Sunday 3 March 2013

Berlari Ke Langit III


Malam tadi saya bermimpi lagi.
Bermimpi berlari hingga ke langit. Laju dan jauh meninggalkan helikopter serta kapal terbang Air Asia di belakang. Sekawan awan turut ketepi kerana tidak mahu menghalang laluan saya.Malah lebih laju dari 'Superman' terbang. :) :)

Dan seperti semua mimpi indah, ianya pasti akan berakhir. Sigh..sakitnya sama seperti terhempas ke bumi dari bangunan yang amat tinggi. Terasa ingin dipejamkan semula mata agar mimpi tadi akan berulang. Sia sia saja bukan. Mata beralih memandang ke kotak kasut di tepi pintu bilik. Kasut untuk berlari yang baru saja 2 minggu lepas dibeli, kini terletak elok di dalam kotak, seakan sama keadaannya sewaktu di beli.

Saya suka berlari kerana dengan berlari segala keresahan dan masalah yang menekan perasaan dapat saya lepaskan bebas pada alam. Dengan setiap derapan kasut, satu demi satu perkara yang merunsingkan kepala, seakan berbaris lurus bergerak meninggalkan ruang minda, tidak lagi berkecamuk dan berselerakan di fikiran.

Saya tahu berlari tak akan menyelesaikan masalah, tapi... ianya mengurangkan tekanan. Semakin pantas saya berlari, semakin fikiran tertumpu hanya pada larian. Hilang bunyi unggas, hilang mereka yang turut sama berlari di taman tersebut, hilang pokok pokok yang merimbun sepanjang trek jogging. Deras nafas, peluh yang mengalir laju membasahi tubuh, membuat saya rasa 'hidup' dan masih 'bernyawa'. Terisinya satu ruang kosong di jiwa. Kekosongan itu mungkin tak akan pergi selamanya, tapi keasingan diri sedikit sebanyak terasa hilang.

Mereka tidak membenarkan saya berlari lagi. Apa yang tinggal untuk dilakukan? Menelan pil pil untuk menggantikan kepenatan berlari yang selalunya membuatkan saya tidur lena hingga ke pagi. Saya tidak mahu kerana pil pil tersebut melemahkan daya ingatan dan konsentrasi.

Ini tentang diri saya bukan? Mereka hanya berikan diagnosis dan kebarangkalian yang mungkin akan berlaku. Saya percaya pada Tuhan dan saya yakin saya pasti akan temui jalan untuk merasakan sekali lagi angin yang deras begerak dari arah bertentangan dengan larian saya dan merasakan adrenalin bergerak laju. Saya pasti saya akan dapat berlari ke langit..sebelum saya menutup mata buat kali terakhir.

Think positif, just do it. :)

No comments:

Post a Comment