Tuesday 5 March 2013

Cuma Pemerhati


Ianya bukan kisah dongeng anak anak..
Ianya tentang individu.. ianya tentang masyarakat..
Ianya tentang seorang insan yang sesat dalam perjalanan..
*******************************
Kalau kisah hidup saya ditulis menjadi sebuah novel sekalipun, saya tidak mungkin terpilih untuk jadi watak utama didalamnya. Hmm.. mana perempuan yang tidak pernah bermimpi untuk jadi seorang puteri? Lebih lebih lagi bila dirinya sendiri yang sedang bermimpi. Tapi..realitinya,tak semua yang kita mahu, mampu kita capai.

Bahkan untuk menjadi watak jahat seperti perempuan ahli sihir atau raksasa juga sebenarnya amat sukar. Saya rasa saya hanya layak diberi watak pembantu saja. Sesuai hanya untuk dipilih menjadi dayang, penjaga istana, orang lalu lalang atau kucing hitam yang bermain dikaki sang ahli sihir. Lucu bukan? Tapi itu lah yang saya rasakan.
Saya berdiri di atas pagar. Berada betul betul di tengah garisan paksi antara kebaikan dan kejahatan. Tidak menyokong mana mana satu pihak. Tapi, itu tak bermakna saya adalah lalang. Saya punyai pendapat saya sendiri, cuma tidak disuarakan kerana saya yakin tak siapa ingin mendengarnya.

Suatu hari saya telah membuat keputusan.
Andai kata saya tidak dapat jadi watak utama, bagaimana pula jika saya memilih untuk menjadi watak penglipur lara? Boleh bukan? Saya mahu jadi sang pencerita yang menulis kembali kisah pengembaraan, pengalaman dan kisah suka duka orang lain. Buku harian saya ini akan jadi seperti sebuah buku laporan.

Semakin waktu berlalu, saya semakin dewasa.
Adakalanya, saya terlupa tugas saya untuk menulis. Saya bertindak dan tidak duduk diam sebagai pemerhati.

Kenapa? Bukan untuk berlagak hero. Ianya kerana saya ada sekeping hati yang masih berfungsi. Hati yang degil. Hati yang merasa segala kesakitan dan kesedihan orang lain. Hati yang terlalu kerdil dan rapuh untuk seorang penulis cerita.

Ada ketikanya cerita mereka seakan sama dengan cerita saya.
Seperti terpandang imej sendiri di cermin. Bayangan di cermin bukannya orang lain, tapi adalah diri saya sendiri. Sakit dia adalah sakit saya juga. Sedih pilu turut mencengkam tangkai hati. Adakalanya terlalu berat rahsia dan sakit yang disimpan, hingga saya terpaksa berhenti menulis seketika. Saya perlukan rehat demi mencari kekuatan untuk meneruskan bicara hati.

Dalam meniti hidup sebagai pemerhati dari tepi, saya sendirian. Tiada siapa yang faham diri saya. Seorang perempuan dengan idea-idea nya yang aneh. Inilah saya.

No comments:

Post a Comment