Saturday 1 September 2012

Sejalur Cahaya


Kata saya:
Sesekali saya terasa ingin saja jadi jahat. Terasa ingin memberontak, terasa seperti ingin membaling batu atau melanggar saja kucing, anjing atau apa saja yang melintas sewaktu saya memandu. Melihat kucing yang sangat saya suka pun, hari ini terasa ingin saja ditarik ekornya. Biar mereka juga turut merasa kesakitan yang saya rasa.

Dalam dunia ini, siapa yang pandai berlakon dialah yang disanjung, dia lah yang dipandang tinggi. Siapa yang cuba mengikut jalan yang lurus, pasti di ambil kesempatan atasnya. Dipijak pijak dan diperkotak-katikkan hatinya.

Saya ingin saja buang hati saya jauh ke dasar laut. Kenapa? Kerana hati ini terlalu penuh dengan kesedihan. Hati ini terlalu rapuh. Kerana hati ini, saya tidak sekali-kali mampu menganiaya binatang. Kerana hati ini juga kesedihan ini tak dapat dibuang. Kerana hati ini juga, saya masih di sini, berjalan tanpa menemui pintu keluar.

Menyesal dengan apa yang telah berlaku? Menyesal dengan pilihan yang telah dibuat dan juga kegagalan yang datang berulang? Tidak sama sekali. Menyesal bukan dapat mengembalikan semula hari semalam. Kesilapan atau kesalahan yang telah terjadi dalam hidup takkan mampu di ulang tayang semula. Tiada "mesin masa" untuk membawa kembali pada ruang masa yang terdahulu. Tidak ada istilah sesalan. Cuma saya terlalu inginkan ketenangan.

Kata dia: Awak mengharap pada manusia. Awak terlalu percaya dan bergantung pada kata- kata dia. Janganlah awak hairan dan sedih bila tidak ada siapa hargai kebaikan yang awak lakukan atau apabila ada yang lupa pada segala pengorbanan awak semalam.

Janganlah buat perkara yang jahat atau terus tak mahu lagi berbuat baik semata- mata kerana mereka tak hargai kebaikan tersebut. Saya tahu hati awak sedih. Ibarat awak hadiahkan pen pada seseorang, dan dia gunakan pen tersebut untuk menulis kritikan yang pedas terhadap awak. Awak berikan dia pembaris, di ambil dan dipukul awak dengan pembaris tersebut. Memang pedih dan menyakitkan. Yang penting, jangan goyah atau terpengaruh dengan segala cemuhan dan kutukan mereka. Jangan sedih lagi dengan apa saja yang mereka lakukan.

Teruskanlah berbuat kebaikan dengan niat semata mata kerana Allah. Dekatkan hati pada Tuhan. Itu saja caranya untuk menguatkan jiwa dan tenangkan hati. Percayalah pada janji Tuhan. Setiap hari saya akan ajarkan satu doa pada awak..

Ya Allah, gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, gantikanlah kesedihan ini dengan hal yang menggembirakan. Dan hilangkanlah perasaan takut ini dengan perasaan tenang.

No comments:

Post a Comment