Thursday 14 March 2013

Rasa Dalam Diam



Cerita Dia:
Cinta itu buta dan boleh membutakan.
Adakala akal dan perasaan merusuh, berkecamuk. Cacamarba.

Saya bukan manusia luarbiasa. Saya juga bukan 'idola'. Saya tidak mampu berlagak pandai sepanjang waktu, setiap ketika. Saya juga punya saat-saat bodoh yang adakalanya susah untuk diterima orang sekeliling. Dengan segala kekurangan yang saya ada, tidak mungkin dia akan memilih saya, bukan?

Saya bersedia membayar seberapa tinggi harga sebuah pengorbanan kerana mencintai dia. Saya bersedia menanggung kesakitan demi cinta ini. Saya rela meneruskan hidup meski racun cemburu terus menjalar ke seluruh tubuh.
Namun, saya cuma belum bersedia atau rela memikirkan akan wujud satu saat di mana saya kehilangan dia dalam hidup saya. Saya nyata belum bersedia. Lantas, ini keputusan saya. Biarkan saja perasaan cinta itu tumbuh mekar.
Sehingga saat ini saya masih tidak mampu membuka pintu hati untuk yang lain kerana saya mencintai dia. Dia yang seakan tidak sedar hakikat sebenar bahawa saya mencintainya seluruh jiwa. 
********************************************
Dia terus memandang Gadis. Dia akui memang dia mencintai Gadis. Kalau boleh, dia ingin benar memberitahu Gadis mengenai perasaannya. Agar tiada rahsia lagi. Namun kesempatan itu belum wujud. Gadis ternyata cuma menerimanya sekadar seorang teman.
Andaikata
ombak berhenti menghempas pantai
langit berubah tona berwarna hijau
matahari terbit dari arah barat.
Saat itu, barulah jantungnya pasti berhenti dari menyanyi lagu cinta buat Gadis.
Keajaiban yang dia harap-harapkan.
Munculkah?

No comments:

Post a Comment