Saturday 2 March 2013

Plan B


Jantung berdegup kencang.
Bunyinya sekuat pukulan gendang di Pesta Gendang Nusantara, iramanya bertalu-talu dan semakin lama semakin kuat. Aneh, mengapa ye mereka yang berada di sekelilingnya tidak dapat mendengar bunyi degupan sekuat itu.
Dibukanya genggaman tangan. Tangannya terasa amat sejuk sekali, malah lebih sejuk rasanya dari memegang ketulan ais. Telapak tangannya putih, pucat, seakan tiada darah. Kelihatan beberapa lekuk-lekuk berbentuk bulan sabit, kesan tekanan kuat kukunya. Satu keluhan terlepas dari bibir.
Dia menoleh ke kiri. Terpandang wajahnya di cermin kaca kedai. Seorang perempuan yang sederhana tinggi,  berkulit cerah, berambut panjang lurus, memakai baju kurung biru muda sedang memandangnya kembali dengan riak muka penuh kerisauan. Tiada secalit senyuman di wajah manis tersebut. Diakah perempuan itu?
Kemana kah perginya segala keyakinan diri? Bukankah dia telah berjanji pada dirinya sendiri yang dia tidak akan risau? Senario ini telah dia mainkan berbelas kali dimindanya semalaman. Setiap hari Isnin dan Rabu, lelaki itu pasti akan berada di perpustakaan ini. Betapa dia akan menunggu dengan sabar dan sebaik sahaja lelaki tersebut mengambil buku dan duduk disudut kegemarannya, dia akan menghampiri lelaki itu. Dengan wajah yang tenang berserta dengan sebuah senyuman, dia akan mengucap salam dan perkenalkan dirinya. Seterusnya...hmm.. seterusnya bergantung pada lelaki tersebut.
Tak salah bukan andai dia yang memulakannya? Bukankah di zaman teknologi serba canggih ini, tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik apabila perigi mencari timba? Bukankah juga kita disuruh berdoa dan berusaha dalam mencari jodoh? Bukankah Siti Khadijah sendiri melamar Rasulullah s.a.w?
Memang mudah meyakinkan orang lain. Tapi sukar bila masanya tiba untuk menyakinkan diri sendiri. Memupuk keberanian bukan mudah, lebih lebih lagi ciri ciri wanita Melayu masih tebal dalam dirinya. Zaman mungkin telah moden, tapi masih agak sukar untuk memulakan langkah menegur seorang lelaki yang selama ini hanya diminatinya dari jauh. Dan...apakah yang istimewa pada dirinya, yang dapat membezakan dia dari gadis gadis lain sehingga akan terbukanya hati lelaki tersebut untuk menerimanya.
Berhenti lah wahai hati dari berkata kata. Bukankah dia telah berada di sini dan dia telah bernekad untuk meneruskan niatnya ini. Dari terus tertanya tanya, biarlah dia mendapat kepastian. Lagipun, bukankah dia ada 'Plan B' dia. Bibirnya mula tersenyum dan sinar harapan berbunga semula. Dibukanya tas tangan. Sekeping sampul surat terselit rapi di belakang beg duitnya.
Apa 'Plan B' tersebut? :) Andai setelah di beri salam dan keberaniannya tiba tiba luntur, akan diserahkan sepucuk surat salam perkenalan yang telah ditulisnya malam tadi. Andai perasaan malu tiba tiba membuatkan dia hilang kata kata, sepucuk surat tersebut pasti akan mewakili lidahnya. Mungkin itu istimewanya dia: ketahui kelemahan diri dan memikirkan bagaimana atasi kekurangan tersebut. Kalau emak tahu, pasti mak akan menggeleng kepala. Anaknya ini memang banyak 'Plan B' sentiasa.
Bismillah. Saatnya telah tiba. Doakan dia berjaya ye. :)

1 comment: