian dari alam malam. Teman dikala hati merasa resah.

Hujan itu rahmat.. datangnya sesekali, menyegarkan.. dan perginya membawa bersamanya airmata. Jiwa terasa tenang dan hati bersyukur pada nikmat yang diberi Tuhan. Damai..
***********************************************
Kata dia:
Awak tak sihat? Sudah tiga kali awak bersin.

Kata saya:
Saya tak ada apa. Cuma kepala terasa panas sikit. Mungkin sebab terkena hujan sewaktu balik.

Kata dia sambil tersenyum:
'Ter' kena atau memang sengaja main hujan tadi?

Kata saya sambil ketawa:
Mungkin kedua sekali. Sudah lama tidak hujan di sini. Jadi, apabila hujan mula turun, angin pula bertiup kuat, ramai yang mula berlari sana sini cari tempat berlindung.

Kata dia dengan senyuman semakin lebar:
Lantas?

Jawab saya:
Tiba-tiba kaki saya terus melangkah merentasi hujan sebelum sempat saya berfikir apa pun. Sebelum membuka pintu kereta, saya berhenti sebentar, mendongakkan wajah ke langit luas sambil memejam mata. Rembasan hujan yang menyapa wajah, menyegarkan. Saya teruskan berdiri di situ tanpa peduli andai ada mata yang memandang.

Kata dia:
Awak memang satu dalam seribu. Susah nak diduga. Adakalanya awak begitu serius dan dewasa. Adakalanya awak memang seperti anak-anak. Saya tak akan pernah bosan berkawan dengan awak. Tapi ...

Kata saya:
Tapi...? Hmm..saya amat tak suka ayat yang bermula dengan tapi..

Kata dia sambil ketawa lagi:
Jangan cepat nak kerutkan dahi. Saya cuma nak kata 'Tapi, jangan lupa makan ubat dan awal sikit tidur malam ini.' Makan ubat saja tapi tak cukup rehat pun tak guna. Sekali saja main hujan tapi sakitnya berhari-hari.

Saya cuma tersenyum.

Kata dia:
Kita kan sahabat. Lagipun dengan siapa lagi saya nak lawan cakap dan usik kalau awak demam? Dah. Cepat pergi makan ubat.

*************************************
Sahabat. Sama seperti hujan.
Adakalanya memeningkan..dan adakalanya menenangkan jiwa yang resah.
Adakalanya membawa pergi sepi di malam hari apabila tamat perbualan.
Kasih, jangan sesekali merasa cemburu atau curiga kerana dia hanya sahabat.
Sedangkan awak adalah segalanya.

No comments:

Post a Comment